Saturday, September 5, 2009

Ingatkan diri - 'kecuaian itu membunuh'

KELMARIN saya ditahan polis trafik kerana tidak memasang tali pinggang keledar. Itu bukan kali pertama - tabiat tidak gemar memasang tali pinggang keselamatan memenuhi senarai saman sejak saya mula berani memandu.

Sebelum ini apabila ditahan dan disoal oleh anggota polis, saya akan menjawab - kebiasaannya dengan hati terbakar, biar pun arif selayaknya saya disaman kerana melanggar undang-undang jalan raya.

Tetapi kelmarin saya kehilangan kata-kata. Petugas trafik yang menahan saya 'berkhutbah' lembut mengingatkan saya tentang punca popular kemalangan maut iaitu sikap pemandu atau pengguna jalan raya itu sendiri.

Dia berkali-kali mengingatkan perihal nyawa yang melayang akibat kelalaian. Katanya - kecuaian itu membunuh. Sempat dia menyambung khutbah: ''Kalau amal dah cukup, tak apa jugalah.''

Selesai disaman dengan tawaran diskaun sempena musim perayaan, anggota trafik itu memegang tali pinggang keledar dan mengarahkan saya memasangnya.

Seharusnya diakui sikap cuai, lalai dan tidak peduli terhadap keperluan mematuhi undang-undang jalan raya menjadi punca utama mayat-mayat bergelimpangan akibat kemalangan yang 'ditaja' sendiri oleh mangsa.

Faktor-faktor lain hanya menjadi sampingan, lantaran sikap pengguna jalan raya adalah penentu turun dan naiknya kadar kemalangan terutamanya yang melibatkan kehilangan nyawa.

Pemakaian tali pinggang keledar adalah salah satu daripada kriteria di bawah faktor penentu itu kerana kegagalan berbuat demikian mendedahkan pemandu kepada maut. Lebih daripada itu, wajar diingatkan bahawa pemakaian alat keselamatan itu bukan terhad kepada orang yang memegang stereng.

Penumpang hadapan dan belakang juga tidak boleh mengabaikan keperluan tersebut supaya jika ditakdirkan nahas mengundang, momentumnya lebih terkawal sekali gus mengurangkan peluang mendapat kecacatan teruk atau kehilangan nyawa.

Apatah lagi dalam keadaan rakyat Malaysia dua minggu lagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Keghairahan keluar membeli-belah persiapan Hari Raya bersama keluarga sepatutnya berlangsung tanpa pengabaian soal keselamatan ketika memandu atau berada di dalam kenderaan.

Tragedi kemalangan melibatkan sebuah keluarga yang mengorbankan pemandu iaitu ketua kepada keluarga berkenaan adalah contoh terbaru.

Di situ wujud unsur kelalaian sehingga menyebabkan nyawa melayang ketika mereka sekeluarga menuju ke pusat beli-belah di USJ untuk membuat persiapan raya.

Saya mengaku tersenarai sebagai pemandu cuai, namun masih ada ruang untuk mengingatkan diri sendiri bahawa kecuaian itu membunuh.

Peringatan itu penting lantaran kerajaan menerusi pelbagai agensinya telah bertungkus lumus melaksanakan pelbagai cara untuk mengurangkan kadar kemalangan maut.

Namun hasilnya terutama pada setiap kali musim perayaan tidak ketara. Pematuhan undang-undang atau peraturan contohnya bagi pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang hanya hangat-hangat tahi ayam.

Apabila tidak lagi diperhatikan atau tiada ops dilangsungkan, maka sikap sebenar pemandu di negara ini terserlah. Hasilnya, segala kempen dan peraturan hanya sia-sia - pemandu lebih rela mengundang maut daripada mengambil sikap berhati-hati.

Malaysia mangsa serangan Indonesia

PADA 30 Ogos lalu, ketika sekumpulan rakyat Malaysia mengadakan majlis menaikkan bendera dan menyanyikan lagu Negaraku serta lagu-lagu patriotik lain di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, sekumpulan penunjuk perasaan membakar bendera Malaysia di Menteng, Jakarta Pusat.

Pada 31 Ogos pula, ketika seluruh rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan, lebih banyak tunjuk perasaan dan perbuatan membakar bendera Jalur Gemilang dilakukan.

Di sesetengah tempat, golongan pelajar seperti di Universiti Gajah Mada meminta pihak universiti berkenaan mengusir serta tidak lagi mengambil pelajar Malaysia.

Perbuatan provokasi itu tidak terhenti setakat itu. Televisyen, radio dan akhbar tempatan tidak henti-henti menuduh Malaysia sengaja menggunakan tarian Pendet yang berasal dari Bali dalam promosi pelancongan Malaysia, walaupun terbukti kesilapan itu bukan dilakukan oleh kerajaan Malaysia tetapi oleh Discovery Channel yang beribu pejabat di Singapura.

Tidak cukup itu, pada Hari Kebangsaan juga sekumpulan penunjuk perasaan telah melontar telur ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Pada hari yang sama juga sekumpulan penggodam Indonesia bergabung menggodam 120 laman web Malaysia termasuk laman web Kementerian Pelancongan.

Setiap laman web yang digodam ditinggalkan catatan pesanan: “Hari ini 31 Ogos 2009, sebuah negara yang tidak kreatif, negara yang gemar mencuri kebudayaan Indonesia, negara yang mana rakyatnya menjadi perancang serangan bom berani mati di Indonesia, negara yang mendera pekerja Indonesia di sana, negara yang mempermainkan lagu kebangsaan kami, negara yang menyerang Indonesia melalui Internet, negara yang mencuri Pulau Sipadan dan Ligitan, negara yang menceroboh perairan Indonesia, negara yang mendapat kemerdekaan daripada British sedang menyambut ulang tahunnya.”

Baru-baru ini juga media massa Indonesia melaporkan Malaysia telah mendakwa Pulau Jemur dekat Sumatera sebagai sebahagian negeri Selangor.

Walaupun dakwaan tersebut dibuat oleh sebuah laman web yang mempromosikan pelancongan serta tidak diketahui pemiliknya, tetapi media massa Indonesia tetap menyalahkan Malaysia.

