Tuesday, July 28, 2009

Apa sebenarnya pembangkang mahu?

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

Tidak keterlaluan jika dikatakan sejak akhir-akhir ini banyak permintaan pembangkang 'diperkenankan' oleh kerajaan. Mahu kerajaan perpaduan, kerajaan memberi restu. Mahu suruhanjaya berkaitan kematian Teoh Beng Hock, pantas kerajaan menunjukkan reaksi. Untuk melengkapkan siasatan, ditubuhkan pula inkues bagi mengetahui punca kematian pemuda berusia 30 tahun itu.

Biar pun amat diketahui umum sifat pembangkang, 'perkenan' itu akan berakhir dengan celaan, tuduhan mahupun fitnah, namun segala-galanya ditelan demi rakyat.

Sejak hari pertama kematian Beng Hock, pembangkang tampil dengan idea penubuhan suruhanjaya. Barisan pemimpin pembangkang bekerja keras memperjuangkan suruhanjaya untuk menyiasat segala-galanya berkaitan kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor itu.

Istilah suruhanjaya dijaja di sana sini dan pelbagai usaha lain termasuk mengadakan perhimpunan bertujuan memburuk-burukkan kerajaan dengan bertopengkan alasan menuntut keadilan kematian Beng Hock.

Pelbagai andaian dan rumusan dibuat, termasuk teori-teori konspirasi yang pelik didengar tetapi beria-ia cuba dilekatkan dalam fikiran orang ramai. Malah rumusan awal polis bahawa kematian Beng Hock adalah kematian mengejut, tiba-tiba secara selamba dikaitkan dengan teori pembunuhan oleh pakatan pembangkang.

Begitu juga desakan supaya Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan. Apa rasional idea dangkal itu dilaunglaungkan termasuk oleh penasihat pakatan pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Apa salah Ahmad Said dan Musa dalam kes kematian itu? Sepantas mana pula siasatan mengenai tragedi yang tidak diingini itu dapat dijalankan oleh SPRM dan PDRM sehingga mereka menuntut supaya hasil siasatan segera diumumkan.

Pihak polis di negara manakah agaknya yang mampu menghabiskan siasatan kes 24 jam selepas kematian dan menghebahkan hasilnya kepada umum. Bukankah ada saksi yang perlu dipanggil, ada juga bahan bukti yang mesti dikorek serta pelbagai kemungkinan lain menyebabkan tempoh sehari tidak melayakkan mana-mana kes sekali pun diselesaikan dengan lengkap.

Hakikatnya, pihak polis boleh saja tampil dengan hasil siasatan yang pra-matang. Tetapi jika tuntutan pembangkang sekali lagi 'diperkenankan', maka umpama mengundang musibah. PDRM pasti dikatakan tergesa-gesa dalam siasatan terutamanya jika dapatan yang diumumkan tidak selari dengan kehendak golongan tersebut.

PDRM akan dituduh itu dan ini. Pembangkang hanya akan menutup mulut jika polis mengumumkan penemuan yang memihak kepada mereka. Apakah pembangkang "sesuci malaikat" jauh daripada segala dosa dan noda sehingga mereka layak menilai dan membuat penarafan tentang siapa yang harus meletak jawatan. Mungkin kerana merasakan diri mereka amat mulia, pembangkang tidak habis-habis tampil mendesak satu demi satu pemimpin meletakkan jawatan.

Paling pelik apabila kerajaan membuat keputusan akan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat peraturan siasatan SPRM terhadap Beng Hock, pembangkang terus melenting tidak bersetuju.

Sedangkan sebelum ini, soal peraturan itulah yang beria-ia dibangkitkan oleh mereka. Mereka mendakwa tindakan SPRM memanggil Beng Hock memberi keterangan selama 10 jam bertentangan dengan peruntukan undang-undang suruhanjaya tersebut.

Mereka melaung-laungkan seksyen 30 Akta SPRM - yang kononnya memperuntukkan undang-undang siasatan SPRM hanya boleh berlangsung pada waktu pejabat.

Oleh kerana peraturan siasatan SPRM dikatakan punca kematian Beng Hock, pembangkang mengetengahkan idea, SPRM hanya boleh menyiasat Exco Selangor (negeri pakatan pembangkang) di bangunan kerajaan negeri dan pada waktu pejabat sahaja.

Namun jika diteliti seksyen 30(1) Akta SPRM, langsung tidak dinyatakan tentang siasatan pada waktu pejabat. Tidak ada sepatah perkataan pun merujuk kepada perkara itu. Menyedari SPRM yang baru beberapa bulan dijenamakan semula mungkin masih ada ruang kelemahan yang perlu diperbaiki, maka apa salahnya ditubuhkan suruhanjaya untuk tujuan itu.

Jika soal prosedur siasatan saksi yang dipersoalkan oleh pembangkang maka jawapannya mesti tertumpu ke situ. Sebab itu, apabila pembangkang menolak inkues dan menuntut fungsi suruhanjaya diraja diperluaskan kepada siasatan punca kematian Beng Hock, ada sesuatu yang tersirat di sebalik tersuratnya tuntutan sedemikian rupa.

Adakah kerana pembangkang tahu Akta SPRM sememangnya tidak mengehadkan tempoh siasatan seperti yang mereka dakwa, maka mereka mengalih kepada tuntutan supaya suruhanjaya diraja menyiasat punca kematian Beng Hock pula. Dan jika kerajaan akur kepada tuntutan itu, apa pula yang akan dibangkitkan selepas ini? Tentunya sebagai pengatur strategi dan agenda yang licik, pembangkang telah ada jawapannya.

Pertama, mereka akan membangkitkan keanggotaan suruhanjaya - jika tidak menepati senarai yang disusun sejak awal lagi, pasti timbul dakwaan suruhanjaya tidak telus. Justeru keputusannya akan dipersoalkan.

Kedua, jika keanggotaan suruhanjaya menepati kehendak tetapi ada penemuan yang tidak memihak kepada pembangkang, maka suruhanjaya akan diperlekeh, ditohmah dan dijadikan bahan untuk dipersendakan.

Ketiga, tidak mustahil akan muncul cadangan penubuhan 'suruhanjaya di dalam suruhanjaya' semata-mata untuk memuaskan hati pembangkang lantaran suruhanjaya yang pertama tidak menepati selera mereka.

Paling pelik apabila pembangkang menolak siasatan punca kematian Beng Hock dijalankan oleh inkues. Antara alasan mereka majistret yang kelak mengendalikan inkues tersebut muda-muda belaka. Rasionalkah alasan itu dilontarkan oleh cerdik pandai dalam pakatan pembangkang? Sedangkan telah banyak inkues sebelum ini termasuk atas permintaan pembangkang tetapi tidak pula dikaitkan dengan usia serta kebolehan majistret yang mengendalikannya.

Bukankah sepatutnya keputusan inkues itu dialu-alukan kerana segala-galanya boleh didedahkan dan akan terdedah, selaras dengan ketelusan yang sentiasa bermain di bibir pihak pembangkang.

Dan inkues bukan berhenti setakat itu. Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusannya boleh mengemukakan permohonan untuk semakan semula. Maknanya ruang untuk penambahbaikan atau mengubat rasa tidak puas hati masih ada, justeru tidak ada sebab pembangkang menolak keputusan Kabinet. Seperti mana agenda pembangkang yang begitu rapi dan amat berstrategi untuk menolak semua yang diputuskan kerajaan, maka di pihak kerajaan juga mesti ada strategi yang berkesan.

Penolakan penubuhan suruhanjaya diraja dan inkues semata-mata bertujuan menanam rasa tidak percaya rakyat terhadap keputusan kerajaan. Kelak penyokong pembangkang akan bersama-sama mempersoalkan penemuan suruhanjaya dan inkues terutamanya jika ia tidak memihak kepada mereka. Tidak mustahil juga banyak maklumat yang ingin disembunyikan. Sebab itu, baik suruhanjaya mahupun inkues yang diputuskan kerajaan tidak mendapat tempat di hati mereka.

Kejayaan pertama pembangkang di sebalik kematian Beng Hock adalah mengalih perhatian rakyat terhadap isu penyelewengan Exco Kerajaan Negeri Selangor. Keduanya, menanam persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap agensi penguat kuasa undang-undang iaitu SPRM dan PDRM.

Beberapa minit selepas penemuan mayat, pembangkang tampil dengan deretan reaksi dan desakan, mereka juga pantas cuba meranapkan imej SPRM dan PDRM. Usaha itu tidak pernah berakhir dan tidak akan berakhir. Kerajaan mesti bertegas. Melayan kehendak pembangkang tidak akan membantu daripada sudut apa sekali pun. Justeru setiap keputusan perlu menampakkan ia bukan disebabkan desakan, sebaliknya kerana ia sememangnya wajar diputuskan begitu.

Wednesday, July 22, 2009

Pateri 'ikatan persaudaraan'

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

RINGKAS tapi bermakna. Itu kesimpulan lawatan dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Brunei Darussalam. Biar pun kunjungan ke Bandar Seri Begawan bukan sesuatu yang asing bagi Perdana Menteri, namun lawatan yang berakhir semalam membawa makna tersendiri.

Najib hadir untuk bertemu pemimpin tertinggi Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri. Kedua-dua pemimpin ini sempat bertemu ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Pattaya baru-baru ini. Namun pertemuan tersebut hanya mengambil masa kira-kira 10 minit.

Tentunya tidak banyak yang dapat diperkatakan pada pertemuan sesingkat itu. Sementelah ketika itu, Najib baru beberapa hari memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri setelah mengambil alih teraju pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun Sultan Hassanal Bolkiah sempat mempelawa Najib berkunjung ke negaranya. Dan bermula kelmarin, Perdana Menteri Malaysia yang keenam itu merealisasikan jemputan tersebut, menuruni anak tangga pesawat peribadi menjejakkan kaki ke bumi Darussalam dengan membawa misi yang besar.

Hakikatnya, Brunei-Malaysia berkongsi sempadan. Bukan setakat sempadan negara, malah banyak lagi persamaan yang boleh dibanggakan oleh rakyat kedua-dua negara. Bahasa pertuturan, agama, keturunan bangsa, malah rupa paras dan warna kulit menceritakan segala-galanya tentang kebanggaan rumpun bangsa itu.

Namun semacam ada ketidaksempurnaan apabila memperkatakan tentang keintiman hubungan antara kedua-dua negara. Biar pun ikatan 'persaudaraan' telah terjalin sejak sekian lama namun masih banyak kekurangan di sana sini yang mesti dirungkai.

Malaysia dan Brunei mesti tampil sebagai jiran yang menjaga hati jiran - jiran yang memakmurkan jiran. Kedua-dua negara tidak boleh lagi dilihat sebagai sehati sejiwa kerana faktor geografi semata-mata.

Sebab itu biar pun tidak sampai 48 jam berada di negara itu, ada manfaat besar yang dibanggakan oleh Perdana Menteri. Kesempatan bertemu secara empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman menceritakan betapa hakikatnya hubungan Malaysia-Brunei bukan sekadar melingkari masalah persempadanan darat dan maritim yang menarik perhatian banyak pihak.

Ada banyak bidang lain yang perlu dibincangkan di antara pemimpin kedua-dua negara. Masih banyak ruang yang boleh diteroka untuk menampakkan kepada dunia bahawa antara Malaysia dan Brunei ada ikatan yang tidak akan terungkai sebaliknya ia kelak dipateri menerusi kerjasama yang lebih erat.

Masih banyak tanah yang boleh dijelajah oleh kedua-dua pihak untuk merealisasikan usaha tersebut selaras dengan komitmen serta semangat serumpun sebangsa yang menjadi kebanggaan bersama.

Bagi Perdana Menteri dijemput dan mendapat peluang mengadakan pertemuan dengan salah seorang pemimpin terkaya dunia itu bukan calang-calang.

Justeru biar pun program awal menetapkan 15 minit untuk pertemuan tersebut dilangsungkan namun ia tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Namun ternyata pertalian jiran sepakat membawa berkat antara kedua-dua pemimpin mengheret pertemuan lebih sejam daripada masa yang diperuntukkan.

Tentulah peluang keemasan itu umpama tuah kepada Perdana Menteri lantaran banyak perkara yang boleh disentuh, diadun dan dicanai supaya hasilnya kelak tidak menghampakan mana-mana pihak. Semestinya untuk rakyat di kedua-dua negara di mana tempat tumpahnya rahmat kerjasama yang sedia terjalin dan bakal dipereratkan lagi itu.

Paling nyata ialah peluang untuk negara yang terkenal dengan sumber minyak dan gas asli itu melabur di wilayah paling intim iaitu di Sabah dan Sarawak. Hubungan mereka bukan sekadar menyebut Limbang atau kekerapan mengunjungi Kota Kinabalu. Sebaliknya, hubungan kedua-dua negara boleh dirancakkan lagi menerusi pelaburan di situ terutamanya dalam projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score).

Di situ usaha-usaha mesti dirancakkan sambil tidak mengetepikan koridor pembangunan Iskandar Malaysia di Johor yang ternyata telah menarik minat negara tersebut yang telah pun menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan petugas bagi mengkaji peluang-peluang pelaburan di situ.

Di situlah kelebihan waktu tambahan sejam yang diperuntukkan oleh Sultan Hassanal Bolkiah kepada Perdana Menteri, lantaran bentuk kerjasama serta bidang-bidang baru yang ingin diteroka dapat sekurang-kurangnya diperincikan.

Lebih daripada itu, hubungan dua hala Malaysia-Brunei melangkaui negara-negara lain, manakala dipayungi pertubuhan yang sama iaitu ASEAN merupakan instrumen untuk memantapkan jalinan sedia ada.

Hubungan negara berjiran itu juga tidak harus berat sebelah. Brunei sendiri membuka ruang yang besar kepada syarikat-syarikat swasta untuk meneroka peluang di sana. Ada projek perumahan yang tendernya dibuka kepada syarikat Malaysia - malah sudah ada pun syarikat berjaya membida tender projek kerajaan itu. Projek juga telah dimulakan awal bulan ini.

Sejajar dengan hasrat Brunei untuk menumpukan perhatian kepada bidang perindustrian, maka lebih banyak peluang dibuka kepada pelabur luar terutamanya Malaysia. Di situlah hubungan dua hala kedua-dua negara, yang biar pun telah terjalin sejak sekian lama, namun peluang serta ruang seperti dibiarkan begitu sahaja oleh adik beradik berlainan 'ibu dan bapa ini'.

Begitu juga dengan bidang pertanian, pelancongan dan pertahanan yang kesemuanya mendapat perhatian kedua-dua pemimpin tanpa satu pun tercicir.

Misi Perdana Menteri bersama delegasi negara menjadikan Brunei destinasi pengukuhan hubungan dua hala amat tepat. Rakyat kedua-dua negara mesti membuka mata bahawa mereka mempunyai jiran yang boleh diharap bukan sahaja untuk kemakmuran bersama malah mampu menyumbang kepada kesejahteraan serantau.

Apatah lagi dalam keadaan Sultan Hassanal Bolkiah memulihara dan memartabatkan institusi raja-raja Melayu maka keunikan hubungan Malaysia-Brunei mesti dijaga dan dipastikan darjah 'kemuliaannya'.

Kunjungan singkat dua hari sebenarnya merupakan permulaan yang berjaya untuk Najib yang baru bergelar Perdana Menteri. Tempoh sejam 15 minit bukan sekadar memperbaharui hubungan sedia ada - lebih penting ia menjadi landasan untuk mewujudkan kerjasama lebih mantap demi masa depan dua negara yang berkongsi banyak persamaan.

Bagi membuktikan kesungguhan itu, Ogos ini delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri sekali lagi akan kembali ke tanah Darussalam. Pertemuan tersebut pastinya dinanti-nantikan lantaran banyak perkara yang mesti menyusul hasil pertemuan pertama supaya 'ikatan' yang terjalin terus membuahkan hasilnya.

Orang Melayu perlu bijak tangani provokasi

SEDARKAH kita rentetan peristiwa yang berlaku mutakhir ini baik dari segi politik, agama dan budaya menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada masyarakat di negara ini. Lebih membimbangkan apabila peristiwa itu amat berhubung kait dengan intipati Perlembagaan Persekutuan. Setiap peristiwa yang berlaku menyentuh elemen-elemen penting yang terkandung di dalam tonggak pembentukan negara bernama Malaysia itu. Ia bermula dengan dengan tindakan mahu mengheret Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke mahkamah semata-mata kerana tidak mengiktiraf pelantikan Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Sultan dicemuh, diperlekehkan dan dihina - hanya kerana baginda berfungsi mengikut budi bicara dan kuasa yang ada. Cuma malangnya keputusan Sultan Perak berpihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Itu yang menjadi punca institusi diraja diperlakukan sedemikian rupa. Keadaan seperti itu tidak berlaku selepas pilihan raya umum Mac 2008, ketika Sultan juga menggunakan budi bicara dan kuasanya untuk menerima pakatan tiga buah parti bagi menubuhkan kerajaan negeri. Biar pun parti-parti itu bertanding atas tiket masing-masing dan induknya 'pakatan pembangkang' tidak didaftarkan secara sah dan rasmi.

Senyap sunyi wakil rakyat tiga parti ketika itu - tidak diketahui sama ada mereka berterima kasih kepada Sultan Perak. Yang pasti istana tidak diperlekeh jauh sekali ada niat untuk mengheret penaung negeri itu ke mahkamah. Semuanya itu kerana keputusan baginda memihak kepada pakatan pembangkang. Suasana sebegitu tidak berlaku sekarang. Istana bukan sahaja ditentang malah 'ditelanjangkan' di blog-blog. Institusi raja dipijak dan dijadikan bahan senda gurau. Yang aktif berbuat demikian adalah anak-anak muda yang hingga ke satu peringkat bersepakat mahu membuang institusi raja.

Bagi mereka institusi raja tidak ada gunanya justeru mereka bersetuju dengan tindakan Karpal Singh (yang bukan bangsa Melayu) mahu mengheret raja ke mahkamah. Begitu juga dalam kemelut di Parlimen - ketika mana institusi yang fungsi dan peranannya tercatat di dalam Perlembagaan secara begitu jelas, ada saja cubaan untuk menurunkan martabatnya. Parlimen yang menjadi pelindung kepentingan intipati Perlembagaan termasuk kemuliaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dijadikan platform untuk menggesa supaya bahasa lain diiktiraf di agensi kerajaan.

Mengapa begitu? Perlukah dicadangkan bahasa Mandarin turut digunakan di agensi kerajaan? Perlukah juga dijadikan alasan bahawa sistem pendidikan di negara ini menjadi punca seseorang itu gagal mengusai bahasa Melayu? Sedangkan hakikatnya apabila kerajaan sebut sahaja tentang sekolah satu aliran menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, melentinglah puak yang tempang bahasanya. Puak yang mendakwa rakyat Malaysia sejati ketika menuntut ekuiti tapi pelat sebutan bahasanya umpama tiada jati diri - masih enggan mengaku bahawa masalah penguasaan bahasa kebangsaan berpunca daripada keegoan mereka enggan tunduk kepada satu sistem persekolahan. Tidakkah kita sedar bahawa masih ramai rakyat Malaysia berketurunan bukan Melayu masih tidak boleh bertutur menggunakan bahasa kebangsaan dengan fasih. Bukan sahaja tergagap-gagap malah bunyi sebutan mereka juga amat memalukan kadang-kadang memualkan sehingga menimbulkan tanda-tanya bangsa apa agaknya mereka ini. Di mana agaknya mereka dilahirkan? Lebih menjengkelkan apabila wujud saranan supaya bahasa Mandarin digunakan di agensi-agensi kerajaan. Ketika kerajaan berusaha mahu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu termasuk di mahkamah, cadangan itu semestinya tidak dilihat sebagai positif jauh sekali membantu merapatkan hubungan masyarakat di negara ini. Jika benar niat si pencadang itu ikhlas maka terimalah sekolah wawasan yang mampu membentuk penguasaan bahasa rakyat pelbagai kaum. Terimalah juga sekolah kebangsaan yang matlamatnya menyatukan pelbagai bangsa, ketika itu barulah boleh dimasukkan subjek bahasa Mandarin dan bahasa-bahasa lain. Janganlah dipasang papan tanda pelbagai bahasa yang boleh mengelirukan rakyat dan memberi gambaran betapa gagalnya bahasa Melayu menjadi alat penyatu bangsa di negara ini.

Tidaklah kelak kerajaan dan sistem pendidikan negara dipersalahkan apabila ada kalangan rakyat terutama yang memegang jawatan tinggi tidak cekap menguasai bahasa Melayu. Begitu juga dengan isu bumiputeraisme vs aparteid yang cukup untuk kita membuat kesimpulan bahawa bukan sahaja penguasaan bahasa mereka lemah, malah pengetahuan sejarah juga cetek sehingga melahirkan kenyataan yang amat dangkal itu. Mengapa dasar yang matlamatnya juga terkandung di dalam Perlembagaan - bukan sahaja untuk kepentingan Melayu malah demi memakmurkan bangsa lain - diungkit sedemikian rupa. Wajarkah Dasar Ekonomi Baru (DEB) disamakan dengan aparteid sedangkan ada bangsa lain yang turut kaya raya kerana DEB juga. Soalnya satu demi satu isu yang termaktub di dalam Perlembagaan berkaitan dengan Melayu diungkit dan dipersoalkan. Ada ketikanya diperlekehkan sehingga membangkitkan kemarahan Melayu. Mengapa begitu, jika tidak ada agenda provokasi di pihak-pihak tertentu sengaja mahu menyakiti hati Melayu sehingga tidak mustahil tercetusnya demonstrasi yang boleh melemahkan negara. Dan ketika itu tentulah Melayu akan dipersalahkan walaupun yang mencetuskan provokasi adalah bangsa lain. Sebab itu tiada rasa hormat jauh sekali segan silu untuk memanggil pemuda Melayu sebagai celaka - lantaran kerana tiada tindakan diambil terhadap mereka.

Kepada bangsa Melayu - usah dilayan segala provokasi yang agenda tersembunyinya ialah supaya bangsa Melayu dipersalahkan dalam semua hal.

Matlamatnya ialah supaya bangsa Melayu melakukan amuk dan kesannya ialah orang Melayu dipandang rendah. Bertindak bijak tangani provokasi ini.

Perihal keadilan dan ilmu

SEMUA tradisi agama telah sedikit-sebanyak cuba untuk memahami dan mengupas soal perihal keadilan. Sejumlah sarjana Muslim sejak dulu membahaskan persoalan tersebut.

Dua punca rujukan utama ialah al-Quran dan Sunnah, dengan maksud membimbing orang Islam bagaimana mengendalikan urusan mereka secara adil di dunia sebagai persiapan ke Akhirat. Sumber-sumber terpenting itu mendirikan satu pandangan alam yang perlu ditafsir selaras dengan kemampuan akal yang melengkapi diri insani.

Menghela pengaruh ahli-ahli falsafah Yunani dan neo-Platonik, failasuf Muslim telah membangunkan satu faham keadilan yang terbit dari akal-fikiran. Mereka mengagaskan erti keadilan yang tabi'i, natijah dari sifat diri insani, abadi dan tiada mengalami perubahan hasil sumber rujukan utama ilmu mengenai keadilan; dari sini, sesiapa sahaja boleh mengesan adanya keserasian antara pengertian keadilan mereka dengan keadilan Ilahi. Bagi failasuf Muslim, pengertian keadilan dicapai menerusi olahan akal fikiran yang munasabah yang tidak bercanggah dengan ilmu wahyu perihal mauduk yang sama, ini kerana hakikatnya akal-fikiran menyediakan alasan bagi keadilan Ilahi. Kita boleh membuktikan hujah mereka dengan menggunakan burhansstidlali berikut. (1) Tuhan mencipta manusia. (2) Manusia ditakrifkan sebagai makhluk yang berakal. Ciri akali tersebut membezakan manusia daripada segala makhluk yang lain. (3) Seandainya Tuhan menciptakan manusia, dan manusia dikurniakan kekuatan akal, maka erti keadilan yang dicapai melalui akal diilhamkan oleh Tuhan yang Esa.

Plato menegaskan bahawa keadilan merupakan 'himpunan segala kebaikan'. failasuf Muslim juga menilai keadilan ('adalah) sebagai kebaikan yang paling menyeluruh. Keadilan sangat akrab kalaupun tidak semakna dengan kebenaran, kebaktian dan kebaikan; yang bercanggah dengannya. Dengan itu, keadilan boleh diperikan kepada semua perkara; perilaku manusia sah boleh diukur dengan nilaian keadilan. Dalam hal ini, keadilan boleh ditakrifkan sebagai keadaan pertengahan yang terletak antara dua keadaan melampau. Dari satu sisi, sesuatu perlakuan boleh dikategorikan sebagai melampau jika ia lebih daripada apa yang diperintah atau disyaratkan. Dari sisi lain pula, sesuatu perlakuan boleh dikategorikan sebagai melampau sekiranya ia kurang daripada sukatan ukur yang disuruh atau dituntut.

Menurut sarjana Muslim, matlamat keadilan adalah untuk memimpin manusia ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat, ia tidak terhad hanya kepada perundangan atau budi pekerti sahaja. Sesungguhnya, keadilan turut merangkum bidang siasah. Kita boleh membuktikannya dengan sekali lagi merujuk kepada para sarjana Muslim yang memahami keadilan selaras dengan tiga pemeringkatan yang bermula dengan akhlak (ethics), selanjutnya ekonomi (tadbir al-manzil), berpuncak kepada siasah (politics). Jelas terlihat bahawa, supaya manusia boleh hidup selaras dengan fitrahnya, supaya manusia boleh mewujudkan damai dalam keluarganya, dan supaya manusia boleh berkhidmat kepada masyarakat, manusia tersebut mestilah bersifat adil. Contohnya, apabila seseorang itu adil kepada dirinya dia akan mengendalikan urusannya dengan bijak dan bersederhana. Begitu juga, jika hubungan antara anggota keluarganya berdasar kepada keadilan, maka akan wujudlah kedamaian dan kesejahteraan. Apabila masyarakat ditadbir oleh tertib siasah yang adil, ia menzahirkan kesempurnaannya dan penuh kepuasan.

