Wednesday, July 22, 2009

Pateri 'ikatan persaudaraan'

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

RINGKAS tapi bermakna. Itu kesimpulan lawatan dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Brunei Darussalam. Biar pun kunjungan ke Bandar Seri Begawan bukan sesuatu yang asing bagi Perdana Menteri, namun lawatan yang berakhir semalam membawa makna tersendiri.

Najib hadir untuk bertemu pemimpin tertinggi Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri. Kedua-dua pemimpin ini sempat bertemu ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Pattaya baru-baru ini. Namun pertemuan tersebut hanya mengambil masa kira-kira 10 minit.

Tentunya tidak banyak yang dapat diperkatakan pada pertemuan sesingkat itu. Sementelah ketika itu, Najib baru beberapa hari memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri setelah mengambil alih teraju pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun Sultan Hassanal Bolkiah sempat mempelawa Najib berkunjung ke negaranya. Dan bermula kelmarin, Perdana Menteri Malaysia yang keenam itu merealisasikan jemputan tersebut, menuruni anak tangga pesawat peribadi menjejakkan kaki ke bumi Darussalam dengan membawa misi yang besar.

Hakikatnya, Brunei-Malaysia berkongsi sempadan. Bukan setakat sempadan negara, malah banyak lagi persamaan yang boleh dibanggakan oleh rakyat kedua-dua negara. Bahasa pertuturan, agama, keturunan bangsa, malah rupa paras dan warna kulit menceritakan segala-galanya tentang kebanggaan rumpun bangsa itu.

Namun semacam ada ketidaksempurnaan apabila memperkatakan tentang keintiman hubungan antara kedua-dua negara. Biar pun ikatan 'persaudaraan' telah terjalin sejak sekian lama namun masih banyak kekurangan di sana sini yang mesti dirungkai.

Malaysia dan Brunei mesti tampil sebagai jiran yang menjaga hati jiran - jiran yang memakmurkan jiran. Kedua-dua negara tidak boleh lagi dilihat sebagai sehati sejiwa kerana faktor geografi semata-mata.

Sebab itu biar pun tidak sampai 48 jam berada di negara itu, ada manfaat besar yang dibanggakan oleh Perdana Menteri. Kesempatan bertemu secara empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman menceritakan betapa hakikatnya hubungan Malaysia-Brunei bukan sekadar melingkari masalah persempadanan darat dan maritim yang menarik perhatian banyak pihak.

Ada banyak bidang lain yang perlu dibincangkan di antara pemimpin kedua-dua negara. Masih banyak ruang yang boleh diteroka untuk menampakkan kepada dunia bahawa antara Malaysia dan Brunei ada ikatan yang tidak akan terungkai sebaliknya ia kelak dipateri menerusi kerjasama yang lebih erat.

Masih banyak tanah yang boleh dijelajah oleh kedua-dua pihak untuk merealisasikan usaha tersebut selaras dengan komitmen serta semangat serumpun sebangsa yang menjadi kebanggaan bersama.

Bagi Perdana Menteri dijemput dan mendapat peluang mengadakan pertemuan dengan salah seorang pemimpin terkaya dunia itu bukan calang-calang.

Justeru biar pun program awal menetapkan 15 minit untuk pertemuan tersebut dilangsungkan namun ia tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Namun ternyata pertalian jiran sepakat membawa berkat antara kedua-dua pemimpin mengheret pertemuan lebih sejam daripada masa yang diperuntukkan.

Tentulah peluang keemasan itu umpama tuah kepada Perdana Menteri lantaran banyak perkara yang boleh disentuh, diadun dan dicanai supaya hasilnya kelak tidak menghampakan mana-mana pihak. Semestinya untuk rakyat di kedua-dua negara di mana tempat tumpahnya rahmat kerjasama yang sedia terjalin dan bakal dipereratkan lagi itu.

Paling nyata ialah peluang untuk negara yang terkenal dengan sumber minyak dan gas asli itu melabur di wilayah paling intim iaitu di Sabah dan Sarawak. Hubungan mereka bukan sekadar menyebut Limbang atau kekerapan mengunjungi Kota Kinabalu. Sebaliknya, hubungan kedua-dua negara boleh dirancakkan lagi menerusi pelaburan di situ terutamanya dalam projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score).

Di situ usaha-usaha mesti dirancakkan sambil tidak mengetepikan koridor pembangunan Iskandar Malaysia di Johor yang ternyata telah menarik minat negara tersebut yang telah pun menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan petugas bagi mengkaji peluang-peluang pelaburan di situ.

Di situlah kelebihan waktu tambahan sejam yang diperuntukkan oleh Sultan Hassanal Bolkiah kepada Perdana Menteri, lantaran bentuk kerjasama serta bidang-bidang baru yang ingin diteroka dapat sekurang-kurangnya diperincikan.

Lebih daripada itu, hubungan dua hala Malaysia-Brunei melangkaui negara-negara lain, manakala dipayungi pertubuhan yang sama iaitu ASEAN merupakan instrumen untuk memantapkan jalinan sedia ada.

Hubungan negara berjiran itu juga tidak harus berat sebelah. Brunei sendiri membuka ruang yang besar kepada syarikat-syarikat swasta untuk meneroka peluang di sana. Ada projek perumahan yang tendernya dibuka kepada syarikat Malaysia - malah sudah ada pun syarikat berjaya membida tender projek kerajaan itu. Projek juga telah dimulakan awal bulan ini.

Sejajar dengan hasrat Brunei untuk menumpukan perhatian kepada bidang perindustrian, maka lebih banyak peluang dibuka kepada pelabur luar terutamanya Malaysia. Di situlah hubungan dua hala kedua-dua negara, yang biar pun telah terjalin sejak sekian lama, namun peluang serta ruang seperti dibiarkan begitu sahaja oleh adik beradik berlainan 'ibu dan bapa ini'.

Begitu juga dengan bidang pertanian, pelancongan dan pertahanan yang kesemuanya mendapat perhatian kedua-dua pemimpin tanpa satu pun tercicir.

Misi Perdana Menteri bersama delegasi negara menjadikan Brunei destinasi pengukuhan hubungan dua hala amat tepat. Rakyat kedua-dua negara mesti membuka mata bahawa mereka mempunyai jiran yang boleh diharap bukan sahaja untuk kemakmuran bersama malah mampu menyumbang kepada kesejahteraan serantau.

Apatah lagi dalam keadaan Sultan Hassanal Bolkiah memulihara dan memartabatkan institusi raja-raja Melayu maka keunikan hubungan Malaysia-Brunei mesti dijaga dan dipastikan darjah 'kemuliaannya'.

Kunjungan singkat dua hari sebenarnya merupakan permulaan yang berjaya untuk Najib yang baru bergelar Perdana Menteri. Tempoh sejam 15 minit bukan sekadar memperbaharui hubungan sedia ada - lebih penting ia menjadi landasan untuk mewujudkan kerjasama lebih mantap demi masa depan dua negara yang berkongsi banyak persamaan.

Bagi membuktikan kesungguhan itu, Ogos ini delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri sekali lagi akan kembali ke tanah Darussalam. Pertemuan tersebut pastinya dinanti-nantikan lantaran banyak perkara yang mesti menyusul hasil pertemuan pertama supaya 'ikatan' yang terjalin terus membuahkan hasilnya.

No comments: