Wednesday, July 15, 2009

Kejayaan tipis Pas di Manek Urai beri kemenangan moral buat BN

Oleh : Jamhariah Jaafar

CALON Pas, Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan menang tanpa sorak gegak gempita di Dewan SK Sultan Yahya Petra Satu, malam tadi, apabila sekadar mendapat majoriti 65 undi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai.

Kejayaan tipis Pas itu bagaimanapun memberi kemenangan moral kepada Barisan Nasional (BN) kerana bukan saja berjaya menembusi kubu kuat Pas di Manek Urai, bahkan ia turut memberi isyarat lantang bahawa penduduk Kelantan kini tidak lagi mahu terus dibelenggu dengan hanya nasihat, doa dan bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini.

Malah, 'kejayaan' calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat bertapak di kubu kuat Pas, Manek Urai Lama ternyata memberi tamparan hebat kepada parti itu kerana undi penduduk di kawasan berkenaan diberi kepada BN hanya kerana sebuah jambatan usang yang tidak mampu disediakan kerajaan negeri Pas.

Ternyata pepatah yang pernah digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menang tidak semestinya menang dan yang kalah tidak semestinya kalah, adalah ayat pertama menjalar di fikiran.

Kemenangan tipis Pas berbanding majoriti 1,352 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, boleh dikaitkan kepada beberapa faktor:
  • Perubahan kepemimpinan BN yang diterajui Najib.
  • Sikap BN yang begitu bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan penduduk.
  • Keinginan penduduk Manek Urai untuk menyertai arus perubahan yang semakin pantas di sekeliling mereka.
  • Sikap dan kewibawaan calon BN yang dilihat amat ikhlas ingin membawakan perubahan yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk.
  • Kerja keras Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed serta anak buahnya.

Nyata 'the feel good feeling' yang dicetuskan Perdana Menteri, terutama yang diikrarkan pada hari 100 pemerintahannya, juga antara penyumbang kepada perubahan sikap pengundi Manek Urai.

"Kekalahan tipis BN mungkin akan dikesali majoriti penduduk Manek Urai, terutama yang selama ini penyokong kuat Pas kerana mereka terlepas peluang untuk menikmati pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial lebih baik.

"Mereka tahu, semua janji BN seperti yang disampaikan Tan Sri Muhyiddin (Mohd Yassin) akan ditunaikan. Gelaran Manek Urai akan menjadi 'ának emas' Kerajaan Pusat sekiranya BN menang bukan diberi sewenang-wenangnya, kerana daerah ini memang akan menjadi anak emas BN sekiranya Tuan Mat menang,

"Namun, dengan kekalahan ini penduduk Manek Urai yang menginginkan perubahan terpaksa menggigit jari," kata seorang pemerhati.

Walau apapun analisis yang dibuat, tindakan YB Manek Urai yang baru keluar dewan tanpa senyuman manis juga adalah cerminan kepada wajah semua pemimpin tertinggi Pas yang sudah pasti turut terpaku dengan keputusan mengejutkan itu.

Walaupun tewas dan ada yang mengalirkan air mata kerana tewas amat tipis, BN kini boleh berikrar untuk bekerja lebih keras bagi memastikan sokongan yang diterima semalam, akan berterusan sehingga 2012 nanti.

Tuan Mat mungkin pulang ke rumah dengan rasa kecewa, tetapi dia boleh berdiri bangga kerana berjaya menembusi kubu kuat Pas.

Yang pasti dia akan meneruskan perjuangan untuk terus membantu menaikkan martabat dan taraf hidup saudara mara serta sahabat handainya di Manek Urai.

Sekiranya itu berlaku, Mohd Fauzi atau Abang Uji, sudah pasti kepanasan sepanjang masa menjadi YB Adun Manek Urai dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mempolitikkan Islam jejas perpaduan Melayu

Sejarah perpecahan berlanjutan antara Umno, Pas bukti demokrasi kepentingan diri rugikan ummah DALAM kancah politik umat Melayu dan Islam di negara ini, secara asasnya lingkungan penggunaan Islam sebagai asas berpolitik dan menegakkan perjuangan dilihat sebagai satu kaedah yang sering diguna pakai oleh ahli politik.

Walau apapun gelarannya, sama ada ustaz, haji malah tok guru, soal guna pakai Islam sebagai asas memperteguhkan ulasan politik yang diluahkan, dilihat lumrah. Bahkan, ahli politik bukan Islam juga dilihat lebih cenderung kini untuk menggunakan Islam sebagai asas hujah mereka dalam menarik minat dan keterujaan komuniti pengundi Islam di negara ini.

Inilah bahana mempolitikkan agama dalam kancah berpolitik. Dalam berpolitik, umat Melayu dan Islam seharusnya mengambil iktibar kisah dua khalifah ar-Rashidin, yakni Khalifah Uthman al-Affan dan Khalifah Ali Abi Talib yang dibantah kepemimpinan oleh golongan pembangkang.