Berkenaan para mutakallim dan sufi, makna keadilan sama dengan kebijaksanaan (hikmah). Menurut Ibn al-'Arabi, keadilan bererti memberi pada tiap sesuatu akan haknya, berkelakuan yang sesuai dengan apa yang patut dan betul, dan apa yang betul itu merupakan hikmah. Dari sini, jelas bahawa, hikmah adalah asas keadilan. Takrif keadilan yang diusulkan oleh Jalal al-Din Rumi merupakan penegasan semula pengertian sama yang telah dirumus oleh mereka yang terdahulu. Menurut beliau, keadilan bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Lebih dekat dengan zaman kita ini, al-Attas mentakrifkan keadilan sebagai "keadaan sesuatu yang berada di tempatnya yang betul." Oleh kerana itu, menurut beliau, kezaliman adalah "meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang betul; iaitu kekurangan atau berlebihan daripada batas-batas tempat yang betul, yang dengan itu menimbulkan kejanggalan dalam tertib semesta."

Keadilan dan hikmah berkongsi maksud dan makna yang akrab, ertinya tidak terpisahkan. tanpa adanya hikmah, keadilan semata-mata tidak mungkin dapat difahami, apatah lagi dizahirkan.

Kita telah cuba memberikan gambaran bahawa keadilan merujuk kepada apa yang tepat, wajar dan betul. Tetapi bagaimana pula dengan perlakuan yang kelihatan kepada manusia sebagai zalim, sedangkan pada hakikatnya tepat, wajar dan betul pada pandangan Tuhan. Apa yang pada zahirnya zalim, atau ditanggap sebagai kejadian aniaya, mungkin pada hakikatnya adalah adil. Oleh kerana umumnya manusia menilai perlakuan dari rupa luarannya, ada kecenderungan untuk menilai perlakuan dari segi zahir dan bukan seperti hakikat yang sebenarnya.

Apa agaknya penunjuk-penunjuk keadilan? Singgahsana tempat keadilan bertakhta adalah ilmu sebenar; justeru, penunjuk terpenting erti keadilan adalah ilmu yang betul. Ilmu tersebut bukanlah dalam erti yang mujarrad tetapi, sebaliknya, pengamalan dan hala-tuju ilmu. ilmu terzahir menerusi perilaku. Sebagai contohnya, sidang majlis segolongan mereka yang mengaku kononnya ulama', yang mewartakan pendapat mereka mengenai persoalan tertentu yang mereka pada hakikatnya jahil. Bayangkan bahawa apa yang mereka anggap sebagai masalah besar menggugat akidah sebenarnya cuma satu upacara riadah senaman yang diamalkan oleh satu tradisi yang datang dari luar lingkungan mereka yang tidak pernah dianggap sebagai satu masalah oleh para ilmuwan tulen di sepanjang 1400 tahun tamadun Islam. Enggan mendedahkan hakikat sebenar mereka sendiri, yang jahil mereka menyimpulkan bahawa sebahagian mantera yang diungkapkan sebelum, semasa dan di sepanjang upacara senaman tersebut boleh menghakis akidah masyarakat Islam, meskipun pengucapannya dalam bahasa yang asing daripada sistem penamaan, peristilahan dan perbendaharaan kata mereka sendiri dan tidak memberi sebarang erti untuk difahaminya, apatah lagi masyarakat awamnya. Kemudian bayangkan, sebagai hasilnya, mereka telah menyebabkan anggota-anggota masyarakat mempersoalkan kesahihan akidah mereka sendiri. Bayangkan sidang majlis itu enggan mengakui kesalahan mereka meskipun telah dibuktikan betapa silapnya hujah mereka. Andainya, seperti yang mereka dakwa, ungkapan tersebut boleh meruntuhkan akidah seseorang, maka mengapakah ia dibaca? Bagaimanakah akidah masyarakat boleh tergugat oleh sesuatu yang mereka tidak faham? Jelas mereka tidak faham tempat ilmu yang betul, tempat yang layak bagi diri mereka dalam bidang ilmu, dan tempat yang tepat mengenai perkara yang dibicarakan.. Mereka tidak berlaku adil. Disebabkan keadaan masyarakat telah menjadi kecundang lagi keliru akibat kezaliman mereka, dan kebenaran ilmu yang telah mereka cemari, mereka perlulah diletakkan di tempat yang sewajarnya agar keadilan dijayakan. Apakah tempat yang wajar bagi mereka? Mereka perlu dikeluarkan dari perkumpulan ulama sejati dan kezaliman mereka ditegur dengan sekeras-kerasnya. Mereka sepatutnya tidak lagi dibenarkan memberikan pandangan kerana tidak memperlihatkan adab kepada martabat diri sendiri, ilmu yang benar, maratib ilmu, para ilmuwan tulen, kemanusiaan, dan kepada Tuhan yang Esa.

Bagaimana pula andainya ada sekumpulan Muslim di zaman kita yang mengangkat sebagai pemimpin mereka seorang lelaki yang memanggil dirinya sebagai Rasul Allah, sedang mereka sentiasa percaya lelaki yang kononnya pemimpin mereka itu benar-benar seorang yang berilmu mengenai Tuhan, yang niatnya semata-mata untuk membimbing para pengikutnya ke arah keselamatan dan kebahagiaan. Kebebalan kelompok Muslim ini sangatlah terserlah; pertama, adalah palsu untuk mendakwa ada Pesuruh Allah yang lain selepas Nabi Muhammad. Kedua, adalah satu kecurangan untuk mendakwa menjadi seorang rasul tanpa adanya risalah. Akhir sekali, kalaulah sesiapa itu benar-benar memiliki risalah, adalah satu kepalsuan untuk mendakwa Islam sebagai agama anda sekiranya risalah yang didakwa itu lain dari al-Qur'an, satu-satunya risalah yang telah diperlengkapkan dan disempurnakan semasa hidup baginda. Kita boleh menyimpulkan bahawa kelompok tadi adalah zalim.

Bagaimana pula jika ada sekelompok Muslim memanggil kumpulan mereka menggunakan satu daripada asma'ul husna, seperti al-Qadim, dan mendakwa bahawa niat mereka adalah untuk 'kembali ke jalan Islam yang sebenar'. Kejahilan kelompok ini juga jelas kepada mereka yang berilmu. Pertama-tamanya, 'kembali ke jalan sebenar Islam' mengandaikan wujudnya 'jalan Islam yang salah'; ini adalah karut oleh kerana pada hakikatnya Islam adalah satu-satunya jalan yang benar. Dari sini, bolehlah kita usulkan bahawa pengamalan dan hala-tuju ilmu sebagai penunjuk bagi keadilan. Bagaimana untuk mengukur penerapan dan kegunaan ilmu? Melalui kegiatan akliah; sekiranya kegunaan tersebut menghala kepada kebebalan dan kekeliruan, kezaliman telah terhasil. Sebaliknya, jika kegunaan tersebut menuju kebenaran dan pemecahan masalah sambil membawa kefada faham yang bermakna, maka keadilan telah tertunai.

Pertahan integriti kehakiman

PERLEMBAGAAN Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, satu dokumen perundangan yang komprehensif, mengandungi 15 bahagian dan 183 perkara. Menyentuh aspek-aspek negara, tunggak-tunggak utama negara terdiri daripada badan perundangan, badan eksekutif, badan kehakiman serta institusi Raja Berperlembagaan.

Terkandung di dalam perlembagaan itu garis panduan kaedah membentuk kerajaan, serta bidang kuasa kerajaan.

Perlembagaan Persekutuan, digubal untuk dijadikan landasan mengurus tadbir negara, menentukan parameter pemikiran dan kebebasan rakyat, menggariskan peranan pelbagai institusi, menyediakan mekanisme semak dan imbang untuk menjamin berlakunya urus tadbir negara yang adil lagi saksama.

Perlembagaan Persekutuan merangkumkan manifestasi persetujuan yang dicapai bersama di antara penduduk di negara ini. Ia dirangka secara komprehensif dengan menyentuh aspek-aspek agama, negara, kaum, budaya dan bahasa.

Semangat utama yang tersirat di sebalik penggubalannya adalah untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang stabil, aman, bersatu padu dan makmur, yang akan dicapai melalui ikatan perpaduan dan penyatuan di antara warga yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.

Ia menggariskan jaminan hak seseorang warga di dalam negara, dengan segala perimbangan, dalam semangat memberi dan menerima, dengan persefahaman bahawa ada yang mendapat nikmat serta merta, sementara ada pula yang perlu diberikan jaminan jangka panjang.

Perlembagaan itu digubal sedemikian rupa bagi menjamin berlakunya keadilan, memberikan perlindungan secara saksama baik kepada yang kuat mahupun yang lemah, baik kepada kumpulan majoriti mahupun kepada kumpulan minoriti, baik kepada yang memerintah mahupun yang diperintah, baik yang melindungi Raja begitu juga yang melindungi rakyat.

Ia dihasilkan pada Ogos 1957, digubal dengan melihat pelbagai dimensi. Ia adalah dokumen yang unik yang tidak ada persamaan dengannya.

Dokumen tersebut mengandungi ciri-ciri penting model Westminster yang dibina di dalam ciri-ciri tradisi masyarakat Melayu. Ia digubal dengan memastikan adanya dacing pengimbang bagi menjamin terlaksananya keadilan.

Ia tidak digubal secara terburu-buru, sekadar untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi diunjurkan untuk memberi perlindungan yang berterusan, dengan mengambil kira faktor-faktor sejarah dan salasilah kelahiran sebuah negara baru, sebuah negara merdeka, dikenali pada mulanya Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, kemudiannya Malaysia pada 1963.

Persekutuan Tanah Melayu adalah sebuah negara baru, terdiri dari sembilan negeri Melayu dan dua negeri Selat. Persekutuan dilahirkan setelah mendapat perkenan raja-raja dan penerimaan rakyat Tanah Melayu dan kemudiannya dipersetujui kerajaan Inggeris.

Enam tahun selepas itu, pada 16 September 1963, ia berkembang menjadi sebuah negara Malaysia dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura. Singapura kemudiannya berpisah dengan Malaysia pada 1965.

Semasa menerima ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, agama dan adat resam.

Maka seharusnyalah diperingatkan bahawa mesti ada suatu asas untuk ditumpukan perhatian. Dalam konteks ini, Malaysia wujud dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak Kesultanan Melayu Melaka. Perkataan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Persekutuan Tanah Melayu masih wujud dalam undang-undang kita.

Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat ini yang melahirkan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.

Tercapai muafakat, bahawa setiap warga terjamin diberi perlindungan secara adil - secara saksama; terpahat kesediaan mengakui hakikat bahawa anak pribumi itu amat jauh ketinggalan daripada segi pencapaian sosio ekonomi, kekayaan, penguasaan harta dan kemahiran.

Bahawa kebimbangan pribumi perlu difahami dan untuk itu orang-orang Melayu demikian juga bumiputera diberikan jaminan melalui peruntukan-peruntukan tertentu yang memberikan mereka keistimewaan. Pada masa sama, orang-orang bukan Melayu yang berhijrah ke bumi ini, yang memperlihatkan kesetiaan kepada raja dan negara, yang mengamalkan sikap "di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung", diberi perkenan untuk diterima sebagai rakyat Malaysia.

Begitulah faktor-faktor yang diberikan pertimbangan ketika Perlembagaan Persekutuan digubal oleh Suruhanjaya Reid. Ahli-ahli suruhanjaya itu dianggotai oleh pakar-pakar dari luar negara yang memiliki kepakaran dalam common law dan hal ehwal perlembagaan.

Lord Reid adalah seorang tokoh perundangan United Kingdom manakala Sir William McKell pula pernah menjadi Governor-General Australia.

Hakim B. Malik memiliki pengalaman membuat tafsiran Perlembagaan India dan bertanggungjawab membantu merangka Perlembagaan Pakistan. Begitu juga Hakim Abdul Hamid dari Pakistan. Profesor Sir Ivor Jennings pula adalah dari Universiti Cambridge, seorang tokoh akademik terkemuka dalam bidang perlembagaan.

Walaupun Ahli-Ahli Suruhanjaya Reid dianggotai oleh warga negara asing, tetapi mereka memperlihatkan kefahaman mendalam tentang sejarah dan politik Tanah Melayu.

Komponen paling penting yang diterima oleh Suruhanjaya Reid adalah aspek "kontrak sosial". Ia digubal dengan bahasa jelas untuk dipertimbangkan oleh Raja-Raja Melayu, wakil-wakil Kerajaan Persekutuan yang mewakili penduduk berbilang kaum serta kerajaan Inggeris.

Perlembagaan yang dihasilkan itu mencerminkan kontrak sosial antara rakyat pelbagai kaum. Orang bukan Melayu mendapat status kerakyatan sementara bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan bumiputera diberikan perlindungan di bawah kuasa Majlis Raja-Raja.

Kemasukan komponen kontrak sosial di dalam perlembagaan itu merupakan satu pengakuan dan penerimaan hakikat, bahawa penduduk di bumi ini bukan sahaja pluralistik sifatnya, bukan sahaja berada dalam tahap pencapaian sosioekonomi yang berbeza, tetapi tahap pencapaian sosio ekonomi itu pula ada kaitan dengan identiti kaum.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berserta rakan-rakannya berjaya menyatukan penduduk yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa sebelum dapat meyakinkan Inggeris yang mahu berlengah-lengah memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Almarhum berjaya menyemaikan benih kontrak sosial atas sifat tidak rasis atau racial unselfishness yang menjadi prinsip pegangannya iaitu sebuah negara yang bersatu boleh dibina dengan tidak perlu mengorbankan budaya dan adat resam mana-mana komuniti.

Antara perkara lain yang perlu ditegaskan turut terkandung di sebalik Perlembagaan itu ialah prinsip untuk menjamin sistem berkerajaan hendaklah diasaskan kepada undang-undang dan tidak berpaksikan individu. Mekanisme 'semak dan imbang' yang terkandung dalam Perlembagaan berperanan penting untuk membina asas sistem kerajaan berlandaskan undang-undang, demi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang memiliki kuasa secara mutlak tanpa sekatan. Di sebalik setiap kuasa, ia tertakluk kepada sempadan perundangan untuk mengelak daripada berlakunya pemerintahan bercorak diktator.

Maka itu, perlu dipertahankan peranan kehakiman yang profesional dan berintegriti serta bebas dari pengaruh mana-mana pihak. Para hakim mempunyai tanggungjawab besar memastikan kedaulatan undang-undang dan integriti mahkamah. Jika mereka gagal memenuhi amanah tersebut, akan berlakulah ketidakseimbangan.

Kesetiaan para hakim adalah kepada keadilan yang bersandarkan undang-undang. Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, para hakim terdedah kepada penilaian umum kerana telah dibina mekanisme di peringkat mahkamah lebih tinggi, dengan panel hakim yang lebih ramai, untuk menyemak sesuatu penghakiman.

Beta sentiasa merujuk kepada kata-kata Lord Atkinson bahawa "perbicaraan awam itu adalah perlindungan paling penting untuk memastikan keadilan dilaksanakan secara murni, cekap dan tidak memihak serta merupakan cara terbaik untuk mendapat keyakinan dan penghormatan rakyat".

Selagi kerajaan dan mana-mana pihak berkuasa mengurus tadbir kuasa bersandarkan undang-undang, dilaksanakan secara telus dan terbuka, tidak ada mahkamah yang boleh menyalahkan kerajaan.

Melainkan terdapat di kalangan hakim yang telah hilang integriti atau memilih untuk turut berpolitik atau bersimpati dengan mana-mana kumpulan atau pemikiran politik.

Ujian utama dan paling berat kepada para hakim adalah memiliki sifat tidak memihak atau impartial terutama daripada segi emosi dan kecenderungan. Ketika menyampaikan titah perasmian 12th Malaysian Law Conference pada 10 Disember 2003, Beta menzahirkan pandangan bahawa negara ini merintis perjalanan demokrasi berperlembagaan dengan kesedaran bahawa negara ini adalah negara pelbagai kaum dengan pelbagai bahasa, budaya dan agama.

Perbezaan tersebut perlu disesuaikan dalam rangka perlembagaan yang mengiktiraf tradisi masyarakat Melayu. Lalu diperkenalkan ciri yang unik, iaitu meletakkan sistem kesultanan berada di puncak sistem pemerintahan

Institusi raja mempunyai tradisi yang panjang dalam sejarah bangsa Melayu berkerajaan dan bernegara di bumi ini. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj amat memahami aspek ini dan sama sekali tidak mahu mencetuskan sebarang konfrontasi dengan institusi raja.

Raja-Raja Melayu dibawa berunding, wakil Raja-Raja Melayu turut menyertai delegasi merundingkan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris.

Komponen Raja sebagai Ketua Negara dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong telah diperkenalkan, melalui formula lantikan yang sangat bijak dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

Pengekalan Institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Raja ada peranan untuk memastikan keberkesanan mekanisme semak dan imbang yang dapat membantu memperkukuhkan institusi demokrasi.

Selaku Ketua Negara, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa.

Peranan, tugas dan tanggungjawab Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong demikian juga Raja-Raja Melayu digariskan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan.

Ini bermakna Raja-Raja ada kuasa dan tanggungjawab kenegaraan yang berlandaskan undang-undang. Namun Beta pernah mengingatkan bahawa Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara berperlembagaan.

Perbezaan di antaranya, yang satu tidak memiliki batasan kuasa, sedangkan kuasa yang satu lagi berpandukan perlembagaan. Tetapi adalah satu kesilapan untuk menganggap kuasa Raja sama dengan Presiden, yang tertakluk semata-mata kepada Perlembagaan.

Peranan sebenar seorang Raja Pemerintah itu jauh mengatasi apa yang tersurat di dalam Perlembagaan.

Profesor Vernon Bogdanor dari University Oxford dalam bukunya bertajuk The Monarchy and the Constitution menyatakan:

"Concentration upon the constitutional powers of the sovereign is liable to give a misleading picture of the contemporary role of a constitutional monarch, for the prime constitunional role of the sovereign occurs, not when a ministry begins or comes to an end, but during the everday life of a government, and consists in the exercise of influence."

Profesor Bogdanor selanjutnya memetik tulisan Walter Bagehot pada pertengahan abad ke-19 yang menghuraikan pandangan bahawa Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak.

Ia adalah hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan; hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran. Raja Pemerintah tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak ini berjaya dikendalikan secara bijaksana lagi berhemah.

Perlembagaan Persekutuan dihasilkan atas semangat rundingan, atas semangat persefahaman, atas hasrat untuk membina penyatuan rakyat, dengan matlamat membina sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat. Semangat-semangat tersebut perlu senantiasa dihidupkan. Budaya perundingan dan musyawarah adalah amalan kita.

Demi keamanan dan demi kesejahteraan negara, rakyat hendaklah disemaikan dengan budaya kehidupan yang dilandaskan kepada semangat Perlembagaan.

Semangat yang menghormati undang-undang serta menghormati institusi penguatkuasa undang-undang. Jika prinsip asas ini tidak dipatuhi lagi dan mahu diketepikan kerana pengaruh budaya luar yang cuba diserapkan, dikhuatiri negara akan terheret kepada satu anarki.

Akhirnya kelangsungan sejarah negara bangsa, keamanan dan kesejahteraan akan tinggal dalam sejarah.

Semoga negara bangsa Malaysia senantiasa mendapat perlindungan dan rahmat Ilahi.

Monday, July 20, 2009

Semai semula semangat 'Chandran'

Oleh DR. NOOR AZLAN GHAZALI

SYABAS kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Syabas juga kepada pasukan jurulatih bola sepak kebangsaan dan anakanak muda yang bertungkus-lumus bertarung menentang Manchester United (MU), malam semalam.

Pengurus pasukan MU, Sir Alex Ferguson yang terkenal dengan ketegasannya, turut mengagumi mutu permainan pasukan negara. Beliau menegaskan bahawa pasukan Malaysia beraksi secara terbuka dan penuh bertenaga!

Ferguson melihat semangat juang yang tinggi di dalam diri setiap pemain Malaysia. Pastinya beliau tidak lagi menganggap Malaysia sebagai pasukan belasahan seperti yang berlaku ketika negara berdepan dengan kelab-kelab ternama dunia sebelum ini.

Ramai yang mungkin sangsi membaca kenyataan akhbar semalam. Namun saya yakin sebahagian besar hampir 80,000 penonton di Stadium Nasional pada malam Sabtu itu, bersetuju dengan kenyataan Ferguson tersebut.

Secara keseluruhannya, pasukan negara yang kebelakangan ini jarang-jarang sekali menerima sorakan dan tepukan gemuruh penonton, telah berjaya mengembalikan suasana gamat di stadium berkenaan. Mereka berjaya menghidupkan perasaan teruja di hati penonton.

Saya terpesona, khususnya terhadap kekentalan barisan pertahanan negara yang menimbulkan rasa cemas di kalangan pemain-pemain ternama MU yang bertaraf dunia. Nama-nama gah seperti Micheal Owen, Dimitar Berbatov, Ryan Giggs dan Wayne Rooney yang mulanya nampak bersantai tetapi akhirnya berhempas pulas cuba memecah benteng pertahanan negara bagi mencari kemenangan.

Dengan ranking ke-161 FIFA, tewas 2-3 kepada kelab terkemuka dunia seperti MU hakikatnya adalah satu "kemenangan besar". Ia membawa seribu pengajaran pada kita semua untuk merentasi kemajuan bola sepak malah juga kemajuan ekonomi negara.

Saya katakan kemenangan besar kerana ia berkemungkinan memberi jawapan awal kepada persoalan lama yang masih belum terjawab. Beberapa tahun lalu, semasa menghadiri satu sesi membincangkan prestasi dan strategi ekonomi rantau Asia Timur di Seoul, Korea Selatan, saya dikejutkan oleh satu soalan oleh seorang rakan yang juga seorang pakar ekonomi di sana.

Beliau berusia awal 50-an. Soalnya: "Where is Chandran? (Di mana Chandran?)" Pastinya di kalangan pembaca muda, ramai yang tertanya-tanya siapakah Chandran?

Pembaca yang lebih senior mungkin tersenyum apabila terkenangkan M. Chandran. Beliau ialah ketua pasukan bola sepak negara di era 1970-an. Beliau begitu dikagumi kerana kehebatan pertahanannya.

Kegemilangan bola sepak negara di era 1970-an sehingga kini diingati oleh pakar ekonomi Korea Selatan yang mengajukan soalan tersebut pada saya. Katanya, ketika usia muda iaitu di tahun-tahun 1970-an, seluruh peminat bola sepak Korea Selatan terasa gentar apabila pasukan Malaysia bertandang ke Seoul.

Semua tertanya-tanya, adakah Chandran turut hadir? Kehadiran Chandran merunsingkan Korea Selatan kerana pertahanan Malaysia begitu kental dan begitu susah untuk ditembusi.

Ia nampak bertambah hebat apabila turut mendapat sengatan "Super Mokh". Ketika itu siapa tidak kenal atau tidak mengagumi kehebatan Allahyarham Mokhtar Dahari. Beliau penyerang hebat pasukan bola sepak negara. Kehadiran pasukan Malaysia sangat menggentarkan Korea Selatan. Pasukan kita memang digeruni.

Kini setelah hampir 40 tahun, istilah gerun itu tiada lagi bila menyentuh mengenai pasukan bola sepak negara. Kini tahap permainan bola sepak Korea Selatan telah mencapai kelas dunia. Mereka telah jauh meninggalkan Malaysia.

Pesta Bola Merdeka yang satu masa dahulu menjadi rebutan negara-negara Asia tiada lagi keistimewaannya. Pasukan utama Korea Selatan tidak lagi menjadikannya sasaran utama mereka. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan penyertaan atau kemenangan pada pertandingan Pesta Bola Merdeka.

Pasukan bola sepak kita semakin suram. Kita bukan lagi menimbulkan kegentaran tetapi menjadi 'makanan' kepada pasukan lain. Pendek kata sejak kebelakangan ini, pasukan negara sering diaibkan dengan kekalahan demi kekalahan walaupun berdepan dengan pasukan tidak terkenal.

Nasib bola sepak kita juga boleh disamakan dengan keadaan daya saing ekonomi kita. Di awal 1970-an, Korea Selatan adalah rakan sekelas dari perspektif kemajuan ekonomi. Pendapatan per kapita dan tahap kemajuan teknologi Malaysia dan Korea Selatan adalah setanding.

Malah pernah satu ketika Korea Selatan terpaksa menghantar sepasukan ahli ekonominya ke Malaysia untuk mempelajari dan memanfaatkan kemajuan ekonomi negara.

Saya difahamkan mereka pernah bertandang di Unit Perancang Ekonomi (EPU). Semuanya untuk mempelajari cara kita menguruskan soal ekonomi negara. Mereka mahu belajar dan mungkin ketika itu berasa 'gerun' dengan perkembangan dan daya saing ekonomi kita.

Namun kini kemajuan ekonomi negara juga hampir senasib seperti bola sepak. Benar kita telah mencatat kemajuan ekonomi yang boleh juga dibanggakan khususnya sehingga pertengahan 1990-an. Lagipun ekonomi kita tidak pernah jatuh merudum berpanjangan seperti nasib yang menimpa pasukan bola sepak.

Bagaimanapun secara relatifnya, keghairahan ekonomi kita agak pudar berbanding Korea Selatan.

Pada tahun 1980, pendapatan per kapita (harga semasa) kedua-dua negara adalah setanding, iaitu AS$1,812 bagi Malaysia dan AS$1,750 untuk Korea Selatan. Jumlah itu menunjukkan persamaan walaupun Kuala Lumpur sedikit mengatasi Seoul iaitu hanya AS$62.

Tetapi pada tahun lalu, pendapatan per kapita Korea Selatan mencecah AS$19,506. Jumlah itu dua kali lebih besar berbanding Malaysia yang hanya mencatatkan pendapatan per kapita AS$8,141. Bayangkan perbezaan sebanyak AS$11,365. Sekali imbas semua tahu bahawa terdapat jurang yang ketara.

Sebenarnya, dalam kamus kemajuan ekonomi tidak ada istilah impossible (mustahil). Kita masih belum terlambat. Tetapi kita perlu jadikan prestasi lalu sebagai pengajaran. Jelasnya, kita amat perlu suntikan baru.

Laluan untuk itu sudah ada dan sudah tersedia. Lagipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuka era baru untuk kita semua. Model ekonomi baru yang kini dibentuk dan tata cara kita berekonomi telah diumumkan oleh Perdana Menteri sejak mengetuai kepimpinan negara. Ia memberi kita signal yang begitu jelas. Kita mula bermain dengan rentak baru seiring dengan struktur baru ekonomi global yang begitu dinamik dan kompetitif.

Kita menyatakan kesediaan untuk bersaing dan mengolah polisi dan struktur ekonomi negara agar lebih bersedia untuk bersaing di peringkat global. Semua pihak termasuk ekonomi negara, industri, firma dan setiap rakyat perlu bersungguh-sungguh menyediakan diri untuk turut sama menyertai era ekonomi baru ini.

Jika diteliti, persembahan pasukan bola sepak negara semasa menentang MU malam kelmarin boleh dijadikan iktibar. Ia seolah-olah memberi jawapan bahawa Malaysia masih ada Chandran.

Kita masih ada Super Mokh. Mungkin lebih banyak Chandran yang dapat dihasilkan sekiranya kita terus bersungguh-sungguh menggilap bakat yang ada.

Apa pun, kita perlu konsisten dalam soal prestasi. Kita tidak perlu sangsi dengan kemampuan diri. Kita tidak boleh berkompromi atau berputus asa dalam soal meningkatkan kemampuan.

Buktinya, berdasarkan saiz fizikal pemain dan ranking pasukan negara, kita mungkin terlalu jauh kebelakang berbanding dengan MU. Namun dengan semangat "Satu Pasukan" dan patriotisme yang tinggi - demi negara - menyebabkan MU pun terasa bahangnya kelmarin.

Stadium yang dibanjiri warna merah (menyokong MU), akhirnya membuat keputusan. Pemain negara menunjukkan kehebatan. Mereka menerima tepukan dan sorakan gemuruh daripada para penonton.

Rata-rata yang berbaju merah akhirnya 'berpaling tadah'. Di luar merah, namun jauh di sudut hati mereka melakar warna belang kuning. Bila 'Chandran' mula menjelma, semangat semua naik membara.

Begitulah juga dengan ekonomi negara. Semoga era baru yang mula diteroka juga akan kembali meletakkan ekonomi Malaysia di peta dunia. Dengan semangat Satu Malaysia yang baru dinyalakan tidak mustahil satu hari nanti saya akan bangga ketika sekali lagi mengunjungi Korea Selatan.

Ketika itu saya mungkin telah bersedia dengan jawapan. Saya boleh berbangga sekiranya sekali lagi berkesempatan bertemu pakar ekonomi di Seoul itu. Saya mahu memberitahunya bahawa saya dan juga rakyat Malaysia sudah menemui 'Chandran' yang ditanya olehnya itu. Kita telah menemui semangatnya. Bukan sahaja dalam bola sepak tetapi juga ekonomi negara.

Dan saya serta jutaan rakyat Malaysia turut mengharapkan suasana yang sama malah lebih baik apabila pasukan negara bertemu MU sekali lagi malam nanti. Malaysia Boleh!

PROF. DATUK DR. NOOR AZLAN GHAZALI ialah Pengarah, Malaysian Development Institute (MDI), Unit Perancang Ekonomi (EPU)

Tingkatkan mutu pengangkutan awam, kasihani pengguna

KENAIKAN tambang pengangkutan awam sudah termaktub. Ia diterima dengan pelbagai perasaan. Namun telah menjadi adat, kenaikan itu pasti akan berlaku. Apatah lagi kali terakhir tambang pengangkutan awam naik sekitar lima tahun lalu.

Kita ketepikan dahulu soal sama ada kenaikan itu akan membebankan pengguna atau tidak.

Persoalan utama di sini ialah bagaimana untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam seiring dengan kenaikan tambang. Sekiranya kenaikan tambang tidak dapat dielak, adakah pengguna mendapat jaminan kualiti sebagai balasan?

Adakah kenaikan tambang ini akan setara dengan tawaran untuk kualiti perkhidmatan? Rakyat atau lebih tepat, pengguna, sudah bosan dengan janji-janji untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Yang diperlukan ketika ini ialah janji berkenaan dikotakan. Kita tidak lagi mahu mendengar janji-janji muluk tetapi hasilnya tetap sama. Tiada perubahan malah dalam sesetengah kes, kualiti semakin buruk.

Jika rasional kenaikan tambang dikaitkan antara lain dengan kenaikan kos penyelenggaraan, maka pengguna berharap ia akan dimanfaatkan untuk menyelenggara.

Biarlah keadaan fizikal pengangkutan awam selepas ini semakin selesa. Jangan ada lagi bas yang berjalan tersengguk-sengguk atau mati di tengah jalan. Alasannya enjin terlalu panas, masalah brek ataupun sistem pendingin hawa yang tidak berfungsi.

Pengguna juga pastinya berharap agar soal ketepatan masa lebih dititikberatkan. Ketika ini pengguna bas henti-henti, ekspres, sistem transit aliran ringan mahupun komuter sering merungut mengenai ketepatan waktu.

Dalam soal ini, sistem pengangkutan awam kita masih ketinggalan. Walaupun masalah itu dikenal pasti sejak sekian lama namun tiada langkah berkesan untuk mengatasinya.

Masalah lapuk tersebut masih terus menjadi "masalah". Ia lebih ketara pada waktu puncak iaitu pada awal pagi ketika orang ramai keluar bekerja dan ketika pulang kerja.

Setiap kali masalah ini diutarakan, akan ada janji untuk mengatasinya. Namun ia tetap di takuk lama. Yang menderita pastinya pengguna. Mereka tiada pilihan selain menggunakan pengangkutan awam.

Itu tidak lagi mengambil kira soal sistem pendingin hawa yang tidak berfungsi atau tidak mampu menampung jumlah penumpang yang ramai pada satu-satu masa.

Apabila disentuh soal mutu pengangkutan awam, rasanya tidak lengkap jika tidak disentuh soal teksi.

Sehingga kini, kualiti perkhidmatan teksi masih terus menjadi rungutan. Ia juga belum selesai walaupun isunya itu telah dibangkitkan lebih dua dekad lalu.

Soal pemandu teksi mengenakan tambang sesuka hati bukan isu baru. Begitu juga dengan kerenah pemandu yang enggan melalui kawasan-kawasan tertentu pada waktu sesak.

Masalah itu tiada kena mengena dengan kenaikan tambang. Bagi pemandu seperti itu, tambang naik atau tidak, mereka tetap sama. Tambang yang dikenakan oleh mereka bukannya berdasarkan kiraan meter.

Bagaimanapun masalah utama yang mesti diberi perhatian oleh kerajaan khususnya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ialah keadaan 'fizikal' pemandu.

Ramai pengguna pernah berdepan dengan pemandu yang berpenampilan kurang menyenangkan. Ada yang mengadu pernah menaiki teksi yang dipandu oleh pemandu berambut panjang yang diikat tocang. Malah ada yang bertindik telinga.

Mungkin bagi sesetengah orang keadaan itu tidak apa-apa. Namun ramai yang beranggapan ia sangat-sangat tidak menyenangkan.

Jadi, pantau-pantaulah keadaan itu, jangan biarkan pengguna terus tertekan. Biarlah kenaikan tambang setanding dengan kualiti yang ditawarkan. Biar semua berdepan dengan situasi "menang-menang".

Saturday, July 18, 2009

Tambang naik, kualiti pula bagaimana?

AKHIRNYA syarikat pengangkutan mendapat kenaikan tambang seperti yang dinantinantikan. Difahamkan kali terakhir mereka menerima kenaikan ini ialah pada 2005. Memang patut pun diberikan kenaikan kali ini.

Orang ramai kini kena tanggung kenaikan lagi. Semuanya naik. Barang makanan naik, kos sara hidup pula sudah lama naik. Sejak minyak melambung sampai AS$140 setong Julai tahun lalu.

Kini minyak sudah turun sehingga AS$61 setong tetapi harga barang tidak juga turunturun. Gaji tidak boleh naik sebab ekonomi negara masih lagi meleset.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyatakan, eksport negara akan jatuh lebih 21.8 peratus untuk tahun ini dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan jatuh lebih tinggi daripada ramalan awal negatif 2.2 peratus kepada negatif 4.2 peratus. Tahun depan jatuh lagi kepada negatif 3.8 peratus.

Rakyat biasa mungkin tidak faham, naik atau turun KDNK. Mungkin ramai yang tidak ambil pusing.

Yang rakyat biasa faham ialah tambang bas dan teksi akan naik sampai paras tertinggi iaitu 30 peratus.

Minggu depan elektrik pula akan dinaikkan. Tidak tahulah banyak mana yang hendak dinaikkan. Kalau tarif elektrik naik, alamat kos semua barang akan naik lagi.

Kita tahu hutang Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM22.2 bilion setakat Februari 2009.

Penggal kedua berakhir Februari 2009, TNB untung sebanyak RM674.6 juta. Jatuh daripada RM1,069.2 juta penggal sebelumnya. Hampir separuh.

Kemudian kerugian daripada urus niaga tukaran wang asing setakat akhir penggal 2009 ialah RM1,536.7 juta.

Apa sudah jadi dengan hedging (langkah perlindungan tukaran asing)? Mata wang kita dengan mata wang asing entah kenapa asyik lemah sahaja walaupun negara asing lebih teruk kemelesetan ekonominya.

Kita juga diberitahu dengan kenaikan ini tahap perkhidmatan juga patut naik. Kita tengoklah sama ada kita perlu berdebat dengan pemandu teksi hanya untuk hendak pergi ke sesuatu tempat.

Mereka selama ini ukur kadar bayaran ikut kesesakan trafik. Walaupun kini dah ada kadar untuk sesak dengan tidak sesak tentu ramai yang pukul rata kadar bila lalu jalan sesak.

Berapa banyak rungutan pengguna teksi tentang bukan sahaja tahap perkhidmatan tetapi juga keadaan teksi yang tidak selesa.

Bila naik teksi rasa macam duduk atas tayar kereta bukan atas kusyen sebab penyerap hentakan kereta sudah lama tidak ditukar. Bila pasang radio, yang berkumandang hanya lagu kegemaran pemandu. Dia tidak pedulikan perasaan penumpang yang gemar atau tidak dengan lagu yang dimainkan itu.

Apa nak buat, akhirnya kita penumpang kenalah akur, bukannya pemandu yang sepatutnya kena hormatkan penumpang kerana kita yang membayar tambang.

Sementara itu, ada juga teksi yang dipandu oleh orang asing.

Entah macam mana dia orang boleh diberikan kebenaran memandu kita pun tidak faham. Jenuhlah penumpang pula yang tunjuk jalan kepadanya.

Tetapi dengan kenaikan tambang sekarang, kita harap bolehlah dapat perkhidmatan yang lebih baik.

Sepatutnya sistem penyewa teksi kena bayar RM45 hingga RM50 sehari dihapuskan dan beri hanya kepada mereka yang bawa sendiri dan bukan syarikat-syarikat.

Begitu juga dengan bas. Jangan biarkan sistem bayaran gaji ikut jumlah perjalanan.

Disebabkan rakyat hari ini begitu perlu bergerak dari satu tempat ke suatu tempat, tidak hairanlah kalau beratus-ratus syarikat bas jarak jauh beroperasi.

Dulu kita dengar pasal hendak pasang kotak hitam macam kapal terbang. Sekarang apa dah jadi dengan isu kotak hitam itu? Dengarnya ramai pengusaha merungut pasal kos pemasangan kotak hitam, maka tidak jadilah peraturan.

Kalau dulu belum ada lebuh raya kalau ada kemalangan kita fahamlah jalan tidak elok, ini sudah ada lebuh raya, lagi banyak kemalangan.

Bila tiba hari perayaan, cuti sekolah atau apa jua cuti umum, ramai penumpang yang kena tipu kerana terbeli tiket bas palsu.

Walaupun mereka membeli tiket daripada kaunter belian yang sahih tetapi ada juga yang kena tipu. Tiket ada bas tidak ada.

Kalau dibenarkan diperluaskan semasa raya dengan pengusaha bas sekolah, macammacam berlaku. Sekian lama kita lihat terminal bas di Puduraya begitu menyedihkan.

Terkini kita dengar Puduraya akan diperbaiki. Alhamdulillah.

Bayangkanlah di tingkat atas tempat makan di tingkat bawah bas menghidupkan enjin. Asap hitam dan tebal naik ke kawasan orang menikmati hidangan.

Bayangkanlah pencemaran di situ yang terpaksa dihadapi oleh penumpang sejak sekian lama.

Rungutan tentang pengangkutan awam tidak pernah habis-habis. LRT tidak cukup gerabak, tidak ada pendingin hawa, tidak tepat masa dan kehadiran orang asing yang mungkin tidak mandi 'mengharumkan' lagi suasana dalam gerabak membuatkan orang patah semangat.

Kalau nak kira-kira kos hendak menyampai ke sesuatu stesen LRT pun boleh tahan juga ada yang memilih untuk tidak naik sistem pengangkutan ini.

Bukan semua tempat ada stesen ini. Maka bertambahlah kereta di atas jalan raya. Maka akan semakin sesaklah jalan raya kita.

Jadi akhirnya mutu perkhidmatan pengangkutan awam kita masih di tahap "pi mai pi mai tang tu jugak". Hanya tambang yang naik, mutu belum tentu.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Utamakan kepentingan rakyat majoriti tangani isu PPSMI

Oleh AZNAN BAKAR

KEPUTUSAN Kabinet memansuhkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada 8 Julai lalu menimbulkan pelbagai reaksi.

Realitinya ramai yang menyokong langkah kerajaan itu tetapi sokongan mereka tidak nampak ketara. Sebaliknya yang menonjol ialah golongan yang menentang. Mereka ini mempunyai capaian kepada teknologi terutama media dan Internet.

PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 terpaksa dimansuhkan ekoran kemerosotan pretasi terutama di kalangan pelajar luar bandar.

Kajian yang dibuat membuktikan berlaku kes-kes keciciran dalam dua mata pelajaran itu sejak PPSMI dilaksanakan.

Niat ketika PPSMI dilaksanakan memang baik. Tetapi pelaksanaannya tidak seperti dirancang terutama apabila tenaga pengajar tidak mencukupi hingga terjadi kes guru tangkap muat dan tidak ada kemahiran bahasa Inggeris untuk mengajar dua mata pelajaran itu.

Seperti biasa, sekolah-sekolah di bandar-bandar besar tidak ada masalah. Jadi masalah tidak timbul. Perjalanan PPSMI nampak sempurna.

Namun tidak ramai yang sedar penderitaan pelajar luar bandar sejak enam tahun pelaksanaan PPSMI ini.

Dengan segala kekurangan, mereka langsung tidak diberi pilihan. Malah dipaksa menelan segala kepahitan pelaksanaan PPSMI. Hasilnya prestasi merudum.

Seperti biasa, tindakan kerajaan memansuhkan PPSMI ini menimbulkan rasa kurang senang termasuk cakap-cakap bahawa ia langkah ke belakang. Hingga ada lakaran kartun yang menyindir (kalau pun tidak menghina) terutama apabila ia membabitkan bahasa Melayu.

Ketika segala apa yang berkaitan Melayu di negara ini dikatakan perkauman atau rasis, maka sudah tentu mengembalikan pengajaran sains dan matematik ke bahasa kebangsaan akan menimbulkan rasa kurang senang.

Sedangkan jika dibuka mata dan minda seluas-luasnya, ia langsung tidak ada kena mengena dengan memartabat atau memaksa kaum lain menggunakan bahasa Melayu. Kerana di sekolah jenis kebangsaan, mereka boleh guna bahasa ibunda masing-masing.

Pengajaran dua mata pelajaran itu dikembalikan ke bahasa kebangsaan kerana ada kebimbangan berikutan ramai pelajar Melayu semakin tercicir dan ketinggalan.

Malah tokoh pendidik, Prof. Diraja Ungku Aziz sendiri mengakui, bagi memastikan sesuatu bangsa itu menguasai sains dan matematik, ia perlu diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Ini bagi memastikan ia lebih dekat dengan mereka.

Perkara itu dibuktikan oleh Jerman dan Perancis. Yang paling dekat dengan kita ialah Jepun dan Korea Selatan.

Lagi pula jika setakat mengembalikan pengajaran kedua-duanya ke bahasa Melayu ia tidak banyak membantu usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Sedangkan jika lihat kepada pengumuman 8 Julai lalu, kerajaan menyediakan peruntukan yang cukup besar untuk 'memartabatkan' bahasa Inggeris. Oleh itu tidak sepatutnya timbul cakap-cakap atau undian di blog atau laman web mengenai perkara ini.

Lagi pun segala undian itu tidak menggambarkan aspirasi rakyat secara keseluruhannya.

Ia hanya suara segelintir masyarakat elit yang mana bahasa dan budaya Inggeris merupakan makanan harian mereka.

Sebab itu undian termasuk di laman web berita tidak boleh dijadikan ukuran bahawa rakyat negara ini menolak pengajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan.

Jumlah yang mengundi juga kecil. Tidak sampai satu peratus daripada 26 juta rakyat negara ini.

Sedangkan kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI selepas menjalankan satu kajian menyeluruh.

Kita bukan mahu mempertikai undian yang dilakukan di blog dan laman web. Tetapi ia tidak mencerminkan kehendak rakyat keseluruhan.

Tidak mungkin kita kena ketepikan kepentingan kelompok yang lebih besar hanya kerana mahu memenuhi undian oleh kumpulan elit yang kecil dan ada kepentingan ini.

Tidakkah kita sedar bahawa penoreh getah di Baling, pesawah di Tobiar, nelayan di Semporna dan penghuni rumah panjang di Batang Ai mungkin tidak mempunyai kesempatan mengundi di Internet.

Mereka ini bukan sekadar tidak ada akses kepada teknologi maklumat, perkataan Internet dan blog pun asing bagi mereka.

Sebab itu biarpun jumlah yang mengundi dan menentang pemansuhan PPSMI di Internet mencapai angka ratusan ribu, ia tetap mewakili segelintir kecil rakyat.

Kementerian Pelajaran tidak perlu melatah dengan penentangan tersebut. Ini kerana apa yang diputuskan itu pasti memberi kebaikan kepada ratusan ribu pelajar bukan sahaja Melayu tetapi juga Cina, India, Kadazan, Iban, Siam dan sebagainya di luar bandar.

Perlu diingat suara-suara tidak puas hati yang disalurkan melalui undian dalam blog hanya mewakili kelompok minoriti yang menganggap bahasa kebangsaan tidak ada standard untuk dipertuturkan oleh anak-anak mereka apatah lagi mempelajarinya di sekolah.

Jika golongan berkenaan dimasukkan ke dalam kumpulan pemikir untuk menentukan kedudukan perkara ini sudah tentu mereka mahukan PPSMI. Sebabnya ialah ruang lingkup dan rujukan mereka sempit dan terhad kepada kelompok mereka sahaja.

Sebab itu kementerian pelajaran kena berhati-hati. Jangan terperangkap dengan undian atau pandangan yang hanya untuk kepentingan kelompok kecil ini.

Tanya juga pandangan golongan seperti guru-guru seperti dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gulau yang saban hari terpaksa bertungkus lumus dan berhempas pulas memastikan pelajar mereka faham apa yang diajar.

Selami pengalaman mereka yang terpaksa mencampuradukkan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ketika pelaksanaan PPSMI demi memastikan anak-anak murid faham dan mampu menjawab soalan peperiksaan.

Perihal Tudung Periuk, kain buruk dan orang Melayu

Oleh Mior Kamarul Shahid

SEBELUM ada sesiapa pun memperkenalkan sesuatu konsep teori, apatah teori yang kukuh berkaitan sikap orang Melayu. Polemik mengenai orang Melayu biasanya terhenti kerana bimbang kepada kesan sensitivitinya. Meskipun banyak kajian mengenai bangsa Melayu, ia hanyalah bahan rujukan akademik. Bercerita mengenai orang Melayu perlu menggunakan sentimen Melayu. Perhatikan seni kata lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Sumpah Orang Minyak yang berbunyi:

Tudung periuk, pandai menari, menarilah lagu, Putera Mahkota, kainlah yang buruk, berikan kami, untuk menyapu, si air mata.

Lagu yang pendek ini menceritakan banyak perihal dan persoalan mengenai orang Melayu. Disebabkan filem itu diarah dan dilakonkan oleh orang Melayu, menceritakan kisah dan persekitaran masyarakat Melayu serta berasaskan kepada emosi orang Melayu sudah tentulah mesej filem dan maksud lagu tudung periuk itu ditujukan kepada masyarakat Melayu. Fungsi tudung periuk tidak lebih daripada menutup periuk sama ada ketika memasak untuk mempercepatkan gulai mendidih atau selepas masakan siap dimasak, untuk mengelakkan makanan tercemar oleh habuk dan kekotoran. Makanan diibaratkan kandungan atau isi kepada persoalan orang Melayu yang mengandungi roh, emosi, sentimen dan sebagainya.

Orang Melayu memang mengambil berat soal isi. Ketika periuk mendidih, tudung juga berasa panasnya dan menari-nari apabila ditolak wap. Begitulah perasaan orang Melayu yang ada kalanya meluap-luap. Apabila periuk sejuk, tudung juga sejuk. Persoalannya siapakah Putera Mahkota?

Lagu Tudung Periuk ini juga dikaitkan dengan kain buruk. Bagi orang Melayu dulu, kain buruk mempunyai nilai yang amat tinggi. Hari ini, ia tidak ada nilai satu sen pun. Nilai kain buruk dalam lagu itu amat tinggi kerana ia digunakan untuk menyapu air mata. Air mata adalah lambang kesedihan dan kedukaan.

Lihat pula seni kata ini;

Anak kecil main api.

Terbakar hatinya yang sepi.

Air mata darah bercampur keringat.

Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,

Tergadai seluruh harta benda,

Akibat sengketa sesama kita,

Cinta lenyap di arus zaman.

Indahnya bumi kita ini,

Warisan berkurun lamanya,

Hasil mengalir ke tangan yang lain,

Pribumi merintih sendiri.

Masa depan sungguh kelam,

Kan lenyap peristiwa semalam,

Tertutuplah hati terkunci mati,

Maruah peribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,

Yang akan menentukan bangsa,

Bersatulah hati bersama berbakti,

Pulih kembali harga diri.

Kita sudah tiada masa,

Majulah dengan maha perkasa,

Janganlah terlalai teruskan usaha,

Melayukan gagah di nusantara.

Ini juga adalah seni kata lagu yang sering dinyanyikan peserta kursus motivasi di kem bina semangat. Baris pertama seni kata lagu ini sudah menggambarkan betapa bahayanya anak kecil bermain dengan api. Jika dianalisis baris demi baris seni kata lagu ini, secara ringkasnya ia menjurus kepada peringatan khas untuk orang Melayu bahawa negara ini akan tergadai, sekiranya mereka tidak bersatu padu dan terus berbalah sesama sendiri. Biasanya, lagu ini dinyanyikan dengan penuh perasaan hingga mereka yang menyanyikannya boleh mengalirkan air mata. Lagu ini dicipta untuk menyedarkan orang Melayu supaya melakukan apa juga tindakan demi mempertahankan negara ini supaya tidak terlepas ke tangan orang lain.

Persoalannya, adakah seni kata lagu ini mahu terus menerus dijadikan benteng kepada orang Melayu untuk mempertahankan martabat bangsa? Realiti hari ini, apa juga yang cuba dipertahankan, sudah menjadi kenyataan. Jika lagu ini mengajak orang Melayu supaya menghindari perpecahan, ia sudah menjadi realiti, malah retak sentiasa menunggu belah. Apakah Melayu boleh menjadi gagah di bumi ini sekiranya mereka asyik bertelagah. Perpecahan bukan sekadar menjadi punca kepada kemusnahan, tetapi bumi yang dipijak ini juga boleh tergadai. Semangat orang Melayu tidak boleh diperkasa menerusi lagu, tetapi ilmu. Itulah sebabnya, selepas negara merdeka, rakyat dituntut supaya meningkatkan keupayaan menuntut ilmu. Bagaimana orang Melayu mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lain dalam gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika mereka tidak menunjukkan teladan yang baik. Orang Melayu perlu bersatu terlebih dulu supaya kaum lain hormat kepada mereka. Malangnya, persoalan menuntut ilmu juga menjadi punca orang Melayu bertelagah pendapat.

Sejak 2003, ramai yang berbeza pandangan soal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Golongan yang menentang memberi hujah yang beremosi menggunakan hujah maruah, darjat, martabat, kedaulatan bangsa dan bahasa dan sebagainya. Mereka yang menyokong juga memberi hujah sama, menggunakan hujah yang sama – untuk membangunkan bangsa. Hari ini, selepas enam tahun berlalu, keputusan sudah dibuat supaya PPSMI dimansuhkan mulai 2012 selepas ia tamat satu pusingan, khasnya bagi meredakan masalah mereka yang mula-mula mengikuti dasar itu sejak tahun ia dilaksanakan. Berikutan itu, ada pihak tidak menyetujuinya. Alasan menyokong dan menyanggah, sama-sama kuat. Daripada beberapa kajian dijalankan, ada hasil kajian yang boleh dijadikan panduan untuk memudahkan kerajaan membuat keputusan. Antara contoh ketara menilai kemampuan penggunaan bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran Sains dan Matematik ini, didapati sebahagian besar pelajar, khasnya Melayu sukar menghayati apa yang diajar menyebabkan mereka gagal mendapat keputusan yang baik.

Lihat contoh soalan Matematik untuk murid Tahun 5 ini yang diuji pada Februari 2007 dan Januari 2008:

1) Six pencils cost RM2.40. How much does a pencil cost?

2) The library in SK Pulai has 4,038 Bahasa Melayu books and 3,529 English books. If 793 are taken out from the library, how much books are there in the library now?

3) Jane is 11 years 4 months old. Her sister, Janice is 2 years 8 months older than her, how old is Janice?

Berasaskan kepada kajian Kesan Dasar PPSMI di Sekolah Rendah dan Menengah dijalankan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, didapati dari segi peratusnya, anak Melayu ketinggalan.

Contoh soalan lain:

Dalam perpustakaan sekolah, terdapat 457 buah buku BM. Sebanyak 120 buah buku dipinjam oleh pelajar pada hari Isnin. Pada hari Selasa pula, sebanyak 87 buah buku dipinjam. Berapa buah bukukah yang tinggal di perpustakaan sekolah itu?.

Soalan dalam bahasa Malaysia ini menarik 80.2 peratus pelajar Melayu menjawabnya, 79.6 peratus Cina dan 66.9 peratus India. Trend sama juga berlaku dalam mata pelajaran Sains. Hasil daripada beberapa kajian yang dijalankan Kementerian Pelajaran dan beberapa badan bebas, mencetuskan tindakan kerajaan untuk memansuhkan dasar ini.