Tindakan agresif berterusan oleh pelbagai pihak yang tidak diketahui motif serta agendanya itu telah menimbulkan ketakutan kepada kalangan kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja serta belajar di Indonesia.

Nampaknya tindakan provokasi tersebut seolah-olah tidak mempunyai noktahnya. Persoalannya siapa yang harus bertanggungjawab memperbetulkan keadaan tersebut?

Apakah Menteri Pelancongan Indonesia yang membuat tuduhan melulu terhadap Malaysia mahu bertanggungjawab memperbetulkan kembali fakta tersebut?

Setakat ini hanya Kementerian Luar sahaja yang bernada lebih rasional dan mahu menjaga hubungan kedua-dua buah negara berjiran, manakala pihak lain hanya menjadikan situasi bertambah parah.

Bibit kebencian yang ditanam oleh pemimpin dan media massa Indonesia kini telah menular kepada golongan remaja, bahkan anak-anak di sekolah juga mula ‘menganut’ fahaman jumud dan berbahaya itu.

Melihatkan kepada senario tersebut sukar dibayang hubungan Malaysia-Indonesia dapat memasuki era kegemilangannya jika golongan muda yang bakal mewarisi kepimpinan kedua-dua negara telah didoktrin dengan fahaman kebencian.

Media massa Indonesia sejak memasuki era pemerintahan Presiden Bambang Yudhoyono dilihat begitu bebas melaporkan sebarang berita tanpa sebarang sekatan atau nasihat daripada kerajaan.

Apa sahaja yang difikirkan betul, walaupun tidak semestinya benar akan terus dihambur di stesen-stesen televisyen, radio, mahupun di dada akhbar.

Melihatkan situasi itu, pentingnya media tempatan diberikan kefahaman mengenai sebarang isu yang boleh menjejaskan hubungan kedua-dua buah negara.

Mungkin Kementerian Luar Malaysia perlu mengisi kembali jawatan pegawai media di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Walaupun media Indonesia sering bertindak sebagai mahkamah dengan menghukum sesuatu perkara dan kadang kala juga bertindak seperti samseng, tetapi jika kena cara pendekatannya tidaklah terlalu sukar mengendalikan mereka. Mereka sama juga seperti media massa di negara lain yang mempunyai prinsip serta memburu kebenaran.

Penulis sendiri melihat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan diplomasi dan kebijaksanaannya ketika melayan soalan-soalan wartawan tempatan semasa mengadakan lawatan rasmi pertama ke Indonesia tidak lama dahulu.

Hubungan Malaysia-Indonesia tidak boleh dibiarkan sentiasa berada dalam keadaan tegang kerana kesannya terlalu buruk, jadi kedua-dua buah negara perlu memikirkan dan melakukan sesuatu bagi memperbaikinya.

Tanggapan yang wajar diberikan perhatian

TEMU bual dengan Tun Musa Hitam yang disiarkan di dalam Mingguan Malaysia, 30 Ogos 2009 yang lalu sesuatu yang menarik. Analisis Tun Musa tentang tanggapan golongan muda berkenaan UMNO memang tepat sekali dan wajar diambil kira oleh ahli-ahli UMNO.

Pertama tanggapan tentang politik wang. Sudah menjadi pengetahuan umum semasa pemilihan pemimpin-pemimpin cawangan, bahagian dan negeri UMNO, banyak wang digunakan oleh pihak-pihak yang bertanding. Beberapa orang kenalan saya sendiri mengakui memerlukan banyak wang kerana pertandingan pada masa itu.

Seorang imam berkelayakan arkitek dari sebuah negeri sebelah selatan yang masuk bertanding kalah di Bahagian kerana tidak mahu terlibat dengan politik wang.

Ada suatu kefahaman di kalangan mereka yang terlibat melakukan perkara ini mewujudkan suatu suasana seolah-olah tidak ada apa-apa. Perebutan kuasa ini tidak kira di peringkat mana sekalipun berbeza sekali pada suatu masa dulu yang mana yang dipilih kadang kala menolak dan memberi laluan kepada orang lain yang lebih layak.

Ramai yang bertanding melihat pemenang akan meraih pelbagai keistimewaan yang akan menjadikan mereka kaya raya semata-mata kerana hubungan yang terbentuk dengan pemimpin-pemimpin tertentu.

Ini jelas dilihat terutama sekali semasa syarat memerlukan 30 peratus Bumiputera untuk terbitan-terbitan saham awam yang baru pada masa dulu. Pihak yang ingin menyenaraikan saham syarikat mereka perlu menamakan sesuatu pihak atau dicadangkan pihak tertentu oleh pihak berkuasa.

Kadangkala yang dicadangkan itu terpilih berkali-kali sehinggakan saya pernah mendengar rungutan daripada salah seorang yang kerap menerima agihan tersebut terlampau banyak yang diberikan kepadanya sehingga dia tidak tahu nak buat apa!

Selain daripada itu diketahui umum jua tentang kemenangan membuka laluan kepada pelbagai projek dan kontrak yang tidak semestinya dilakukan sendiri oleh mereka yang menerima.

Kita berharap pemilihan pemimpin atasan UMNO akan datang akan dipilih oleh semua ahli UMNO dan bukan ahli perwakilan ke persidangan UMNO sahaja. Dengan lebih tiga juta ahli membuat keputusan siapa yang patut menjadi pemimpin, payahlah yang bertanding nak melakukan politik wang.

Bayangkan kuota yang memerlukan sekian-sekian jumlah pencalonan untuk bertanding sesuatu jawatan menggalakkan lagi berlakunya politik wang. Kita mengamalkan demokrasi tetapi melarang perlakuan demokrasi sepenuhnya. Kuota diperkenalkan semata-mata untuk memastikan kelangsungan kepada sesetengah pihak yang sudah berkuasa.

Semuanya ini dapat diperhatikan oleh mereka yang balik dari luar negara atau mereka yang terpelajar. Mereka yang dimaksudkan oleh Tun Musa dalam wawancara tersebut.

