Sunday, March 1, 2009

Dekati derita Gaza

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

MISI kemanusiaan pertama Yayasan SALAM Malaysia (SALAM) ke Gaza pada 26 Januari h ingga 3 Mac lalu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada sukarelawannya.

Delegasi SALAM itu diketuai oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Ahmad A. Talib berserta enam sukarelawan lain termasuk pakar perubatan dan wartawan.

Selain melihat keadaan sebenar nasib penduduk Gaza yang dibedil selama kira-kira 22 hari sebelumnya, misi itu juga bertujuan menyampaikan bantuan ubat-ubatan dan selimut kepada penduduk.

Berkongsi pengalaman itu, Ahmad berkata, untuk memasuki Gaza sendiri bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Pasukan SALAM terpaksa berdepan dengan kerenah pengawal sempadan yang seolah-olah sengaja mahu mematahkan semangat sukarelawan untuk ke Gaza.

Akibatnya, empat hari pasukan SALAM terkandas di sempadan dan terpaksa bermalam di al-Arish.

Dipercayai kesukaran misi kemanusiaan menyeberangi sempadan Rafah adalah kerana terdapat perisik tentera Israel di pintu sempadan.

Pastinya, mereka akan menggunakan segala ruang untuk mengekang sebarang kemasukan bantuan terhadap penduduk Gaza.

Sehinggalah hari kelima selepas beberapa kali tertunda, pasukan SALAM berjaya menjejakkan kaki ke bumi Gaza.

''Itu pun tidak dibenarkan masuk dengan bekalan ubat-ubatan dan selimut. Malah, seorang sukarelawan yang merupakan doktor juga terkandas menunjukkan betapa penduduk Gaza sememangnya mahu dibiarkan sengsara dan menderita," katanya.

Sepanjang sembilan hari berada di Gaza, SALAM berpeluang singgah di hampir keseluruhan kawasan yang menjadi sasaran bedilan bom tentera Zionis.

Pemandangan bangunan runtuh dan kawah besar akibat ledakan bom boleh dilihat di mana-mana. Begitu juga dengan bangunan yang berlubang-lubang kesan tembakan peluru.

Pernah satu ketika sewaktu sedang solat maghrib berjemaah, letupan bom yang kuat kedengaran sangat dekat dengan masjid. Melihat riak terkejut dan bimbang sukarelawan SALAM, penduduk Gaza memberikan kata-kata semangat.

Menurut mereka, bunyi bom dan tembakan peluru adalah perkara biasa. Itulah irama dan lagu yang menemani penduduk Gaza sejak sekian lama.

Nasihat mereka, tidak perlu berasa takut atau bergegas mencari tempat perlindungan. Ini kerana tidak siapa yang dapat memberi jaminan, tempat berlindung itu nanti tidak akan menjadi mangsa bom tentera Israel.

Peristiwa itu menyedarkan SALAM bahawa penduduk Gaza meladeni kehidupan sepenuhnya dengan berserah diri.

Kerana merasakan tiada walau seinci ruang sekali pun di Gaza yang terlindung daripada radar senjata Yahudi, penduduk Gaza mengamalkan membaca dua kalimah syahadah setiap kali melangkah keluar dari rumah.

Perkara itu menjadi kelaziman dan diperkatakan oleh setiap penduduk yang ditemui oleh SALAM termasuk kanak- kanak, guru, doktor, usahawan, peniaga. Apatah lagi pemimpin-pemimpin kanan Hamas yang sememangnya menjadi sasaran.

Delegasi SALAM sendiri turut menjadikan kalimah syahadah sebagai benteng terutama ketika dibawa berjumpa dengan lima orang menteri dan dua timbalan menteri kabinet Hamas.

Ketika di sana juga SALAM turut dibawa ke sebuah rumah di Kampung Zaitun.

Perkampungan di perbatasan Israel itu subur dengan hasil tanaman buah zaitun dan limau serta kaya dengan hasil penternakan.

Bagaimanapun perkampungan itu bertukar menjadi gelanggang pembunuhan paling kejam dalam sejarah peradaban manusia bertamadun hari ini.

Sewaktu tentera Zionis melancarkan serangan, mereka menawan kira-kira 100 orang penduduk kampung itu di dalam sebuah rumah.

Tawanan itu tidak diberikan makanan dan minuman selama tiga hari sebelum Israel melepaskan tembakan bertalu-talu pada malam keempat membunuh seramai 30 orang.

Meskipun hanya melihat kesan-kesan kemusnahan, namun kejahatan dan kezaliman tentera Zionis itu seolah-olah terbayang di depan mata.

Kesedihan juga tidak tertahan setiap kali mengenangkan wajah-wajah penduduk Gaza terutamanya kanak-kanak dan wanita yang terpaksa menahan kesakitan di hospital.

Berpeluang melawat sebuah hospital terbesar iaitu di Gaza iaitu as-Syifa, SALAM melihat sendiri bagaimana sukarnya doktor merawat mangsa perang yang kebanyakannya parah.

''Hospital penuh sesak dengan pesakit, sedangkan ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan tidak mencukupi. Malah, ada hospital yang musnah kerana dibom oleh Israel. Antaranya hospital milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hospital kanak-kanak," tambah beliau.

Ahmad turut berkongsi semangat kecekalan seorang paderi Kristian berusia 70 tahun iaitu Manuel Musallman.

Paderi yang sangat dihormati oleh seluruh penduduk Gaza termasuk umat Islam ini acap kali melaungkan kesanggupan untuk bersama-sama mengangkat senjata mempertahankan bumi Palestin.

Bagi Manuel, kejahatan Israel bukan kerana dendam terhadap Islam, tetapi penghapusan bangsa ke atas penduduk Palestin.

Ini kerana penganut Kristian di Palestin seramai 4,000 orang juga menjadi mangsa.

Dalam kesempatan mengunjungi sebuah sekolah Kristian yang turut menjadi perlindungan kanak-kanak Islam, dapat disaksikan ketinggian semangat persaudaraan penduduk Gaza.

Dalam ketidaktentuan mengenai keselamatan diri mereka, anak-anak Gaza ini masih ceria dan seronok untuk ke sekolah.

Menurut penduduk Gaza, sekolah merupakan satu-satunya tempat di mana anak-anak Gaza dapat melarikan diri daripada hakikat perang di bumi mereka.

Sekolah juga merupakan tempat untuk mereka saling menghulurkan rasa kasih-sayang sementelah kebanyakan anak-anak Gaza itu adalah yatim piatu.

Dalam kunjungan itu juga, SALAM berkesempatan diberikan sambutan istimewa iaitu persembahan daripada puisi dan sajak.

''Meskipun tidak memahami bait-bait puisi dan sajak yang disampaikan oleh kanak-kanak Gaza itu, namun hati kecil dapat menangkap maksud kebencian dan kemarahan yang dilemparkan kepada tentera Zionis.," ujar Ahmad.

Bersama-sama tangisan anak-anak Gaza di sekolah itu, tangisan delegasi SALAM turut membasahi bumi Palestin.

Masih terkesan dengan pengalaman pertama melihat sendiri derita penduduk Gaza, SALAM mengatur misi kemanusiaan kedua sebaik kebenaran memasuki Gaza menerusi sempadan Rafah diberikan.

Dari situ ujar Ahmad, SALAM akan bergerak sebagai sebuah badan sukarelawan yang memberi tumpuan terhadap kebajikan kanak-kanak.

Ia termasuk soal pendidikan, pembangunan kemahiran dan kesihatan.

Bagi SALAM sendiri, tumpuan kerja-kerja kebajikan terhadap kanak-kanak bukanlah sesuatu yang baru.

Di Malaysia sendiri, SALAM menyelenggara dua buah rumah kebajikan khusus untuk kanak-kanak terbiar dan wanita iaitu Rumah Nur Salam dan Rumah Sinar Salam di Kuala Lumpur.

Kedua-dua buah rumah itu ketika ini menjadi perlindungan kepada kira-kira 370 orang kanak-kanan jalanan dan wanita termasuk ibu tunggal.

''Justeru, pengalaman yang sama juga bakal digunakan dalam misi bantuan berpanjangan di Palestin nanti," kata beliau.

Bagaimanapun, tanpa sokongan dana dan kepakaran yang mencukupi, usaha murni SALAM itu sukar untuk menjadi kenyataan. Untuk itu, Ahmad menyeru kepada mana-mana pihak agar menghulurkan sumbangan seterusnya bersama-sama SALAM dalam membela nasib anak-anak Palestin.

Begitu juga dengan orang ramai yang dijemput untuk menjadi sukarelawan bersama SALAM.

Sehingga kini, SALAM mempunyai seramai 4,000 orang sukarelawan berdaftar yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Bagaimanapun dalam misi untuk menempatkan sukarelawan di wilayah yang dilanda bencana terutamanya di negara-negara ketiga, SALAM memerlukan lebih ramai tenaga yang sanggup berkorban atas semangat kemanusiaan.

Sekiranya tiada aral melintang, SALAM dalam masa terdekat juga akan menghantar misi kemanusiaan ke wilayah bergolak di utara Sri Lanka.

SALAM sebelum ini pernah mengadakan misi sewaktu wilayah itu dilanda tsunami selain turut menghulurkan bantuan di Aceh. Orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan SALAM boleh berbuat demikian dengan mendaftar secara atas talian di laman web www.salam.org.my.

Wanita! pastikan arah perjuanganmu

JANGKAAN saya agak meleset bahawa artikel poligami minggu lepas akan dibantah ramai wanita, sebaliknya, ramai wanita yang menghantar e-mel menyokong. Mereka cuma keliru dengan beberapa alasan yang dikemukakan oleh sesetengah ekstremis feminis yang membelasah isu poligami dalam Islam.

Saya ingin jelaskan, sesiapa yang mengikuti pandangan saya akan tahu sejak dahulu betapa saya mempertahankan hak-hak wanita khususnya di Malaysia. Kita hendaklah jelas bahawa yang patut dikritik bukan hukum-hakam Islam, tetapi kerenah pengurusan atau birokrasi mereka yang diamanahkan menguruskan urusan orang Islam, terutama mahkamah yang dinamakan syariah yang menyusahkan wanita, menangguhkan kes-kes talak bertahun lamanya, yang sempit dalam pemikiran hukum, menyusahkan urusan perkahwinan yang halal dan lain-lain kerenah sehingga yang halal begitu sukar dicapai dibandingkan yang haram. Salah urus perkara-perkara ini yang menzalimi hak umat Islam yang berkaitan urusan rumahtangga; lelaki dan wanita. Sehingga Islam menjadi kabur dan wanita menjadi prejudis dengan hukum-hakam syarak. Betapa ramai kaum wanita yang menghantar emel dan surat kepada saya menceritakan kekecewaan mereka terhadap pengurusan yang bernama syariah. Mereka sebahagiannya termasuklah yang baru menganut Islam. Pun begitu, kita lihat di Malaysia, ada jawatan-jawatan baru yang kurang perlu diwujudkan demi memberi tempat kepada 'orang agama' yang pencen. Ini berlaku, termasuk di badan-badan keagamaan yang penting termasuk kehakiman. Apabila agama dijadikan bagai urusan bisnes untuk kroni dan puak, maka hak orang awam terbengkalai. Sebab itu, saya kira patut dipuji Tun Mahathir di sudut beliau tidak mewujudkan jawatan besar untuknya apabila pencen.

Wanita! jika hendak berjuang, perjuanglah menghapuskan kerenah seperti ini, juga kesempitan fahaman mazhab atau fikah berkaitan wanita yang dipegang oleh kelompok agama ortodoks serta konservatif sehingga dipinggirkan hak wanita tanpa dalil. Ertinya, wanita hendaklah jelas apa yang patut perjuangkan. Saya telah sentuh hal ini banyak, sebahagiannya dalam buku saya 'Mengemudi Bahtera Perubahan Minda'. Jangan pertikaikan atau ubah hukum-hakam syarak yang tetap. Syariat Allah sentiasa adil lagi saksama. Jangan salah tafsirkan nas-nas al-Quran atau sunnah hanya kerana hendak memenuhi perjuangan yang kabur, atau tuntutan yang tersilap. Perjuangkan kerahmatan dan keluasan Islam yang Nabi saw peruntukkan untuk wanita. Dalam artikel-artikel lepas, saya telah sebut hadis yang menggambarkan betapa baginda memerdekakan wanita dari kongkongan. Wanita diberi peluang untuk merungkaikan rumah tangga jika mereka rasa ia amat sengsara. Sehingga apabila isteri Thabit bin Qais datang dan berkata: Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka RasullulLah SAW bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: "Ya". Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia (Riwayat al-Bukhari). Demikian dalam riwayat al-Bukhari daripada 'Abdullah bin 'Abbas, katanya: Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi saw berkata kepada 'Abbas: "Wahai 'Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?". Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): "Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya". Barirah berkata: "Apakah engkau memerintahkanku?". Nabi SAW bersabda: "Aku hanya mencadangkan". Kata Barirah: "Aku tidak memerlukan dia". Dalam riwayat Abu Daud, disebut nasihat Nabi SAW kepada Barirah yang lebih jelas, di mana baginda bersabda: "Wahai Barirah, bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya dia suamimu dan ayah anakmu". Kata Barirah: "Apakah engkau memerintahkanku agar demikian?". Nabi saw bersabda: "Aku hanya mencadangkan". Dalam riwayat ini menunjukkan bahawa Nabi SAW tidak memaksa Barirah kembali kepada suaminya yang masih lagi berstatus 'hamba sahaya' sedangkan dia sudah mendapat taraf 'merdeka'. Walaupun Nabi SAW sendiri bersimpati kepada Mughith sehingga mencadangkan Barirah menerima kembali sebagai suaminya, namun apabila Barirah menolak cadangan Nabi saw, baginda tidak memurkainya. Inilah keluasan rahmat yang Nabi SAW telah tunjukkan buat kaum wanita. Para ulama berbeza pendapat apakah ruang untuk kekal bersama suami itu hanya diberikan untuk wanita yang dimerdekakan sedangkan suaminya masih hamba, atau merangkumi setiap wanita yang mendapati suaminya sudah hilang kelayakan. Apa yang penting, Nabi SAW bukan seperti 'pihak kaunseling sesetengah jabatan agama yang menyatakan "baliklah jangan menuntut talak, nanti tergugat Arasy Tuhanmu". Padahal mereka yang malas membuka kes baru. Masalah wanita pada mereka ini, bukan pada ajaran Nabi SAW; termasuklah bukan masalah itu pada poligami. Kata al-Imam 'Izz al-Din 'Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa'id al-Ahkam fi Masalih al-Anam: Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah tersebut. Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati. (1/29, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua (1939-45) hampir 60 juta manusia mati, kebanyakan mereka lelaki. Semasa peperangan Iran-Iraq, 82,000 wanita Iran dan 100,000 wanita Iraq menjadi janda. Dan dunia terus berperang. Maka, peratusan wanita dan lelaki dalam dunia juga tidak seimbang di atas berbagai faktor. Kaum wanita lebih ramai daripada lelaki. Ditambah lagi sebahagian lelaki yang ada, terlibat dengan jenayah. Begitu juga yang meninggal kerana tugasan harian. Jika bukan poligami itu satu penyelesaian, apakah kita ingin menyuruh jutaan wanita mengurung 'naluri kewanitaannya? Atau apakah kita ingin beritahu mereka; lebih baik bersuamikan lelaki penagih daripada seorang yang telah berstatus suami?. Katanya Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudiannya ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya): Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri. (m.s 133-134).

