Friday, September 4, 2009

Revolusi politik Jepun

SELEPAS lebih lima dekad menjadi parti pemerintah tunggal di Jepun, Parti Demokratik Liberal (LDP) akhirnya tumbang pada pilihan raya umum negara itu pada 30 Ogos lalu.

LDP kehilangan majoriti kerusi di Parlimen kepada parti pembangkang, Parti Demokrat Jepun (DPJ), dalam kekalahan yang disifatkan oleh kebanyakan pemerhati sebagai "revolusi politik" di negara matahari terbit itu.

Kekalahan LDP sebenarnya sudah ditebak sejak awal iaitu ketika parti itu kalah pada pilihan raya di Dewan Tinggi (Diet) pada Julai, 2007.

Kekalahan paling buruk dalam sejarah parti itu berterusan pada pilihan raya Tokyo, Julai lalu. Ketika itu, LDP hanya mendapat 38 kerusi berbanding 54 kerusi oleh DPJ.

Dalam landskap politik di Jepun, pilihan raya Tokyo sering dijadikan kayu pengukur kepada keputusan pilihan raya umum.

Malah, DPJ juga sudah dapat melihat peluang untuk berkuasa apabila keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap LDP semakin luntur.

Semuanya kerana pelbagai isu yang membelenggu LDP serta bekas Perdana Menteri, Taro Aso sendiri sehinggakan menjejaskan kredibiliti dan imej di kalangan rakyat.

Faktor kemenangan DPJ juga bertitik tolak daripada pelan populis yang terarah kepada menjaga kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Ternyata, pelan itu berjaya meyakinkan rakyat Jepun kerana dalam situasi ekonomi yang sukar ketika ini, mereka sememangnya mengharapkan polisi yang berbentuk bantuan dan perhatian daripada kerajaan.

Dalam masa yang sama seperti yang dinilai oleh penganalisis tempatan, Ahmad Zaki Hassan, parti pemerintah juga gagal menyelesai serta menjelaskan beberapa isu utama.

Antaranya jelas pensyarah di Kolej UndangUndang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu ialah jumlah hutang negara yang luar biasa.

Isu lain termasuk pelan tindakan menstabilkan ekonomi terutama bagi mengecilkan jurang perbezaan antara penduduk miskin dan kaya.

''Faktor-faktor ini menjadi punca keyakinan rakyat terhadap LDP merosot dengan teruk seperti yang diterjemahkan menerusi keputusan pilihan raya lalu," katanya.

Dari lensa politik dunia, kekalahan LDP yang memerintah Jepun sejak 54 tahun lalu itu dikaitkan dengan gelombang perubahan yang dicetuskan oleh generasi muda.

Sebelum ini, kejayaan Barack Obama menjadi warga kulit hitam pertama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dikatakan turut dipengaruhi oleh faktor yang sama.

Obama berjaya meruntuhkan tembok perkauman dalam sejarah 232 tahun amalan demokrasi di negara itu.

Gelombang perubahan di kedua-dua negara itu juga tidak terkecuali turut dikaitkan dengan senario semasa politik tempatan terutamanya nasib yang bakal menimpa Barisan Nasional (BN).

Bukan bermaksud menafikan tuntutan perubahan yang disuarakan oleh rakyat terutama apa yang berlaku selepas 8 Mac 2008, tetapi gelombang perubahan itu sebenarnya adalah sesuatu yang lumrah dalam kematangan masyarakat di kebanyakan negara.

Peralihan daripada satu generasi ke generasi lain menyaksikan anjakan pemikiran rakyat turut berubah.

Lebih-lebih lagi apabila sesuatu keperluan dan peringkat dalam masyarakat itu telah dipenuhi. Ini jugalah sebenarnya yang berlaku dalam konteks politik di AS, Jepun dan Malaysia yang mana pemikiran rakyat berubah apabila keperluan asas dan pembangunan telah dipenuhi oleh kerajaan.

Perkembangan tersebut secara tidak langsung merubah kematangan berfikir rakyat ke arah sesuatu yang lebih besar termasuk soal negara dan sebagainya.

Namun, ia bukanlah satu-satunya faktor penentu dalam kita meramalkan bentuk dan corak berpolitik pada masa depan. Namun, perlu diperhatikan cabaran dan isu politik yang berlaku di Jepun sangat berbeza dengan polemik politik yang melanda negara.

Sebagai sebuah negara maju, keperluan dan kemudahan asas serta pembangunan fizikal bukan lagi menjadi kepentingan rakyat Jepun. Majoriti rakyatnya juga merupakan golongan berkemampuan dengan peratus kemiskinan sangat rendah atau hampir tiada.

Justeru apa yang lebih menjadi perhatian mereka ialah kemampuan pemerintah untuk mengekalkan momentum keselesaan dan kenikmatan hidup itu.

Malangnya, itulah yang gagal dibuktikan oleh LDP. Ketika ini Jepun berdepan dengan krisis ekonomi yang sangat meruncing sehingga menyebabkan peratus pengangguran di kalangan rakyat mencecah sehingga enam peratus, iaitu kadar terburuk dalam sejarah negara berkenaan.

Populariti Aso juga semakin merudum apabila beliau dikaitkan dengan pelbagai isu antaranya skandal seks, rasuah, masalah kesihatan dan kewangan selain berdepan undi tidak percaya di kalangan ahli Kabinetnya sendiri.

Kerana itu juga adalah tidak tepat untuk kita membandingkan senario politik di Jepun dan apa yang berlaku di negara ini.

Cuma barangkali apa menjadikannya agak signifikan adalah kerana persamaan dari segi tempoh masa Malaysia bakal berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.

