Thursday, July 16, 2009
Proses beri status kewarganegaraan perlu berhati-hati
Dalam kemurahan Perdana Menteri untuk mempercepatkan permohonan 34,000 orang, jangan ada yang menyalahgunakan dan mengambil kesempatan.
Umum sedar bahawa status kewarganegaraan Malaysia amat mahal harganya. Sebab itu begitu ramai rakyat asing datang ke negara ini dan cuba untuk kekal terus di sini.
Dalam hal ini kerajaan harus mengambil kira kebimbangan Gagasan Melayu Perak (GMP). Dalam menyelesaikan masalah kewarganegaraan, kerajaan perlu berhati-hati agar tidak dimanipulasi pihak tertentu sekali gus membahayakan kedudukan orang Melayu.
Dalam ucapan Perdana Menteri Sabtu lalu dinyatakan bahawa jumlah permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia yang tertangguh pada 1 November 2008 adalah sebanyak 34,000.
Sehingga Jun 2009, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan. Usaha untuk menyelesaikan baki permohonan yang belum diputuskan akan dipergiatkan lagi dengan sasaran penyelesaian sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, pihak kerajaan juga akan menyegera dan mempertimbangkan permohonan permit masuk untuk membolehkan pemohon mendapat taraf penduduk tetap. Sehingga 2008, sebanyak 34,000 permohonan permit masuk diterima oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan sebanyak 41 peratus telah diluluskan.
Bayangkan puluhan ribu warga asing yang 'berminat' hendak menjadi warganegara Malaysia.
Sebab itu kerajaan perlu sensitif sebelum memberi taraf kewarganegaraan. Kita minta kerajaan mengkaji latar belakang individu yang memohon kerakyatan Malaysia.
Jangan kita mudah melayan setiap permohonan atas dasar simpati, sokongan ahli politik atau apa sahaja.
Seperti mana dasar negara lain misalnya Australia dan Singapura, bukan mudah 'orang luar' hendak menjadi warganegaranya jika tiada kekuatan dari segi modal insan.
Oleh itu dalam menilai permohonan rakyat negara lain, pertimbangkan dahulu sumbangan individu kepada negara termasuk adakah mereka bersih daripada sebarang rekod jenayah lampau.
Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia pernah mengambil warga asing kerana faktor sumbangan mereka dalam arena sukan negara.
Jadi selepas ini kita mengharapkan mereka yang ingin menjadi warganegara Malaysia sekurang-kurangnya boleh menyumbang dari segi kepakaran ilmu masing-masing dan bukan berdasarkan untuk mencari peluang mencari kerja dan perniagaan di sini semata-mata.
Kehadiran pekerja warga asing rasanya sudah melebihi daripada mencukupi.
Di samping itu, kita berharap individu yang akan diberi status warganegara Malaysia harus mereka yang benar-benar mahu setia kepada negara terutamanya menghormati Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Adalah amat penting proses meluluskan permohonan kewarganegaraan dibuat secara berhati-hati agar masalah kira-kira 50 tahun lalu tidak berulang seperti sekarang.
Ada rakyat yang buta sejarah dan mula mempersoalkan prinsip kontrak sosial yang dipersetujui semasa merdeka dahulu.
Pemberian taraf warganegara tanpa pemeriksaan dan pertimbangan rapi mungkin mendatangkan kesan musibah kepada negara pada masa akan datang.
Modal pengupayaan Islam, Melayu
Melayu adalah bangsa yang besar yang telah diberikan pelbagai tafsiran. Melayu adalah satu istilah yang lama, dianggap sebagai istilah yang paling mengelirukan di rantau Asia Tenggara, hinggakan setiap takrif mengundang kepada persoalan baru.
Melayu boleh ditakrif dari pelbagai sudut, secara negara - secara negeri, secara bahasa - secara budaya, secara adat - secara agama. Bahawa Alam Melayu boleh dikaji berasaskan geografi, sejarah, bahasa, budaya dan politik. Melayu adalah bangsa yang pernah gemilang, memiliki sejarah, budaya dan tamadun - pernah mencipta nama - mencipta keagungan. Bangsa Melayu itu bangsa yang bertanah air - bangsa yang bernegara, memiliki Raja yang berdaulat - memiliki kerajaan yang terhormat.
Umumnya bangsa Melayu itu mengambil sikap yang sangat terbuka, bebas membentuk cara hidup dan adat, tidak terikat dengan yang lain, laksana buluh, tumbuh dan bergerak sendiri dengan penuh autonomi, bagaimanapun diikat oleh akar yang satu.
Dalam konteks Tanah Melayu, di penghujung pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, Melayu dirujuk sebagai kumpulan penduduk yang tinggal cukup lama di Melaka, bertutur bahasa Melayu dan memperlihatkan citra kesetiaan seorang rakyat kepada Sultan.
Budaya Melayu yang menghormati dan menjunjung titah Raja telah melahirkan satu rumpun masyarakat yang berdisiplin lagi mematuhi undang-undang, telah menjamin suasana aman lagi tenteram, stabil lagi harmonis, membolehkan pembesar dan rakyat, dagang dan senteri, menumpukan usaha bertani dan berladang, bertukang dan berdagang, berkeluarga dan bermasyarakat, berkampung dan bernegara, membina kemakmuran - melimpah kesejahteraan.
Titah Utama ini memilih takrif Melayu menurut yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Bahawa orang Melayu itu menganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan kebudayaan Melayu. Berasaskan takrif tersebut, Melayu di Malaysia bukan terikat kepada darah keturunan, tetapi dicirikan oleh faktor-faktor agama, budaya dan bahasa. Sebagai pribumi di bumi Melayu ini, bangsa Melayu merupakan urat dan nadi negara; hakikat ini jangan sama-sekali dipertikaikan.
Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan setiap umat Melayu di Malaysia. Kedatangan Islam mengubah penganutan agama keseluruhan bangsa Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh Allah SWT. Proses pengislaman di alam Melayu dalam masa yang singkat merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat.
Penerimaan Islam di kalangan orang Melayu adalah menarik kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sudah wujud dalam masyarakat, memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu melakukan asimilasi dalam penyesuaian sistem kepercayaan lama dengan yang baru.
Ajaran Islam yang lengkap lagi menyeluruh dapat difokuskan kepada empat elemen utama:
Pertama: aturan hubungan manusia dengan Tuhan
Kedua: aturan hubungan sesama manusia
Ketiga: aturan hubungan manusia dengan alam
Keempat: penerangan akan tujuan hidup manusia
Islam menyeru kepada kemakrufan serta menjauhi kemungkaran (amar makruf nahi mungkar). Islam menyeru kepada pembinaan sifat-sifat positif seperti rajin, disiplin, tekun, ikhlas, amanah, jujur, berfokus (khusyuk), berilmu dan sebagainya. Islam, berperanan sebagai kompas, memandu bangsa Melayu melayari bahtera dalam lautan kehidupan di dunia, melakukan amar makruf untuk memenuhi keperluan duniawi, juga sebagai persiapan ukhrawi.
Bangsa Melayu telah melalui evolusi budaya yang panjang. Berlaku proses-proses penyesuaian adat yang diwarisi untuk diselaraskan dengan risalah ajaran Islam. Akhirnya terbina keperibadian yang memberikan identiti bangsa Melayu beragama Islam. Paradigma budaya bangsa disandarkan kepada adat, dan adat pula bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah bermaksud Kitab Allah iaitu al-Quran.
Islam telah mengubah cara masyarakat Melayu berfikir. Agama Islam berserta budaya Melayu berkerajaan, berasaskan prinsip negeri beraja - rakyat bersultan adalah faktor utama yang mempengaruhi pembentukan jiwa raga - membina jati diri orang Melayu.
Islam dijunjung - Raja disanjung. Hubungan tertib lagi beradab antara Raja dan rakyat serta rakyat dan Raja telah mengalirkan adat budaya, budi pekerti dan sopan santun yang amat halus lagi indah, mengupayakan umat membina persekitaran hidup yang aman lagi harmonis, makmur lagi sejahtera.
Agama Islam telah diterima dari atas ke bawah; oleh itu struktur pemerintahan tidak berubah malah disesuaikan dengan kehendak Islam dan boleh ditafsirkan hanya menyentuh kedudukan sistem itu sendiri. Setelah menganut Islam, Raja yang memerintah dilenyapkan hubungan batiniah dengan para dewa tetapi dihubungkaitkan dengan Allah dan Rasulullah serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia.
Raja diberi gelaran Sultan, diberi kuasa yang lebih besar kerana kini Baginda telah diiktiraf sebagai Khalifah di dunia. Dalam hasrat mahu memancarkan doktrin kepimpinan selaras dengan ajaran Islam, perawi Sejarah Melayu merakamkan hubungan antara Raja-Raja Melayu Melaka dengan Allah dan Rasulullah.
Melayu dan Islam bagai tidak dapat dipisahkan. Pada hukum adatnya rangkuman bangsa yang besar dengan agama yang besar, boleh membina modal pengupayaan umat yang besar. Namun secara realitinya, membina modal pengupayaan umat, tidak semudah mengguna pakai asas perkiraan matematik atau formula cantuman dua institusi bank atau resipi gabungan dua institusi multinasional.
Rangkuman bangsa dan agama memiliki dimensi lain. Sementara komponen Islam itu merupakan komponen yang berada pada tahap kesempurnaan, komponen bangsa memiliki pelbagai variabel yang boleh berubah, bertukar ganti dan sukar diramal.
Bahawa bangsa itu terdiri daripada manusia yang memiliki akal dan nafsu; memiliki perasaan dan emosi, memiliki kehendak dan cita-cita, memiliki niat baik dan niat jahat. Bahawa selain mendapat perlindungan para malaikat, manusia turut terdedah kepada godaan Iblis.
Islam sebagai pegangan telah ditafsirkan oleh akal manusia dengan pelbagai tafsiran dan turut terdedah di peringkat amalan kepada pengaruh nafsu manusia untuk dijadikan landasan - dijadikan pakaian, tidak terkecuali dijadikan simbol - dijadikan instrumen.
Dalam era pra dan pasca Perang Dunia Kedua, orang Melayu mula secara terbuka membangkitkan isu-isu berkaitan dengan nasib dan masa hadapan bangsa dan mula bergerak aktif dalam kegiatan politik tanah air.
Dinamik politik berteraskan gerakan nasionalisme Melayu dan dinamik politik berpaksikan Islam selanjutnya berkembang di negara ini. Kewujudan parti politik berteraskan kebangsaan Melayu dan parti politik berpaksikan Islam laksana kelahiran kembar politik dari perut bumi yang sama. Kembar politik yang keanggotaannya terdiri daripada insan-insan yang sama-sama berbangsa Melayu dan sama-sama beragama Islam.
Sepatutnya politik yang berakarkan bangsa dan berpokokkan Islam berupaya memperkuatkan modal pengupayaan umat - menyuburkan pohon yang kukuh, tidak goyang di tiup angin - tidak goncang dilanda ribut. Namun peranan saling melengkapi nyata tidak berlaku. Realiti politik tidak memperlihatkan kembar politik ini bersifat identical.
Asas-asas utama perjuangan untuk kemerdekaan, untuk agama, untuk bangsa, untuk negara, gagal mencantumkan roh dua tenaga politik Melayu-Islam ini. Sub-budaya matlamat, perbezaan penekanan serta kaedah perjuangan lebih dominan dan beransur-ansur menjadi faktor pemisah. Tulisan jawi - tulisan rumi, kopiah putih - songkok hitam, baju Melayu - jubah Arab, meletakkan Melayu Islam itu berada dalam dua aliran sungai yang mengalir selari tetapi enggan bertemu.
Percantuman dua kembar politik ini pernah berlaku berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969, tetapi hanya untuk satu tempoh yang singkat. Percantuman tersebut, meskipun berlaku dalam tempoh yang singkat, merupakan puncak kepada perpaduan politik bangsa dan ummah di tanah air ini, yang sekali gus memperkukuhkan modal pengupayaan umat. Era tersebut adalah era penyatuan, era paling produktif kepada bangsa dan ummah, era yang telah menghasilkan dasar-dasar yang dapat mengoptimumkan kebaikan ummah, antara yang paling signifikan adalah Dasar Ekonomi Baru.
Melayu Islam kemudiannya kembali terpisah. Sehari demi sehari semakin jauh. Retak-retak yang berlaku bagaikan membawa belah. Bahawa retak-retak yang berkemungkinan membawa belah, semakin melukakan jantung insan Melayu, semakin menghiris hiba hati kecil umat Islam. Sesungguhnya insan Melayu dan umat Islam senantiasa meletakkan harapan - tidak berhenti memanjatkan doa, agar Melayu dan Islam berpisah tiada - agar Melayu dan Islam kekal bersatu.
