Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Thursday, July 16, 2009

Politik kepartian melampau jejas perpaduan nasional

Oleh Rahman Sulaiman

POLITIK seperti yang difahami umum hari ini sudah lama dikesan menguasai kehidupan bermasyarakat, sama ada dalam masyarakat purba atau masyarakat moden sekarang. Dalam konteks masyarakat moden, politik mempengaruhi interaksi kumpulan manusia dalam usaha mereka memperoleh kuasa.

Dalam sistem pemerintahan masa kini, tanpa mengira apa juga bentuk sistem itu, sama ada demokratik, autokratik atau sebagainya, masyarakat lazimnya mengharapkan kuasa pemerintahan yang diperoleh melalui helah atau intrique politik itu digunakan untuk kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Di Malaysia, seperti juga negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi, kehidupan atau perjuangan politik rakyat dikelolakan menerusi organisasi atau parti politik.

Di bawah sistem ini, rakyat diberikan hak dan kebebasan untuk menganggotai atau menyokong mana-mana parti yang mereka anggap mampu memperjuangkan idealisme dan memenuhi aspirasi mereka.

Setiap empat atau lima tahun sekali, rakyat yang mendaftar sebagai pemilih termasuk yang tidak menganggotai parti politik, diberikan hak dan kebebasan untuk memilih parti yang mereka sukai dalam pilihan raya umum.

Parti yang menang dalam erti kata menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri berhak di bawah Perlembagaan untuk menubuhkan kerajaan dan melaksanakan dasar atau program yang dijanjikan kepada rakyat untuk kesejahteraan mereka bagi tempoh sehingga pilihan raya berikutnya.

Dalam pilihan raya berikutnya, mereka diberikan hak untuk memilih semula atau menolak kerajaan sedia ada. Inilah sistem diamalkan di negara ini sejak merdeka. Sistem ini ternyata berjaya mengekalkan keamanan negara serta menambah kemakmuran rakyat dalam tempoh 52 tahun lalu kecuali untuk seketika waktu selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 apabila demokrasi digantung buat sementara.

Selepas itu, apabila demokrasi dipulihkan, rakyat kembali tenang untuk meneruskan urusan harian masing-masing. Parti politik hanya sibuk menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang diadakan dari semasa ke semasa.

Malangnya, sejak akhir-akhir ini terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu, politik dan demokrasi di Malaysia kelihatan mula memasuki dimensi baru yang tidak pernah dialami sebelum ini. Politik sebagai alat untuk menempah wewenang dan kuasa seolah-olah sudah menguasai seluruh kehidupan rakyat.

Di mana-mana saja orang bercakap mengenai politik. Sama ada di warung, kedai kopi, restoran, majlis kenduri atau sebelum dan sesudah mesyuarat rasmi, isu-isu politik lazimnya mengisi sebahagian besar daripada tajuk perbualan.

Isu lain seperti ekonomi, pendidikan dan sosial sering diketepikan seolah-olah ia tidak penting. Akhbar dan media lain juga memberi tumpuan yang cukup ketara terhadap isu politik terutama politik kepartian.

Di kalangan penjawat awam dan pelajar di institusi pengajian tinggi juga, nampaknya politik tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan mereka. Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sesiapa mendapati bahawa topik utama perbualan penjawat awam di kantin pejabat adalah politik.

Bukan juga satu keanehan untuk orang luar mengetahui bahawa pemilihan pemimpin pelajar di institusi pendidikan tinggi tempatan setiap tahun kebanyakannya didasari fahaman politik kepartian yang dianuti pemimpin terbabit walaupun pada zahirnya Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang sama sekali pelajar berpolitik.

Di kalangan pemimpin politik pula, kewujudan mereka seolah-olah tidak sah kalau mereka gagal menilai sesuatu isu, perkembangan, dasar atau program kerajaan dari sudut politik kepartian yang sempit untuk kepentingan peribadi.

Inilah nampaknya budaya yang menguasai kehidupan rakyat Malaysia sekarang. Secara perbandingan, budaya ini nampaknya lebih kuat mencengkam masyarakat Melayu dan Islam berbanding masyarakat Cina, India dan lain-lain.