Hakikatnya di Malaysia, ramai penduduk di negara ini terutamanya di luar bandar yang masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Malah, kemiskinan bandar juga turut dicatatkan meskipun kumpulan penduduk ini tidak ramai.

Golongan ini pastinya memerlukan bantuan daripada sebuah kerajaan yang kuat untuk dibawa keluar daripada kepompong kemiskinan itu menerusi pelbagai dasar dan agenda bertaraf nasional.

Begitu juga dengan proses kemajuan dan pembangunan negara ketika yang memerlukan sokongan sebuah kerajaan yang konsisten. Usaha pembinaan bangsa dan negara itu tidak mungkin dapat dilakukan oleh parti politik yang tidak jelas hala tuju perjuangannya.

Yang masih gagal membezakan antara perjuangan yang bersifat peribadi atau kepentingan sekelompok kumpulan kecil sematamata. Pentas politik negara juga lebih mencabar kerana kita terbentuk daripada bangsa, agama, ras dan etnik yang berbeza.

Tidak seperti Jepun, negara itu hanya terdiri daripada satu bangsa. Justeru, hanya parti politik yang benar-benar memahami semangat toleransi dan kerjasama di sebalik perbezaan itu sahaja yang mampu membawa negara ini kepada kemajuan tanpa dibelenggu isu-isu yang berbaur perkauman dan tuntutan melampau.

Namun itu bukanlah bermaksud kita cuba menafikan gelombang perubahan berpolitik dunia itu turut tersebar di negara ini.

PRU 12 lalu sudah membuktikannya dan isyarat itu juga bagi sesetengah pihak semakin jelas selepas tujuh kekalahan berturut-turut BN pada pilihan raya kecil.

Namun gelombang perubahan ini sebenarnya jika dipandang daripada sisi berbeza, boleh menjadi satu tekad dan usaha kepada BN untuk lebih bersedia dan bertindak awal.

Perkembangan sebegini menurut Ahmad Zaki, harus dijadikan fokus oleh pemimpin BN untuk menilai dan mentafsir apa sebenarnya yang telah berlaku seterusnya mencari penyelesaian segera.

Sekiranya pada pilihan raya umum akan datang BN masih berjaya mengekalkan kerajaan sedia ada, maka BN akan dilihat mempunyai kekuatan berganda kerana berjaya mengatasi satu trend dunia dalam tuntutan perubahan oleh rakyat.

''Ia juga secara jelas akan menggambarkan bahawa BN masih berupaya memerintah dan memenangi hati rakyat tanpa dipengaruhi oleh peristiwa serta perbandingan isu semasa dunia," ujar beliau.

Kaedah hukuman sebat ikut syarak

SEBAT adalah satu bentuk hukuman dalam perundangan Islam yang bertujuan memberi pengajaran kepada penerima hukuman dan orang yang melihatnya. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina.

Merujuk kepada rencana bertajuk "Kaedah hukuman sebat di Mahkamah Syariah" oleh Datuk Muhammad Asri Abdullah di dalam Jurnal Hukum JLD. XXII BHG. 1 ( 1427 H) September 2006), pelaksanaan hukuman sebat di Malaysia diperuntukkan dalam semua enakmen undang-undang tatacara jenayah syariah bagi kebanyakan negeri.

Peruntukan-peruntukan tersebut antaranya ialah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Acara Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen 125.

Selain itu, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Pahang) 2002, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004, Seksyen 125.

Di bawah Seksyen 125 dan 126 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), diperuntukkan kaedah dan masa pelaksanaan hukuman sebat seperti berikut:

Seksyen 125 - Hukuman sebat

1. Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

2. Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

3. Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat iaitu:

a) Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.

b) Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.

c) Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.

d) Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah "adil dan matang".

e) Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

f) Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.

g) Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.

h) Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

i) Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.

j) Jika semasa pelaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, ia hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.

4. Dalam hal pesalah dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

5. Jika pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu - oleh sebab umur tua (lebih 50 tahun), keuzuran atau apa-apa sebab lain - tidak dapat menjalani hukuman pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujuk kepada mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksana mengikut cara yang difikirkan munasabah.

Seksyen 126 - Masa melaksana hukuman

Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada penjara, hukuman sebat itu tidak boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan.

Kaedah pelaksanaan yang diperuntukkan sebenarnya tidak bertentangan dengan hukum syarak yang turut memberi panduan cara pelaksanaannya.

Jika menggunakan rotan atau ranting kayu, ia hendaklah dalam bentuk sederhana ukurannya. Tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua, tidak berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya.

Ia amat penting supaya ia tidak boleh mencedera atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah.

Ini kerana hukuman tersebut bukan bertujuan mencederakan pesalah tetapi mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya. Ia selaras dengan hadis riwayat Malik dari Zaid bin Aslam. "Seorang lelaki mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW. Baginda meminta sebatang tongkat untuk menyebat lelaki itu. Apabila tongkat diberi kepadanya, Baginda mendapati ia telah pecah-pecah, lalu Baginda meminta tongkat lain.

Apabila yang kedua dibawa kepadanya, tongkat itu dibuat daripada dahan kayu yang baru dipotong. Rasulullah menolaknya lagi dan meminta tongkat lain. Akhirnya diberi kepada Baginda tongkat sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan supaya disebat tongkat itu.

Ketika melaksanakan hukuman sebat, cara sebatan hendaklah secara sederhana. Si pelaksana tidak boleh mengangkat tangan hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan, tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga sampai kepada matlamat dan tujuannya.

Saidina Umar al-Khattab r.a pernah menghukum sebat seorang pesalah di zamannya. Beliau berkata kepada tukang sebat: "Sebatlah dia dan jangan diangkat tanganmu sehingga ternampak ketiak."