Betapa luka - betapa hibanya bangsa menonton ironi yang berlaku. Di manakah salah ibu mengandung hingga bangsa yang serumpun enggan membina silaturahim, di manakah silap ibu mengandung hingga insan yang seagama enggan bersaudara. Islam tidak senantiasa menjadi landasan pilihan dalam mengharungi perjalanan hidup. Tergelincir dari landasan bagaikan satu norma dan bangsa Melayu hanya kembali kepadanya pada waktu-waktu menghadapi kegelapan dan kesulitan, pada waktu-waktu permulaan hayat ketika menyambut kelahiran bayi, ketika jodoh dipertemukan, dan ketika menemui pengakhiran hidup apabila jasad disemadikan di liang lahad.
Pengupayaan umat ditentukan ketika umat menghadapi cabaran besar. Arnold Toynbee, pakar sejarah Inggeris dalam buku A Study of History, setelah mengkaji asas kelahiran 21 tamadun, merumuskan bahawa faktor utama membina tamadun yang gemilang ialah pengupayaan umat menghadapi cabaran; lalu umat terdorong menyatukan kekuatan, menggabung sepenuh tenaga - merangkum sepenuh usaha untuk sama-sama mengatasi cabaran, baik yang berbentuk alam semula jadi atau peristiwa besar seperti peperangan, tekanan ekonomi, bencana alam dan perubahan pemerintahan.
Akhbar Mingguan Malaysia demikian juga Berita Minggu, terbitan 12 Julai 2009 menyiarkan makalah khas susulan berita Natrah Maarof atau Bertha Hertogh meninggal dunia ketika mencapai usia 72 tahun, akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada Khamis 9 Julai 2009.
Kisah Natrah Maarof telah 59 tahun berlalu. Namun ia kekal menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif dan tercatat kuat dalam memori bangsa Melayu kerana peristiwa Rusuhan Natrah di Singapura pada 12 Disember 1950. Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa Natrah.
Akhbar-akhbar tempatan menegaskan pentingnya memperbetulkan laporan tidak tepat media Barat. Media Barat melaporkan orang Islam bertindak agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam kepada ibu bapanya yang beragama Kristian hingga mencetuskan rusuhan; 18 terbunuh dan 173 cedera apabila tentera menembak para perusuh yang terdiri dari orang Melayu.
Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan tersebut adalah kemarahan orang Melayu terhadap akhbar Straits Times ketika itu, yang berulang kali secara provokatif menyiarkan gambar Natrah (yang beragama Islam), melutut di hadapan patung Virgin Mary. Umat Islam bertanya bagaimanakah perasaan penganut agama Kristian jika melihat seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat.
Pilihan Raya Umum Ketiga berlangsung pada 10 Mei 1969. Keputusan pilihan raya tersebut telah memberikan keghairahan keterlaluan di kalangan orang bukan Melayu yang merayakan prestasi pencapaian parti-parti pembangkang. Cara sambutan kemenangan hingga ke peringkat membawa penyapu di atas lori, bagai mahu menghalau orang Melayu dari kampung halaman sendiri, telah mencetuskan peristiwa berdarah pertempuran kaum pada 13 Mei 1969. Kesabaran orang Melayu ketika itu nyata terlebih uji dan provokasi yang keterlaluan tidak dapat menahan kemarahan orang Melayu dari meluap.
Terkandung pengajaran penting daripada Peristiwa Natrah di Singapura pada Disember 1950 dan Peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur pada tahun 1969. Pertama: berkaitan jati diri Melayu dalam konteks Nusantara; kedua: agama Islam yang menjadi jati diri bangsa Melayu; ketiga: jati diri bangsa untuk mendapatkan kemerdekaan dan juga mempertahankan kemerdekaan; keempat: orang Melayu mempunyai batas dalam sifat terbukanya. Bahawa agama Islam yang menyeru kepada perdamaian dan bangsa Melayu yang bersifat sopan dan sedia menerima bangsa lain, mempunyai batas sempadan kesabaran; selagi agamanya tidak dicabar, selagi adat budaya bangsanya tidak dipijak - selagi kehormatan dan maruah bangsanya tidak dihina, selagi salah silah warisan sejarah tanah airnya tidak diungkit.
Hari ini umat Melayu Islam sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya. Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat. Bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah.
Budaya berpolitik yang sedang berlaku telah memunculkan ketaksuban baru, menjelmakan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan kepada kumpulan wajib diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh.
Akhirnya manusia Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain. Baik kata-kata yang diungkapkan - mahupun tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah yang lebih rendah.
Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi. Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat - memperdayakan bangsa demi memenuhi nafsu sendiri. Bangsa bagaikan sedang menghitung hari untuk dapat terus bertahan di tampuk kuasa. Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang, kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu. Kukur apa kepada kukur, kelapa juga yang binasa.
Demi meningkatkan keupayaan modal umat, insan Melayu Islam wajib belajar dari kesilapan, wajib meneliti keterlanjuran yang dilakukan, dan Kembalilah! Kembalilah ke pangkal jalan - Lakukanlah! Lakukanlah pembetulan.
Insan Melayu Islam hendaklah bijaksana mengenal kawan - hendaklah arif mengenal lawan; jauhkan diri dari berpatah arang - berkerat rotan dan merenung akan pentingnya menjiwai semangat kiambang yang kembali bertaut selepas biduk berlalu. Jangan sampai umat Melayu Islam menjadikan dirinya kuda trojan memudahkan musuh masuk ke dalam kota bangsanya.
Usaha penyatuan ummah amat wajib dirintis dan melalui penyatuan tersebut dibina modal keupayaan dalam semangat serumpun bangsa - sealiran agama. Kesetiaan kepada perjuangan yang murni lagi suci haruslah mengatasi kesetiaan kepada individu atau kesetiaan kepada kumpulan. Berpijaklah kepada kenyataan - berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat silaturahim - hayati semangat bermaaf-maafan. Bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu.
Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu, dan Nabi Muhammad SAW itu adalah Rasul junjungan, Quran itu kitab pegangan, dan secara bersama sepakat menghadap kiblat melakukan ibadat sembahyang, serta menerima orang Islam itu sebagai saudara.
Semoga barang disimpangkan oleh Allah SWT juga, Melayu Islam di bumi ini daripada ditimpa petaka - dihujani bala, hingga tidak bernegara lagi. Sekurang-kurangnya kata dan ungkapan Paduka Anakanda ini menjadi bukti lafaz setia kepada takhta pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan serta tanda kasih kepada negeri dan bangsa; agar nanti apabila Paduka Cucunda Raja Azlan Muzzaffar Shah telah mencapai usia dewasa, tidak akan dia menyalahkan Paduka Anakanda atas ketidakberanian Paduka Anakanda memberikan peringatan kepada bangsa.