Bantahan itu menyebabkan pemerintahan kedua-dua kepemimpinan terbabit selaku ketua negara dan kerajaan terganggu dan berlakunya perpecahan. Pada hal, kedua-dua Khalifah ini adalah sahabat dan menantu Rasulullah SAW yang turut dijanjikan syurga, namun ditentang dan dibunuh atas alasan kononnya mereka tidak mengamalkan Islam sepenuhnya dalam pentadbiran negara.

Pengajaran besar bagi umat Islam di negara ini, yang didoktrinisasikan politiknya berasaskan kepada demokrasi dan dengan itu demi menegakkan demokrasi, maka elemen berparti diadakan. Dulu umat Melayu di Tanah Melayu ini hanya mengenal erti kesultanan dan tiada parti politik wujud atas nama agama mahupun bangsa. Yang wujud hanyalah satu, iaitu demi kedaulatan negara masing-masing.

Dengan doktrin penjajah, akhirnya umat Melayu terpecah mengikut acuan politik. Dulunya Sultan dan Raja adalah satu-satunya ulil amri yang wajib ditaati, tetapi selepas demokrasi dijalankan, istilah ulil amri ada kalanya dipesongkan hinggakan seolah-olah setiap presiden parti atau pemimpin pertubuhan diangkat sebagai ulil amri.

Inilah natijah demokrasi kepada Islam hinggakan perkara utama dalam pembinaan negara mampu dipesongkan.

Mengimbau sejarah perjuangan Tanah Melayu, jika pada 1946 ketika Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar atau Umno) ditubuhkan, keseluruhan anak watan Melayu digabungkan di bawah satu payung politik perpaduan demi membanteras cita-cita penjajahan terus bangsa asing ke atas bumi bertuah ini.

Namun, lama kelamaan, elemen perpaduan itu luntur sehingga menyebabkan Pas yang dulunya di bawah payung Umno sebagai Biro Agama bertukar watak bukan lagi sebagai aktor perpaduan, sebaliknya lebih kepada aktor bangkangan. Membangkang hinggakan mampu menggugat kedudukan Melayu dalam menuntut kemerdekaan mutlak daripada Britain.

Umnolah satu-satunya parti anak watan yang dibina oleh bangsa Melayu di Tanah Melayu. Lain-lain gagasan sebelumnya dilihat bertaklik kepada Indonesia Raya. Untuk itu, hujah menyatakan Umno sebagai sebuah pertubuhan anak watan kesultanan serta pemelihara keutuhan politik Melayu adalah berasas.

Pada saat Umno dilahirkan, ramai daripada komuniti asal negara ini, iaitu umat Melayu hidup dalam daif dan tidak diberikan pelajaran sempurna oleh penjajah. Mujurlah segelintir bangsawan dan anak watan yang dihantar belajar hingga ke peringkat tinggi diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menggerakkan perpaduan Melayu hinggakan pada 31 Ogos 1957, tercapai kemerdekaan selepas 446 tahun terjajah diambil kira sejak Kejatuhan Kesultanan Melayu di Melaka pada Ogos 1511.

Sehingga ke saat ini, elemen demokrasi dijadikan sebagai platform berpolitik. Dua parti Melayu terbesar di negara ini, iaitu Umno dan Pas turut sama berpolemik di dalam persuratan demokrasi. Tiada demokrasi tiadalah parti politik

Pada anggapan dunia, hak asasi masa kini, demi hak asasi maka perpecahan adalah baik dan bermakna. Adakah prinsip Islam membenarkan perpecahan? Jika dibenarkan adakah pada era Rasulullah SAW wujudnya 'kepuakan' sebegini. Yang wujud adalah tiga golongan, iaitu yang beriman, yang munafik dan yang kafir. Tidak ada pula dalam kelompok beriman itu terpecah-pecah mengikut haluan masing-masing.

Adakah atas nama Islam, hubungan sesama Islam itu dapat dipecahkan? Justeru perpaduan dua parti Islam ini, iaitu Umno dan Pas seharusnya menjadi satu kenyataan. Retorik, sejarah dan peluang berpolitik seharusnya diamati dengan muhasabah yang hak, iaitu adakah dengan berpecah, umat Islam dapat dijaga kepentingannya? Adakah demokrasi itu dipertuhankan?

Selain parti politik, dalam konsep demokrasi, instrumen mengukur sokongan adalah pilihan raya. Dengan pilihan raya jugalah sebahagian besar dunia Islam dilanda perpecahan. Dengan pilihan raya ini jugalah timbulnya sengketa.

Lihat saja Iran, Iraq serta Pakistan yang sentiasa bergolak disebabkan oleh cetusan pilihan raya. Bukanlah pilihan raya itu perlu ditiadakan. Tetapi jika ini mampu menyatupadukan komuniti rakyat, ia baik untuk diadakan. Tetapi adakah kini pilihan raya dilihat sebahagian daripada usaha perpaduan ummah?

Dalam tingkah laku kempen, tawaran syurga serta merendahkan dan lebih daripada itu mengaibkan serta memfitnah sesama Islam yang dilakukan oleh umat Islam dan bukan Islam menunjukkan betapa ajaran Islam tidak dipraktikkan.

Amat menyedihkan ialah dengan elemen 'hak asasi' segala percakapan sudah tidak lagi menjadi salah dan jika dibendung kebebasannya, ia dianggap bertentangan dengan demokrasi tulen. Soalnya adakah Islam membenarkan sebarang kegiatan 'percakapan' dan kempen yang tidak merangsang perpaduan dilaksanakan?

Atas nama Islam, kedua-dua parti politik Umno dan Pas yang nyata sekali keahlian terbesarnya adalah dari kalangan umat Melayu yang juga Islam perlu bersatu dan berpadu demi kekuatan agama, bangsa dan negara.

Seteru politik dalam demokrasi dibenarkan, tetapi dalam Islam adakah kita dibenarkan untuk berseteru dengan sesiapa juga, walhal mereka ini adalah pengucap syahadah serta apa juga kesalahan sekalipun walau dihumban ke neraka akan tetap merasai syurga.

Inilah indah Islam yang menetapkan bahawa sebarang kesalahan tidak berkekalan, yang kekal adalah kebaikan.

Apakah atas nama demokrasi, maka umat Islam seolah-olah dibiarkan berpecah tanpa kesudahan sehingga berlaku pula pertentangan di antara sesama umat Islam yang menyatakan ini Islam dan ini tidak cukup atau tidak Islam.

Entiti politik Islam di negara ini, iaitu Umno dan Pas bukan saja harus berusaha untuk berdialog dan berdebat, malah berusaha untuk bersatu dengan ikhlas dan luhur. Rumusan daripada sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa 'manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) dapat dijadikan sandaran muhasabah diri dalam tidak menjadi batu penghalang kepada perpaduan dua parti terbesar umat Islam di negara ini.

Oleh Md Shukri Shuib
Penulis ialah pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kedah

Monday, June 1, 2009

Bakal Timbalan Presiden MIC 'intai' jawatan No. 1

Oleh HASSAN MOHD NOOR

MULAI bulan ini, MIC sibuk dengan persidangan perwakilan negeri. Ia bakal menjadi platform bagi ahli-ahli parti yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung September ini.

Pemilihan di peringkat bahagian sebelum ini kurang menarik perhatian kecuali di beberapa bahagian di Selangor, Kedah, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan. Hanya Pengerusi Badan Perhubungan MIC Johor, K.S Balakrishnan yang memberi laluan kepada muka baru. Di peringkat negeri juga, selepas pilihan raya umum lalu, tidak banyak perubahan. Mungkin selepas ini akan berlaku rombakan besar-besaran melibatkan kepimpinan negeri.

Namun kelesuan di peringkat bahagian yang sudah berakhir menyebabkan tumpuan kini kepada pemilihan pada peringkat pusat. Semakin hari semakin menarik perhatian walaupun 'pergolakan' parti politik kini diambil alih oleh rakan MIC dalam komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Progresif Penduduk (PPP).

Tumpuan pemilihan MIC kini terarah kepada jawatan Timbalan Presiden selepas tidak ada mana-mana calon yang bersedia mencabar kedudukan S. Samy Vellu sebagai Presiden.

Dan pengumuman S.Sothinathan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden mengesahkan desas-desus mengenai pertembungan tiga penjuru. Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden, S.Subramaniam (Subra) menyatakan kesediaannya untuk merebut kembali jawatan tersebut yang kini disandang oleh G. Palanivel.

Dengan pengumuman Sothinathan, maka terjawablah segala persoalan mengenai jawatan apa yang hendak ditandingi Sothinathan. Kini hanya menanti apa pula jawatan yang mahu ditandingi oleh seorang lagi yang disebut-sebut layak menawarkan diri iaitu Menteri Sumber Manusia, S.Subramaniam. Adakah Subramaniam yang kini sebagai Setiausaha Agung MIC bersedia menawarkan diri untuk jawatan timbalan atau sekadar jawatan naib?

Apakah beliau memikirkan kedudukannya sebagai menteri lebih melayakkan dirinya untuk jawatan No. 2 sekali gus bakal Presiden MIC?

Jika jawatan dalam Kabinet menjadi ukuran, maka Subramaniam layak menawarkan diri. Beliau mampu menghadapi tiga bekas timbalan menteri itu. Palanivel ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Subra ialah bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Sothinathan ialah bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Sama ada tiga atau empat penjuru, tentunya sebagai Presiden, Samy Vellu mempunyai pandangan tersendiri bagi mengelakkan persaingan sengit. Ini kerana barisan yang bakal dipilih amat penting bagi MIC menentukan masa depan dan hala tujunya bagi mengembalikan semula keyakinan di kalangan masyarakat India setelah menerima tamparan hebat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12).

Pemilihan ini lebih penting kerana ini dikatakan penggal terakhir Samy Vellu sebagai Presiden dan sesuatu yang berlaku ke atas presiden, maka timbalan akan memikul tanggungjawab besar meneruskan perjuangan.

Bagaimanapun Samy Vellu awal- awal lagi sudah membayangkan tidak akan memihak kepada mana-mana calon. Samy Vellu sebelum ini berkata, beliau akan berbincang dengan calon-calon supaya 'mencapai persefahaman' mengenai siapa yang seharusnya bertanding jawatan itu.

''Jika rundingan itu gagal, kemudiannya saya akan membiarkan merka bertanding,'' katanya.

Namun di sebalik pendirian itu, tiba-tiba timbul laporan Bernama yang dipetik dari sumber dalaman parti yang kononnya menyebut Samy Vellu merestui Palanivel. Maka banyak cakap politik dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berterbangan. Mujurlah laporan tersebut segera dinafikan oleh Samy Vellu pada hari yang sama.

''Laporan Bernama tak ada kaitan langsung dengan saya. Saya menafikanya,'' kata Samy Vellu seperti dipetik oleh akhbar Makkal Osai.

Apakah laporan tersebut sengaja mahu 'mengusik' Samy Vellu dan Palanivel? Ada pihak mula melontarkan persoalan sama ada Samy Vellu akan mengumumkan pasukan Presidennya seperti yang dilakukan pada setiap pemilihan MIC.

Namun adalah lebih baik Samy Vellu tidak menyebelahi mana-mana pihak dan membiarkan perwakilan membuat keputusan mereka.

''Kita mahu Samy Vellu bersikap neutral dan tidak terlibat dalam pemilihan kali ini. Biarkan sahaja perwakilan memutuskan pemimpin pilihan bagi menerajui MIC. Berikan kebebasan sepenuhnya kepada para perwakilan untuk memilih pasukan mereka,'' kata seorang perwakilan MIC.

Beliau tidak mahu sebarang sekatan dikenakan terhadap mereka yang berhasrat mahu bertanding.

''Jangan sekat mereka. Jangan kita menang di parti dan kalah di PRU nanti. Fikir tentang masa depan MIC bukannya individu.

''Kita dah kena tempias pada PRU 12. MIC memerlukan pemimpin yang berani, lantang, kuat bekerja dan yang paling penting diterima oleh seluruh masyarakat India dan juga kaum lain,'' kata perwakilan itu.

Memang benar kata perwakilan berkenaan. Tiga calon yang mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden mempunyai kelebihan masing-masing.

Subra, bekas Timbalan Presiden, lebih dikenali sebagai Makkal Thalaivar (Pemimpin masyarakat) di kancah MIC. Beliau menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian Seputeh.

Penyandang jawatan, Palanivel yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor pada PRU 12 juga menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian Hulu Selangor.

Sothinathan yang turut tewas pada PRU 12 bagaimanapun hanya seorang ahli biasa tanpa memegang sebarang jawatan di peringkat cawangan atau bahagian.

Bagaimanapun setakat ini, Subra dilihat sebagai calon paling popular sekiranya Samy Vellu mengambil sikap tidak memihak kepada mana-mana calon. Ini berdasarkan pengalaman dan reputasi Subra sebagai Timbalan Presiden selama 25 tahun tahun bersama Samy Vellu.

Palani pula dikatakan mempunyai harapan selaku penyandang Timbalan Presiden tetapi masih 'mengharapkan' sentuhan Samy Vellu.

Selain jawatan No. 2, turut menarik perhatian ialah jawatan No. 3 iaitu Naib Presiden.

Apakah tiga wakil rakyatnya yang terselamat dalam tsunami politik 2008 akan bertanding jawatan berkenaan?

Subramaniam walaupun disebut sebagai calon yang berpotensi untuk jawatan No.2 tetapi dianggap 'baru' dan lebih sesuai untuk jawatan Setiausaha Agung atau Naib Presiden.

Dua lagi ialah M.Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Penerangan MIC serta S.K. Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Bendahari MIC.

Apakah jawatan yang bakal mereka tandingi? Naib Presiden atau sekadar ahli jawatankuasa pusat (CWC)? Apakah percaturan mereka?

Adakah dengan jawatan dalam kerajaan, mereka boleh menawarkan diri untuk sebarang jawatan? Bagaimana jika mereka tidak terpilih bertanding pada pilihan raya akan datang atau jika bertanding kecundang seperti yang berlaku terhadap Samy Vellu? Apa akan jadi kepada MIC? Justeru yang penting, MIC perlu tampilkan pemimpin yang relevan dalam pemilihan kali ini.

Beza perjuangan di Gaza dan Kilinochchi

Oleh AZMI HASSAN

AHLI Parlimen Klang, Charles Santiago pada satu forum anjuran Majlis Peguam menuduh Malaysia mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu Palestin dan Tamil di Sri Lanka. Pandangan tersebut timbul ekoran kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman bahawa Malaysia tidak mencampuri urusan dalaman negara lain ketika diminta mengulas mengenai isu Sri Lanka.

"Jika pendirian Malaysia tidak mencampuri masalah dalaman negara lain, maka Malaysia juga tidak boleh mengeluarkan kenyataan mengenai isu Myanmar dan Palestin. Malaysia mengamalkan pilih kasih dengan memberi layanan berbeza ke atas masyarakat Tamil di Sri Lanka dan rakyat Palestin," tegas Santiago.

Tuduhan itu sangat serius dan berat kerana konflik di Sri Lanka melibatkan nyawa orang awam yang tidak berdosa, tidak kira daripada golongan Sinhala atau Tamil. Santiago juga perlu ingat selain itu, ramai juga rakyat Sri Lanka yang beragama Islam turut menjadi korban.

Tetapi apabila beliau cuba mengaitkan isu etnik Tamil di Sri Lanka dengan perjuangan rakyat Palestin, maka perbandingan itu jelas begitu dangkal dan mempunyai agenda tidak jujur.

Dangkal kerana cuba menuduh Malaysia menyokong Palestin kerana agama Islam tetapi menutup mata ke atas Sri Lanka kerana tiada kaitan dengan Islam.

Sememangnya tuduhan Santiago tersebut langsung tidak berasas kerana rakyat Thai yang beragama Islam di Pattani, Narathiwat dan Yala juga menghadapi masalah serupa seperti etnik Tamil di Sri Lanka. Pendirian Malaysia mengenai masalah selatan Thai adalah begitu jelas dan sama dengan pendirian ke atas konflik Sri Lanka.

Begitu juga dengan masalah rakyat Islam Filipina di selatan Mindanao. Ia tidak jauh beza seperti yang dialami oleh etnik Tamil di Sri Lanka. Pendirian Malaysia juga konsisten mengenai isu selatan Mindanao.

Perlu diingat kekuatan ketenteraan antara dua pihak yang bertelagah di Sri Lanka adalah sama. Kekejaman sama ada oleh tentera kerajaan Sri Lanka (SLA) atau gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak banyak beza.

Kedua-dua pihak secara terang mencabuli hak asasi manusia. Dalam konflik tersebut sukar untuk ditentukan secara sahih pihak mana yang lebih kejam.

Tetapi jika hendak dibandingkan kekuatan tentera rejim Israel (IDF) dengan pejuang Hamas, ia sangat berbeza. Tidak adil membandingkan kekuatan IDF dengan Hamas. Apabila kekuatan tidak seimbang, maka sudah pasti kekejaman akan dilakukan oleh pihak yang kuat.

Pencerobohan IDF ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza pada Disember lepas jelas mempamerkan kekejaman pihak yang lebih kuat terhadap mereka yang lemah. Dalam hal ini masyarakat tidak sangsi bahawa rejim Israel telah berlaku kejam terhadap rakyat Palestin.

Apabila Malaysia mengatakan konflik di Sri Lanka adalah isu dalaman negara itu, ia adalah tepat. Konflik di sana tidak melibatkan negara lain secara langsung. Ia berbeza dengan isu Palestin.

Konflik itu bukan sahaja menjadikan Asia Barat tidak stabil, malah seluruh dunia merasai kesan daripadanya.

Perlu juga diberi perhatian bahawa Israel dipercayai mempunyai senjata nuklear dan akibat daripada doktrin pertahanan, negara lain seperti Iran juga mempunyai cita-cita untuk menyaingi kekuatan rejim Yahudi.

Oleh itu, isu Palestin perlu diberi keutamaan bukan kerana Israel adalah sekutu kuat Amerika Syarikat atau rakyat Palestin itu beragama Islam, tetapi kerana ia berkait rapat dengan isu kestabilan dunia.

Perlu juga diingat bahawa sebelum operasi besar-besaran oleh tentera kerajaan Sri Lanka, etnik Tamil negara itu tidak berada dalam keadaan yang begitu mengaibkan seperti apa yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza. Wilayah itu dianggap sebagai "penjara terbuka paling besar di dunia".

Etnik Tamil di bawah LTTE pula bebas bergerak dan wilayah utara di Sri Lanka itu pada dasarnya tidak bergantung kepada bantuan luar.

Ia berbeza dengan rakyat Palestin yang sebahagian besarnya bergantung kepada bantuan luar. Infrastruktur sama ada di Gaza atau Tebing Barat adalah jauh lebih daif daripada apa yang dimiliki oleh etnik Tamil di utara Sri Lanka.

Pendek kata bandar Kilinochchi yang dianggap ibu kota etnik Tamil Sri Lanka adalah jauh lebih berdikari berbanding dengan Gaza City atau pun Ramallah.

Jadi, pendirian Malaysia adalah selari dengan pendirian masyarakat antarabangsa. Dalam persidangan Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini, masyarakat antarabangsa telah memberi sokongan kepada Sri Lanka. Mereka berikrar untuk bersama-sama Colombo membantu mangsa konflik tersebut.

Resolusi yang dicapai pada akhir persidangan tersebut antara lain memuji kaedah Sri Lanka menangani konflik tersebut. Sepanjang konflik antara Colombo dan LTTE itu, PBB tidak mengeluarkan walau satu pun resolusi.

Tetapi secara analoginya rejim Israel adalah negara yang paling lazim mengingkari resolusi PBB walaupun begitu banyak resolusi dikeluarkan terhadapnya.

Sekali lagi ditegaskan bahawa usaha untuk meraih simpati terhadap etnik Tamil di Sri Lanka dengan membandingkannya dengan perjuangan rakyat Palestin bukan sahaja dangkal malah tidak logik dan sarat dengan agenda tersembunyi.

Atasi segera dilema pemberian biasiswa JPA

SEKITAR April dan Mei setiap tahun, isu mengenai biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengambil tempat di ruangan utama dada-dada akhbar. Tumpuan diberikan kepada rintihan pelajar-pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat.

Tidak kurang juga sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan perkara itu dengan menjadikannya isu perkauman, diskriminasi atau ketidakadilan dalam pengagihan biasiswa tersebut.

Seperti biasa, selepas Jun segala berita mengenai biasiswa itu akan mula dilupakan. Ia menunggu untuk pusingan yang baru pada tahun yang berikutnya. Rintihan akan kedengaran semula dan kita semua akan dihidangkan dengan isu yang sama.

Jika kita perhalusi masalah-masalah yang membelenggu topik tersebut, ia bukan sekadar kaedah penganugerahan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, sebagai tidak jelas dan telus.

Namun sebenarnya ialah kerana, pertama, jumlah biasiswa itu sendiri yang tidak mencerminkan kadar pertambahan pelajar cemerlang setiap tahun.

Jika jumlah biasiswa ini lebih besar daripada yang sedia ada, maka tidak timbul isu mengenai kaedah pemilihan. Lumrah manusia, apabila tidak dapat memperolehi sesuatu yang sangat diharapkan, maka mereka akan kecewa. Perasaan itu akan bertukar menjadi marah dan akan timbullah pelbagai spekulasi, teori konspirasi, hipotesis serta antitesis.

Kedua, jika kita mengira nisbah antara jumlah biasiswa dengan pelajar sebaya di seluruh negara iaitu 2,000 kepada hampir 600,000 pelajar, ia bermakna satu biasiswa untuk setiap 300 pelajar.

Secara kasar, ia bermakna seorang pelajar bagi setiap sekolah menengah atau 10 orang bagi setiap kawasan Parlimen. Tetapi malang sekali, hakikatnya penganugerahan biasiswa tidak sekata mengikut pecahan sosio demografi.

Maka akan terdapat sekolah yang 10 pelajarnya pemegang biasiswa manakala di sesetengah kawasan pedalaman yang mempunyai tujuh atau lapan sekolah menengah dengan pelajar berjumlah 2,000 orang tetapi tiada yang mendapat biasiswa.

Mengikut kadar pertukaran wang asing terkini, anggaran untuk membiayai seorang pelajar ke luar negara, termasuk dengan kos sara hidup, ialah RM100,000 setahun. Angka tersebut boleh meningkat sehingga sekali ganda untuk kursus-kursus teknikal dan perubatan.

Ini bermakna, JPA membelanjakan sekurang-kurangnya RM200 juta setahun untuk 2,000 pelajar "elit" ini. Kos membiayai 2,000 pelajar ini selama tiga tahun adalah sama dengan membina sebuah universiti tempatan.

Oleh itu, untuk menggandakan jumlah tempat bagi biasiswa tersebut bukanlah sesuatu perkara yang mudah bagi JPA, lebihlebih lagi dengan keadaan ekonomi mutakhir.

Ada tiga cara bagi kita menghantar lebih ramai pelajar ke luar negara tanpa peningkatan drastik di dalam perbelanjaan. Pertama, jika disemak senarai 100 universiti terbaik di dunia, selain di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia, terdapat dua buah di Singapura, empat (Jepun), tiga (Hong Kong), dua (Korea Selatan) dan dua (China).

Kedua, terdapat beberapa universiti ternama dari Eropah dan AS yang telah membuka cawangan di negara rantau Asia Pasifik. Kerajaan boleh menimbangkan untuk menghantar pelajar kita ke universiti-universiti berkenaan.

Ketiga, jika masih lagi ingin meneruskan hasrat menghantar pelajar ke Barat, cara terbaik ialah menghantar mereka selama setahun atau dua tahun dan mewajibkan tahun akhir ditamatkan di tanah air. Kaedah ini memerlukan kerjasama ataupun persefahaman di antara universiti terbabit dengan IPTA tempatan.