Ketika Umar melihat pukulan agak kuat daripada sepatutnya, beliau berkata: "Kamu tidak menghukum tetapi membunuhnya.''

Mengenai bahagian yang disebat, Imam Syafie berpendapat, pukulan hendaklah ditujukan kepada pelbagai anggota tetapi hendaklah menjauhi faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti membahayakan orang yang disebat.

Ia berdasarkan riwayat Umar al-Khattab bahawa beliau menemui seorang jariah yang sedang dilakukan hadd ke atasnya, lalu beliau berkata maksudnya: "Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya."

Ini kerana maksud daripada hukuman sebat itu adalah mencegah tanpa bertujuan membunuh pesalah.

Ketika disebab, pesalah mesti memakai pakaian menutup aurat. Jika memakai pakaian tebal, hendaklah diganti dengan yang sederhana kerana dibimbangi pukulan tidak dirasai oleh pesalah. Ini berdasarkan riwayat 'Abdullah bin Mas'ud r.a bahawa Rasulullah bersabda: "Tidak ada pada umat ini, perebahan, pembogelan, pembelengguan dan pengikatan."

Bagi pesalah hamil, hukuman mesti dilakukan dua bulan selepas melahirkan. Jika dia masih sakit, pelaksanaan mesti ditangguhkan sehingga betul-betul sihat.

Jika penyakitnya tiada harapan sembuh, hukuman hendaklah dijalankan serta-merta dengan syarat, rotan tidak akan mencederakannya.

Diriwayatkan Rasulullah pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang tenat dengan hanya satu pukulan menggunakan seratus mayang tamar yang diikat. Lelaki itu telah berzina dan sepatutnya disebat 100 kali.

Hukuman sebat juga hendaklah dilaksanakan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak dalam cuaca yang sangat panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan.

Pelaksanaannya pula hendaklah di depan sekumpulan orang mukmin. Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 2: "Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman."

Sementara itu, kertas kerja bertajuk "Peranan institusi penjara dalam pelaksanaan hukuman sebat bagi kes jenayah syariah: satu pandangan" oleh Masran Muhamad pula membezakan hukuman sebat antara pesalah jenayah dan syariah.

1. Saiz Rotan

Bagi pesalah jenayah panjang rotan tidak dinyatakan tetapi bergaris pusat 1.25 sentimeter. Sementara pesalah jenayah syariah pula ialah panjang 1.22 meter dan bergaris pusat 1.25 sentimeter.

2. Pemeriksaan Kesihatan

Bagi pesalah jenayah, pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh mana-mana pegawai perubatan, manakala jenayah syariah oleh pegawai perubatan beragama Islam.

3. Pelaksanaan Hukuman

Bagi pesalah jenayah, sebat dilaksanakan oleh mana-mana pegawai sebat rotan yang dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara, manakala jenayah syariah hanya dilakukan oleh Pegawai Sebat Rotan beragama Islam.

4. Bahagian Anggota yang Disebat

Bagi pesalah jenayah, pukulan sebat hendaklah di bahagian punggung dan ia berbeza dengan jenayah syariah yang meletakkan beberapa pengecualian.

5. Cara Sebatan

Bagi jenayah syariah, tukang sebat tidak boleh mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan pukulan secara sederhana agar tidak melukakan kulit.

6. Kedudukan dan pakaian semasa disebat

Bagi pesalah jenayah, mereka tidak memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian sulit sahaja dan diikat di tripod manakala pesalah syariah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuan duduk dan memakai pakaian menutup aurat.

7. Baki hukuman sebat yang dihentikan

Bagi pesalah jenayah, jika sebahagian atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah manakala jenayah syariah ia boleh ditangguhkan sehingga pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

8. Orang yang boleh disebat

Bagi pesalah jenayah, perempuan tidak boleh disebat tetapi pesalah jenayah syariah, perempuan tidak dikecualikan.

9. Saksi-saksi

Bagi pesalah jenayah, tiada saksi diperlukan semasa hukuman dilaksanakan tetapi pesalah syariah mesti bersaksikan sekurang-kurangnya empat lelaki Islam.

Maka, hukuman sebat adalah sebagai satu bentuk hukuman dalam Islam yang bertujuan menjaga kebaikan dan kepentingan umum. Islam sentiasa memandang dan mementingkan kebaikan orang ramai lebih utama daripada individu kerana ia boleh menghindari kerosakan, keruntuhan moral dan memberi rasa keinsafan kepada pesalah.

Pelaksanaannya bukanlah bertujuan menzalimi pesalah sebaliknya memberi rasa keinsafan dan pengajaran.

Wednesday, August 5, 2009

Meriahkan tilawah al-Quran

MULAI malam ini sehingga 12 Ogos, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur akan berkumandang dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sempena Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-51.

Tilawah yang bertemakan “Wahdah Pemangkin Khaira Ummah” itu akan menampilkan 70 peserta yang diwakili oleh qari dan qariah dari 76 negara.

Majlis itu akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada pukul 8.45 malam.

Malaysia akan diwakili johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-52, Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan dari Sarawak, dan Johan Qariah (Johan Menunggu), Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dari Perak.

Menghalusi tema tilawah tahun ini membuktikan betapa ia menekankan pentingnya wahdah atau perpaduan. Perpaduan itu merangkumi penyatuan tenaga, fikiran, aspirasi dan pengorbanan di kalangan umat Islam untuk terus komited merancang dan bergerak demi kemaslahatan di setiap peringkat.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai...” (Ali-‘Imran: 103)

Antara objektif dianjurkan majlis ini adalah bagi menggalak dan membudayakan minat membaca al-Quran di kalangan masyarakat Islam selain dapat mempertemukan qari dan qariah terbaik dari seluruh negara.