Bahawa yang perlu dipertahankan itu, bukan sekadar batang tubuh peribadi seorang Raja tetapi Kerajaan Baginda; kerana tanpa Kerajaan tidak akan wujud sebuah negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa.
Kuasa Melayu Islam terletak pada perpaduan
SERUAN demi seruan dilaungkan agar orang Melayu Islam memperkukuhkan penyatuan. Ia dibuat dari peringkat bawah sehinggalah ke pemimpin atasan. Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah turut memperkatakan isu yang sama sewaktu Muzakarah Cendekiawan Islam 2009.
Baginda meminta orang Melayu yang beragama Islam bersatu padu bagi membina modal pengupayaan Islam dan Melayu. Titah baginda mencakupi sejarah seperti Peristiwa Natrah pada Disember 1950 dan Tragedi 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur.
Kedua-duanya menunjukkan kebangkitan orang Melayu Islam dan seterusnya memperkukuhkan perpaduan.
Titah baginda itu amat bertepatan dalam suasana orang Melayu Islam masih tercari-cari formula untuk kembali bersatu padu terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lalu.
Dalam keadaan yang dilihat semakin meruncing ini, orang Melayu Islam tidak seharusnya hanya sekadar berpeluk tubuh.
Tanpa perpaduan, orang Melayu Islam mudah diperkotak-katikkan dan tidak mampu membina keupayaan sendiri.
Keupayaan ini amatlah penting dalam menghadapi cabarancabaran yang lebih besar dan sukar dijangka. Cabaran ekonomi umpamanya menuntut agar umat Melayu Islam bersedia dengan segala persiapan untuk menghadapi.
Globalisasi dan liberalisasi merupakan cabaran besar yang perlu diamati dan difahami oleh setiap individu Melayu Islam.
Namun kini, orang Melayu Islam tidak dapat menumpukan kekuatan untuk menghadapi perkara ini kerana banyak perkara yang kini dipersoalkan oleh pihak ketiga akibat daripada kekuatan perpaduan orang Melayu Islam yang semakin longgar dan berpecah belah.
Sehinggakan hak-hak keistimewaan Melayu Islam dipertikaikan dengan pelbagai analogi dan cemuhan seolaholah Melayu Islam selama ini amat kejam kepada bangsa lain.
Sedangkan orang Melayu Islam merupakan bangsa dan mempunyai agama paling suci di dunia yang sentiasa memberi peluang kepada bangsa lain menikmati dan berkongsi kekayaan di tanah airnya sendiri.
Carilah bangsa lain di dunia, tiada yang sebegitu pemurah seperti orang Melayu Islam di Malaysia. Ini sejajar dengan ajaran Islam yang mengajar umatnya agar memberi keadilan untuk semua pihak.
Namun, jika tidak bersatu padu, orang Melayu Islam akan sentiasa ditekan. Tiada bangsa di dunia ini akan mengecapi kejayaan tanpa bersatu padu.
Tiada satu pun perkara boleh dilaksanakan dengan jayanya tanpa ada penyatuan. Ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja. Ajaran Islam sendiri mengajar umatnya bersatu padu mengikut kiblat yang satu dan menyembah Tuhan yang satu - Allah SWT
Asasnya orang Melayu yang berbeza pendapat dan fahaman politik harus berpegang pada kiblat yang satu ini kerana mempunyai senjata yang amat ampuh iaitu memiliki agama yang terunggul di dunia iaitu Islam. Maka, Raja Nazrin bertitah mengenai betapa roh Islam yang amat mementingkan penyatuan dan menerima orang Islam sebagai saudara.
Perkara ini wajib dilakukan bagi mengekalkan kuasa Melayu Islam bukan sahaja setakat kuasa politik tetapi juga untuk membina keupayaan ekonomi dan pendidikan.
Bila kedua-dua ini dapat dibina, maka sudah pasti agenda-agenda Islam yang lain dapat diteruskan dengan lebih mudah lagi.
Orang Melayu Islam perlu mengambil iktibar daripada rusuhan kaum antara etnik Uighur dan Han di Xinjiang, China yang menampakkan betapa umat Islam di seluruh dunia sering menjadi mangsa kekejaman bangsa dan agama lain.
Etnik Uighur yang beragama Islam serta penduduk asal Xinjiang diperkotak-katikkan dengan mudah dan disisihkan terutamanya daripada sudut ekonomi.
Inilah pengajaran di depan mata yang perlu diambil oleh orang Melayu Islam. Kini kita masih ada kuasa politik, namun tidak mustahil kuasa politik ini tinggal sejarah jika orang Melayu Islam tidak bersatu padu. Inilah satu-satunya kuasa yang masih ada pada orang Melayu.
Orang Melayu Islam masih ketinggalan dalam serba-serbi. Jika perpaduan yang merupakan tunjang kuasa orang Melayu Islam tidak dapat diperkukuhkan, tidak mustahil banyak lagi tekanan akan dikenakan oleh pihak-pihak yang sentiasa mengintai ruang untuk mengambil kesempatan.
Maka orang Melayu Islam mesti mengetahui siapakah kawan dan siapakah lawan agar tidak mudah diperolok-olokkan.
Usaha memperkukuhkan perpaduan dan penyatuan perlu diteruskan tanpa adanya perkataan "putus asa".
Kita boleh berselisih pendapat, namun berselisih pendapat ini hanyalah semata-mata untuk mendapatkan keputusan terbaik dan tidak sesekali meminggirkan agenda Melayu Islam.
Banyak lagi usaha perlu dilakukan agar orang Melayu Islam bukan sahaja bersatu padu dalam erti kata kuasa politik tetapi juga bersatu padu untuk menjadikan agama Islam sentiasa disegani dan dihormati di Malaysia.
Inilah pengorbanan besar yang perlu dilakukan oleh setiap individu Melayu Islam tidak kira orang bawahan atau pemimpin atasan.
Lupakan segala sengketa dan dendam kerana ia bukan sahaja menjadikan orang Melayu berpecah belah tetapi juga mampu membinasakan ummah.
Titah Raja Nazrin agar orang Melayu Islam wajar membuat pembetulan dan kembali ke pangkal jalan seharusnya dirintis sepenuhnya sebelum nasi menjadi bubur.
PENULIS ialah Pensyarah di Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia
Isyarat pengundi Manek Urai
DATUK Mustapa Mohamed yang menerajui jentera Barisan Nasional (BN) belum pun lagi menghela nafas melepaskan penat ketika keputusan diketahui. Namun beliau kelihatan tenang ketika menunggu ketibaan pihak media untuk mendapatkan ulasannya.
Tidak pula tercetus nada kesal. Beliau reda menerima kekalahan di kubu kuat Pas itu. Kekalahan yang dianggap oleh banyak pihak sebagai penunjuk arah kepada 'kebangkitan' semula UMNO di Kelantan.
Pengundi telah membuat keputusan kelmarin. Mereka memutuskan untuk mengekalkan kemenangan Pas di Manek Urai. Tetapi parti itu hampir dimalukan dengan hanya bersandarkan majoriti 65 undi, ketika ia mengharapkan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya umum lalu.
Apatah lagi sejak petang pengundian, sudah kedengaran desas-desus di kalangan penyokong parti itu bahawa majoriti kira-kira 2,000 undi sudah dalam tangan. Mereka yakin memperoleh lebih banyak majoriti.
Mereka begitu yakin hingga waktu kertas-kertas undi mula dikira. Namun ia cukup mencemaskan apabila peti-peti terakhir mula dihitung kembali di pusat penjumlahan.
Rupanya ramai yang keberatan menonjolkan perubahan pendirian mereka agar tidak menimbulkan masalah daripada segi hubungan kemasyarakatan agar tidak dimusuhi.
Barangkali juga, jika tidak kerana undi rosak sebanyak 117, keputusan boleh berubah dan BN mampu membuat kejutan besar yang sekali gus mencetuskan kemeriahan suasana politik baru di Kelantan dan menggelorakan Pas.
Bagaimanapun, kemenangan tetap kemenangan biarpun dengan kelebihan satu undi. Kemenangan telah berpihak kepada Mohd. Fauzi Abdullah, 50, sebagai wakil rakyat baru Manek Urai. Kini pemborong ikan itu tentunya tidak lagi punya banyak masa untuk menguruskan perniagaannya di pasar.
Terbukti ia suatu persaingan yang sengit dengan keupayaan hampir seimbang. Namun bagi UMNO dan BN yang berhempas pulas untuk meyakinkan rakyat di pedalaman ini, ia mungkin sekadar cukup sebagai suatu "kemenangan moral."
Bagi UMNO, ia merupakan satu lonjakan semangat yang besar kerana di sini adalah kubu kuat Pas. Kalau disandar perkiraan di atas kertas, awal-awal lagi UMNO sudah tewas. Manek Urai dan Pas sebelum ini begitu sinonim.
Namun UMNO/BN kembali menguasai lima daripada sembilan peti undi. Ia termasuk pengundi di Manek Urai Lama dan Manek Urai yang mungkin mengharapkan kemudahan lebih baik. Mereka mungkin mahu menyaksikan janji BN direalisasikan termasuk pembinaan jambatan baru bagi meneruskan kehidupan sementara menunggu jambatan "siratulmustaqim".
Kawasan DUN Manek Urai melibatkan hampir 100 peratus pengundi Melayu yang berada dalam lingkaran kehidupan kampung di pedalaman yang mudah dan bersahaja dari kaca mata luar.
Dalam suasana itu, cukup mudah untuk Pas terus melekatkan jenama politiknya sekian lama, namun dengan mengetepikan penyokong tegar yang tidak begitu banyak berubah, aliran pemikiran generasi muda dan atas pagar mula berpaling daripadanya.
Mereka inilah yang mungkin dikaitkan dengan singkatan "PSB" yang didengar, dilaungkan oleh anak muda di Kampung Manek Urai Lama iaitu Parti Sdn. Bhd. yang berhak memutuskan pendirian sendiri.
Mengikut sejarah pilihan raya, memang Pas mempunyai kelebihan besar di sini. Sejak dua dekad lalu ia cuma tewas pada 2004 ketika BN menang dengan majoriti 53 undi. Pada 2008, Pas kembali bangkit dengan majoriti besar 1,352.
Namun majoriti yang diraih Pas menerusi Allahyarham Ismail Yaacob pada pilihan raya umum dulu, kini merosot berpuluh kali ganda dengan 1,267 undi dihakis.
Pilihan raya kecil ini mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 87.33 peratus atau 10,736 pengundi iaitu yang tertinggi selepas rentetan enam siri pilihan raya kecil sebelum ini.
Mungkin kerana disebabkan mereka semakin sedar dan pentingnya memilih wakil rakyat yang bukan sekadar memberi kesan kepada parti-parti yang bertanding tetapi juga kehidupan mereka.
Keputusan itu terserlah ketika perjalanan kempen dan pengundian lancar dan aman tanpa banyak gegaran sebagaimana lazimnya dengan soal pengundi hantu, soal ugutan, rasuah dan salah guna kuasa.
Apakah isyarat yang cuba disampaikan pengundi di Manek Urai kepada Pas? Barangkali ia isyarat awal untuk Pas agar tidak angkuh kerana hakisan pengaruh semakin jelas.
Penglibatan total Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya sekadar menahan daripada rebah sedangkan parti itu dikatakan berada dalam keadaan begitu kukuh sebelum ini. Pas sangat yakin di Manek Urai.
Strategi Pas meletakkan Tok Guru Nik Aziz sebagai modal utama tidak banyak memberi kesan biarpun beliau sanggup menyerang dengan "membinatangkan" dan "mengkafirkan" pihak lawan.
Namun seperti biasa Pas masih tidak berpuas hati dengan kemenangan itu. Ia mengaitkan jumlah majoriti yang semakin kurang itu dengan permainan politik wang. Malah penggunaan jentera kerajaan juga dikaitkan dengan kemelesetan jumlah majoriti tersebut.
Namun tentunya pengundi juga sedar dan arif apa yang Pas dan Kerajaan Negeri Keantan lakukan untuk terus bertapak di Manek Urai.
Kalangan pemerhati berpendapat, di sini maruah Pas Kelantan dan Nik Abdul Aziz menjadi taruhan, bagi mengelak daripada dendangan kata-kata "di sinilah permulaan kejatuhan Pas."
Bagi UMNO pula, Manek Urai dilihat sebagai rangsangan titik mula untuk UMNO bangkit menyedarkan dan meyakinkan rakyat bahawa ia dapat melakukan sesuatu yang lebih baik bagi membela agama dan nasib bangsa.
