Sunday, February 1, 2009

Israel anggap hanya mereka berhak hidup

Oleh Martin Khor

Serangan yang dilancarkan Israel di Genting Gaza merupakan kejadian terburuk bagi menandakan pembukaan tahun 2009.

Peristiwa ini bukanlah perang membabitkan dua pasukan tentera tetapi serangan yang dilancarkan oleh satu pihak yang dilengkapi kelengkapan canggih terhadap 1.5 juta penduduk yang langsung tidak mempunyai keupayaan.

Tindakan ini merupakan satu jenayah terhadap kemanusiaan yang memalukan "masyarakat antarabangsa" (negara Barat dan Timur Tengah) kerana tidak melakukan apa- apa untuk menghentikan kekejaman Israel.

Di seluruh dunia, berjuta penduduk menunjukkan kemarahan dengan melancarkan protes. Rakyat Malaysia dilihat mendahului melalui banyak demonstrasi dan tunjuk perasaan serta resolusi di Parlimen dalam menunjukkan kebencian terhadap kekejaman Israel dan menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Antara kekejaman Israel ialah pengeboman Ibu pejabat bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kemudahan dan infrastruktur yang dimiliki beberapa pertubuhan kemanusiaan.

Dunia kini semakin jelas membenci Israel, pemimpin mereka memutuskan untuk menghentikan pengeboman di Gaza, namun mereka akan terus melaksanakan pelbagai tekanan terhadap penduduk Palestin termasuklah mengekalkan kehadiran tentera, selain sekatan ekonomi serta menghalang pemberian bantuan seperti makanan dan perubatan.

Satu lagi kekejaman yang nyata oleh Israel ialah penggunaan bom yang mengandungi fosforus yang mampu meninggalkan kesan kecederaan yang parah sehingga membawa kematian dengan cara membakar kulit hingga ke tulang. Penggunaan fosforus putih terhadap penduduk awam telah diharamkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Akhbar Times of London merupakan media pertama yang mendedahkan penggunaan senjata ini pada 8 Januari lepas dan melaporkan bagaimana doktor di hospital Gaza menggambarkan kesengsaraan pesakit yang menderita akibat kebakaran luar biasa yang terlalu dalam dan tidak boleh dikawal.

Kesan penggunaan senjata ini merupakan antara sekelumit dari pelbagai kekejaman yang berlaku terhadap penduduk di Gaza. Memandangkan kawasan sempadan telah ditutup, rakyat Palestin tidak boleh keluar dari zon perang, tidak seperti peperangan lain di mana orang awam bertindak keluar untuk mendapatkan perlindungan di kawasan lain.

Kelancangan Israel dalam melancarkan serangan tidak berhati perut di Gaza adalah kerana mereka mendapat sokongan padu Amerika Syarikat (AS). Ketika Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi supaya gencatan senjata dilaksanakan segera, AS bertindak mengundi untuk berkecuali. Perdana Menteri Israel mendedahkan bahawa dia telah menelefon Presiden George W. Bush supaya tidak menyokong resolusi itu.

Pentadbiran Bush telah menujukan semua kesalahan ini kepada Hamas. Namun AS yang telah membekalkan kebanyakan senjata dan pesawat pejuang dalam perang di Gaza. Negara-negara Eropah juga menunjukkan kekesalan mereka. Walaupun mereka mengecam pembunuhan penduduk awam namun mereka masih belum menarik balik bantuan dan sokongan kepada Israel.

Double standard dan hipokrasi yang didedahkan dalam konflik ini sangat ketara. Ketika berbilion dolar disumbangkan dalam bentuk dana dan senjata kepada Israel secara tetap oleh Barat, namun keadaan berbeza berlaku di Palestin apabila kerajaan yang memerintah Gaza dilarang memiliki senjata.

Oleh itu rakyat Palestin dilarang sama sekali daripada mempertahankan diri ketika berhadapan pengeboman dan serangan yang sangat dahsyat.

Sejak dua tahun lepas Gaza telah dikepung dan bantuan makanan serta pelbagai barangan penting lain dihalang memasuki kawasan sempadan. Apabila Palestin membina terowong bawah tanah melintasi kawasan sempadan Mesir bagi membolehkan penghantaran bahan makanan dan barang penting lain, Israel telah menyatakan tindakan ini sebagai satu jenayah.

Memang benar, senjata telah dibawa masuk melalui terowong ini tetapi kenapa menafikan penghantaran senjata ke Gaza sedangkan senjata besar dan canggih telah dibekalkan ke Israel? Kenapa Israel perlu berasa tidak senang dengan penduduk Gaza memperoleh makanan dan perubatan menggunakan terowong ini sedangkan hakikatnya penghantaran secara sah menggunakan jalan darat dan laut dihalang?

Ramai beranggapan bahawa AS akan berubah dengan nyata di bawah pemerintahan apabila Barack Obama mengambil alih tampuk kuasa. Tetapi ada tanda-tanda menunjukkan beliau akan meneruskan polisi yang sama. Kongres AS pada 10 Januari lepas mengundi dengan majoriti yang besar (390 berbanding 4) untuk terus menyokong Israel dalam langkah-langkah perang yang diambil. Pastinya Obama akan mengambil perhatian yang lebih tentang isyarat ini tanpa sebarang keraguan.

Israel telah melancarkan perang propaganda secara besar-besaran dalam serangan kali ini. Mereka telah menggunakan tempoh gencatan senjata selama enam bulan dari bulan Jun lepas untuk bersiap sedia melancarkan serangan seperti yang diakui oleh pemimpin Israel bahawa mereka telah menetapkan sasaran untuk serangan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

"Apabila serangan bermula, sekelompok diplomat, kumpulan pelobi, bloggers dan para penyokong Israel akan melancarkan mesej yang telah dirangka bagi menunjukkan bahawa mereka adalah mangsa walaupun serangan ini sebenarnya membunuh rakyat Palestin," lapor The Observer of London pada 4 Januari lepas..

Semua ini merupakan sesuatu yang telah dirancang sejak sekian lama, ujar bekas duta Israel ke PBB yang telah dilatih oleh Israel bagi menjalankan usaha-usaha yang telah dirancang mereka.

The Observer turut melaporkan bahawa dalam satu taklimat kepada pelobi mereka, mesej yang sama telah dinyatakan bahawa Israel tidak mempunyai pilihan lain selain melancarkan serangan ke Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan oleh pejuang Hamas. Menurut mereka serangan dilancarkan hanya terhadap terhadap pejuang Hamas dan jika orang awam terbunuh ini adalah kerana Hamas menyembunyikan pejuangnya di kalangan orang awam.

Berdasarkan artikel The Observer, dalam pelan propaganda Israel, Hamas akan digambarkan sebagai pengganas. Tindakan mereka tiada kaitan langsung dengan penjajahan berterusan di tebing Barat, kepungan di Gaza atau pembunuhan berterusan rakyat Palestin sejak mereka dihalau dari Gaza.

Perang media Israel telah memainkan peranan seperti mana yang telah dijangka dalam artikel The Observer. Israel telah menonjolkan bahawa Hamas sememangnya berhak diserang memandangkan Hamas menolak untuk memanjangkan gencatan senjata pada penghujung Disember lepas.

Namun sebenarnya Israel yang telah melanggar gencatan senjata apabila melancarkan serangan udara dan darat pada awal November lalu. Palestin sebenarnya sangat tidak berpuas hati dengan tindakan Israel mengetatkan kepungan di Gaza yang turut mendapat sokongan AS dan Kesatuan Eropah (EU), yang mana tindakan ini telah mengakibatkan bekalan makanan, ubat-ubatan, sumber air dan elektrik semakin berkurangan sebagai satu hukuman kepada penduduk yang telah mengundi Hamas.