Bagi kita di Malaysia, kesempatan ini harus dipergunakan sebaik mungkin. Ia supaya semangat membaca al-Quran itu sentiasa membara dan terus dipertingkatkan.

Seharusnya, setiap Muslim memasang niat untuk menguasai bacaan al-Quran sebagai mana mutu bacaan yang ditunjukkan oleh para qari dan qariah.

Sekurang-kurangnya tahap bacaan kita menepati hukum tajwid. Lebih baik lagi menguasai ilmu tarannum (lagu) al-Quran.

Seharusnya, dalam kesibukan sebahagian kita mengenali nama-nama artis atau penyanyi masa kini, kita juga perlu mengenali nama-nama besar qari dan qariah negara.

Nama seperti Allahyarham Ahmad Mat Som, Allahyarham Datuk Ismail Hashim, Radzi Kamarul Hailan dan Aziz Mustakim dan juga para qariah seperti Faridah Mat Saman, Datuk Rugayah Sulong dan Rahmas Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama) perlu kita kenal.

Fitrah kita sebagai manusia sukakan yang indah. Bacaan yang sedap, tepat sebutan makhraj dan tajwidnya memang mengasyikkan kita yang mendengar. Tambahan pula, mendengar bacaan al-Quran pun diberi pahala oleh Allah SWT, apatah lagi jika kita membacanya.

Dalam membentuk khaira ummah (umat terbaik) pula sudah semestinya al-Quran adalah rujukan utama umat Islam. Seharusnya, dalam soal melibatkan penyakit hati, kitab suci inilah yang perlu kita baca, faham dan hayati.

Bukannya mencari penyelesaian di pusatpusat hiburan, kelab-kelab malam atau berfoya-foya sehingga kepada pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram.

Bukankah Allah telah menjelaskan kepada kita dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang keraguan padanya (tentangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.” (al-Baqarah: 2)

Malah, Nabi Muhammad SAW dalam Haji Wada’ telah bersabda yang bermaksud: “Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara di mana kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepadanya, iaitu ayat Allah (al-Quran) dan sunnah-Ku (hadis)”.

Malangnya, hari ini ramai umat Islam ‘menjauhkan’ diri daripada al-Quran. Kitab suci ini hanya dijadikan perhiasan atau dibiarkan buruk begitu sahaja disimpan dalam almari di rumah.

Berapa ramai umat Islam, hanya membaca al-Quran apabila ada kematian atau apabila diadakan majlis membaca Yasin?

Padahal sudah dijelaskan bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang. (rujuk ayat 28 surah al-Ra’d)

Sesuai pula dengan penganjuran tilawah pada bulan Syaaban, bulan yang dipenuhi dengan keberkatan. Justeru, amat malang jika kita membiarkan program ini berlalu begitu sahaja tanpa diambil manfaat daripadanya.

Alangkah malunya jika tilawah ‘ditewaskan’ oleh lebih 80,000 penonton yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan perlawanan Manchester United (MU) menentang Malaysia pada 18 Julai lalu. (Walaupun ia disaksikan oleh masyarakat pelbagai kaum).

Sekurang-kurangnya, hendaklah kita menjadi penonton setia tilawah. Jika tidak mampu hadir ke PWTC, boleh sahaja diikuti program itu menerusi kaca televisyen kerana ia disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Jika tahun-tahun sebelum ini, kita tidak berkesempatan menonton tilawah, apa kata mulai tahun ini, kita berazam untuk mengikutinya dari awal hingga akhir. Kepada ibu bapa, ini juga boleh menjadi contoh kepada anak-anak terutama dalam mendorong mereka mempelajari al-Quran. Seterusnya, boleh menguasai kitab suci itu dengan baik.

Sebabnya, banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa membasahi lidah mereka dengan ayat-ayat Allah. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pemiliknya.” (riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang terbaik dari kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya.” (riwayat Bukhari)

Sementelahan pula, tidak berapa hari lagi, kita akan menyambut bulan yang mulia dalam Islam iaitulah Ramadan. Jadi, eloklah jika kita mula melatih diri daripada sekarang untuk membaca al-Quran setiap hari.

Ramadan seperti yang kita tahu adalah bulan al-Quran diturunkan. Ia sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: “Bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza.” (al-Baqarah: 185)

Akhir kalam, marilah kita berdoa agar dipermudahkan untuk kita membaca dan menghayati al-Quran.

Pengajaran DEB untuk Ekuinas

TEKA-TEKI mengenai peneraju Ekuiti Nasional (Ekuinas) terjawab sudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Ekuinas bulan lalu menjanjikan satu kumpulan pakar ekonomi untuk menjayakan projek ini.

Jelas sekali, kumpulan yang diketuai oleh Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda itu merupakan kalangan yang terbukti kecemerlangan dalam bidang pengurusan ekonomi.

Pelan ini akan dimulakan dengan peruntukan RM500 juta dan bertambah sehingga RM10 bilion berasaskan keperluan dan pencapaian masa depan.

Sejak dilancarkan pelbagai pihak memberikan respons dan rata-rata memberikan sokongan terhadap Ekuinas, masyarakat Melayu dan lebih-lebih lagi bukan Melayu.

Kerajaan memberikan penjelasan berkaitan pemansuhan 30 peratus ekuiti bumiputera dengan penubuhan Ekuinas Nasional Berhad (Ekuinas). Begitu juga dengan peningkatan had kepentingan asing dalam syarikat pembrokeran daripada 49 peratus kepada 70 peratus.

Nampaknya seluruh rakyat berbilang etnik telah memberikan isyarat bahawa model ini adalah sesuatu yang baik dan perlu dilaksanakan. Nampaknya kini perbincangan lebih cenderung untuk meneliti dua perkara lain.