Pelajar-pelajar masih dapat menjadi graduan universiti berkenaan tetapi dengan kaedah serampang "tiga mata". Pada masa yang sama ia dapat menyumbang kepada usaha menaikkan taraf IPTA.

Akhir sekali, dengan menyempurnakan pengajian di dalam negara, maka "risiko" pemegang biasiswa ini untuk bekerja di luar negara setelah tamat pengajian dapat dikurangkan.

Bertegaslah dalam pelaksanaan larangan merokok

PEROKOK sekali lagi berdepan dengan 'rintangan'. Kali ini apabila kerajaan menambahkan jumlah kawasan yang bakal dijadikan zon larangan merokok.

Penambahan terbaru itu akan menyebabkan mereka tidak lagi boleh merokok di tempat kerja yang mempunyai sistem pendingin hawa berpusat dan juga di lobi-lobi hotel.

Demi kepentingan majoriti rakyat yang tidak merokok, kerajaan terpaksa mengambil pendekatan terbaru itu walaupun ia pastinya tidak menyenangkan golongan perokok.

Langkah terbaru itu diharap mampu membuatkan mereka yang tidak merokok menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ada alasan untuk mereka menegur rakan-rakan sekiranya tidak mematuhi peraturan berkenaan. .

Bagaimanapun, langkah kerajaan untuk mewartakan serta-merta larangan terhadap peniaga dan peruncit agar tidak menyertakan tawaran hadiah apabila menjual hasil tembakau kepada orang ramai dilihat sebagai langkah terbaik dalam "kempen larangan merokok" selama ini.

Setidak-tidaknya langkah tersebut akan menyekat usaha syarikat-syarikat pengeluar rokok daripada mempromosikan keluaran mereka secara halus ataupun menggunakan "taktik kotor" untuk melariskan produk.

Pewartaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2009 itu juga menyaksikan larangan untuk sebarang objek atau benda dijual bersekali dengan hasil tembakau. Pengeluar, peruncit atau peniaga juga diharamkan untuk menawarkan hasil tembakau ke atas pembelian sebarang jenis produk.

Paling menarik, pihak yang didapati bersalah melanggar larangan atau peraturan tersebut boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Peraturan atau larangan berkenaan memang tepat pada masanya. Kempen antirokok yang semakin diperhebatkan - termasuklah mewajibkan pengeluar atau pengedar mempamerkan amaran kesihatan bergambar dengan enam imej ngeri - itu diharap menjadi antara faktor tekanan terbaru kepada perokok selain kenaikan cukai saban tahun.

Walaupun ada yang mengatakan "imej ngeri" itu tidak akan mampu mengekang tabiat ketagihan di kalangan perokok, namun kita berharap keadaan itu hanya berlegar dalam kalangan perokok tegar sahaja.

Sementara itu, dalam keghairahan kerajaan meningkatkan peraturan serta larangan terhadap perokok, penjual, peruncit, pengedar dan pengeluar produk-produk hasil tembakau, kita juga berharap ia juga akan meliputi aspek penguatkuasaan.

Ramai yang melihat matlamat kerajaan memperkenalkan pelbagai larangan itu sebagai satu usaha murni. Dan ia sepatutnya diiringi dengan penguatkuasaan sebenar. Bukan setakat hanya indah pada kertas tetapi pelaksanaan pula pada tahap "suam-suam kuku" sahaja.

Selepas ini, pihak berkenaan terutama yang mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun atau denda ke atas mereka yang melanggar peraturan mengenai larangan merokok ini perlu lebih bersikap proaktif.

Jangan pula selepas ini, asap rokok terus dibiarkan berkepul-kepul di ruang atau premis yang telah pun diwartakan sebagai "zon larangan merokok". Jangan lagi pihak berkuasa dikatakan "sekadar melepas batuk di tangga" sahaja.

Siapa Naib Presiden Pas?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

PEMILIHAN Pas yang akan berlangsung pada Jumaat ini, bakal menyaksikan parti itu memiliki tiga Naib Presiden baru. Ia berikutan tiga penyandang jawatan tersebut membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukan berkenaan.

Mereka ialah Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi mencabar Nasharuddin Mat Isa manakala Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang pula ingin memberi peluang kepada muka baru.

Berbanding dengan Ahmad Awang, keputusan Husam dan Mohamad Sabu boleh dianggap sebagai "pertarungan berani mati". Ini kerana jika tewas dalam perebutan Timbalan Presiden, mereka tidak akan memiliki sebarang jawatan dalam Pas pusat. Apa pun, tumpuan kini terarah kepada siapa yang akan mengisi kekosongan tiga jawatan Naib Presiden itu.