Mereka melihat golongan yang mengejar jawatan bukan kerana ingin berkhidmat kepada rakyat tetapi lebih mementingkan diri sendiri. Mereka melihat ramai yang sanggup menggadai nama kepada bangsa lain semata-mata kerana kemewahan. Kesudahannya mereka di dalam syarikat, misalnya, tidak bertambah ilmu dan pengalaman mereka.

Pengalaman bertahun-tahun lebih kepada satu tahun diulang bertahun-tahun. Di situlah terletaknya salah satu kelemahan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Kejayaan terbesar yang boleh dilihat ialah dari segi pendidikan. Begitu ramai yang menerima manfaat biasiswa belajar keluar negara sama ada melalui Mara atau Jabatan Perkhidmatan Awam. Selepas minda mereka terbuka dengan pendedahan yang diterima, tentulah pendirian mereka berubah.

Perkara kedua yang menjadi tontonan golongan muda ini ialah kronisme. Beberapa orang tertentu diamanahkan dengan pelbagai perkara sama ada saham, memimpin syarikat milik kerajaan dan macam-macam lagi.

Lihatlah kesan kepada syarikat-syarikat ini semasa krisis kewangan 1997-98 yang menanggung hutang berbilion ringgit. Begitu banyak pembaziran yang berlaku pada masa itu.

Mereka yang menjadi kroni ini memang gemar menunjuk-nunjuk kemewahan mereka. Sangkaan mereka orang tidak tahu latar belakang mereka. Betapa salahnya sangkaan mereka.

Menunjuk-nunjuk kemewahan menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan mereka yang memerhati dan semua ini membantu mereka membentuk sesuatu persepsi yang kurang selesa tentang keadaan semasa.

Seterusnya komen Tun Musa tentang memberikan tumpuan lebih kepada kualiti daripada kuantiti memang wajar diberikan perhatian.

Lebih 1.5 bilion umat Islam berbanding 14 juta orang Yahudi tetapi segala penemuan perubatan kebanyakannya oleh orang Yahudi seperti Benjamin Ruben (jarum vaksin), Jonas Salk (vaksin polio), William Klofcame (dialisis buah pinggang). Semua Yahudi. Einstein, Freud, Samuelson dan Friedman juga orang Yahudi.

Seluruh negara Islam mempunyai hanya 500 universiti sedangkan di Amerika Syarikat saja ada 5,758 universiti, di India 8,407 dan tidak satu pun universiti di negara Islam terletak di kedudukan 500 teratas di dunia.

Pandangan sesetengah anggota masyarakat tentang pendidikan kita hanya mementingkan berapa banyak pangkat A tetapi kurang dalam memperkukuhkan asas bakal menampung ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Ibarat bangunan cantik tetapi cerucuknya lemah.

Mudahnya 'Spiderman' ceroboh kawalan keselamatan negara

SELASA lalu, satu dunia menyaksikan kejayaan Alain 'Spiderman' Robert menakluki Menara Berkembar Petronas. Sejurus berdiri di atas puncak bebola menara berkenaan Robert mengangkat tangannya tanda kepuasan.

Dia kelihatan sungguh bangga dan puas! Apa tidaknya setelah dua kali mencuba dan dua kali ditahan, dia akhirnya berjaya juga melakukan 'pencerobohan jenayah' ke atas mercu tanda kebanggaan Malaysia itu.

Ketika dia melakukan aksi nekad itu, sebuah helikopter kelihatan berlegar-legar di kawasan zon larangan terbang kawasan segi tiga emas itu.

Helikopter itu kelihatan sungguh dekat merakamkan aksi 'Spiderman' berusia 47 tahun itu dari pelbagai sudut.

Ia tidak ubah seperti dalam sebuah rancangan realiti televisyen Ketika satu dunia kagum dengan kejayaan Robert, satu dunia juga turut 'mentertawakan' Malaysia.

Mereka mempersoalkan bagaimana Robert boleh membolosi begitu banyak 'pintu-pintu keselamatan' negara untuk melakukan misi berbahaya itu. Pertamanya dia dapat masuk ke negara ini dengan mudah.

Walaupun pernah didapati bersalah dan dibebaskan atas jaminan polis pada 1997 dan 2007, pihak Imigresen nampaknya terlepas pandang rekod jenayah yang pernah dilakukannya.

Kalaulah dari awal lagi, pihak Imigresen dapat mengesan kemasukannya, 'kerja gila' Robert memanjat Menara Berkembar Petronas itu dapat dihalang.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Robert berjaya masuk ke negara ini dengan selesa.

Dia bukan sahaja menginap di sebuah hotel mewah bersebelahan menara itu malah sempat merancang strategi serta publisiti untuk aksi tersebut!

Keduanya, sebuah helikopter kelihatan dengan bebas merakamkan aksi-aksinya ketika melakukan aksi hebat itu.

Persoalannya bukankah kawasan segi tiga emas itu salah sebuah kawasan larangan terbang!

Bagaimana Jabatan Penerbangan Awam boleh membenarkan sebuah helikopter berlegar-legar di celah-celah beberapa menara pencakar langit di kawasan itu?

Robert mungkin melakukan aksi itu untuk kepuasan diri. Dia mungkin ikhlas dan tidak merbahaya.

Tetapi bayangkanlah kalau bangunan penting negara itu dicerobohi oleh mereka yang mempunyai niat yang tidak baik dan terlatih dalam melakukan kerja-kerja yang tidak baik (dibaca penjenayah atau pengganas?)

Bayangkan juga jika sesuatu yang buruk berlaku kepada Robert ketika dia melakukan percubaan nekad itu.

Satu dunia akan menuding jari menyalahkan Malaysia dan sistem keselamatannya.

Sesuai dengan pengakuan ikhlas Robert bahawa "dia seorang yang ketagihan memanjat", maka Spiderman itu tidak boleh dipersalahkan.

Sebaliknya dia wajar dipertimbangkan dan diberi penghormatan atau sekurang-kurangnya darjah kebesaran - Datuk!

Friday, September 4, 2009

Di sebalik lirik lagu 'Satu Malaysia'

AKHIRNYA lagu Malaysia Kita yang digubah oleh Audi Mok diumumkan sebagai juara pencarian lagu 1Malaysia Kita. Menariknya pihak yang terlibat dalam penghasilan lagu ini sendiri telah melambangkan konsep 1Malaysia di mana ianya digubah oleh seorang yang berketurunan Cina dan lirik serta nyanyian melibatkan orang Melayu.