Hamas sebagai sebuah kerajaan yang dipilih telah ditonjolkan sebagai penjenayah kerana cuba memperoleh senjata sebagai alat untuk mempertahan diri daripada musuh mereka yang kejam. Namun Israel telah digambarkan tidak bersalah apabila menerima berbilion dolar dalam bentuk persenjataan yang canggih seperti senjata, pesawat pejuang dan kapal perang yang diperoleh kebanyakan dari AS.

Tiada sebarang bantahan dari Barat apabila bom yang mengandungi bahan kimia fosforus digunakan terhadap orang awam. Sasaran yang paling ketara terhadap melibatkan prasarana dan penduduk awam ialah apabila Israel mengebom sekolah di bawah kendalian PBB, yang mengorbankan lebih 40 orang dan pengeboman di satu kawasan perlindungan Palestin yang mengorbankan 30 orang.

Robert Fisk, seorang wartawan terkenal dan pakar Asia Barat berkata, adalah sesuatu yang mengkagumkan apabila ramai pemimpin Barat dan pengarang media telah berterusan mendendangkan pembohongan yang telah digunakan sejak sekian lama bahawa Israel sangat bertanggung jawab dalam mengelakkan pembunuhan membabitkan orang awam.

Beliau menyenaraikan banyak kekejaman Israel yang dilakukan pada masa silam yang disaksikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai wartawan, yang mana ia membabitkan pembunuhan orang awam dengan ketara.

Antaranya ialah peristiwa penawanan Lebanon pada 1992 yang mengorbankan 17,500 orang, peristiwa pembunuhan beramai-ramai Sabra-Shatila membabitkan 1,700 orang awam, pembunuhan beramai-ramai Qana membabitkan 106 pelarian Lebanon di kem pelarian PBB pada 1996, pembunuhan beramai-ramai pelarian Marwahin yang telah diarah keluar dari rumah mereka oleh tentera Israel sebelum dibunuh oleh tentera yang menembak dari atas helikopter pada 2006.

Berakhirkah kekejaman Guantanamo?

Oleh Hafizahril Hamid

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, memulakan penggal pemerintahannya dengan melaksanakan satu tindakan yang dilihat agak drastik iaitu mengarahkan kem tahanan Teluk Guantanamo ditutup dalam tempoh setahun.

Beliau turut mengarahkan pendakwa raya tentera dalam tribunal jenayah perang Guantanamo memohon supaya semua kes ditangguhkan selama 120 hari.

Arahan Obama ini bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau telah menyatakan hasrat ini ketika kempen pilihan raya presiden lalu.

Tindakan ini juga dilihat sebagai usaha Obama memulihkan imej AS yang tercalar teruk di bawah pemerintahan Presiden George. W. Bush.

Bush membuka kem tahanan Teluk Guantanamo sebagai salah satu agenda beliau untuk memerangi keganasan terhadap golongan militan Islam selepas peristiwa rempuhan dua pesawat yang memusnahkan mercu tanda ekonomi AS, Pusat Dagangan Dunia pada pada 11 September 2001.

Kem tahanan Teluk Guantanamo sememangnya menyimpan seribu satu prasangka terhadap umat Islam memandangkan kem itu digunakan sebagai tempat tahanan mereka yang disyaki bersekongkol dengan kegiatan pengganas.

Namun akibat daripada kewujudan kem inilah rekod kemanusiaan dan hak asasi manusia AS tercalar teruk sekali gus merosakkan pengaruh dan kekuasaan mereka di mata dunia.

Pelbagai teknik dan kaedah soal siasat yang kejam digunakan tentera AS untuk mendapatkan rahsia mengenai kegiatan pengganas.

Antara teknik soal siasat yang sering digunakan ialah "Water Boarding" dengan memasukkan air ke dalam mulut dan hidung tahanan - teknik sama digunakan oleh tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu satu ketika dulu.