Saya lihat, ada orang bukan Islam di Malaysia turut menyelar poligami kononnya tidak adil kepada wanita. Apakah dia lupa bahwa agama yang dianutinya itu sebenarnya menyuruh wanita yang menjadi janda dibakar bersama mayat suami. Ia dinamakan 'Sati'. Itulah penyelesaian yang agamanya cadangkan untuk menyelamatkan janda dari keseorangan. Terima kasihlah dia kepada Inggeris yang menentang amalan sejak sekian lama di India. Sebenarnya, Islam di India telah lama menentang tradisi tersebut. Tudinglah jari ke warisan kononya itu, sebelum memperkatakan poligami.

Saya ingin beritahu para pejuang hak wanita, bahawa saya bersama anda dan perjuangan hak wanita, tetapi kita kena pastikan dahulu arah perjuangan itu!

Negara ini milik semua makhluk

Berkelahilah parti-parti politik di negara ini untuk mendapatkan secebis kuasa yang boleh diperolehi seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Rakyat negara ini tidak wajar gusar melihat perkelahian mereka. Itu adalah rencam kehidupan bernegara. Adalah lebih baik mereka berkelahi secara undang-undang dan politik dengan menggunakan sistem demokrasi seperti yang dipersetujui dalam perlembagaan.

Pada zaman pra-demokrasi, perkelahian antara kuasa-kuasa politik yang bertentangan adalah lebih menakutkan. Pasti mereka berbunuhan sesama sendiri, pemberontakan yang menggunakan senjata, penderaan dan kematian yang akhirnya menyusahkan rakyat.

Justeru, bersyukurlah bahawa rakyat negara ini pada masa sekarang hidup dalam zaman moden yang mengamalkan sistem demokrasi. Sesiapa bebas bersuara dan mengatur langkah politik tanpa takut terjerumus ke dalam peperangan.

Kini negara ini mempunyai pilihan raya, mahkamah, parlimen dan institusi-institusi negara yang bertamadun. Persaingan antara parti politik adalah suatu yang bukan saja lumrah tetapi perlu dihargai dengan semarak keberagaman pandangan dan perspektif.

Di mana pun pandangan seseorang tentang politik, kesemuanya adalah warganegara Malaysia yang sama-sama hidup, mencari makan dan membiak dalam negara yang permai ini. Dalam hal ini, rakyat Malaysia wajar berbaik sangka terhadap semua ahli politik. Mereka harus dipandang sebagai golongan yang berniat ikhlas untuk melakukan apa yang terbaik bagi rakyat dan negara ini. Tentu terdapat perbezaan pendekatan dan perwatakan dalam berpolitik. Tetapi itu adalah sebahagian daripada keanekaragaman manusia.

Sudah tentu ahli-ahli politik seperti manusia yang lain bukannya maksum. Maafkanlah mereka jika berlaku kesilapan dan semua rakyat Malaysia yang layak pastinya mempunyai satu undi untuk memilih wakilnya di Dewan Rakyat. Bagi mereka yang tidak tinggal di Wilayah Persekutuan, mereka memiliki satu lagi undi untuk digunakan bagi memilih ahli Dewan Undangan Negeri.

Memang benar Malaysia yang permai ini adalah milik kesemua warga negaranya, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Tidak kira penyokong parti apa pun, semua rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama di bawah Perlembagaan Malaysia. Sementara perlembagaan ini pula dilindungi oleh Raja-raja Melayu, yang bukan saja raja bagi orang Melayu, tetapi adalah ketua negara dan ketua negeri bagi semua rakyat Malaysia dan negeri masing-masing.

Sungguhpun begitu, dalam negara Malaysia ini bukan saja terdapat warganya. Di dalamnya juga terdapat pendatang-pendatang, baik dengan izin atau tanpa izin yang mencari rezeki daripada bumi bertuah ini.

Para pendatang ini juga mempunyai hak mereka seperti mana yang diperuntukkan dalam undang-undang dan perjanjian antara bangsa. Kalau tidak kerana kemakmuran negara ini, tidaklah para pendatang itu hendak mencari rezeki di sini. Dan kalau tidak mereka susah tidaklah juga mereka mahu meninggalkan kampung halaman. Dan jika rakyat negara ini tidak memerlukan mereka, tidak juga mereka mahu ke sini.

Maka apabila disebut penduduk Malaysia, ia tidaklah hanya merujuk kepada rakyat negara ini. Ia turut merangkumi semua manusia yang tinggal di negara ini. Itu maksudnya dengan penduduk Malaysia. Mereka adalah yang duduk di negara ini.

Maka kehadiran para pendatang ini memeriahkan lagi negara ini. Kini selain daripada rakyat Malaysia, maka dapat dilihat orang Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand, Myanmar, Kemboja, Nepal, Nigeria dan sebagainya. Maka sudah tentu mereka juga menjadi tanggungjawab sesiapa yang memegang kuasa di negara ini untuk memastikan kesemua penduduk berada dalam keadaan kenyang dan selesa.

Selain daripada manusia, terdapat makhluk lain yang turut menjadi penduduk negara ini. Mereka adalah pelbagai haiwan dan tumbuhan di negara tropika ini. Kalau hendak dikirakan manusia pun adalah haiwan. Tetapi Malaysia ini bukan saja milik rakyatnya tetapi juga semua fauna dan flora yang hidup di negara ini. Para fauna dan flora itu bukan saja menyerikan lagi bumi Malaysia tetapi juga membolehkan rakyat negara ini hidup, memperoleh makanan dan mendapatkan rezeki.

Kalau tidak kerana rupa bumi Malaysia yang sebegini rupa, tidaklah mahu para haiwan dan tumbuhan berada di sini. Bumi subur dan rupa bentuk geografi yang selesa untuk menaungi haiwan dan tumbuhan ini menyebabkan banyaklah spesies mahu menjadikan Malaysia sebagai kediaman mereka.

Sebab itu dalam jata negara, tidak ketinggalan diabadikan kehadiran fauna dan flora ini. Dua ekor harimau dan sekuntum bunga raya merupakan simbol negara untuk mengingati manusia bahawa Malaysia juga adalah milik haiwan dan tumbuhan.

Maka kesemua ini adalah sebahagian daripada kekayaan Malaysia yang patut diraikan bersama secara aman dan meriah. Ketika mana melihat perkelahian antara parti politik manusia, maka sekali-kali fikirkan juga bahawa Malaysia bukanlah semata-mata terdiri daripada para pengundi yang wajar hatinya dimenangi. Banyak lagi makhluk yang terdapat di Malaysia ini.

Selain itu, kalau menurut kepercayaan kebanyakan orang Melayu, di Malaysia ini terutama di hutan-hutan, terdapat makhluk halus, hantu dan jembalang, orang bunian dan pelbagai saka. Mereka juga merupakan khazanah dan penduduk negara ini.

Walaupun makhluk-makhluk ini hanya berada dalam minda orang Melayu, tetapi apa yang terkandung dalam otak penduduk negara ini adalah juga sebahagian daripada Malaysia.

Bertambah meriahlah negara permai yang bernama Malaysia ini. Akhirnya, apalah kewujudan manusia kalau tidak apa yang ada dalam mindanya. Daripada memori, emosi dan imaginasi, itulah juga apa yang disebut sebagai pengalaman politik.

Menilai hubungan erat UMNO-MCA

PERSATUAN Cina Malaysia yang lebih terkenal dengan nama singkatnya MCA genap berusia 60 tahun pada Jumaat lalu.

Sempena ulang tahun kelahirannya itu MCA patut menilai dirinya secara menyeluruh dan mengambil kira pelbagai jasa dan kejayaan di samping menginsafi pelbagai kegagalan dan rasa terkilan.

Begitu pula, pihak lain di luar MCA, sama ada orang awam atau golongan cendekiawan, sama ada rakan kongsinya dalam Barisan Nasional (BN) atau musuh politiknya dalam pakatan pembangkang, demi mendapatkan gambaran yang menyeluruh dan seimbang, perlulah melihat MCA dalam satu hamparan sejarah sosial yang luas sepanjang kewujudannya.

Apa pun cacat cela dan kelemahannya sejak akhir-akhir ini, jasa MCA cukup banyak dalam memperkasa pendidikan Cina hingga dapat melahirkan bukan sahaja Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) malah juga Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR). Apa pun sungutan masyarakat Cina mengenai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), dengan cara dan gayanya tersendiri MCA telah berjaya memperkasa dan mengembangkan rangkaian kerja sistem persekolahan yang seakan-akan terpisah daripada sistem pendidikan kebangsaan itu.

Peluang-peluang ekonomi yang memang sedia terbuka luas bagi orang-orang Cina, semakin bertambah mewah dengan kelincahan MCA berdiplomasi.

Sejak negara ini merdeka saiz golongan kelas menengah Cina bertambah dengan pesat meninggalkan etnik-etnik lain di belakang. Begitu pula pertumbuhan golongan profesional dan pemilikan ekuiti dalam syarikat-syarikat yang ditubuhkan di Malaysia.

Orang Cina jauh lebih ke depan berbanding dengan orang Melayu atau India di negeri ini. Di samping menabur jasa yang bukan sedikit kepada masyarakat Cina, MCA juga telah berjasa besar mewujudkan iklim sosial dan kestabilan politik yang diperlukan untuk kemajuan ekonomi Malaysia.

Barangkali banyak yang sudah lupa, malah mungkin ada yang tidak tahu sama sekali bahawa MCA telah memainkan peranan penting dan memberi jasa yang besar dalam menjalin kerjasama yang berkesan dan produktif antara masyarakat Melayu dan Cina di negara ini.

Kerjasama itu telah melancarkan usaha-usaha mencapai kemerdekaan negara ini di pertengahan tahun 1950-an dulu. Setelah kemerdekaan tercapai kerjasama UMNO-MCA yang kemudian secara formal bergabung di bawah nama Perikatan itu berlanjutan terus untuk "mengisi" kemerdekaan.

Sememangnya belum semua impian menjadi kenyataan dan belum semua masalah dapat diselesaikan, tetapi tanpa kerjasama MCA dan UMNO tersebut tidak mustahil jika "impian" akan jadi "igauan" dan pelbagai masalah akan berlarutan.

Erti keamanan dan kemakmuran yang dinikmati Malaysia sejak setengah abad yang lalu itu akan jauh lebih rendah kadarnya berbanding dengan apa yang sudah dicapai berkat kerjasama UMNO-MCA.

Justeru kesepakatan UMNO-MCA yang menjadi lambang kerjasama Melayu-Cina tersebut wajarlah dipelihara dan dilanjutkan demi kestabilan politik Malaysia.

Mungkin kerana lupa atau tidak tahu tentang peranan MCA merintis kerjasama Melayu-Cina setengah abad yang lalu itu, sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan di kalangan sesetengah pemimpin MCA menunjukkan sikap yang terlalu "provokatif" yang boleh menjejaskan hubungan baik UMNO-MCA.

Antara contoh sikap provokatif itu ialah "tuduhan UMNO membuli MCA", serta kenyataan-kenyataan tentang isu ketuanan Melayu dan kontrak sosial. Sebahagian daripada kenyataan-kenyataan tersebut memang lebih bersifat perbezaan tentang pengertian istilah.

Tetapi tanpa disedari, nada atau dengungan kenyataan itu seakan-akan berpunca daripada parti pembangkang, bukan dari parti rakan kongsi UMNO yang memerintah.

Malah ada orang-orang Melayu yang beranggapan bahawa sejak akhir-akhir ini sesetengah pemimpin MCA 'lebih DAP daripada DAP', sedangkan sebelum itu, untuk sekian lama MCA mempunyai imej yang positif sebagai satu parti politik masyarakat Cina yang telah meletakkan asas yang kukuh membina kerjasama antara kaum, khususnya antara Melayu dan Cina.

Memang benar bahawa hubungan MCA dengan UMNO tidak senantiasa ramah dan mesra. Sepanjang setengah abad sejarah "perkongsian" kedua parti itu sekali sekala berlaku juga sengketa.

Seorang pakar Sains politik, R.K. Vasil dalam bukunya yang berjudul Politics in a Plural Society menyatakan bahawa Perikatan (UMNO-MCA) itu telah merubah jalan sejarah Malaysia. Malah lebih dari itu, boleh dikatakan bahawa kerjasama UMNO-MCA-MIC itu telah merubah peta politik wilayah semenanjung Tanah Melayu khususnya dan rantau Asia Tenggara amnya.

Kerukunan hubungan dan kerjasama sedemikian yang perlu dipelihara dan dipastikan oleh pimpinan MCA generasi mutakhir.

Antara penyeksaan dan prasangka

Mengatur majlis dialog antara agama diakui bukan sesuatu yang mudah. Mencetus pertelingkahan bukan hanya perbezaan dan prasangka tetapi juga perhitungan politik dan kekuasaan.

Mengeruhkan suasana ialah pihak luar yang kenyataan mereka dilaporkan oleh media. Antaranya ialah seperti dicatat oleh The Islamic Texts Society (UK) dalam buku terbitannya, iaitu pandangan penulis pojok akhbar Times, London bernama Jonathan Meades.

Beliau menyatakan bantahannya kerana para tahanan di penjara Guantanamo telah diberi Quran dengan percuma untuk bacaan. Meades menyifatkannya seperti menghadiahkan buku karangan Hitler, Mein Kampf kepada para pemimpin Nazi Jerman yang menunggu perbicaraan di Nuremberg setelah tewas perang. Menulis dalam akhbar Times isu 26 Januari 2002, Meades juga membantah kerana para tahanan mendapat kebenaran untuk menunaikan solat. “Ia berupa ukuran sikap lemah kita manakala membenarkan bekas-bekas al-Qaeda di Guantanamo itu bersembahyang dan masing-masing dihadiahkan senaskah Quran.”

Kenyataan tersebut didedahkan dalam buku berjudul The Other in the Light of One: The Universality of the Quran and the Interfaith Dialogue oleh Dr. Reza Shah- Kazemi. Beliau menyebut betapa sejak beberapa tahun lalu Islam menyelami jiwa pelbagai pihak melalui unsur-unsur yang seumpama tidak pernah berlaku.

Lantas dijelaskan bahawa Quran menjadi kitab suci bagi lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia.

Menurut Dr. Shah-Kazemi lagi, kedahagaan kepada sastera Islam telah meningkat seperti dinyatakan oleh Jeremy Rifkin, Presiden Yayasan Ekonomi di Washington: “Sebagaimana yang ramai lagi, maka saya membaca hal-hal berkaitan agama Islam. Tujuh dari 15 buku paling laris dalam senarai akhbar New York Times adalah tertumpu kepada agama Islam.

“Quran menjadi kita paling laris sekali. Seluruh dunia menjadi seperti bilik darjah manakala kita cuba menyelami peristiwa tragedi 11 September.”

Dr. Shah-Kazemi menambah bahawa dalam Islam adalah pelbagai budaya, tradisi, pandangan dan sikap. Tumpuan mesej Islam ialah perpaduan umat.

Sikap Meades berbeza dari bekas Perdana Menteri British, Tony Blair yang kini membawa kitab injil dan juga Quran ke sana-sini dalam mengendalikan pelbagai urusannya. Beliau kerap menjelaskan kepada para hadirin beragama Kristian bahawa Islam menghormati Nabi Isa.

Kenyataannya itu disebut dalam temuramah dengan majalah New York pada 5 Januari lalu. Beliau telah menyertai Mazhab Katolik selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri, iaitu mazhab pilihan isterinya dari dulu lagi.

Wajar dicatat dalam konteks ini ialah buku berjudul The Documents of Vatican II berikutan beberapa persidangan para pemimpin Mazhab Katolik pada tahun 1963-1965. Antara dokumen yang diluluskan dan penjelasan mengenainya ialah sikap Katolik terhadap orang Islam: “Mengenai orang Islam, maka gereja menghormati mereka. Mereka mengasihi Tuhan yang satu, abadi dan belas kasihan serta maha berkuasa.”

Selanjutnya dinyatakan: “Walaupun mereka tidak mengakui Jesus sebagai Tuhan mereka menghormatinya sebagai nabi.”

Menjadi tanda tanya bagi Meades yang anti-Islam ialah sikapnya mengenai penyeksaan demi penyeksaan yang telah berlaku di penjara Guantanamo. Ramai tahanan meringkuk di penjara tersebut hingga selama tujuh tahun tanpa perlindungan undang-undang antarabangsa atau perlembagaan Amerika. Mereka tidak diberi kesempatan adil untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah.

Hal ini dilaporkan oleh akhbar Honolulu Advertiser, antara lainnya. Lalu diumumkan keputusan Presiden Barack Obama bahawa penjara Guantanamo akan ditutup dalam masa setahun.

Obama mengumumkan keputusannya pada hari kedua ia menjadi Presiden Amerika. Jelas bahawa beliau mahu menebus kehormatan negaranya setelah bertalu-talu pihak media Amerika sendiri mendedahkan pelbagai tindakan kejam yang telah dilakukan ke atas para tahanan. Hal-hal tersebut juga berlaku di penjara Abu Gharib di Iraq.

Antara yang berlaku ialah yang dipanggil waterboarding dan rendition. yang pertama dilakukan ke atas tahanan yang dipaksa baring atas papan. Tiga helai tuala kemudian di atas mukanya. Ia selanjutnya diletak di bawah paip air yang mencurah-curah ke atas hidungnya hingga hampir lemas.

Rendition pula bererti tahanan-tahanan dihantar dengan kapal terbang ke negara lain untuk diseksa. Cara lain juga disebut oleh akhbar Honolulu Advertiser dalam laporan, serta janji Presiden Obama melarang penyeksaan-penyeksaan kejam seumpama itu.

Kepada Meades dengan prasangkanya terhadap Islam ditujukan sebuah kenyataan Harold Bloom, sarjana sastera keturunan Yahudi di Amerika mengenai Nabi Muhamad SAW. “Tiada orang lain dalam sejarah manusia menyampaikan kepada kita firman Tuhan. Kita tidak boleh bersantai manakala membaca Quran atau melafaz ayat-ayatnya sama ada bersendirian atau bersama orang-orang lain.”

Barisan penentu UMNO

Ketika Pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ariff Shah Omar Shah menganggap nombor tiga yang diperoleh dalam kertas undi akan membawa tuah manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Sallleh pula ketika bertanding di Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu menyifatkan nombor satu dalam susunan kertas undi adalah petanda baik, tetapi kesudahannya kedua-dua mereka kalah dalam pilihan raya berkenaan.

Sebenarnya nombor bukanlah penentu nasib seseorang calon sama ada ia bertanding di peringkat parti mahupun dalam pilihan raya. Begitulah juga dalam pemilihan UMNO kali ini apabila pelbagai tafsiran dibuat setelah kedudukan nombor calon-calon yang bertanding ditentukan pada 24 Februari lalu.

Walaupun nombor bukanlah penentu tetapi ada di kalangan mereka berasa gundah gulana kerana kedudukan mereka tidak menggambarkan jumlah pencalonan yang diperoleh dan ada pula yang resah kerana mendapat nombor yang dianggap 'sukar orang nampak'. Namun ada pula tafsiran lucu yang menyatakan nombor yang diperoleh akan membawa tuah kerana dikaitkan dengan kedudukan jawatan dalam parti.

Apa pun semua pihak berhak membuat tafsiran dan analisis masing-masing, apa lebih penting pemilihan parti yang bakal berlangsung pada Mac nanti bukanlah berkaitan soal tuah sesuatu nombor sebaliknya ia bakal menentukan masa depan UMNO.

Aspek utama ialah perwakilan perlu menilai secara mendalam kemampuan seseorang calon bagi memastikan beliau benar-benar layak menjadi pemimpin UMNO dan negara. Dalam soal ini, keupayaan seseorang pemimpin bukanlah berasaskan kepada orang yang pandai senyum sepanjang masa, berupaya bersalam dengan ribuan orang atau 'paling pemurah' di musim pemilihan, malah kita tidak boleh memilih seseorang calon hanya kerana hendak menyelamatkan karier politiknya. Sebaliknya kriteria utama ialah sejauh manakah pemimpin itu mampu diterima oleh rakyat serta berupaya menjalankan tugas dengan berkesan untuk parti dan kerajaan. Memang benar adalah menjadi hak ahli UMNO menentukan siapa yang mereka mahu tetapi perjuangan UMNO adalah demi kesinambungan kepimpinan negara dan berkait rapat dengan riwayat parti itu dalam arena politik tanah air.

Persoalannya, apakah dengan tersenyum sepanjang masa seseorang pemimpin mampu menyelesaikan rakyat? Apakah dengan bersalam dengan ribuan orang pemimpin itu akan mampu memperkukuhkan agenda perjuangan UMNO sehingga kembali diterima oleh rakyat atau apakah dengan menjadi 'Santa Claus' semata-mata untuk menenangi jawatan akan mampu menarik jutaan pengundi mengembalikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN)?

Berdasarkan kepada cabaran yang sedang menanti BN dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, perwakilan yang akan mengundi apa juga jawatan tidak harus membuat keputusan berasaskan kepada persepsi atau andaian semata-mata.

Sebaliknya keputusan perlu berasaskan kepada keyakinan bahawa barisan yang bakal dipilih mampu memperkukuhkan semula UMNO dan BN. Perwakilan yang akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 hingga 28 Mac nanti mempunyai amanah yang cukup besar memandangkan masa depan UMNO berada dalam genggaman mereka yang memiliki sehelai kertas undi.

Oleh itu perwakilan UMNO perlu benar-benar mentelaah kriteria pemimpin seperti manakah yang harus menjadi pilihan. Mereka tidak harus melihat dari segi luaran apatah lagi persepsi ketika membuat keputusan. Sebaliknya setiap seorang calon itu harus dikaji kelebihan dan kelemahan secara terperinci. Keputusan yang dibuat perlu berasaskan kepada pemerhatian, kajian dan akal yang waras, bukannya akibat dikaburi oleh 'tawaran', emosi, persepsi atau ilusi. Perwakilan yang gagal membuat pertimbangan sewajarnya harus memahami jika barisan pemimpin yang dipilih oleh mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya maka mereka juga harus bertanggungjawab sebagai pemusnah masa depan UMNO.

Oleh itu kebijaksanaan menilai pemimpin amat penting. Mungkin kita mengagumi calon yang bersedia bertemu perwakilan siang dan malam, mungkin kita terpegun dengan pemimpin yang mudah tersenyum dan melihat muka orang bila bersalam tetapi apakah itu sahaja kriteria yang dikehendaki oleh rakyat? Bagaimana dengan pemimpin yang mempunyai track record yang baik sepanjang perkhidmatannya sama ada dalam parti atau kerajaan, di peringkat negeri mahupun pusat? Atau pemimpin yang kita tahu mampu meneruskan agenda perjuangan parti dan negara tetapi menolaknya kerana persepsi beliau tidak mesra rakyat atau bakal menjadi liabiliti kepada parti?

Justeru dalam membuat keputusan, perwakilan UMNO tidak seharusnya meletakkan diri sebagai ahli UMNO sahaja sebaliknya mereka juga perlu mendalami perasaan sebagai seorang pengundi, ertinya cuba berusaha memahami apakah pemimpin yang bakal mereka pilih itu akan diterima atau tidak oleh rakyat. Semua pemimpin yang dipilih oleh UMNO akan dibawa berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya. Rakyat pula yang akan menjadi hakim, setiap seorang pemimpin UMNO itu akan dinilai dengan penuh teliti kemampuan dan kewibawaannya untuk menjadi barisan kepimpinan negara. Kalau rakyat merasakan UMNO tersilap memilih pemimpin, mereka sudah pasti tidak akan mengundi BN. Berikutan keadaan itu, perwakilan UMNO perlu memahami mereka bertanggungjawab untuk melontarkan undi bagi menentukan barisan kepimpinan yang ampuh dan mampu menggalas tanggungjawab membantu Perdana Menteri di dalam dan luar negara.

Pemilihan UMNO akan datang bukanlah medan untuk membalas budi, menyelamatkan karier atau menguburkan politik sesiapa tetapi ia bagi mencari pemimpin terbaik bagi mengembalikan maruah UMNO yang tercalar teruk dalam pilihan raya umum lalu.

''Cabaran yang menanti kita cukup hebat, bukan sahaja dalam urusan politik, sosial dan ekonomi dalam negara malah kita juga harus membariskan pemimpin yang mampu berjuang di peringkat antarabangsa. Oleh itu perwakilan UMNO perlu memilih pemimpin itu berdasarkan kredibiliti, kemampuan serta imej di mata rakyat. Jangan terperangkap dengan teori-teori politik dangkal seperti bahaya singa sama singa di puncak yang sama atau persepsi, perwakilan perlu menghasilkan barisan kepimpinan terbaik yang mampu menarik perhatian rakyat menyokong kembali BN," kata seorang anggota kabinet kepada penulis ketika ditemui.

Menurut anggota kabinet itu lagi, rakyat sekarang sudah bijak menilai dan dalam keadaan UMNO sekarang kesilapan memilih barisan terbaik boleh mendatangkan bencana kepada parti itu dan BN.

''Mungkin dalam tahun 2004 kita boleh meletakkan sesiapa sahaja sebagai pemimpin kerana ketika itu UMNO dan BN kuat tetapi pada masa ini, UMNO dan BN dilihat cukup lemah dan keyakinan rakyat kepada kedua-dua parti itu masih belum pulih, jadi perwakilan perlu membuat pilihan tepat," katanya.

Dalam membuat penentuan barisan kepimpinan ini juga, perwakilan harus melihat jangka masa panjang dan bukannya dengan tanggapan untuk memberi seseorang pemimpin itu 'peluang sepenggal'. Apa yang harus diingat pemilihan UMNO akan datang kebiasaannya hanya diadakan selepas pilihan raya umum, justeru apa yang dibimbangi belum sempat ahli UMNO menukar pemimpin mereka, rakyat awal-awal lagi menguburkan perjuangan politik pemimpin tersebut bersama UMNO dan BN.

Kita tidak nafikan dalam usaha meraih sokongan pelbagai cara dilakukan dan tidak terkecuali amalan politik wang. Tetapi perwakilan perlu faham pemilihan ini bukan soal kemurahan atau kemesraan seseorang pemimpin, sebaliknya ia adalah soal masa depan parti, bangsa, agama dan negara.

Sikap mengugut untuk 'memandikan' mana-mana calon yang tidak menghulurkan wang bagi meraih undi harus dihapuskan.

''Saya berharap sangat-sangat ada elemen meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. UMNO tidak kuat lagi sekarang, kita perlu kembalikan keyakinan rakyat, itu yang paling penting," kata seorang menteri kabinet yang turut bertanding.

Perwakilan UMNO perlu memahami tanggungjawab dan amanah berat yang dipikul oleh mereka, sama ada mereka akan menjadi perwakilan atau tidak selepas ini, itu bukan soalnya. Mungkin ada antara mereka berharap melalui pemilihan ini, ia memberi peluang untuk mengaut laba sebanyak mungkin, kalau itulah sikapnya maka mereka juga perlu bersedia menghitung satu persatu kekalahan UMNO dalam pilihan raya dan lebih buruk bersedia menanggung dosa akibat tidak amanah dalam memilih barisan terbaik demi bangsa, agama dan negara.

Mangsa opresi politik

HUBUNGAN antara akhbar dan ahli-ahli politik, sejak dahulu lagi, dianggap suatu hubungan simbiosis. Sungguhpun mereka rapat, tetapi dalam mana-mana hubungan yang bersifat simbiotik, ia bukanlah interaksi yang sempurna.

Banyak masanya wartawan dan akhbar tercedera dalam pertembungan itu yang kerap hanya menguntungkan ahli-ahli politik. Lebih malang lagi, ada sesetengah ahli politik dengan kejamnya menganggap akhbar sebagai parasit yang menyakitkan apabila akhbar berada di tengah-tengah jalan antara mereka dengan tembok kuasa. Ada ketikanya akhbar dengan sengaja dibuli dan menjadi mangsa opresi politik.

Sepanjang sejarah, terdapat banyak contoh yang memperlihatkan betapa buruknya ahli-ahli politik berperangai apabila akhbar secara terbuka melaporkan sisi gelap diri, parti atau kerajaan mereka. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia.

Di Amerika Syarikat (AS) pada bulan Jun 1971, ahli-ahli politik yang menguasai pentadbiran Amerika pada waktu itu bertembung secara terbuka dengan akhbar apabila The New York Times membuat satu laporan awal mengenai dokumen kajian Perang Vietnam yang meletakkan kerajaan Presiden Nixon dalam sudut yang negatif.

Peguam Negara AS waktu itu, John Mitchell menelefon pengarang The New York Times, dan mengirim telegram mengarahkan akhbar itu tidak menyiarkan lebih lanjut laporan tersebut. Mitchell pergi lebih jauh dengan membawa kes itu ke mahkamah dan berjaya mendapatkan injunksi daripada seorang hakim untuk menghalang The New York Times daripada melaporkan isi kandungan dokumen tersebut.

The Washington Post, akhbar pesaing The New York Times, membuat keputusan untuk menyokong The New York Times dengan turut menerbitkan laporan tersebut, satu pendirian keras kepala akhbar itu yang kemudian menjadi sejarah hebat dalam kewartawanan di AS.

Keputusan pengarang The Washington Post pada 14 Jun 1971 menyelamatkan kredibiliti akhbar itu: Ia tidak tunduk kepada tekanan ahli-ahli politik.

Dua minggu selepas itu, Mahkamah Agung AS membuat keputusan bersejarah untuk membatalkan perintah awal yang diperoleh oleh pentadbiran Nixon. Keputusan Mahkamah Agung tersebut dikenang sebagai titik peralihan penting kepada kebebasan akhbar era moden Amerika.

Di Malaysia, cubaan untuk menggunakan mahkamah bagi mengikat tangan pengarang-pengarang akhbar juga berlaku dengan cara yang agak unik tetapi mempunyai sedikit sebanyak persamaan dari segi motifnya.

Apabila Utusan Malaysia pada 24 Februari lalu melaporkan kenyataan Yang Dipertua Majlis Agama Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahya mengenai kewujudan sebuah majlis dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang yang menyamatarafkan Islam dengan agama-agama lain di negeri itu, berita tersebut menimbulkan kemarahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli-ahli politik DAP yang menguasai kerajaan negeri Pulau Mutiara.

Shabudin tersalah sebut nama majlis yang dimaksudkannya. Beliau menyatakannya sebagai Majlis Perundingan Antara Agama, iaitu nama yang disiarkan dalam laporan Utusan Malaysia. Nama yang betul ialah Majlis Silaturahim Antara Agama.

Dua hari selepas itu, Shabudin menjelaskan, beliau merujuk kepada Majlis Silaturahim Antara Agama yang menurutnya meletakkan agama Islam sama taraf kedudukannya dengan agama-agama lain. Kepadanya, perbuatan majlis itu yang dipengerusikan oleh Guan Eng satu perlakuan menghina.

Reaksi Guan Eng terhadap perbezaan pendapat itu tidak berbeza dengan cara ahli-ahli politik lama Amerika melayan akhbar dan musuh-musuhnya hampir empat dekad lalu. Ketua Menteri itu menggunakan cara undang-undang. Melalui peguamnya, Guan Eng menghantar surat tuntutan memohon maaf daripada Shabudin, meminta Shabudin membayar ganti rugi ekoran penyiaran berita mengenai Majlis Silaturahim Antara Agama itu atau berhadapan dengan tindakan mahkamah.

Cara yang dipilih oleh Guan Eng bagi menutup mulut Shabudin, seorang pemimpin Islam yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengetuai sebuah organisasi untuk meningkatkan syiar dan martabat Islam, adalah dengan menggertak menyamannya. Shabudin mengulangi pendiriannya yang tidak berubah dan tetap dengan kenyataan yang telah disiarkan Utusan Malaysia. Guan Eng juga membuat acahan yang sama terhadap Utusan Malaysia, sebuah akhbar yang dibaca oleh 1.5 juta orang setiap hari dengan majoriti pembacanya beragama Islam.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengakui wujud persatuan muhibah di negeri itu untuk menggalakkan hubungan baik antara agama tetapi ia bukan berfungsi sebagai sebuah majlis perundingan agama. Shabudin pula yang mewakili organisasi Islam berhujah konsep majlis muhibah itu sama dengan majlis perundingan "kerana Islam didudukkan sama-sama dengan agama lain."

Episod Guan Eng menggertak Shabudin itu mengingatkan kita kepada kelakuan politik di Singapura tidak lama dulu yang masih berterusan sehingga kini.

Adakah tindakan melalui saman sivil itu dapat menutup mulut Shabudin dan mengikat Utusan Malaysia? Hanya masa dan prosiding undang-undang, jika ia berlaku, dapat menentukannya.

Apabila Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Shabudin mengenai isu penting di Pulau Pinang itu, akhbar tersebut sebenarnya telah terlibat secara tidak langsung dalam proses politic of recognition, iaitu mahu kedudukan agama Islam tidak disamatarafkan dengan agama-agama lain. Guan Eng juga terperangkap sama dalam politic of recognition, dengan mewakili agama-agama lain, dalam satu pergelutan idea yang melampaui politik biasa.

Ia adalah satu pertarungan berkaitan identiti dan usaha menegakkan apa yang masing-masing anggap sebagai hak yang signifikan.

Di mana-mana negara sekalipun, termasuk dalam kes The Washington Post di AS, pengarang akhbar lazimnya membuktikan mereka mempunyai kesedaran sendiri dan kesanggupan untuk bertembung secara langsung dengan ahli-ahli politik.