Oleh itu, perbalahan mengenai PPSMI ini tidak sepatutnya dipanjangkan kerana keputusan sudah pun dibuat dengan langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan bahasa Inggeris. Pelan untuk mengembangkan bahasa ini sudah pun diatur dan diharap ia dapat dilaksanakan dengan sempurna. Perbalahan mengenai bangsa tidak seharusnya diteruskan yang akhirnya hanya akan menyebabkan orang Melayu menangis dan terpaksa mencari kain buruk untuk menyapu air mata, sebagai mana diungkapkan dalam lagu Tudung Periuk.

Thursday, July 16, 2009

Analisis: Pengundi Manek Urai mesti utamakan masa depan pewaris

Oleh Jamhariah Jaafar

PEMBANGUNAN lawan wakil rakyat yang baik hati dan disukai ramai. Itulah cabaran kepada 12,293 pengundi di Manek Urai apabila mereka turun membuang undi hari ini. Kedua-dua calon – Tuan Aziz Tuan Mat yang mewakili Umno (Barisan Nasional) dan Mohd Fauzi Abdullah daripada Pas disukai dan popular di kalangan penduduk Manek Urai. Mereka masing-masing mempunyai keluarga, sahabat handai dan penyokong yang cukup kuat untuk membantu mereka mencatat kemenangan.

Kedua-dua calon mempunyai kelebihan tersendiri. Seorang lulusan universiti dan sanggup meninggalkan jawatan sebagai pegawai kanan Kesedar untuk berkhidmat kepada penduduk Manek Urai. Seorang lagi pemborong ikan yang berjaya. Melihat saja kereta Mercedez yang dipandu Mohd Fauzi, sesiapa saja boleh menilai betapa seorang peraih ikan yang berjaya boleh menjadi seorang pemimpin yang baik.

Apakah kelebihan serta keistimewaan antara kedua-dua calon yang bekerja keras untuk mempromosi diri masing-masing supaya dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai?

Manek Urai bukan daerah asing bagi ramai yang menggunakan laluan Gua Musang untuk ke Kota Bharu. Namun, ia tenggelam dalam kehadiran pekan lebih besar seperti Gua Musang, Kuala Krai atau Machang. Justeru, pilihan raya kecil ini mempopularkan daerah kecil yang tenang dan indah ini.

Laluan di jalan besar antara Kuala Krai dan Gua Musang ini, tidak menyerlahkan keindahan Manek Urai. Tetapi jika kita meluangkan masa untuk memasuki Kampung Manek Urai yang sebenar, ramai akan terpegun melihat dua kampung utama yang memberikan nama Manek Urai ini terpisah oleh sebuah jambatan yang boleh dilalui hanya satu laluan kereta pada satu-satu masa.

Kampung Manek Urai baru menyerlahkan suasana kampung tersusun dengan kemudahan infrastruktur, termasuk sekolah yang selesa. Namun, di seberang jambatan terletak Kampung Manek Urai lama yang terpaksa memiliki kesabaran tinggi untuk menggunakan jambatan sempit yang sebenarnya sudah wajar diganti dengan yang baru, seiring dengan kewujudan Kampung Manek Urai baru.

Jambatan yang dianggar menelan belanja lebih RM7 juta itu adalah antara isu paling serius perlu ditangani mana-mana calon yang memenangi pilihan raya kecil kali ini. Wakil rakyat Pas sudah menguasai daerah terbabit sejak 1990-an lagi, namun isu jambatan ini masih belum dapat diselesaikan.

Penduduk Kampung Manek Urai lama yang turut menempatkan sebuah stesen kereta api kecil terpaksa terus menongkah kesesakan di jambatan itu. Apabila BN memenangi daerah terbabit pada Pilihan Raya Umum 2004, wakilnya berjanji untuk membina sebuah jambatan baru, tetapi peruntukan yang lewat membuatkan penduduk Manek Urai hilang sabar dan memberi kerusi N41 itu kepada Pas semula pada pilihan raya umum lalu.

Kematian Adunnya, Ismail Yaakob, membuka pintu semula kepada BN untuk menunaikan janji yang dibuat. Pemilihan Tuan Aziz, bekas pengurus Kesedar yang mempunyai rekod kerja dan disiplin tinggi, kriteria utama yang dicari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk merealisikan slogannya – 'Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' – jika diberi peluang boleh membawa 1001 rahmat kepada daerah kecil ini.

Mungkin pengundi Manek Urai boleh menjadi daerah pertama di Malaysia menguji kehebatan slogan yang menjadi pegangan Perdana Menteri Malaysia keenam ini. Jika sekadar sebuah jambatan, sekolah agama, menjadikan daerah aman ini sebagai kota agropolitan – rasanya calon BN adalah orang terbaik untuk melaksanakan semua hasrat pengundi Manek Urai ini.

Mohd Fauzi adalah calon Pas yang berwibawa. Namun, yang menguasai kerajaan negeri Kelantan mungkin tidak mempunyai sumber mencukupi untuk membangunkan daerah Manek Urai. Tuan Aziz pula sudah pasti terkilan kerana kesilapan dan sikap alpa yang didakwa dilakukan wakil rakyat BN sebelum ini akan terpalit kepadanya.

Melihat kepada cara Tuan Aziz berkempen, enggan diekori media massa pada setiap masa dan lebih banyak menggunakan masa untuk mendekati sendiri pengundi daripada berada di sisi pembesar BN yang datang dari seluruh negara – amat jauh bezanya daripada ramai calon BN yang terbabit dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Kini terletak di tangan pengundi Manek Urai – sama ada mahu mengekalkan wakil rakyat Pas atau memberi peluang kepada calon BN membawa perubahan kepada wajah Manek Urai yang semakin sepi daripada hilai tawa anak muda.

Kekejaman Israel bukan halangan teruskan misi kemanusiaan

Oleh Jamhariah Jaafar

KERJA-KERJA kemanusiaan tidak mengenal erti penat, masalah atau halangan, malah sering kali ia melampaui kemampuan diri secara fizikal, mental atau kemampuan. Namun, setiap pengorbanan berbaloi apabila ia berjaya dilaksanakan.

Itulah wajah dipamerkan Huwaida Arraf dan Ramzi Kysia, apabila diterjah pelbagai persoalan mengenai pembabitan dalam Free Gaza Movement (FGM) yang menghapuskan latar belakang sebagai anak kelahiran Palestin, tetapi memiliki kewarganegaraan Israel, Amerika dan Lebanon.

Bekerjaya sebagai peguam, suara tegas mereka hanya untuk mendesak Israel supaya membebaskan rakyat Palestin daripada penderitaan yang sudah berlarutan hampir setengah abad.

Tiba di Kuala Lumpur sebagai tetamu Yayasan Perdana, yang dinaungi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Huwaida dan Ramzi, mengaku mereka sanggup bergolok bergadai untuk membantu rakyat Palestin secara langsung – tatkala majoriti masyarakat dunia hanya mampu melahirkan kata-kata simpati.

"Hari ini kami hampir muflis dan tidak tahu daripada mana mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin. FGM menerima semakin banyak sokongan global, malah yang mengikuti kami juga bukan calang-calang manusia kerana ia termasuk ahli politik, pemenang hadiah nobel dan wartawan.

"Tetapi misi ini memerlukan sumber kewangan yang besar dan apabila kapal kami Spirit of Humanity, dirampas tentera Israel, kami kini kembali ke perjuangan asal mengumpul semula wang atau mencari penderma yang boleh menyumbang sebuah kapal," kata Huwaida yang baru berusia 33 tahun, meninggalkan kerjaya sebagai peguam bagi menumpu sepenuh perhatian terhadap misi untuk membantu bangsanya yang masih berada di dalam 'kepungan' Israel.

Huwaira dan Ramzi memulakan FGM tiga tahun lalu dan terpaksa meminjam untuk melancarkan misi pertamanya pada 22 Ogos tahun lalu dengan menjadi kumpulan pertama menghantar bantuan kemanusiaan melalui jalan laut menerusi pelabuhan Cyprus.

Dengan dua bot nelayan yang belayar pada kelajuan 7 knot, seramai 44 orang daripada pelbagai kepakaran menjadi kumpulan antarabangsa yang pertama tiba di Pelabuhan Gaza dalam tempoh 41 tahun. Perjalanan lebih 30 jam dan mula diawasi tentera laut Israel sebaik saja dikesan, tetapi tidak diganggu sehingga membolehkan mereka menjejakkan kaki di bumi Palestin.

"Tidak dapat saya gambarkan perasaan ketika itu. Semua orang kata ia adalah kerja gila, belayar memasuki wilayah Israel dan lima bot tentera negara itu mengawasi perjalanan kami, tetapi kami amat bernasib baik kerana tidak ditahan.

"Mungkin ketika itu dengan publisiti besar-besaran dan ramai pula wartawan berada di dalam kapal terbabit, Israel tidak mahu menunjukkan sikap agresif kerana sedang diperhati masyarakat antarabangsa.

"Ribuan penduduk Palestin datang menyambut kami, walaupun bantuan yang dibawa tidak sebanyak orang yang berada dalam bot terbabit, ia sedikit sebanyak membantu dan lebih penting memberi mereka harapan bahawa ada kumpulan yang sanggup mengharungi lautan untuk menghulur bantuan," kata Huwaida mengenai misi pertama yang turut membawa keluar beberapa penduduk Palestin.

Sejak itu, empat lagi pengembaraan ke Pelabuhan Gaza tidak dihalang tentera laut Israel dan ia disertai pelbagai jenis manusia, termasuk Ahli Parlimen Barat dan Eropah, sukarelawan kemanusiaan dan wartawan menaiki bot lebih selesa, manakala perjalanan jauh itu dapat disingkatkan selama 15 jam saja.

"Kami berjaya membawa begitu banyak bantuan kepada rakyat Palestin seperti bekalan buku, sehingga kami melancarkan kempen 'Right To Read' yang membolehkan masyarakat dunia menghulur bantuan buku kepada rakyat Palestin," kata Ramzi.

Bagaimanapun, populariti yang semakin hebat diterima FGM menaikkan kemarahan Israel dan pada misi yang dilancarkan pada 30 Disember lalu, bot FGM ketika itu yang dikenali sebagai Dignity dilanggar tiga kali tentera laut Israel, iaitu 90 batu nautika dari pelabuhan Gaza.

"Bot itu hampir karam, namun kami bernasib baik kerana kapten kapal yang berpengalaman berjaya memperbaiki enjin bot dan membawa kami pulang ke pelabuhan Cyprus," kata Huwaida mengingatkan pengalaman pertama berdepan tentera Israel yang bertindak agresif.

Namun, itu bukan pengalaman pertamanya kerana misi FGM selepas itu turut dihalang Israel dan yang terakhir bulan lalu, bot baru FGM, Spirit of Humanity, dirampas dan semua anak kapal termasuk Huwaida, anggota Kongres Amerika, Cynthia McKinney dan pemenang hadiah nobel, Mairead Maguire, ditahan dan dipenjara.

Dr Mahathir ketika mendengar penangkapan itu terus membuat kenyataan membidas tindakan Israel kerana tergamak menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin, lebih buruk tangkapan dibuat di perairan antarabangsa.

"Hakikat bahawa Kerajaan Israel melakukan tindakan ini ketika kapal dan sukarelawannya berada di perairan antarabangsa mencerminkan keangkuhan pentadbiran Zionis. Lebih buruk ia dilakukan dengan tujuan menghukum, langsung tidak mengendahkan bantahan masyarakat antarabangsa yang lebih menunjukkan bahaya Israel kepada keamanan dunia.

"Lebih menghina, Presiden Barrack Obama baru-baru ini berkata Israel mesti membenarkan bantuan kemanusiaan disalur kepada rakyat Palestin di Gaza yang kini berada dalam kepungan Tel Aviv," tegas Dr Mahathir yang membuat kenyataan sebagai Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana.

Ternyata Dr Mahathir tidak berhenti setakat mengkritik Israel, sebaliknya jemputan kepada kedua-dua orang kuat FGM ini mempunyai misi lain, dan bekas Perdana Menteri Malaysia ini dijangka akan ke Cyprus pertengahan bulan ini untuk melihat sendiri mengenai cara terbaik membantu kumpulan ini menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih berkesan.

Huwaida dan Ramzi juga tidak bertapis dalam memohon bantuan global, termasuk rakyat Malaysia untuk meneruskan impian mereka bagi membantu rakyat Palestin.

"Jika anda melihat sendiri cara kehidupan mereka, terkepung di dalam kawasan Israel dikelilingi tembok batu dan kawat besi, tanpa bekalan perubatan, makanan serta keperluan asas lain, anda juga akan menjadi seperti saya... sanggup melakukan apa saja untuk memastikan hak kemanusiaan dikembali kepada rakyat Palestin.

"Apa lagi saya seorang keturunan Palestin, kesedihan dan kemarahan saya sudah tentu berganda. Tetapi dalam hal ini, tidak kira siapa anda atau apa bangsa anda, Ramzi seorang Lebanon, suami saya seorang rakyat Amerika, kami sanggup mengorbankan apa saja untuk membantu segala yang terdaya bagi membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel," kata Huwaida sayu.

Mereka yang ingin mengikuti misi kemanusiaan FGM perlu menandatangani surat 'berani mati' serta wasiat awal, tetapi bagi yang ingin menderma, terutama bantuan kewangan untuk membolehkan pertubuhan ini membeli sebuah lagi kapal kargo boleh melayari www.FreeGaza.org.