Pelbagai penderaan lain yang di luar batasan kemanusiaan turut digunakan dan pernah didedahkan di dada akhbar seperti mengarahkan tahanan berbogel, melakukan aksi hubungan seks serta pelbagai lagi.

AS turut bertindak melakukan pelbagai cara yang dilihat sangat menghina kesucian agama Islam seperti mengoyakkan al-Quran, menghina Rasulullah dan menggunakan anjing dalam sesi soal siasat.

Pangkalan

Kem tahanan itu terletak di dalam Pangkalan Tentera Laut AS Teluk Guantanamo serta berhampiran Cuba.

Pangkalan berkenaan mula diduduki AS sejak 1898 berikutan Perang Sepanyol-Amerika ketika itu.

Sebaik tamatnya perang tersebut, Teluk Guantanamo kemudiannya dipajak secara berterusan setelah Presiden Tomás Estrada Palma menawarkannya kepada AS bermula 23 Februari 1903.

Beberapa masalah timbul selepas 1959 memandangkan AS tidak mempunyai hubungan baik dengan Presiden Cuba ketika itu Fidel Castro.

Namun AS masih terus menyewa kawasan tersebut dengan menggunakan pengaruh mereka di peringkat antarabangsa serta kekuatan tentera yang dimiliki.

Selain dijadikan pangkalan tentera, Teluk Guantanamo juga pernah dijadikan penempatan pelarian dari Cuba dan Haiti sekitar tahun 1990-an.

Kem itu mula bertukar sebagai "kem neraka" setelah ia menempatkan tahanan yang didakwa bersekongkol dengan kegiatan pengganas selepas AS melancarkan serangan terhadap Afghanistan pada Oktober 2001 yang didakwa menjadi kawasan penempatan dan latihan pengganas Islam.

Kem tahanan Guantanamo dibuka pada Januari 2002 untuk menempatkan tahanan dan suspek pengganas bagi memenuhi tuntutan Bush yang mengisytiharkan perang terhadap keganasan namun ia hanya membabitkan umat Islam.

Sememangnya terdapat pelbagai kumpulan pengganas dan militan terlibat dalam pelbagai perlakuan jenayah dan keganasan di seluruh dunia namun hanya pengganas Islam yang mendapat perhatian utama dalam kempen AS memerangi keganasan.

Walaupun AS mendakwa perang di Afghanistan dilakukan bagi melumpuhkan kegiatan pengganas namun hakikatnya ia dilancarkan sebagai tindakan balas dendam berikutan peristiwa 11 September.

Kumpulan militan Islam seperti Al-Qaeda dan Taliban dituduh sebagai dalang serangan tersebut dan sejak itu umat Islam di seluruh dunia turut menerima tempias dan dilihat sebagai pengganas.

Kem tahanan Guantanamo yang sebelum ini sunyi secara tiba-tiba digunakan untuk menempatkan tahanan perang yang didakwa bersekongkol dengan pengganas tanpa sebarang bukti yang jelas.

Tahanan dilayan seperti binatang dan mereka tidak dibenarkan mendapat perbicaraan dan pembelaan sewajarnya.

Dianggarkan pada peringkat awalnya lebih 800 tahanan ditempatkan di kem itu termasuklah kanak-kanak dan remaja.

Terdapat tiga kem di di dalam Guantanamo iaitu Kem Delta, Kem Echo dan Kem Iguana serta lebih separuh daripada tahanan ditangkap ketika perang di Afghanistan. Namun tahanan yang ditempatkan di sini terdiri daripada pelbagai keturunan dan warga negara.

Apa yang menjadi persoalan sejak awal penubuhan kem itu sehingga sekarang ialah teknik soal siasat oleh anggota tentera AS yang disifatkan di luar batas kemanusiaan.

Pelbagai teknik kejam digunakan AS atas alasan mendapatkan maklumat berhubung kegiatan pengganas.