Hasil gabungan Melayu-Cina ini akhirnya dinobatkan sebagai juara. Ia melakar satu lagi sejarah dalam usaha menyuntik semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia.

Sekali gus menyemarakkan lagi gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sekilas pandang ia tidak lebih daripada sebuah lagu patriotik yang sedia ada di negara kita. Itulah persepsi dan pandangan mata kasar jika tidak menghayati lirik lagu itu.

Antara senikata yang begitu dalam maksudnya ialah "satu impian nyawaku pertaruhkan" yang mencerminkan kesanggupan kita untuk menggadai nyawa bagi memacu impian dan wawasan yang telah dibina.

Setiap rangkap dalam lagu ini seolah-olah memberi satu harapan baru kepada kita untuk terus berjuang dengan penuh semangat sebagai satu bangsa bagi mencapai cita-cita yang diidamkan.

Lagu ini wajar dihayati dan dijadikan lagu wajib dalam majlis-majlis rasmi baik di peringkat kerajaan mahupun korporat agar semangatnya terus dijiwai dan dipupuk dari semasa ke semasa.

Memandangkan golongan belia adalah tonggak masa depan negara ini maka wajarlah mereka didedahkan dengan semangat yang dituntut oleh lagu ini.

Pihak sekolah juga boleh memainkan peranan dengan memutarkan lagu ini setiap pagi atau petang sebelum bermulanya sesi persekolahan bagi menyemai budaya dan semangat 1Malaysia di kalangan pelajar.

Konsep lagu ini yang rancak dan bersemangat amat sesuai dan memenuhi cita rasa golongan muda. Justeru perlu diberi penekanan kepada aspek bagaimana untuk memastikan golongan ini akan menghayati dan menjiwai lagu tersebut.

Ini kerana, generasi inilah kelak akan meneruskan agenda dan harapan untuk membina sebuah negara dan bangsa yang bersatu hati dan bersatu jiwa dalam konteks 1Malaysia.

Pada masa yang sama, seperti kata Perdana Menteri, memandangkan nada lagu ini agak tinggi maka wajarlah juga dipertimbangkan untuk diubah suai sedikit jika hendak dinyanyikan oleh kumpulan koir atau dalam irama yang berlainan mengikut kesesuaian.

Mungkin ini satu lagi kaedah untuk mempelbagaikan rentak dan 'kesedapan' lagu ini di samping membolehkan semua golongan dapat mendengar dan menghayatinya.

Walaupun lagunya dalam bahasa Melayu, kita harap pihak media elektronik terutamanya radio yang berlandaskan bahasa ibunda masing-masing seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil wajar memainkan lagu ini sekerap yang mungkin agar ia sampai ke telinga segenap masyarakat Malaysia.

Ini penting jika kita benar-benar mahu mencapai agenda gagasan 1Malaysia yang mahu wujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu tanpa mengira agama dan kaum.

Lagu ini juga boleh dijadikan salah satu senjata untuk meruntuhkan tembok perkauman yang wujud di negara ini.

Semoga lagu ini akan membuka satu lagi lembaran baru dalam kita menyemai, menyubur dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini dan seterusnya menyusun langkah bagi menjayakan gagasan 1Malaysia.

Tahniah Audi Mok, Nur Fatima dan Faizal Tahir - anda
adalah generasi baru Satu Malaysia

Menggilap erti sebenar kemerdekaan

TEMPOH 52 tahun merdeka merupakan jangka masa yang memadai untuk mematangkan setiap warga di negara merdeka ini. Seharusnya tempoh ini menjadi sesuatu yang bermakna untuk rakyat Malaysia menggilap semangat patriotik atau hubbu'l watan (cintakan negara).

Daripada segi makna, patriotisme membawa erti cinta dan rasa tanggungjawab terhadap negara dan bangsa. Perasaan tersebut adalah suatu yang positif serta digalakkan oleh Islam, bahkan Islam telah menetapkan beberapa garis panduan untuk mencapai objektif patriotisme tersebut.

Malah menurut pandangan Islam juga, berbakti kepada negara dan bangsa adalah suatu yang sangat dituntut.

Seorang cendekiawan Islam tersohor, Muhammad Iqbal turut memberi pandangan yang positif terhadap patriotisme.

Dalam satu perhimpunan di India beliau berkata: "Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia dan mempunyai tempat di dalam kehidupan moral manusia. Namun yang merupakan kepentingan sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaannya dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan erti yang harus dibawa hidup dan dibawa mati, bukan sejengkal tanah di mana jiwa manusia dihubungkan untuk sementara waktu."

Sehubungan itu juga, pada masa yang sama kita dikelirukan dengan apa yang dikenali sebagai nasionalisme. Muhammad Iqbal dan seorang lagi tokoh, Ismail Faruqi menolak nasionalisme. Bagi Ismail, nasionalisme merupakan ethnocentrism yang kemudiannya melahirkan rasisme yang melampau.

Sementara Muhammad Iqbal pula menolak nasionalisme seperti amalan di Barat iaitu yang berasaskan kebendaan dan menolak kehidupan beragama serta sangat berbahaya kepada kehidupan manusia.

Namun satu hakikat yang perlu difahami ialah sifat berubah-ubahnya erti dan isi nasionalisme itu sendiri mengikut perubahan zaman dan tempat.

Sebagai contoh, Imam Hassan al Banna, menggunakan kedua-dua kalimah patriotisme dan nasionalisme (wataniyyah dan qaumiyyah) dengan menyelaraskan kalimah-kalimah dan penggunaannya sesuai dengan tuntutan dan nilai Islam.

Beliau telah menerima apa yang dinamakan sebagai wataniyyatu 'l-hanin (cintakan negara), wataniyyatu 'l-hurriyyah wa 'l 'izzah (menjunjung nilai-nilai kemerdekaan dan kehormatan), wataniyyatu 'l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam).

Pada masa yang sama beliau menolak wataniyyatu 'l-hizbiyyah (dasar yang memecah-belahkan ummah supaya mereka saling bermusuhan).