Di negara lain pun terdapat ahli politik cuba membuli akhbar melalui proses undang-undang dan mahkamah, tetapi langkah itu belum tentu berjaya.

Ketika menghakimi satu kes di United Kingdom pada 1965, Sir Frederick Lawton yang beberapa tahun kemudian menjadi Ketua Hakim berkata: "Adalah menjadi salah satu tugas akhbar untuk membongkar kecurangan dan skandal. Ia dilakukan untuk kepentingan awam. Ia merupakan salah satu tugas yang akhbar-akhbar lakukan berkali-kali dari semasa ke semasa dalam sejarah panjang mereka."

Proses melaksanakan tugas itu meletakkan akhbar dalam risiko dan fungsi itu menuntut keberanian yang bukan sedikit. Akhbar yang tidak berhati-hati dan lantang tidak bertempat dalam memperjuangkan kepentingan awam itu mungkin tersilap fakta, menjerumuskannya kepada saman fitnah.

Pengalaman akhbar di United Kingdom menunjukkan dalam usaha pihak akhbar di sana membanteras kecurangan dan perilaku negatif, ada ketikanya akhbar terpaksa menyentuh nama baik seseorang yang mendedahkannya kepada rasa benci, hina atau ejekan. Apabila peranan itu dilakukan, kemungkinan akan tiba surat-surat saman, tetapi bukan semua saman yang datang itu bermakna akhbar bersalah dan telah membuat kesilapan.

Dalam satu kes melibatkan akhbar Daily Mail dengan sebuah gerakan agama Unification Church pada 1981, akhbar itu dalam laporannya menggambarkan gereja itu sebagai pertubuhan yang mempengaruhi belia, membasuh otak mereka untuk bekerja tanpa bayaran bagaikan hamba, memecahbelahkan keluarga dan meletakkan ibu bapa dalam kekecewaan.

Apabila ketua Unification Church, Dennis Orme menyaman Daily Mail mendakwa akhbar itu memfitnahnya, perbicaraan kes itu berlangsung selama 100 hari dengan 117 saksi dipanggil.

Daily Mail menang kes itu, dan ia didapati tidak memfitnah Unification Church kerana wujud kebenaran dalam laporannya mengenai Orme. Bagaimanapun, dari segi untung rugi bisnes, saman itu menjadi satu beban berat kepada syarikat.

Orme diperintahkan membayar £400,000 sebagai kos perbicaraan itu, iaitu satu jumlah yang tidak cukup untuk melunaskan bayaran guaman yang mencecah £1 juta.

Dalam hubungan akhbar dengan sesetengah ahli politik, termasuk di Malaysia, banyak ahli politik telah mula mendapat idea daripada pihak-pihak di luar politik untuk menyerang akhbar di poket mereka bagi "menutup mulut para pengarang akhbar". Saman dan kos yang datang bersamanya akan menakutkan akhbar.

Perbuatan itu, walaupun sungguh bijak dari segi taktik politik, sebenarnya amat buruk kesannya kepada pertumbuhan pemikiran masyarakat.

Wartawan, khususnya mereka yang bekerja dalam media elektronik dan cetak, bertanggungjawab menjadikan media tempat mereka bekerja sebuah forum untuk orang ramai. Semua penulis mempunyai misi masing-masing apabila mengutarakan laporan dan pendapat mereka yang pada umumnya bertujuan memperbaiki keadaan masyarakat, tetapi dalam konteks kewartawanan, misi forum yang didokong oleh wartawan profesional hendaklah berasaskan kepada kebenaran dan fakta yang telah ditentusahkan.

Ketidakpuasan hati yang dilahirkan dalam forum yang diwujudkan dalam media, serta perbincangan yang menyusulinya, membolehkan ahli-ahli politik mendapat respons mengenai sentimen orang ramai mengenai sesuatu isu. Kompromi dan penyelesaian mungkin boleh dicari daripada perbincangan terbuka itu yang bukan setakat membantu ahli-ahli politik, tetapi juga menolong orang ramai membuat keputusan dan pendirian.

Jika kita menyekat perbincangan terbuka tersebut daripada berlaku dengan mengeksploitasi proses undang-undang seperti yang pernah dilalui The New York Times dan The Washington Post, walhal perbincangan itu membolehkan perbezaan pendapat dikemukakan dan didebatkan bagi mencari kompromi, sesetengah ahli politik akan berfikir merekalah manusia yang paling sempurna di dunia.

Tanpa polemik, mereka mungkin merasakan mereka lebih maksum daripada nabi. Mentaliti itu amat berbahaya. Jika tidak timbul kesedaran tentang peranan check and balance akhbar, akan tiba suatu tahap nanti kemunculan bibit-bibit keditaktoran dalam politik. Pada waktu itu sebarang tindakan ahli politik tidak boleh dipersoalkan lagi.

Di Malaysia, usaha menyekat kewartawanan daripada menjadi suatu forum terbuka sedang cuba dijalankan oleh sesetengah ahli politik ke atas media. Sebelum itu mereka secara selektif telah pun menyekat penjualan akhbar-akhbar yang tidak mereka sukai di premis-premis milik kerajaan negeri tertentu.

Sekatan itu begitu menular sehinggakan apabila seseorang ahli politik terlibat dalam tingkah laku seks yang salah, ada banyak ahli politik di negara ini, termasuk daripada parti pembangkang, mempertahankan rakan mereka dengan menyerang media.

Mereka menuduh perbincangan dalam akhbar telah menceroboh privasi ahli politik itu.

Kes perlakuan seks bekas Presiden AS, Bill Clinton dengan Monica Lewinsky menunjukkan apabila seseorang memilih untuk menjadi ahli politik dan memegang jawatan awam, kecurangan dalam perlakuan seksnya akan turut menjadi keprihatinan umum.

Kisah seks Clinton terbongkar pada 17 Januari 1998 apabila sebuah laman web Internet yang dikendalikan oleh Matt Drudge menyiarkan cerita bagaimana majalah berita Newsweek, setelah ditekan oleh kepentingan politik, enggan menyiarkan satu laporan mengenai skandal seks melibatkan Clinton.

Keesokan harinya Drudge menamakan wanita itu sebagai Monica Lewinsky. Clinton dituduh berbohong mengenai penglibatannya dalam kes itu. Ahli-ahli politik di sekeliling Presiden AS itu pada mulanya cuba menekan akhbar-akhbar di AS daripada membesar-besarkan skandal berkenaan, seperti yang terjadi ke atas Newsweek.

Sama dengan pengalaman di negara lain, di Malaysia kesilapan yang dibuat oleh mana-mana ahli politik dalam kehidupan peribadi - baik dalam cerita seks mahupun kisah apabila mereka hilang pertimbangan ketika mengendalikan hal-hal lain - juga menjadi sesuatu yang perlu diketahui masyarakat.

Kesedaran baru harus muncul. Jangan salahkan akhbar semata-mata dan menggunakan bermacam-macam ikhtiar untuk menghalang debat terbuka. Ada ketikanya ahli-ahli politik, termasuk mereka yang baru merasai nikmat kuasa, kena belajar menyalahkan diri sendiri.

Kita semua bukan manusia maksum, demikian juga para pengarang akhbar.