Pertama, berkaitan "niche" atau tujahan Ekuinas. Ramai pakar ekonomi bimbang pelan ini akan menjadi "pelanduk dua serupa" kepada PNB yang berjaya melaksanakan pengurusan saham amanah. PNB bukan sahaja berjaya menguruskan dana untuk kelangsungan ekuiti bumiputera tetapi turut mendapat kepercayaan bukan Melayu.

Kalau tidak masakan saham amanah bernilai berbilion ringgit kepada bukan bumiputera habis dalam tempoh yang singkat.

Perkara kedua yang diperbincangkan tentang Ekuinas ialah apakah pelan ini juga akan menerima nasib yang sama dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Memanglah DEB dan Ekuinas tidak sama. Berbeza model dan strategi. Berbeza zaman serta cabarannya. Tetapi kedua-duanya masih sama dalam dua perkara.

Pertama, diwujudkan untuk membantu perekonomian bumiputera. Kedua, diuruskan sepenuhnya oleh orang Melayu - sebagai pentadbir, penentu dasar serta pemantau pelaksanaannya.

Maka itu sejarah serta pengajaran daripada DEB sangat penting dihayati agar kejayaan DEB dahulu diperkasakan dan kesilapan DEB pula dijadikan sempadan oleh Ekuinas. Sejak dilancarkan pada 1970, DEB berjaya membina perekonomian bumiputera untuk bersaing bersama kaum lain.

Semua rakyat tahu ekonomi Malaysia kini dikuasai lebih 75 peratus masyarakat Cina. Sementara kurang 10 peratus dimiliki oleh nominee antarabangsa. Orang Melayu sejak 1990 telah 'beku' pemilikan kekayaan negara pada tahap 19 peratus sahaja. Seolah-olah bumiputera-Melayu tidak mampu lagi meningkatkan kekayaan lebih daripada itu dalam program DEB.

Penelitian terhadap penulisan ilmiah oleh pakar ekonomi dan juga pakar sains sosial menjelaskan kepada kita beberapa perkara yang menggagalkan DEB.

Walaupun pemimpin politik utama negara ketika itu adalah orang Melayu, pegawai kerajaan di peringkat tertinggi (majoriti juga orang Melayu), pelbagai pelan, subsidi dan bantuan disediakan untuk bumiputera, malangnya ekonomi Melayu hanya berjaya mencapai setakat 19 peratus jauh daripada sasaran 30 peratus.

Lebih menarik ialah begitu sukarnya orang Melayu mencapai angka 30 peratus walaupun Perlembagaan negara memberikan peruntukan khas kepada keistimewaan orang Melayu.

Perkara 153 Perlembagaan, memberikan ruang kepada orang Melayu daripada segi perundangan untuk menjadi bangsa yang maju, setanding bukan Melayu.

Malangnya semua bantuan serta sokongan ini tetap gagal menjadikan perekonomian orang Melayu sebagai tunjang kepada perekonomian negara. Mengapa hal ini berlaku? Apakah yang sama boleh berlaku kepada Pelan Ekuinas?

Berikut disenaraikan secara ringkas kesilapan strategi perekonomian orang Melayu dalam DEB.

n Amalan pertanian secara tradisional jelas bukan asas menjadikan Melayu sebagai bangsa yang kuat ekonominya. Sejak ratusan tahun majoriti orang Melayu menguasai sektor pertanian.

Malangnya, sifat kegiatan ekonomi pertanian sara diri secara separa-moden terbukti gagal untuk membina harapan perekonomian orang Melayu.

Sekalipun petani Melayu ingin mengusahakan pertanian secara teknologi moden, mereka masih perlu bergantung sepenuhnya dengan kos racun rumpai, jentera pertanian dan baja yang dibeli melalui orang tengah bukan Melayu.

Maka sukar untuk majoriti petani Melayu menjadi kaya dengan sektor pertanian. Walaupun ada usaha menjadikan perindustrian sebagai kegiatan ekonomi Melayu, kejayaannya tidak seperti diharapkan.

n Era Tun Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan usaha beliau mengembangkan teknokrat Melayu melalui industri berat negara. Malangnya industri hiliran yang sepatutnya direbut peluang oleh Melayu, dikuasai sepenuhnya oleh peniaga bukan Melayu.

Industri besi keluli, industri jentera dan automotif, teknologi bendalir dan hiliran industri minyak semuanya dikuasai sepenuhnya oleh bukan Melayu.

Orang Melayu kekal sebagai petani, pekerja kilang serta pekerja di dalam sektor yang dimiliki oleh bukan Melayu.

n Orang Melayu tidak menguasai ilmu ekonomi sepenuhnya. Mereka bukan sahaja tidak dibudayakan dengan dunia perniagaan sejak kecil, malah sangat takut menghadapi kerugian dan kesukaran hidup.

Di universiti, bidang perakaunan, perbankan, pengurusan perniagaan didominasi oleh pelajar bukan Melayu. Orang Melayu berduyun-duyun ke fakulti sastera dan ilmu sosial.

Usaha mengembangkan budaya keusahawanan di universiti sangat sukar kerana ciri-ciri negatif ini menebal. Selain itu, ilmu ekonomi juga berkaitan dengan penguasaan bahasa Inggeris. Halangan ini menambahkan lagi jurang antara Melayu dan bukan Melayu.

Cara segelintir pemimpin Melayu menafsirkan tuntutan agama secara semberono juga menyumbang kepada sifat negatif orang Melayu tentang perniagaan. Perniagaan yang maju bermaksud menjadi semakin kaya. Menjayakan perniagaan juga bermaksud peruntukan masa bekerja yang lebih banyak, jauh lebih banyak daripada semua jenis pekerjaan lain di dunia.

Sebahagian besar orang Melayu lebih sanggup hidup susah dan berdikit-dikit tetapi tidak berani menghadapi kesukaran, kerugian, persaingan dan sebagainya.

Malah seringkali sirah dan ajaran Islam dijadikan sebagai alasan sesetengah orang Melayu untuk tidak bekerja keras. "Dunia hanya sementara, kita mencari akhirat". "Kekayaan akan menyebabkan orang lupa Tuhan" atau "Nabi sengaja mencari kehidupan yang tidak mewah untuk mendapat keredaan Allah".

n Sikap tidak sabar orang Melayu juga membantutkan perkembangan ekonomi bangsa sendiri. Dr. Mahathir mungkin tokoh yang sangat kecewa dengan sikap ini.

Orang Melayu sering dikatakan suka mengambil jalan mudah. Isu seperti "Ali Baba" dan ungkapan "Biar papa asal bergaya" antara contoh sikap tidak sabar bangsa Melayu untuk kaya.

Selain itu, isu ketirisan peruntukan kerajaan serta rasuah menjadikan Melayu semakin tidak berdaya saing.

n Jaringan perniagaan orang Melayu juga sangat lemah. Perkara ini pernah disebut berkali-kali oleh Profesor Diraja Ungku Aziz sejak 1980-an lagi. Malangnya sehingga kini, rantaian perniagaan masih kuat dimonopoli oleh bukan Melayu. Dua perniagaan sahaja dikatakan menjadi kekuatan Melayu iaitu kedai makanan halal dan sektor berkaitan pendidikan agama Islam.

Ringkasnya, kejayaan Ekuinas sangat bergantung kepada sikap orang Melayu agar tidak mengulangi kesilapan semasa DEB. Jika pengajaran daripada DEB difahami dan menjadi panduan, tidak syak lagi Ekuinas akan berjaya memajukan bukan sahaja bangsa Melayu dan bumiputera malah akan meningkatkan kekayaan bukan Melayu.

PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tuesday, August 4, 2009

Kepincangan strategi rundingan Washington, Taliban Afghan

Oleh AZMI HASSAN

OPERASI Panther Claw yang diterajui oleh tentera British di wilayah Helmand, Afghanistan bertujuan membuktikan operasi tentera mampu mengekang pejuang Taliban. Ia juga dijadikan titik perubahan terhadap peristiwa pencerobohan Afghanistan lebih lapan tahun lalu.

Memang benar operasi yang bermula pada 19 Jun lalu berjaya menghalau pejuang Taliban dari Helmand tetapi tentera Bristish dan Amerika Syarikat akur ia tidak akan dapat bertahan lama. Perkara yang sama berlaku pada 2006 tetapi pejuang Taliban kembali ke Helmand.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown serta Presiden AS, Barack Obama amat akur tentang keadaan di Afghanistan itu. Taliban begitu sukar ditewaskan kerana sokongan puak berpengaruh terutamanya Pashtun. Kerajaan pimpinan Hamid Karzai pula tidak mampu memberi perlindungan membuatkan rakyat mengharapkan bantuan Taliban.

Apabila Obama membuat kerahan tentera tambahan ke Afghanistan, langkah itu bukan untuk meningkatkan aktiviti operasi tetapi sebagai asas memulakan strategi baru - rundingan dengan Taliban.

Ketika ini, rakyat Britain mula mempersoalkan kehadiran tentera mereka di Afghanistan selepas 10 askar British terkorban dalam operasi Panther Claw.

Dilema Washington dan London ialah bagaimana untuk memulakan rundingan dengan Taliban tanpa memberi persepsi bahawa tentera bersekutu sanggup berunding dengan "pengganas".

Perkara yang sama dihadapi oleh Kabul. Rundingan itu pasti akan melemahkan pengaruh Kabul dan tidak disenangi oleh Karzai yang akan menghadapi Pilihan Raya Presiden pada 20 Ogos ini.

Kesilapan strategi Washington pada 2001 ialah apabila membentuk kerajaan Afghan di bawah Karzai dengan menyisihkan puak Pashtun. Sebenarnya Washington bukannya tidak biasa berurusan dengan Taliban kerana sejak era sebelum 11 September 2001 lagi, AS sering memberi bantuan kepada Taliban sebagai balasan memerangi tentera Soviet.

Strategi rundingan dengan Taliban dan Pashtun nampaknya mempunyai kepincangan kerana tidak merangkumi keseluruhan kedua-dua kumpulan itu. Washington dan London memilih pemimpin tertentu dan menyisihkan mereka yang dianggap sukar untuk dikawal.

London amat yakin dengan strategi pemisahan ini kerana berpendapat ia dapat mempercepatkan proses rundingan dan seterusnya berundur dari Afghanistan. Perlu diberi perhatian, strategi yang sama diamalkan oleh Washington di Iraq dengan mengetepikan puak Sunah.

Agak mengaibkan apabila pengamal strategi pemisahan tersebut mempertahankan konsep itu dengan mengemukakan hujah yang agak janggal. Komander British yang pertama di Helmand, Jeneral Sir David Richards telah memberi contoh kejayaan strategi pemisahan semasa British memerintah Malaya. Agak melucukan kerana Richards cuba membuat persamaan antara puak Pashtun di Afghanistan dan kaum Melayu di Malaya.

Begitu juga London menggunakan contoh kejayaan mereka di Ireland Utara dengan membuka pintu rundingan dengan kumpulan Sinn Fein.

Sekali lagi analogi yang digunakan agak rapuh kerana pintu perbincangan dibuat kerana kejayaan perjuangan bersenjata Sinn Fein yang memaksa London berlembut dengan kumpulan tersebut.