Sementara yang berkaitan dengan nasionalisme atau al-qaumiyyah pula, Imam Hassan al-Banna menerima apa yang diistilahkan sebagai qaumiyyatu 'l-majd, iaitu pendirian yang menghargai dan mengambil pengajaran contoh-contoh terbilang generasi terdahulu, dan juga qaumiyyatu 'l-ummah, iaitu pendirian yang mengutamakan pengorbanan terhadap umat atau kaum kerabat.

Sementara itu, beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-jahiliyyah iaitu nasionalisme yang berusaha menghidupkan semula budaya jahiliah dan berusaha melepaskan kehidupan dari ikatan Islam.

Beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-udwan iaitu nasionalisme yang berasaskan kesombongan, ketinggian dan ego diri sehingga membawa kepada penindasan dan pencabulan hak-hak manusia yang lain.

Selain itu, kefahaman terhadap nasionalisme ini juga perlu diperhalusi lagi supaya ia tidak dikelirukan dengan nasionalisme sekular - meletakkan tanah air di atas segalagalanya, hatta agama sekalipun.

Sesungguhnya mencintai tanah air adalah suatu yang baik dan Islamik, tetapi rasa cinta ini mestilah dijelmakan sebagai cinta kepada hakikat sebenar atau cinta rohaniah yang ada kaitan dengan kecintaan kepada Allah SWT.

Allahyarham Dr. Burhanuddin Hilmi mungkin dapat dijadikan contoh sebagai pejuang tanah air dan nasionalis yang berjaya menepati tuntutan pengabdian kepada Allah SWT. Pada masa yang sama berjaya mencurah bakti kepada tanah air.

Kefahaman yang beliau bawa terhadap fahaman Melayu Kebangsaan adalah suatu yang tidak terpisah daripada tuntutan agama. Perjuangan beliau telah berjaya mengangkat fahaman nasionalisme yang mengutamakan prinsip Ketuhanan Yang Maha Esa, bersifat adil dan berjiwa persaudaraan sejagat. Pada masa yang sama juga beliau menolak fahaman nasionalisme lain yang dianggap sempit, menindas dan terasing.

Maka dengan itu, pada kesempatan merayakan sambutan kemerdekaan Malaysia kali yang ke-52 ini, penting bagi kita semua untuk kembali menggarap kefahaman terhadap kemerdekaan ini dengan lebih mendalam dan mantap.

Islam membawa pengertian yang jauh lebih menyeluruh dan lebih menggarap permasalahan sebenar. Islam mahu kemerdekaan di mana kalimah Allah lebih tinggi dari segala kalimah. Kemerdekaan insan adalah muqaddimah kepada segala bentuk kemerdekaan yang lain.

Perjuangan kemerdekaan memerlukan jiwa kental yang hanya dapat dibekalkan oleh Islam, iaitu jiwa yang memiliki pandangan dan memahami dimensi perjuangan dan bebanan yang harus dipikul.

Mereka yang memahaminya dalam konteks 'ubudiah dan kewajiban menegakkan Islam secara sempurna sahaja yang sanggup berkorban untuk satu perjuangan yang panjang. Perjuangan untuk kemerdekaan kemanusiaan seluruhnya bukan sekadar perjuangan untuk mendapat sebidang tanah atau kepuasan membalas dendam kepada penjajah.

Negara bangsa yang ditubuhkan atas dasar wataniah atau tanah air semata-mata dan dengan fahaman kebangsaan yang sempit dan kabur hanya akan mempunyai kedaulatan untuk mengurus hal-hal kebajikan rakyat semata-mata. Adapun hal-hal yang berkaitan politik, pendidikan, keamanan dan ekonomi, maka ia akan terus berada di bawah telunjuk hegemoni kuasa tunggal dunia.

Meningkatkan kualiti, kuantiti doa sepanjang Ramadan

RAMADAN tidak seharusnya dibiarkan berlalu hanya dengan ibadah wajib seperti puasa, solat fardu dan fitrah semata-mata. Menjadi suatu kerugian jika amalan-amalan lain masih dikekalkan dengan rentak dan momentum yang sama.

Allah SWT telah menjanjikan kelebihan dan keutamaan untuk ibadat-ibadat lain sepanjang Ramadan ini. Antara yang sepatutnya kita sedari kelebihannya pada bulan ini ialah berdoa.

Ramadan menghimpun beberapa kriteria manusia atau waktu yang dimustajabkan doanya. Saat seseorang itu berpuasa itu sendiri menjadikan doanya lain daripada bulan-bulan lain.

Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga golongan orang yang tidak akan ditolak doanya. Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang dianiaya." - Hadis Riwayat Abu Hurairah.

Kita dianjurkan berdoa bukan sahaja untuk keperluan dunia bahkan turut ditekankan untuk kebajikan hari akhirat. Berdoa memohon keampunan ialah antara yang dianjurkan oleh Rasulullah sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah jika aku mendapat Lailatulqadar, doa apa yang kuucapkan pada malam tersebut?" Rasulullah berkata: "Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf maka maafkanlah aku." - Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah.

Sesungguhnya peluang bagi merebut keampunan sepanjang Ramadan terbuka luas. Bahkan Rasulullah menggredkan mereka yang gagal memperolehnya sepanjang bulan ini akan termasuk dalam golongan mereka yang malang dalam kehidupan.

Suatu masa ketika Rasulullah menaiki mimbar ketika ingin berkhutbah di Madinah Baginda berhenti tiga kali mengaminkan doa Jibril yang mengatakan malang sungguh nasib orang yang tidak diampunkan dosanya sepanjang Ramadan.

"Sangat malang orang yang berkesempatan melalui Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya." - Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, Al-Baihaqi.

Kesempatan untuk memperbanyakkan doa sepanjang bulan penuh keberkatan ini tidak sahaja terbuka pada saat kita kelaparan dan kedahagaan pada siang hari bahkan peluang juga terbuka luas pada waktu malamnya.

Antara bahagian pada waktu malam yang mustajab doa adalah pada waktu sepertiga malam yang akhir. Waktu ini merupakan waktu mustajab bukan sahaja pada bulan Ramadan bahkan juga menjadi waktu afdal untuk beroda bagi bulan-bulan lain.

Yang menjadi kelebihan pada bulan Ramadan ini ialah waktu sepertiga malam ialah sememangnya waktu untuk kita semua bangun bagi bersahur. Beruntunglah bagi mereka yang memanfaatkan waktu ini bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan jasmani mengisi perut bahkan lebih menguntungkan bagi mereka yang membuat tuntutan-tuntutan rohani dalam bentuk doa baik sebelum bersahur atau selepas bersahur.

"Di sepertiga malam ketika Allah SWT menyeru: Apabila ada orang yang berdoa, maka Aku akan perkenan doanya itu. Apabila ada yang memohon keampunan, maka Aku mengampunkannya." -- Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Selain daripada kuantiti doa, aspek kualiti diri seseorang yang berdoa juga harus dipertingkatkan bagi menunjukkan kesungguhan dan penuh pengharapan pada Allah SWT terhadap kandungan doa yang dipanjatkan. Doa yang dituturkan di mulut harus diikuti dengan perasaan rendah diri dan suara yang lembut bagi menggambarkan sifat hamba kepada Tuhannya.

Allah telah menyatakan dengan jelas dalam al-Quran tentang penggunaan suara serta hati yang tidak khusyuk dalam berdoa bukan sahaja menyebabkan doanya tertolak bahkan boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." - Surah Al-A'raf ayat 55.

Ketika berdoa juga seharusnya hati dididik supaya yakin bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Keyakinan ini amat penting ditanamkan kerana Allah tidak akan menerima doa dari mereka yang tidak yakin dengan apa yang diminta kepada Allah.

Dalam berdoa juga, selain yakin, kita juga seharusnya sentiasa bersangka baik dengan Allah sekiranya apa yang diminta tidak tertunai. Mungkin Allah akan mengganjari kita dengan kelebihan yang lebih baik pada hari akhirat, atau menukarkan doa yang diminta kepada menghindarkan bala yang telah ditakdirkan akan menimpa kita.

Sesungguhnya peluang keemasan buat kita telah menjelma lagi. Namun ia sekali-kali tidak akan menunggu kita untuk selama-lamanya.

Setelah tamat tempohnya maka ia akan berlalu pergi. Jika kita bernasib baik dan dimurahkan rezeki dengan umur yang panjang dan kesihatan yang baik, maka insyaAllah akan bertemu lagilah dengan Ramadan yang berikutnya.

Jika tidak, gunakan Ramadan ini dengan sebaik-baiknya bagi merebut keampunan dengan memperbanyakkan doa dan mempertingkatkan kualiti doa agar diperkenankan oleh Allah SWT
.

Revolusi politik Jepun

SELEPAS lebih lima dekad menjadi parti pemerintah tunggal di Jepun, Parti Demokratik Liberal (LDP) akhirnya tumbang pada pilihan raya umum negara itu pada 30 Ogos lalu.

LDP kehilangan majoriti kerusi di Parlimen kepada parti pembangkang, Parti Demokrat Jepun (DPJ), dalam kekalahan yang disifatkan oleh kebanyakan pemerhati sebagai "revolusi politik" di negara matahari terbit itu.

Kekalahan LDP sebenarnya sudah ditebak sejak awal iaitu ketika parti itu kalah pada pilihan raya di Dewan Tinggi (Diet) pada Julai, 2007.

Kekalahan paling buruk dalam sejarah parti itu berterusan pada pilihan raya Tokyo, Julai lalu. Ketika itu, LDP hanya mendapat 38 kerusi berbanding 54 kerusi oleh DPJ.

Dalam landskap politik di Jepun, pilihan raya Tokyo sering dijadikan kayu pengukur kepada keputusan pilihan raya umum.

Malah, DPJ juga sudah dapat melihat peluang untuk berkuasa apabila keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap LDP semakin luntur.

Semuanya kerana pelbagai isu yang membelenggu LDP serta bekas Perdana Menteri, Taro Aso sendiri sehinggakan menjejaskan kredibiliti dan imej di kalangan rakyat.

Faktor kemenangan DPJ juga bertitik tolak daripada pelan populis yang terarah kepada menjaga kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Ternyata, pelan itu berjaya meyakinkan rakyat Jepun kerana dalam situasi ekonomi yang sukar ketika ini, mereka sememangnya mengharapkan polisi yang berbentuk bantuan dan perhatian daripada kerajaan.

Dalam masa yang sama seperti yang dinilai oleh penganalisis tempatan, Ahmad Zaki Hassan, parti pemerintah juga gagal menyelesai serta menjelaskan beberapa isu utama.

Antaranya jelas pensyarah di Kolej UndangUndang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu ialah jumlah hutang negara yang luar biasa.

Isu lain termasuk pelan tindakan menstabilkan ekonomi terutama bagi mengecilkan jurang perbezaan antara penduduk miskin dan kaya.

''Faktor-faktor ini menjadi punca keyakinan rakyat terhadap LDP merosot dengan teruk seperti yang diterjemahkan menerusi keputusan pilihan raya lalu," katanya.

Dari lensa politik dunia, kekalahan LDP yang memerintah Jepun sejak 54 tahun lalu itu dikaitkan dengan gelombang perubahan yang dicetuskan oleh generasi muda.

Sebelum ini, kejayaan Barack Obama menjadi warga kulit hitam pertama sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dikatakan turut dipengaruhi oleh faktor yang sama.

Obama berjaya meruntuhkan tembok perkauman dalam sejarah 232 tahun amalan demokrasi di negara itu.

Gelombang perubahan di kedua-dua negara itu juga tidak terkecuali turut dikaitkan dengan senario semasa politik tempatan terutamanya nasib yang bakal menimpa Barisan Nasional (BN).

Bukan bermaksud menafikan tuntutan perubahan yang disuarakan oleh rakyat terutama apa yang berlaku selepas 8 Mac 2008, tetapi gelombang perubahan itu sebenarnya adalah sesuatu yang lumrah dalam kematangan masyarakat di kebanyakan negara.

Peralihan daripada satu generasi ke generasi lain menyaksikan anjakan pemikiran rakyat turut berubah.

Lebih-lebih lagi apabila sesuatu keperluan dan peringkat dalam masyarakat itu telah dipenuhi. Ini jugalah sebenarnya yang berlaku dalam konteks politik di AS, Jepun dan Malaysia yang mana pemikiran rakyat berubah apabila keperluan asas dan pembangunan telah dipenuhi oleh kerajaan.

Perkembangan tersebut secara tidak langsung merubah kematangan berfikir rakyat ke arah sesuatu yang lebih besar termasuk soal negara dan sebagainya.

Namun, ia bukanlah satu-satunya faktor penentu dalam kita meramalkan bentuk dan corak berpolitik pada masa depan. Namun, perlu diperhatikan cabaran dan isu politik yang berlaku di Jepun sangat berbeza dengan polemik politik yang melanda negara.

Sebagai sebuah negara maju, keperluan dan kemudahan asas serta pembangunan fizikal bukan lagi menjadi kepentingan rakyat Jepun. Majoriti rakyatnya juga merupakan golongan berkemampuan dengan peratus kemiskinan sangat rendah atau hampir tiada.

Justeru apa yang lebih menjadi perhatian mereka ialah kemampuan pemerintah untuk mengekalkan momentum keselesaan dan kenikmatan hidup itu.

Malangnya, itulah yang gagal dibuktikan oleh LDP. Ketika ini Jepun berdepan dengan krisis ekonomi yang sangat meruncing sehingga menyebabkan peratus pengangguran di kalangan rakyat mencecah sehingga enam peratus, iaitu kadar terburuk dalam sejarah negara berkenaan.

Populariti Aso juga semakin merudum apabila beliau dikaitkan dengan pelbagai isu antaranya skandal seks, rasuah, masalah kesihatan dan kewangan selain berdepan undi tidak percaya di kalangan ahli Kabinetnya sendiri.

Kerana itu juga adalah tidak tepat untuk kita membandingkan senario politik di Jepun dan apa yang berlaku di negara ini.

Cuma barangkali apa menjadikannya agak signifikan adalah kerana persamaan dari segi tempoh masa Malaysia bakal berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.

Hakikatnya di Malaysia, ramai penduduk di negara ini terutamanya di luar bandar yang masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Malah, kemiskinan bandar juga turut dicatatkan meskipun kumpulan penduduk ini tidak ramai.

Golongan ini pastinya memerlukan bantuan daripada sebuah kerajaan yang kuat untuk dibawa keluar daripada kepompong kemiskinan itu menerusi pelbagai dasar dan agenda bertaraf nasional.

Begitu juga dengan proses kemajuan dan pembangunan negara ketika yang memerlukan sokongan sebuah kerajaan yang konsisten. Usaha pembinaan bangsa dan negara itu tidak mungkin dapat dilakukan oleh parti politik yang tidak jelas hala tuju perjuangannya.

Yang masih gagal membezakan antara perjuangan yang bersifat peribadi atau kepentingan sekelompok kumpulan kecil sematamata. Pentas politik negara juga lebih mencabar kerana kita terbentuk daripada bangsa, agama, ras dan etnik yang berbeza.

Tidak seperti Jepun, negara itu hanya terdiri daripada satu bangsa. Justeru, hanya parti politik yang benar-benar memahami semangat toleransi dan kerjasama di sebalik perbezaan itu sahaja yang mampu membawa negara ini kepada kemajuan tanpa dibelenggu isu-isu yang berbaur perkauman dan tuntutan melampau.

Namun itu bukanlah bermaksud kita cuba menafikan gelombang perubahan berpolitik dunia itu turut tersebar di negara ini.

PRU 12 lalu sudah membuktikannya dan isyarat itu juga bagi sesetengah pihak semakin jelas selepas tujuh kekalahan berturut-turut BN pada pilihan raya kecil.

Namun gelombang perubahan ini sebenarnya jika dipandang daripada sisi berbeza, boleh menjadi satu tekad dan usaha kepada BN untuk lebih bersedia dan bertindak awal.

Perkembangan sebegini menurut Ahmad Zaki, harus dijadikan fokus oleh pemimpin BN untuk menilai dan mentafsir apa sebenarnya yang telah berlaku seterusnya mencari penyelesaian segera.

Sekiranya pada pilihan raya umum akan datang BN masih berjaya mengekalkan kerajaan sedia ada, maka BN akan dilihat mempunyai kekuatan berganda kerana berjaya mengatasi satu trend dunia dalam tuntutan perubahan oleh rakyat.

''Ia juga secara jelas akan menggambarkan bahawa BN masih berupaya memerintah dan memenangi hati rakyat tanpa dipengaruhi oleh peristiwa serta perbandingan isu semasa dunia," ujar beliau.

Kaedah hukuman sebat ikut syarak

SEBAT adalah satu bentuk hukuman dalam perundangan Islam yang bertujuan memberi pengajaran kepada penerima hukuman dan orang yang melihatnya. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina.

Merujuk kepada rencana bertajuk "Kaedah hukuman sebat di Mahkamah Syariah" oleh Datuk Muhammad Asri Abdullah di dalam Jurnal Hukum JLD. XXII BHG. 1 ( 1427 H) September 2006), pelaksanaan hukuman sebat di Malaysia diperuntukkan dalam semua enakmen undang-undang tatacara jenayah syariah bagi kebanyakan negeri.

Peruntukan-peruntukan tersebut antaranya ialah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Acara Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen 125.

Selain itu, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Pahang) 2002, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004, Seksyen 125.

Di bawah Seksyen 125 dan 126 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), diperuntukkan kaedah dan masa pelaksanaan hukuman sebat seperti berikut:

Seksyen 125 - Hukuman sebat

1. Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

2. Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

3. Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat iaitu:

a) Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.

b) Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.

c) Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.

d) Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah "adil dan matang".

e) Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

f) Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.

g) Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.

h) Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

i) Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.

j) Jika semasa pelaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, ia hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.

4. Dalam hal pesalah dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

5. Jika pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu - oleh sebab umur tua (lebih 50 tahun), keuzuran atau apa-apa sebab lain - tidak dapat menjalani hukuman pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujuk kepada mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksana mengikut cara yang difikirkan munasabah.