Perkara ini sebenarnya, sudah banyak dibincangkan melalui saluran rasmi dan tidak rasmi oleh cendekiawan Melayu dan golongan prihatin lain yang bimbang bahawa budaya politik melampau dan tidak berkesudahan itu berpotensi untuk menghancurkan perpaduan Melayu dan sekali gus menghakiskan kuasa politik mereka.

Jika ini berlaku, usaha untuk mencapai perpaduan nasional menjelang 2020 apabila Malaysia disasar mencapai status negara maju, tidak akan kesampaian.

Sesungguhnya, dalam konteks inilah cadangan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, agar usaha dirintis untuk menyatupadukan orang Melayu, perlu diberi perhatian.

Ketika menyampaikan titah utama bertajuk Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat pada majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di Ipoh kelmarin, baginda menyarankan supaya usaha penyatuan umat Melayu dirintis bagi membina keupayaan kaum itu dalam semangat serumpun bangsa dan saliran agama.

Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai, baginda bertitah agar semua pihak mengetepikan kesetiaan kepada individu atau kumpulan.

Raja Nazrin menegaskan budaya berpolitik yang sedang berlaku menyebabkan ketaksuban baru sehingga menjelma budaya assabiyah yang mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan berbanding kelangsungan ummah.

Titah baginda, keadaan itu akhirnya menyebabkan Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan kelemahan antara satu sama lain. Sebenarnya, ini bukan kali pertama baginda menyuarakan kebimbangan demikian.

Sebelum ini, baginda dan raja lain juga pernah menyatakan kebimbangan serupa terhadap gejala dan perkembangan yang berpotensi untuk menghancurkan negara. Apakah rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, memerlukan kejutan yang lebih dahsyat untuk menyedarkan mereka daripada ilusi yang merugikan itu dan kembali menerima kenyataan bahawa politik bukan segala-galanya?

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

Sunday, March 1, 2009

Negara ini milik semua makhluk

Berkelahilah parti-parti politik di negara ini untuk mendapatkan secebis kuasa yang boleh diperolehi seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Rakyat negara ini tidak wajar gusar melihat perkelahian mereka. Itu adalah rencam kehidupan bernegara. Adalah lebih baik mereka berkelahi secara undang-undang dan politik dengan menggunakan sistem demokrasi seperti yang dipersetujui dalam perlembagaan.

Pada zaman pra-demokrasi, perkelahian antara kuasa-kuasa politik yang bertentangan adalah lebih menakutkan. Pasti mereka berbunuhan sesama sendiri, pemberontakan yang menggunakan senjata, penderaan dan kematian yang akhirnya menyusahkan rakyat.

Justeru, bersyukurlah bahawa rakyat negara ini pada masa sekarang hidup dalam zaman moden yang mengamalkan sistem demokrasi. Sesiapa bebas bersuara dan mengatur langkah politik tanpa takut terjerumus ke dalam peperangan.

Kini negara ini mempunyai pilihan raya, mahkamah, parlimen dan institusi-institusi negara yang bertamadun. Persaingan antara parti politik adalah suatu yang bukan saja lumrah tetapi perlu dihargai dengan semarak keberagaman pandangan dan perspektif.

Di mana pun pandangan seseorang tentang politik, kesemuanya adalah warganegara Malaysia yang sama-sama hidup, mencari makan dan membiak dalam negara yang permai ini. Dalam hal ini, rakyat Malaysia wajar berbaik sangka terhadap semua ahli politik. Mereka harus dipandang sebagai golongan yang berniat ikhlas untuk melakukan apa yang terbaik bagi rakyat dan negara ini. Tentu terdapat perbezaan pendekatan dan perwatakan dalam berpolitik. Tetapi itu adalah sebahagian daripada keanekaragaman manusia.

Sudah tentu ahli-ahli politik seperti manusia yang lain bukannya maksum. Maafkanlah mereka jika berlaku kesilapan dan semua rakyat Malaysia yang layak pastinya mempunyai satu undi untuk memilih wakilnya di Dewan Rakyat. Bagi mereka yang tidak tinggal di Wilayah Persekutuan, mereka memiliki satu lagi undi untuk digunakan bagi memilih ahli Dewan Undangan Negeri.