Washington dan London perlu memahami bahawa senario di Afghanistan tidak serupa dengan Ireland dan Malaya.

Apa yang penting adalah masa depan Afghanistan perlu ditentukan oleh rakyat negara tersebut tanpa menyisihkan kumpulan yang tidak disukai oleh sama ada London, Washington atau Kabul.

Jika strategi itu terus diamalkan tanpa mengambil kira pengajaran lepas, maka sudah pasti begitu sukar bagi London dan Washington untuk mengukir strategi keluar dari Afghanistan tanpa dilabel sebagai kumpulan yang telah tewas.

PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Vaksin percuma untuk kanak-kanak, pelajar

NAMPAKNYA penularan virus maut Influenza A (H1N1) atau selesema babi semakin serius di negara ini sejak ia mula dikesan April lalu. Persoalannya, adakah masyarakat kita ambil berat atau terus tidak peduli dengan penularan virus ini?

Berdasarkan pengamatan, sebenarnya masih tidak ramai yang ambil peduli untuk melakukan pelbagai langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak awal-awal lagi telah memberi amaran H1N1 merupakan pandemik, namun masih ramai yang tidak kisah.

Contoh yang paling mudah, berapa ramai yang menggunakan penutup mulut dan hidung ketika keluar bekerja?

Hakikatnya, amat jarang melihat ahli masyarakat kita yang berbuat demikian kecuali petugas di bahagian depan seperti di lapangan terbang atau hospital.

Malah, institusi dan sekolah yang sebelum ini telah ditutup kerana ada pelajar yang disahkan dijangkiti H1N1 pun ramai yang tidak menggunakan penutup mulut dan hidung.

Memang penggunaan penutup mulut dan hidung tidak menjamin seseorang itu terhindar daripada jangkitan berkenaan. Tetapi sekurang-kurangnya ia mengurangkan kadar jangkitan dan membuktikan kesedaran masyarakat.

Jika diamati, setiap hari media massa menyiarkan mengenai tahap penularan H1N1 di negara ini. Malah, pelbagai tips mengenai pencegahan juga disebarkan agar menjadi panduan kepada masyarakat untuk mengelakkan jangkitan berkenaan.

Adakah kita terus ingin dikaitkan dengan perumpamaan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia, "sudah terhantuk baru terngadah"? Lebih menyedihkan, ada juga golongan yang dikuarantin masih 'merayaurayau' ke tempat awam sedangkan mereka sepatutnya hanya tinggal di rumah seperti yang diarahkan.

Mungkin perlu ada peraturan ketat, andai ada golongan yang dikuarantin didapati berada di tempat awam semasa tempoh itu, mereka boleh dikenakan tindakan tegas.

Mungkin hukuman melakukan kerja sosial boleh dipertimbangkan selepas tempoh 'berkabung' mereka tamat supaya memberi pengajaran kepada golongan lain.

Ia bukan untuk menghukum tetapi sebagai ingatan dan didikan untuk memberi kesedaran!

Ini kerana tindakan golongan berkenaan berada sewenang-wenangnya di tempat awam pasti mampu menyebabkan penularan yang lebih serius kepada lebih ramai orang seandainya mereka merupakan pembawa virus maut itu.

Perkara itu tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia melibatkan faktor kesihatan yang boleh dianggap sebagai aspek keselamatan masyarakat dan negara.

Tanggapan atau persepsi silap yang mengatakan "tempat kita tiada lagi jangkitan atau masih jauh daripada wabak itu" tidak harus ada dalam diri masyarakat.

Kesedaran perlu ada bahawa apabila tercetus sesuatu penyakit maut, semua pihak harus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan dengan cara terbaik sebelum ia menular ke tempat atau negara kita.

Walaupun lokasi virus itu mula dikesan iaitu Mexico beribu kilometer jauh dari Malaysia, namun penyakit itu tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke sini kerana faktor 'pengimport' hanya mengambil masa beberapa jam sahaja menerusi hubungan pengangkutan serba moden.

Memandang virus tersebut semakin menular di negara ini, mungkin sudah sampai masanya golongan pelajar, bayi dan warga emas dipertimbangkan untuk diberi suntikan vaksin secara percuma bagi mencegah mereka daripada jangkitan virus itu.

Pada permulaannya, suntikan vaksin itu mungkin boleh didahulukan bagi bayi dan pelajar kerana golongan ini amat memerlukan sistem pertahanan badan yang kuat untuk menentang serangan virus itu.

Rasanya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran boleh membincang dan mempertimbangkan perkara ini kerana ia dilihat semakin 'mendesak'.

Selain itu, Kementerian Pelajaran turut boleh membekalkan penutup mulut dan hidung kepada semua pelajar dan guru serta kakitangan sekolah. Berdasarkan trend penularan virus tersebut, sekolah dan institusi pengajian tinggi serta institut latihan menjadi lokasi 'kegemaran' virus H1N1 merebak.

Dalam keadaan sekarang, komitmen pihak swasta juga dituntut untuk 'menaja' pengedaran penutup mulut dan hidung kepada orang ramai.

Sudah menjadi kebiasaan apabila ramai yang memakainya, yang lain secara tidak langsung turut terdorong untuk menggunakannya.

Anggap juga ia sebagai salah satu komitmen atau tanggungjawab sosial syarikat dalam situasi rakyat dan negara amat memerlukannya.

Selain peranan pihak berkuasa, komitmen ibu bapa juga amat dituntut. Andai ada ahli keluarga yang mengalami demam, batuk atau selesema, jangan tangguh bawa terus mereka menjalani pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital.

Tindakan pantas ini mampu mengawal serangan dan menyelamatkan nyawa orang yang tersayang. Perlu ditanam dalam fikiran, demam bukan lagi demam biasa, tetapi harus dirawat segera!