Sekurang-kurangnya ujian awal ini dapat dijadikan pengukur di tahap mana keupayaan UMNO yang sedang diberi nafas baru oleh Mustapa bagi menghadapi pilihan raya umum kelak.
Ia juga pastinya menerbitkan rasa kesal sebilangan mereka yang dikaitkan dengan jentera parti kerana jika mereka ikhlas dan bersungguh-sungguh sebagaimana jentera Pas, mereka mampu membantu memberi kemenangan. Cuma waktu sudah terlewat di Manek Urai. Namun masih banyak lagi cabaran menanti sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Kota Bharu.
Wednesday, July 15, 2009
Kejayaan tipis Pas di Manek Urai beri kemenangan moral buat BN
CALON Pas, Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan menang tanpa sorak gegak gempita di Dewan SK Sultan Yahya Petra Satu, malam tadi, apabila sekadar mendapat majoriti 65 undi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai.
Kejayaan tipis Pas itu bagaimanapun memberi kemenangan moral kepada Barisan Nasional (BN) kerana bukan saja berjaya menembusi kubu kuat Pas di Manek Urai, bahkan ia turut memberi isyarat lantang bahawa penduduk Kelantan kini tidak lagi mahu terus dibelenggu dengan hanya nasihat, doa dan bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini.
Malah, 'kejayaan' calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat bertapak di kubu kuat Pas, Manek Urai Lama ternyata memberi tamparan hebat kepada parti itu kerana undi penduduk di kawasan berkenaan diberi kepada BN hanya kerana sebuah jambatan usang yang tidak mampu disediakan kerajaan negeri Pas.
Ternyata pepatah yang pernah digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menang tidak semestinya menang dan yang kalah tidak semestinya kalah, adalah ayat pertama menjalar di fikiran.
Kemenangan tipis Pas berbanding majoriti 1,352 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, boleh dikaitkan kepada beberapa faktor:
- Perubahan kepemimpinan BN yang diterajui Najib.
- Sikap BN yang begitu bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan penduduk.
- Keinginan penduduk Manek Urai untuk menyertai arus perubahan yang semakin pantas di sekeliling mereka.
- Sikap dan kewibawaan calon BN yang dilihat amat ikhlas ingin membawakan perubahan yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk.
- Kerja keras Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed serta anak buahnya.
Nyata 'the feel good feeling' yang dicetuskan Perdana Menteri, terutama yang diikrarkan pada hari 100 pemerintahannya, juga antara penyumbang kepada perubahan sikap pengundi Manek Urai.
"Kekalahan tipis BN mungkin akan dikesali majoriti penduduk Manek Urai, terutama yang selama ini penyokong kuat Pas kerana mereka terlepas peluang untuk menikmati pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial lebih baik.
"Mereka tahu, semua janji BN seperti yang disampaikan Tan Sri Muhyiddin (Mohd Yassin) akan ditunaikan. Gelaran Manek Urai akan menjadi 'ának emas' Kerajaan Pusat sekiranya BN menang bukan diberi sewenang-wenangnya, kerana daerah ini memang akan menjadi anak emas BN sekiranya Tuan Mat menang,
"Namun, dengan kekalahan ini penduduk Manek Urai yang menginginkan perubahan terpaksa menggigit jari," kata seorang pemerhati.
Walau apapun analisis yang dibuat, tindakan YB Manek Urai yang baru keluar dewan tanpa senyuman manis juga adalah cerminan kepada wajah semua pemimpin tertinggi Pas yang sudah pasti turut terpaku dengan keputusan mengejutkan itu.
Walaupun tewas dan ada yang mengalirkan air mata kerana tewas amat tipis, BN kini boleh berikrar untuk bekerja lebih keras bagi memastikan sokongan yang diterima semalam, akan berterusan sehingga 2012 nanti.
Tuan Mat mungkin pulang ke rumah dengan rasa kecewa, tetapi dia boleh berdiri bangga kerana berjaya menembusi kubu kuat Pas.
Yang pasti dia akan meneruskan perjuangan untuk terus membantu menaikkan martabat dan taraf hidup saudara mara serta sahabat handainya di Manek Urai.
Sekiranya itu berlaku, Mohd Fauzi atau Abang Uji, sudah pasti kepanasan sepanjang masa menjadi YB Adun Manek Urai dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Mempolitikkan Islam jejas perpaduan Melayu
Walau apapun gelarannya, sama ada ustaz, haji malah tok guru, soal guna pakai Islam sebagai asas memperteguhkan ulasan politik yang diluahkan, dilihat lumrah. Bahkan, ahli politik bukan Islam juga dilihat lebih cenderung kini untuk menggunakan Islam sebagai asas hujah mereka dalam menarik minat dan keterujaan komuniti pengundi Islam di negara ini.
Inilah bahana mempolitikkan agama dalam kancah berpolitik. Dalam berpolitik, umat Melayu dan Islam seharusnya mengambil iktibar kisah dua khalifah ar-Rashidin, yakni Khalifah Uthman al-Affan dan Khalifah Ali Abi Talib yang dibantah kepemimpinan oleh golongan pembangkang.
Bantahan itu menyebabkan pemerintahan kedua-dua kepemimpinan terbabit selaku ketua negara dan kerajaan terganggu dan berlakunya perpecahan. Pada hal, kedua-dua Khalifah ini adalah sahabat dan menantu Rasulullah SAW yang turut dijanjikan syurga, namun ditentang dan dibunuh atas alasan kononnya mereka tidak mengamalkan Islam sepenuhnya dalam pentadbiran negara.
Pengajaran besar bagi umat Islam di negara ini, yang didoktrinisasikan politiknya berasaskan kepada demokrasi dan dengan itu demi menegakkan demokrasi, maka elemen berparti diadakan. Dulu umat Melayu di Tanah Melayu ini hanya mengenal erti kesultanan dan tiada parti politik wujud atas nama agama mahupun bangsa. Yang wujud hanyalah satu, iaitu demi kedaulatan negara masing-masing.
Dengan doktrin penjajah, akhirnya umat Melayu terpecah mengikut acuan politik. Dulunya Sultan dan Raja adalah satu-satunya ulil amri yang wajib ditaati, tetapi selepas demokrasi dijalankan, istilah ulil amri ada kalanya dipesongkan hinggakan seolah-olah setiap presiden parti atau pemimpin pertubuhan diangkat sebagai ulil amri.
Inilah natijah demokrasi kepada Islam hinggakan perkara utama dalam pembinaan negara mampu dipesongkan.