Memang benar Malaysia yang permai ini adalah milik kesemua warga negaranya, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Tidak kira penyokong parti apa pun, semua rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama di bawah Perlembagaan Malaysia. Sementara perlembagaan ini pula dilindungi oleh Raja-raja Melayu, yang bukan saja raja bagi orang Melayu, tetapi adalah ketua negara dan ketua negeri bagi semua rakyat Malaysia dan negeri masing-masing.

Sungguhpun begitu, dalam negara Malaysia ini bukan saja terdapat warganya. Di dalamnya juga terdapat pendatang-pendatang, baik dengan izin atau tanpa izin yang mencari rezeki daripada bumi bertuah ini.

Para pendatang ini juga mempunyai hak mereka seperti mana yang diperuntukkan dalam undang-undang dan perjanjian antara bangsa. Kalau tidak kerana kemakmuran negara ini, tidaklah para pendatang itu hendak mencari rezeki di sini. Dan kalau tidak mereka susah tidaklah juga mereka mahu meninggalkan kampung halaman. Dan jika rakyat negara ini tidak memerlukan mereka, tidak juga mereka mahu ke sini.

Maka apabila disebut penduduk Malaysia, ia tidaklah hanya merujuk kepada rakyat negara ini. Ia turut merangkumi semua manusia yang tinggal di negara ini. Itu maksudnya dengan penduduk Malaysia. Mereka adalah yang duduk di negara ini.

Maka kehadiran para pendatang ini memeriahkan lagi negara ini. Kini selain daripada rakyat Malaysia, maka dapat dilihat orang Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand, Myanmar, Kemboja, Nepal, Nigeria dan sebagainya. Maka sudah tentu mereka juga menjadi tanggungjawab sesiapa yang memegang kuasa di negara ini untuk memastikan kesemua penduduk berada dalam keadaan kenyang dan selesa.

Selain daripada manusia, terdapat makhluk lain yang turut menjadi penduduk negara ini. Mereka adalah pelbagai haiwan dan tumbuhan di negara tropika ini. Kalau hendak dikirakan manusia pun adalah haiwan. Tetapi Malaysia ini bukan saja milik rakyatnya tetapi juga semua fauna dan flora yang hidup di negara ini. Para fauna dan flora itu bukan saja menyerikan lagi bumi Malaysia tetapi juga membolehkan rakyat negara ini hidup, memperoleh makanan dan mendapatkan rezeki.

Kalau tidak kerana rupa bumi Malaysia yang sebegini rupa, tidaklah mahu para haiwan dan tumbuhan berada di sini. Bumi subur dan rupa bentuk geografi yang selesa untuk menaungi haiwan dan tumbuhan ini menyebabkan banyaklah spesies mahu menjadikan Malaysia sebagai kediaman mereka.

Sebab itu dalam jata negara, tidak ketinggalan diabadikan kehadiran fauna dan flora ini. Dua ekor harimau dan sekuntum bunga raya merupakan simbol negara untuk mengingati manusia bahawa Malaysia juga adalah milik haiwan dan tumbuhan.

Maka kesemua ini adalah sebahagian daripada kekayaan Malaysia yang patut diraikan bersama secara aman dan meriah. Ketika mana melihat perkelahian antara parti politik manusia, maka sekali-kali fikirkan juga bahawa Malaysia bukanlah semata-mata terdiri daripada para pengundi yang wajar hatinya dimenangi. Banyak lagi makhluk yang terdapat di Malaysia ini.

Selain itu, kalau menurut kepercayaan kebanyakan orang Melayu, di Malaysia ini terutama di hutan-hutan, terdapat makhluk halus, hantu dan jembalang, orang bunian dan pelbagai saka. Mereka juga merupakan khazanah dan penduduk negara ini.

Walaupun makhluk-makhluk ini hanya berada dalam minda orang Melayu, tetapi apa yang terkandung dalam otak penduduk negara ini adalah juga sebahagian daripada Malaysia.

Bertambah meriahlah negara permai yang bernama Malaysia ini. Akhirnya, apalah kewujudan manusia kalau tidak apa yang ada dalam mindanya. Daripada memori, emosi dan imaginasi, itulah juga apa yang disebut sebagai pengalaman politik.