Kesedaran mengenai pentingnya kebersihan diri juga harus diberi penekanan kerana ia dikatakan mampu menghindari jangkitan virus berkenaan.

Justeru, komitmen dan kerjasama semua pihak amat dituntut kini untuk bersama-sama mengekang penularan jangkitan virus maut, H1N1 yang telah membunuh lebih 1,000 orang di 163 negara setakat ini.

Di Malaysia H1N1 telah menyebabkan tujuh kematian dan jumlah itu dikhuatiri bertambah jika langkah pencegahan tidak ditingkatkan dan golongan yang menghidapi demam, batuk atau selesema memandang mudah perkara itu.

Agropolitan Pekan ubah nasib miskin tegar

"SAYA berharap projek ini akan mengubah nasib kami sekeluarga," tegas Yuni Muhammad, 51, ketika meluahkan kesyukuran kerana menjadi seorang daripada peserta Projek Agropolitan Pekan.

Ibu tunggal dari Kuala Pahang, Pekan itu berharap projek mega tersebut bakal memberi sinar baru kepada diri dan keluarganya.

Projek Agropolitan Pekan di Runchang, yang termasuk dalam pelan induk pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Bagi menjayakan projek tersebut, Yuni yang kematian suami sejak lima tahun lalu, sanggup berpindah ke penempatan baru. Pengorbanannya itu berlandaskan kepada harapan untuk menggapai impian ke arah sebuah kehidupan lebih baik.

Yuni yang ditemui baru-baru ini, merupakan seorang daripada 1,450 keluarga termasuk kalangan Orang Asli, yang bakal terlibat dalam projek berskala besar tersebut. Ia dilaksanakan oleh kerajaan dengan hasrat untuk mengangkat kehidupan penduduk miskin tegar di kawasan terbabit ke tahap lebih baik.

Wanita itu dan beberapa lagi peserta perintis projek itu telah diberikan latihan oleh beberapa agensi berkaitan, bagi mendedahkan mereka dengan pelbagai kemahiran mengenai selok-belok pelaksanaan projek tersebut.

Projek Agropolitan Pekan melibatkan kawasan seluas 1,825 hektar dengan kos keseluruhan dianggarkan RM90 juta.

Projek tersebut dilaksanakan melalui pembangunan serantau bersepadu, di mana 700 keluarga miskin tegar akan ditempatkan semula di kawasan baru di Tanjung Batu, Bebar dan Kubang Panjang di Lepar. Sementara 750 keluarga Orang Asli pula terlibat melalui pendekatan 'in-situ'.

Melalui projek tersebut, kerajaan berhasrat dapat mengubah kehidupan golongan miskin tegar dengan meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 kepada kira-kira RM1,500 sebulan.

Projek tersebut juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan setempat dan Pahang amnya, apabila dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 pekerjaan baru.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan aktiviti-aktiviti perniagaan mikro dan industri kecil sederhana (IKS) serta membina masyarakat berdikari dan berdaya saing atau kompetitif.

Sebenarnya, Projek Agropolitan Pekan merupakan satu daripada empat projek agropolitan dalam ECER, termasuk pembangunan Kelantan Utara dan Selatan dan Besut-Setiu di Terengganu.

Justeru, projek tersebut menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan di kawasan luar bandar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pertanian dan perladangan.

Pada masa sama, projek tersebut akan membantu mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, serta menyediakan pendapatan berterusan kepada keluarga miskin di wilayah ekonomi itu, seiring dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

"Projek agropolitan ini merupakan model ekonomi baru yang akan mengukuhkan rangkaian nilai ekonomi melalui pelaksanaan kaedah bersepadu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John ketika taklimat kepada media baru-baru ini.

Beliau berkata, satu keunikan Projek Agropolitan Pekan ialah pelaksanaan aktiviti utama, sekunder dan sokongan untuk para pesertanya.

Di bawah projek ini katanya, perladangan kelapa sawit dan ternakan kambing biri-biri telah dikenal pasti sebagai aktiviti utama.

Ternakan kambing biri-biri di bawah projek itu dijangka menjadikan daerah Pekan sebagai pengeluar kambing biri-biri utama negara pada masa depan.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat tersebut, sebanyak 1,000 ekor kambing biri-biri baka Dorper dari Australia telah dibawa masuk di bawah fasa pertama pada 23 Julai lalu dengan kos hampir RM2 juta.

Aktiviti sekunder projek ini pula antara lain membabitkan aktiviti hiliran berkaitan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri serta industri sarang burung, jahitan, akuakultur, akuaponik dan penanaman cendawan.

Bagi memastikan peserta memperoleh lebih banyak pendapatan daripada aktiviti sokongan atau hiliran, maka beberapa pusat seperti pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan, penyembelihan turut diwujudkan.

Untuk memastikan kejayaan projek tersebut, maka Felda telah diberi peranan sebagai agensi pelaksana utama dalam menguruskan para peserta dan aktiviti-aktiviti berkaitan.

Pemilihan Felda itu dirasakan tepat berdasarkan kepada rekod kejayaan agensi tersebut dalam membangun dan mengangkat kehidupan puluhan ribu warga peneroka Felda di seluruh negara sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sementara Majlis Pembangunan ECER (CERDC) pula akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian projek disiapkan mengikut rancangan.

Selain Felda, agensi kerajaan lain yang terlibat termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut berperanan dalam melatih dan membimbing para peserta.

Apa yang pasti, pelaksanaan Projek Agropolitan Pekan membuktikan komitmen tinggi kerajaan di bawah konsep 1Malaysia, bagi mengubah nasib penduduk luar bandar tanpa mengira latar belakang dan kaum.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat secara total dalam projek ini.