Mengimbau sejarah perjuangan Tanah Melayu, jika pada 1946 ketika Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar atau Umno) ditubuhkan, keseluruhan anak watan Melayu digabungkan di bawah satu payung politik perpaduan demi membanteras cita-cita penjajahan terus bangsa asing ke atas bumi bertuah ini.
Namun, lama kelamaan, elemen perpaduan itu luntur sehingga menyebabkan Pas yang dulunya di bawah payung Umno sebagai Biro Agama bertukar watak bukan lagi sebagai aktor perpaduan, sebaliknya lebih kepada aktor bangkangan. Membangkang hinggakan mampu menggugat kedudukan Melayu dalam menuntut kemerdekaan mutlak daripada Britain.
Umnolah satu-satunya parti anak watan yang dibina oleh bangsa Melayu di Tanah Melayu. Lain-lain gagasan sebelumnya dilihat bertaklik kepada Indonesia Raya. Untuk itu, hujah menyatakan Umno sebagai sebuah pertubuhan anak watan kesultanan serta pemelihara keutuhan politik Melayu adalah berasas.
Pada saat Umno dilahirkan, ramai daripada komuniti asal negara ini, iaitu umat Melayu hidup dalam daif dan tidak diberikan pelajaran sempurna oleh penjajah. Mujurlah segelintir bangsawan dan anak watan yang dihantar belajar hingga ke peringkat tinggi diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menggerakkan perpaduan Melayu hinggakan pada 31 Ogos 1957, tercapai kemerdekaan selepas 446 tahun terjajah diambil kira sejak Kejatuhan Kesultanan Melayu di Melaka pada Ogos 1511.
Sehingga ke saat ini, elemen demokrasi dijadikan sebagai platform berpolitik. Dua parti Melayu terbesar di negara ini, iaitu Umno dan Pas turut sama berpolemik di dalam persuratan demokrasi. Tiada demokrasi tiadalah parti politik
Pada anggapan dunia, hak asasi masa kini, demi hak asasi maka perpecahan adalah baik dan bermakna. Adakah prinsip Islam membenarkan perpecahan? Jika dibenarkan adakah pada era Rasulullah SAW wujudnya 'kepuakan' sebegini. Yang wujud adalah tiga golongan, iaitu yang beriman, yang munafik dan yang kafir. Tidak ada pula dalam kelompok beriman itu terpecah-pecah mengikut haluan masing-masing.
Adakah atas nama Islam, hubungan sesama Islam itu dapat dipecahkan? Justeru perpaduan dua parti Islam ini, iaitu Umno dan Pas seharusnya menjadi satu kenyataan. Retorik, sejarah dan peluang berpolitik seharusnya diamati dengan muhasabah yang hak, iaitu adakah dengan berpecah, umat Islam dapat dijaga kepentingannya? Adakah demokrasi itu dipertuhankan?
Selain parti politik, dalam konsep demokrasi, instrumen mengukur sokongan adalah pilihan raya. Dengan pilihan raya jugalah sebahagian besar dunia Islam dilanda perpecahan. Dengan pilihan raya ini jugalah timbulnya sengketa.
Lihat saja Iran, Iraq serta Pakistan yang sentiasa bergolak disebabkan oleh cetusan pilihan raya. Bukanlah pilihan raya itu perlu ditiadakan. Tetapi jika ini mampu menyatupadukan komuniti rakyat, ia baik untuk diadakan. Tetapi adakah kini pilihan raya dilihat sebahagian daripada usaha perpaduan ummah?
Dalam tingkah laku kempen, tawaran syurga serta merendahkan dan lebih daripada itu mengaibkan serta memfitnah sesama Islam yang dilakukan oleh umat Islam dan bukan Islam menunjukkan betapa ajaran Islam tidak dipraktikkan.
Amat menyedihkan ialah dengan elemen 'hak asasi' segala percakapan sudah tidak lagi menjadi salah dan jika dibendung kebebasannya, ia dianggap bertentangan dengan demokrasi tulen. Soalnya adakah Islam membenarkan sebarang kegiatan 'percakapan' dan kempen yang tidak merangsang perpaduan dilaksanakan?
Atas nama Islam, kedua-dua parti politik Umno dan Pas yang nyata sekali keahlian terbesarnya adalah dari kalangan umat Melayu yang juga Islam perlu bersatu dan berpadu demi kekuatan agama, bangsa dan negara.
Seteru politik dalam demokrasi dibenarkan, tetapi dalam Islam adakah kita dibenarkan untuk berseteru dengan sesiapa juga, walhal mereka ini adalah pengucap syahadah serta apa juga kesalahan sekalipun walau dihumban ke neraka akan tetap merasai syurga.
Inilah indah Islam yang menetapkan bahawa sebarang kesalahan tidak berkekalan, yang kekal adalah kebaikan.
Apakah atas nama demokrasi, maka umat Islam seolah-olah dibiarkan berpecah tanpa kesudahan sehingga berlaku pula pertentangan di antara sesama umat Islam yang menyatakan ini Islam dan ini tidak cukup atau tidak Islam.
Entiti politik Islam di negara ini, iaitu Umno dan Pas bukan saja harus berusaha untuk berdialog dan berdebat, malah berusaha untuk bersatu dengan ikhlas dan luhur. Rumusan daripada sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa 'manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) dapat dijadikan sandaran muhasabah diri dalam tidak menjadi batu penghalang kepada perpaduan dua parti terbesar umat Islam di negara ini.
Oleh Md Shukri Shuib
Penulis ialah pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kedah
Monday, June 1, 2009
Bakal Timbalan Presiden MIC 'intai' jawatan No. 1
MULAI bulan ini, MIC sibuk dengan persidangan perwakilan negeri. Ia bakal menjadi platform bagi ahli-ahli parti yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung September ini.
Pemilihan di peringkat bahagian sebelum ini kurang menarik perhatian kecuali di beberapa bahagian di Selangor, Kedah, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan. Hanya Pengerusi Badan Perhubungan MIC Johor, K.S Balakrishnan yang memberi laluan kepada muka baru. Di peringkat negeri juga, selepas pilihan raya umum lalu, tidak banyak perubahan. Mungkin selepas ini akan berlaku rombakan besar-besaran melibatkan kepimpinan negeri.
Namun kelesuan di peringkat bahagian yang sudah berakhir menyebabkan tumpuan kini kepada pemilihan pada peringkat pusat. Semakin hari semakin menarik perhatian walaupun 'pergolakan' parti politik kini diambil alih oleh rakan MIC dalam komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Progresif Penduduk (PPP).
Tumpuan pemilihan MIC kini terarah kepada jawatan Timbalan Presiden selepas tidak ada mana-mana calon yang bersedia mencabar kedudukan S. Samy Vellu sebagai Presiden.
Dan pengumuman S.Sothinathan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden mengesahkan desas-desus mengenai pertembungan tiga penjuru. Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden, S.Subramaniam (Subra) menyatakan kesediaannya untuk merebut kembali jawatan tersebut yang kini disandang oleh G. Palanivel.
Dengan pengumuman Sothinathan, maka terjawablah segala persoalan mengenai jawatan apa yang hendak ditandingi Sothinathan. Kini hanya menanti apa pula jawatan yang mahu ditandingi oleh seorang lagi yang disebut-sebut layak menawarkan diri iaitu Menteri Sumber Manusia, S.Subramaniam. Adakah Subramaniam yang kini sebagai Setiausaha Agung MIC bersedia menawarkan diri untuk jawatan timbalan atau sekadar jawatan naib?
Apakah beliau memikirkan kedudukannya sebagai menteri lebih melayakkan dirinya untuk jawatan No. 2 sekali gus bakal Presiden MIC?
Jika jawatan dalam Kabinet menjadi ukuran, maka Subramaniam layak menawarkan diri. Beliau mampu menghadapi tiga bekas timbalan menteri itu. Palanivel ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Subra ialah bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Sothinathan ialah bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Sama ada tiga atau empat penjuru, tentunya sebagai Presiden, Samy Vellu mempunyai pandangan tersendiri bagi mengelakkan persaingan sengit. Ini kerana barisan yang bakal dipilih amat penting bagi MIC menentukan masa depan dan hala tujunya bagi mengembalikan semula keyakinan di kalangan masyarakat India setelah menerima tamparan hebat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12).
Pemilihan ini lebih penting kerana ini dikatakan penggal terakhir Samy Vellu sebagai Presiden dan sesuatu yang berlaku ke atas presiden, maka timbalan akan memikul tanggungjawab besar meneruskan perjuangan.
Bagaimanapun Samy Vellu awal- awal lagi sudah membayangkan tidak akan memihak kepada mana-mana calon. Samy Vellu sebelum ini berkata, beliau akan berbincang dengan calon-calon supaya 'mencapai persefahaman' mengenai siapa yang seharusnya bertanding jawatan itu.
''Jika rundingan itu gagal, kemudiannya saya akan membiarkan merka bertanding,'' katanya.
Namun di sebalik pendirian itu, tiba-tiba timbul laporan Bernama yang dipetik dari sumber dalaman parti yang kononnya menyebut Samy Vellu merestui Palanivel. Maka banyak cakap politik dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berterbangan. Mujurlah laporan tersebut segera dinafikan oleh Samy Vellu pada hari yang sama.
''Laporan Bernama tak ada kaitan langsung dengan saya. Saya menafikanya,'' kata Samy Vellu seperti dipetik oleh akhbar Makkal Osai.
Apakah laporan tersebut sengaja mahu 'mengusik' Samy Vellu dan Palanivel? Ada pihak mula melontarkan persoalan sama ada Samy Vellu akan mengumumkan pasukan Presidennya seperti yang dilakukan pada setiap pemilihan MIC.
Namun adalah lebih baik Samy Vellu tidak menyebelahi mana-mana pihak dan membiarkan perwakilan membuat keputusan mereka.
''Kita mahu Samy Vellu bersikap neutral dan tidak terlibat dalam pemilihan kali ini. Biarkan sahaja perwakilan memutuskan pemimpin pilihan bagi menerajui MIC. Berikan kebebasan sepenuhnya kepada para perwakilan untuk memilih pasukan mereka,'' kata seorang perwakilan MIC.
Beliau tidak mahu sebarang sekatan dikenakan terhadap mereka yang berhasrat mahu bertanding.
''Jangan sekat mereka. Jangan kita menang di parti dan kalah di PRU nanti. Fikir tentang masa depan MIC bukannya individu.
''Kita dah kena tempias pada PRU 12. MIC memerlukan pemimpin yang berani, lantang, kuat bekerja dan yang paling penting diterima oleh seluruh masyarakat India dan juga kaum lain,'' kata perwakilan itu.
Memang benar kata perwakilan berkenaan. Tiga calon yang mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden mempunyai kelebihan masing-masing.
Subra, bekas Timbalan Presiden, lebih dikenali sebagai Makkal Thalaivar (Pemimpin masyarakat) di kancah MIC. Beliau menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian Seputeh.
Penyandang jawatan, Palanivel yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor pada PRU 12 juga menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian Hulu Selangor.
Sothinathan yang turut tewas pada PRU 12 bagaimanapun hanya seorang ahli biasa tanpa memegang sebarang jawatan di peringkat cawangan atau bahagian.
Bagaimanapun setakat ini, Subra dilihat sebagai calon paling popular sekiranya Samy Vellu mengambil sikap tidak memihak kepada mana-mana calon. Ini berdasarkan pengalaman dan reputasi Subra sebagai Timbalan Presiden selama 25 tahun tahun bersama Samy Vellu.
Palani pula dikatakan mempunyai harapan selaku penyandang Timbalan Presiden tetapi masih 'mengharapkan' sentuhan Samy Vellu.
Selain jawatan No. 2, turut menarik perhatian ialah jawatan No. 3 iaitu Naib Presiden.
Apakah tiga wakil rakyatnya yang terselamat dalam tsunami politik 2008 akan bertanding jawatan berkenaan?
Subramaniam walaupun disebut sebagai calon yang berpotensi untuk jawatan No.2 tetapi dianggap 'baru' dan lebih sesuai untuk jawatan Setiausaha Agung atau Naib Presiden.
Dua lagi ialah M.Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Penerangan MIC serta S.K. Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Bendahari MIC.
Apakah jawatan yang bakal mereka tandingi? Naib Presiden atau sekadar ahli jawatankuasa pusat (CWC)? Apakah percaturan mereka?
Adakah dengan jawatan dalam kerajaan, mereka boleh menawarkan diri untuk sebarang jawatan? Bagaimana jika mereka tidak terpilih bertanding pada pilihan raya akan datang atau jika bertanding kecundang seperti yang berlaku terhadap Samy Vellu? Apa akan jadi kepada MIC? Justeru yang penting, MIC perlu tampilkan pemimpin yang relevan dalam pemilihan kali ini.