Seksyen 126 - Masa melaksana hukuman

Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada penjara, hukuman sebat itu tidak boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan.

Kaedah pelaksanaan yang diperuntukkan sebenarnya tidak bertentangan dengan hukum syarak yang turut memberi panduan cara pelaksanaannya.

Jika menggunakan rotan atau ranting kayu, ia hendaklah dalam bentuk sederhana ukurannya. Tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua, tidak berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya.

Ia amat penting supaya ia tidak boleh mencedera atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah.

Ini kerana hukuman tersebut bukan bertujuan mencederakan pesalah tetapi mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya. Ia selaras dengan hadis riwayat Malik dari Zaid bin Aslam. "Seorang lelaki mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW. Baginda meminta sebatang tongkat untuk menyebat lelaki itu. Apabila tongkat diberi kepadanya, Baginda mendapati ia telah pecah-pecah, lalu Baginda meminta tongkat lain.

Apabila yang kedua dibawa kepadanya, tongkat itu dibuat daripada dahan kayu yang baru dipotong. Rasulullah menolaknya lagi dan meminta tongkat lain. Akhirnya diberi kepada Baginda tongkat sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan supaya disebat tongkat itu.

Ketika melaksanakan hukuman sebat, cara sebatan hendaklah secara sederhana. Si pelaksana tidak boleh mengangkat tangan hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan, tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga sampai kepada matlamat dan tujuannya.

Saidina Umar al-Khattab r.a pernah menghukum sebat seorang pesalah di zamannya. Beliau berkata kepada tukang sebat: "Sebatlah dia dan jangan diangkat tanganmu sehingga ternampak ketiak."

Ketika Umar melihat pukulan agak kuat daripada sepatutnya, beliau berkata: "Kamu tidak menghukum tetapi membunuhnya.''

Mengenai bahagian yang disebat, Imam Syafie berpendapat, pukulan hendaklah ditujukan kepada pelbagai anggota tetapi hendaklah menjauhi faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti membahayakan orang yang disebat.

Ia berdasarkan riwayat Umar al-Khattab bahawa beliau menemui seorang jariah yang sedang dilakukan hadd ke atasnya, lalu beliau berkata maksudnya: "Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya."

Ini kerana maksud daripada hukuman sebat itu adalah mencegah tanpa bertujuan membunuh pesalah.

Ketika disebab, pesalah mesti memakai pakaian menutup aurat. Jika memakai pakaian tebal, hendaklah diganti dengan yang sederhana kerana dibimbangi pukulan tidak dirasai oleh pesalah. Ini berdasarkan riwayat 'Abdullah bin Mas'ud r.a bahawa Rasulullah bersabda: "Tidak ada pada umat ini, perebahan, pembogelan, pembelengguan dan pengikatan."

Bagi pesalah hamil, hukuman mesti dilakukan dua bulan selepas melahirkan. Jika dia masih sakit, pelaksanaan mesti ditangguhkan sehingga betul-betul sihat.

Jika penyakitnya tiada harapan sembuh, hukuman hendaklah dijalankan serta-merta dengan syarat, rotan tidak akan mencederakannya.

Diriwayatkan Rasulullah pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang tenat dengan hanya satu pukulan menggunakan seratus mayang tamar yang diikat. Lelaki itu telah berzina dan sepatutnya disebat 100 kali.

Hukuman sebat juga hendaklah dilaksanakan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak dalam cuaca yang sangat panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan.

Pelaksanaannya pula hendaklah di depan sekumpulan orang mukmin. Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 2: "Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman."

Sementara itu, kertas kerja bertajuk "Peranan institusi penjara dalam pelaksanaan hukuman sebat bagi kes jenayah syariah: satu pandangan" oleh Masran Muhamad pula membezakan hukuman sebat antara pesalah jenayah dan syariah.

1. Saiz Rotan

Bagi pesalah jenayah panjang rotan tidak dinyatakan tetapi bergaris pusat 1.25 sentimeter. Sementara pesalah jenayah syariah pula ialah panjang 1.22 meter dan bergaris pusat 1.25 sentimeter.

2. Pemeriksaan Kesihatan

Bagi pesalah jenayah, pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh mana-mana pegawai perubatan, manakala jenayah syariah oleh pegawai perubatan beragama Islam.

3. Pelaksanaan Hukuman

Bagi pesalah jenayah, sebat dilaksanakan oleh mana-mana pegawai sebat rotan yang dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara, manakala jenayah syariah hanya dilakukan oleh Pegawai Sebat Rotan beragama Islam.

4. Bahagian Anggota yang Disebat

Bagi pesalah jenayah, pukulan sebat hendaklah di bahagian punggung dan ia berbeza dengan jenayah syariah yang meletakkan beberapa pengecualian.

5. Cara Sebatan

Bagi jenayah syariah, tukang sebat tidak boleh mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan pukulan secara sederhana agar tidak melukakan kulit.

6. Kedudukan dan pakaian semasa disebat

Bagi pesalah jenayah, mereka tidak memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian sulit sahaja dan diikat di tripod manakala pesalah syariah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuan duduk dan memakai pakaian menutup aurat.

7. Baki hukuman sebat yang dihentikan

Bagi pesalah jenayah, jika sebahagian atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah manakala jenayah syariah ia boleh ditangguhkan sehingga pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

8. Orang yang boleh disebat

Bagi pesalah jenayah, perempuan tidak boleh disebat tetapi pesalah jenayah syariah, perempuan tidak dikecualikan.

9. Saksi-saksi

Bagi pesalah jenayah, tiada saksi diperlukan semasa hukuman dilaksanakan tetapi pesalah syariah mesti bersaksikan sekurang-kurangnya empat lelaki Islam.

Maka, hukuman sebat adalah sebagai satu bentuk hukuman dalam Islam yang bertujuan menjaga kebaikan dan kepentingan umum. Islam sentiasa memandang dan mementingkan kebaikan orang ramai lebih utama daripada individu kerana ia boleh menghindari kerosakan, keruntuhan moral dan memberi rasa keinsafan kepada pesalah.

Pelaksanaannya bukanlah bertujuan menzalimi pesalah sebaliknya memberi rasa keinsafan dan pengajaran.