Pada masa ini, lima calon disah akan bertanding. Mereka ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa; Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Nik Mohd. Amar Nik Abdullah; Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub dan Pesuruhjaya Pas Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jika senarai ini dikaji, ia jelas sekali lagi akan membuka peluang kepada perwakilan untuk menggabungkan antara golongan ulama dan profesional.

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima oleh penulis, Nik Mohd. Amar, Tuan Ibrahim dan Salahudin diletakkan dalam senarai pilihan bagi mengisi tiga jawatan Naib Presiden tersebut. Ketiga-tiga mereka dikatakan mempunyai kewibawaan dan kredibiliti sendiri.

Nik Mohd. Amar dan Tuan Ibrahim mewakili golongan ulama manakala Salahudin pula daripada profesional. Nik Mohd. Amar adalah ulama muda yang semakin terserlah di Kelantan dan dilihat pemimpin masa depan Pas negeri itu.

Tuan Ibrahim pula adalah ulama yang akan mewakili suara generasi tua dalam Pas manakala Salahudin adalah pemimpin yang membawa suara generasi muda.

Jika ketigatiga mereka dipilih ia sudah pastilah akan mampu memantapkan kepimpinan Pas. Selain dilihat menyokong kepimpinan ulama, ketiga-tiga mereka juga mempunyai pengalaman yang amat diperlukan oleh Pas dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Nik Mohd. Amar sudah bertahun-tahun membantu Pas Kelantan mengekalkan kuasa pemerintahan kerajaan negeri. Sementara Tuan Ibrahim pula semakin memperkukuhkan kedudukan Pas di Pahang manakala Salahudin berjaya meletakkan Dewan Pemuda Pas Pusat sebagai sayap yang disegani.

Namun begitu, kehadiran Mahfuz dan Mujahid tidak harus diketepikan begitu sahaja. Ia kerana Mahfuz dilihat mewakili golongan profesional manakala Mujahid pula dianggap ulama profesional.

Bagaimanapun perwakilan Pas dikatakan masih tercari-cari apakah "faktor X" yang boleh mendorong mereka untuk meletakkan Mahfuz dan Mujahid sebagai pilihan.

Ia kerana daripada segi track record, Nik Mohd. Amar, Salahudin dan Tuan Ibrahim dilihat lebih menonjol, biarpun Mahfuz datang dari negeri Kedah yang kini dikuasai oleh Pas.

Hanya perwakilan yang dapat menentukan kedudukannya dalam pertarungan itu tetapi apa yang pasti, peluang Mahfuz untuk menang pasti menempuh laluan getir.

Mujahid pula walaupun dikategorikan sebagai ulama profesional dalam Pas tetapi kemampuan beliau masih belum teruji sepenuhnya.

Hakikatnya, penulis tidak berhasrat berkempen untuk sesiapa kerana penulis bukanlah ahli Pas yang akan mengundi pada Jumaat nanti, semuanya terletak di tangan perwakilan parti itu.

Mereka mempunyai hak eksklusif untuk membariskan siapa tiga Naib Presiden yang akan menjadi pembantu kepada Presiden dan Timbalan Presiden.

Tetapi apa yang harus mereka fahami dalam membuat keputusan, seperti juga bagi jawatan-jawatan lain, perwakilan harus mengelakkan daripada memberi ruang kepada mana-mana kelompok profesional Erdogan untuk "mencemari" parti itu.

Penulis dimaklumkan bahawa puak berkenaan sememangnya mempunyai barisan "Kabinet bayangan" mereka bagi semua jawatan yang dipertandingkan.

Matlamat utama mereka ialah menjadikan pemilihan kali ini sebagai tapak pertama bagi menguasai Pas. Mereka menjadi alat kepada pihak tertentu di luar yang berhasrat mengganggu gugat kepimpinan ulama.

Dalam perkembangan terbaru, penulis diberitahu, puak profesional Erdogan menggunakan pelbagai pendekatan bagi meraih undi, biarpun budaya berkempen adalah sesuatu yang kononnya dianggap 'aneh' bagi Pas.

Walaupun berada di posisi nombor tiga, namun jawatan Naib Presiden amat penting bagi melahirkan pemimpin pelapis untuk Pas. Jika dikaji, adalah jelas mereka yang layak sudah berada di hadapan mata perwakilan dan hanya menanti untuk dipilih sahaja.

Perwakilan Pas perlu memilih calon yang tidak mempunyai sebarang persepsi termasuklah tanggapan bahawa calon tertentu adalah penyokong kuat golongan Erdogan.

Ia kerana dalam dunia politik, kadangkala persepsi adalah suatu kebenaran, tidak payahlah mendakwa bahawa Pas tidak seperti parti politik lain, dengan berlakunya pertandingan bagi jawatan penting maka ia meletakkan Pas tiada bezanya dalam soal perebutan jawatan dalam parti.

Apa pun, pihak di luar Pas ingin melihat sejauh manakah keutuhan kepimpinan ulama dalam parti itu mampu dipertahankan tanpa secebis pun diganggu gugat oleh puak Erdogan.