Namun hakikatnya teknik sedemikian sengaja digunakan sebagai membalas dendam berikutan kemusnahan dan kematian lebih 3,000 penduduk negara berkenaan yang terkorban dalam peristiwa 11 September.

Dibebaskan

Sehingga kini masih terdapat 245 tahanan yang ditempatkan di situ dan sekurang-kurangnya 525 telah dibebaskan.

Lima daripada tahanan tersebut dilaporkan mati ketika dalam tahanan dengan empat daripada mereka membunuh diri dan seorang lagi akibat mengidap kanser.

Bagaimanapun penutupan kem tahanan Teluk Guantanamo itu bukanlah penyelesaian terbaik bagi menangani kemelut yang dihadapi oleh kebanyakan negara-negara Islam.

Dengan penutupan kem tersebut masalah utama yang timbul ialah di mana tahanan akan ditempatkan terutama mereka yang diklasifikasikan sebagai terlalu bahaya untuk dibebaskan.

Terdapat tiga kategori tahanan yang terdapat di sini selepas proses penutupan iaitu pertama tahanan yang tiada bukti kukuh terlibat dalam kegiatan pengganas dan mereka ini kemungkinan besar akan dibebaskan atau dihantar pulang ke negara asal.

Tahanan kategori kedua pula akan dibicarakan berdasarkan bukti yang diperolehi oleh kerajaan AS.

Manakala kumpulan ketiga ialah mereka yang terlalu bahaya untuk dibebaskan tetapi kebanyakannya tidak mempunyai bukti kukuh untuk didakwa.

Bush sebelum tamat pemerintahannya telah berbincang dengan beberapa negara terutama di Eropah agar tahanan ini dapat ditempatkan di negara mereka. Banyak negara yang tidak bersetuju dengan langkah itu kerana bimbang ia akan menjejaskan rekod kemanusiaan dan hak asasi mereka.

Antara negara yang bersetuju untuk menerima tahanan ini ialah Portugal dan Switzerland.

Persoalan baru yang timbul adakah nasib tahanan ini akan lebih baik jika ditempatkan di negara lain? Tindakan AS itu dilihat hanya sebagai melepaskan beban yang terpaksa ditanggung dan membiarkan negara lain membersihkan segala kesilapan mereka lakukan.

Berkemungkinan besar tahanan yang bakal dipindahkan akan mendapat layanan lebih buruk berbanding sebelumnya.

Terdapat kebimbangan bahawa tahanan yang akan dihantar pulang itu akan menerima hukuman lebih teruk di negara asal mereka.

Tahanan berbangsa Uighur yang beragama Islam, yang sememangnya tidak mendapat layanan yang adil dari China serta tahanan dari Uzbekistan dan Algeria merupakan antara tahanan yang bakal menerima hukuman berat jika kembali ke negara asal.

Dari segi politik, tindakan Obama dilihat mampu mengendurkan ketegangan hubungan antara agama terutama membabitkan dunia Islam.

Langkah ini juga jika ditangani dengan baik mampu mengawal kebangkitan pejuang militan Islam terutama di negara Pakistan dan Afghanistan.

Jika polisi baru yang akan digubal pentadbiran Obama dilihat cenderung ke arah mengembalikan kepercayaan umat Islam terutama dalam menangani perang terhadap pengganas adalah tidak mustahil maruah AS yang tercalar sebelum ini akan kembali pulih.

Namun sebelum itu beliau harus menyelesaikan terlebih dahulu nasib tahanan di Teluk Guantanamo dengan menjamin nasib dan hak asasi mereka lebih terpelihara setelah sekian lama teraniaya.

Jika tidak beliau akan dilihat sebagai pemimpin yang hanya bersikap lepas tangan dan tidak serius menangani masalah walaupun pada awalnya berniat baik memulihkan hubungan dengan negara Islam dan imej sosial mereka yang terjejas akibat kebongkakan Bush.