Politik kepartian melampau jejas perpaduan nasional

Oleh Rahman Sulaiman

POLITIK seperti yang difahami umum hari ini sudah lama dikesan menguasai kehidupan bermasyarakat, sama ada dalam masyarakat purba atau masyarakat moden sekarang. Dalam konteks masyarakat moden, politik mempengaruhi interaksi kumpulan manusia dalam usaha mereka memperoleh kuasa.

Dalam sistem pemerintahan masa kini, tanpa mengira apa juga bentuk sistem itu, sama ada demokratik, autokratik atau sebagainya, masyarakat lazimnya mengharapkan kuasa pemerintahan yang diperoleh melalui helah atau intrique politik itu digunakan untuk kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Di Malaysia, seperti juga negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi, kehidupan atau perjuangan politik rakyat dikelolakan menerusi organisasi atau parti politik.

Di bawah sistem ini, rakyat diberikan hak dan kebebasan untuk menganggotai atau menyokong mana-mana parti yang mereka anggap mampu memperjuangkan idealisme dan memenuhi aspirasi mereka.

Setiap empat atau lima tahun sekali, rakyat yang mendaftar sebagai pemilih termasuk yang tidak menganggotai parti politik, diberikan hak dan kebebasan untuk memilih parti yang mereka sukai dalam pilihan raya umum.

Parti yang menang dalam erti kata menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri berhak di bawah Perlembagaan untuk menubuhkan kerajaan dan melaksanakan dasar atau program yang dijanjikan kepada rakyat untuk kesejahteraan mereka bagi tempoh sehingga pilihan raya berikutnya.

Dalam pilihan raya berikutnya, mereka diberikan hak untuk memilih semula atau menolak kerajaan sedia ada. Inilah sistem diamalkan di negara ini sejak merdeka. Sistem ini ternyata berjaya mengekalkan keamanan negara serta menambah kemakmuran rakyat dalam tempoh 52 tahun lalu kecuali untuk seketika waktu selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 apabila demokrasi digantung buat sementara.

Selepas itu, apabila demokrasi dipulihkan, rakyat kembali tenang untuk meneruskan urusan harian masing-masing. Parti politik hanya sibuk menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang diadakan dari semasa ke semasa.

Malangnya, sejak akhir-akhir ini terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu, politik dan demokrasi di Malaysia kelihatan mula memasuki dimensi baru yang tidak pernah dialami sebelum ini. Politik sebagai alat untuk menempah wewenang dan kuasa seolah-olah sudah menguasai seluruh kehidupan rakyat.

Di mana-mana saja orang bercakap mengenai politik. Sama ada di warung, kedai kopi, restoran, majlis kenduri atau sebelum dan sesudah mesyuarat rasmi, isu-isu politik lazimnya mengisi sebahagian besar daripada tajuk perbualan.

Isu lain seperti ekonomi, pendidikan dan sosial sering diketepikan seolah-olah ia tidak penting. Akhbar dan media lain juga memberi tumpuan yang cukup ketara terhadap isu politik terutama politik kepartian.

Di kalangan penjawat awam dan pelajar di institusi pengajian tinggi juga, nampaknya politik tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan mereka. Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sesiapa mendapati bahawa topik utama perbualan penjawat awam di kantin pejabat adalah politik.

Bukan juga satu keanehan untuk orang luar mengetahui bahawa pemilihan pemimpin pelajar di institusi pendidikan tinggi tempatan setiap tahun kebanyakannya didasari fahaman politik kepartian yang dianuti pemimpin terbabit walaupun pada zahirnya Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang sama sekali pelajar berpolitik.

Di kalangan pemimpin politik pula, kewujudan mereka seolah-olah tidak sah kalau mereka gagal menilai sesuatu isu, perkembangan, dasar atau program kerajaan dari sudut politik kepartian yang sempit untuk kepentingan peribadi.

Inilah nampaknya budaya yang menguasai kehidupan rakyat Malaysia sekarang. Secara perbandingan, budaya ini nampaknya lebih kuat mencengkam masyarakat Melayu dan Islam berbanding masyarakat Cina, India dan lain-lain.

Perkara ini sebenarnya, sudah banyak dibincangkan melalui saluran rasmi dan tidak rasmi oleh cendekiawan Melayu dan golongan prihatin lain yang bimbang bahawa budaya politik melampau dan tidak berkesudahan itu berpotensi untuk menghancurkan perpaduan Melayu dan sekali gus menghakiskan kuasa politik mereka.

Jika ini berlaku, usaha untuk mencapai perpaduan nasional menjelang 2020 apabila Malaysia disasar mencapai status negara maju, tidak akan kesampaian.

Sesungguhnya, dalam konteks inilah cadangan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, agar usaha dirintis untuk menyatupadukan orang Melayu, perlu diberi perhatian.

Ketika menyampaikan titah utama bertajuk Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat pada majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di Ipoh kelmarin, baginda menyarankan supaya usaha penyatuan umat Melayu dirintis bagi membina keupayaan kaum itu dalam semangat serumpun bangsa dan saliran agama.

Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai, baginda bertitah agar semua pihak mengetepikan kesetiaan kepada individu atau kumpulan.

Raja Nazrin menegaskan budaya berpolitik yang sedang berlaku menyebabkan ketaksuban baru sehingga menjelma budaya assabiyah yang mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan berbanding kelangsungan ummah.

Titah baginda, keadaan itu akhirnya menyebabkan Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan kelemahan antara satu sama lain. Sebenarnya, ini bukan kali pertama baginda menyuarakan kebimbangan demikian.

Sebelum ini, baginda dan raja lain juga pernah menyatakan kebimbangan serupa terhadap gejala dan perkembangan yang berpotensi untuk menghancurkan negara. Apakah rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, memerlukan kejutan yang lebih dahsyat untuk menyedarkan mereka daripada ilusi yang merugikan itu dan kembali menerima kenyataan bahawa politik bukan segala-galanya?

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

Kepimpinan MB Selangor dipersoalkan

ISU rombakan barisan Exco Selangor berterusan dan semakin hangat diperkatakan apabila Mohd. Azmin Ali meningkatkan desakan supaya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan sesuatu.

Setelah menggemparkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan kenyataan-kenyataan pedas pada Khamis minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu sekali lagi mencuri tumpuan terhadap isu yang sama lima hari kemudian.

Pada serangan pertama, Azmin mahu barisan Exco dibubar kerana pemimpin-pemimpin di kalangan parti Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), gagal menjalankan tanggungjawab memajukan negeri itu.

Tegasnya, kegagalan itu berlaku kerana barisan Exco yang dilantik tidak mampu melaksanakan prinsip pentadbiran baik, demokrasi dan hak asasi manusia dan kebebasan, yang menjadi asas penubuhan kerajaan campuran Selangor satu setengah tahun lalu.

Kekangan itu menjadikan halangan besar bagi pakatan kerajaan campuran untuk memajukan Selangor setelah berjaya merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tahun lalu.

Sebab itu di sidang dewan itu Azmin menetapkan pendirian bahawa jika barisan Exco tidak mampu menuruti dan mematuhi prinsip tersebut, kerajaan negeri tiada pilihan lain selain merombak dan menukar barisan Exco sedia ada.

Namun pada Isnin lalu, nada Azmin selaku ketua backbenchers agak lembut sikit dengan menyebut bahawa cadangan beliau bukan bermaksud Menteri Besar mesti memecat mana-mana anggota Exconya.

Sebaliknya rombakan boleh dilakukan dengan menukar portfolio Exco yang ada.

Tetapi beliau sempat memberi kenyataan sinis bahawa tindakan itu terserah kepada Abdul Khalid yang turut menegaskan kepada media iaitu rombakan Exco tidak akan dilakukan.

Dalam soal ini Abdul Khalid melihat beliau tidak perlu mengikut telunjuk Azmin malah menganggap serangan tersebut tidak lebih daripada satu cadangan sahaja.

Lumrahnya jika cadangan tidak semestinya perlu diterima sebulat suara, lebih-lebih lagi pada pandangan Abdul Khalid, barisan Exco pilihannya sudah menunjukkan tahap kerja yang diharapkan.

Perbezaan pendapatan dan pandangan itu kebetulannya dari pemimpin-pemimin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Azmin berjawatan Naib Presiden dan Abdul Khalid pula pemimpin parti peringkat negeri Selangor.

Tetapi 'tiada angin masakan pokok bergoyang'. Atas alasan-alasan kukuh diyakini telah mendorong desakan merombak Exco dibuat.

Kalau dilihat cara serangan Azmin ternyata beliau bersungguh-sungguh mahu cadangan beliau dilaksanakan.

Selaku Menteri Besar, Abdul Khalid telah bertindak wajar mempertahankan anak-anak buahnya. Tetapi berapa lama ia mahu dipertahankan.

Wajarkah tindakan tersebut sekiranya memang banyak bukti dapat dinyatakan bahawa barisan pimpinan kerajaan campuran di Selangor sebenarnya pincang tidak seindah seperti yang diuar-uarkan kepada masyarakat di bandar atau di desa.

Secara tersirat atau tidak Abdul Khalid turut perlu menerima kenyataan bahawa kumpulan backbenchers sudah mula mempersoalkan cara kepimpinannya.

Gerakan ini muncul mungkin cara beliau dan barisannya yang lebih gemar bercakap mengenai keburukan kerajaan negeri terdahulu daripada membiarkan Selangor terus kekurangan sumber kewangan untuk mentadbir kerajaan.

Padah apabila gagal mengawal emosi

PERISTIWA lima pelajar perempuan yang terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah sekolah di Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan dan dijadikan contoh. Lebih mengejutkan, kejadian pergaduhan dilakukan oleh sekumpulan pelajar perempuan yang dilihat bersifat agresif menyerang mangsa.

Akibat tindakan mereka yang tidak dapat mengawal emosi, dua daripada lima pelajar perempuan tersebut dibuang sekolah. Dua lagi pelajar dikenakan hukuman gantung sekolah selama seminggu manakala seorang lagi digantung persekolahan tiga hari.

Peluang untuk meneruskan persekolahan masih terbuka untuk dua pelajar yang dibuang sekolah. Sekiranya mereka masih mahu meneruskan persekolahan, mereka perlu mengemukakan rayuan untuk tindakan lanjut. Dilaporkan juga, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan Seksyen 506 akta sama kerana terdapat unsur ugutan dalam kejadian itu.

Perasaan cemburu dikatakan antara penyebab kepada pergaduhan. Kedua-dua mangsa dikatakan cerdik, cantik dan disukai guru sekolah. Ini menyebabkan tiga pelajar senior merancang pergaduhan antara kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu.

Tindakan lebih berani dilakukan apabila aksi kejadian melibatkan empat daripada lima pelajar itu yang berpakaian seragam sekolah turut tersebar di laman perkongsian video, YouTube.

Hukuman yang dikenakan kepada mereka memang wajar untuk menjadi tauladan kepada pelajar-pelajar lain supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, rata-rata pelajar yang terlibat dalam gejala negatif seperti pergaduhan dan buli tidak sedar bahawa ia boleh menjejaskan masa depan mereka.

Kenyataan beliau perlu diberi perhatian serius kerana masa hadapan pelajar banyak bergantung kepada keupayaan untuk mengawal emosi dan tidak bertindak secara agresif.

Banyak kajian menunjukkan bahawa tindakan seperti buli bermula dengan hanya perbuatan suka-suka dan berseronok. Apa yang sering berlaku ialah peristiwa yang pada mulanya menyeronokkan membawa padah yang buruk kepada mangsa dan pelaku.

Adalah satu yang amat menyedihkan apabila pelajar yang masih lagi berada pada peringkat remaja dan umur yang masih muda terpaksa meninggalkan alam persekolahan. Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila mereka disabitkan dengan perlakuan jenayah dan terpaksa melupakan kehidupan sebagai seorang pelajar. Ini tentunya akan memberi kesan buruk kepada diri dan keluarga mereka.

Remaja yang berada di luar alam persekolahan dilihat lebih terdedah kepada masalah sosial dan jenayah. Begitu juga, adalah lebih sukar untuk remaja yang tidak mendapat pendidikan yang baik untuk mempunyai masa hadapan yang cerah.

Seperti mana kenyataan Alimuddin, pelajar perlu berfikir panjang untuk tidak melakukan perkara-perkara yang akan menjejaskan masa hadapan mereka. Secara psikologinya, pada peringkat perkembangan diri, remaja banyak menghadapi konflik. Ini termasuk konflik perhubungan dengan rakan-rakan.

Perasaan cemburu atas kelebihan yang ada pada orang juga wujud. Jika konflik diri ini tidak diurus dengan baik, ia akan membawa banyak kesan negatif. Bertindak balas secara agresif atas ketidakupayaan mengawal emosi seperti membuli ternyata bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa tetapi juga kepada pembuli.

Pelajar sekolah yang berada pada tahap remaja memerlukan bimbingan dalam kehidupan mereka. Jika mereka menghadapi konflik diri, mereka boleh mendapatkan bantuan seperti kaunseling, berbincang dengan rakan-rakan dan guru atau mencari hobi yang diminati.

Ibu bapa pula memainkan peranan yang sangat penting memantau perkembangan anak-anak di samping bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi.

DR. SAPORA SIPON

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM
)