Wednesday, August 5, 2009

Meriahkan tilawah al-Quran

MULAI malam ini sehingga 12 Ogos, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur akan berkumandang dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sempena Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-51.

Tilawah yang bertemakan “Wahdah Pemangkin Khaira Ummah” itu akan menampilkan 70 peserta yang diwakili oleh qari dan qariah dari 76 negara.

Majlis itu akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada pukul 8.45 malam.

Malaysia akan diwakili johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-52, Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan dari Sarawak, dan Johan Qariah (Johan Menunggu), Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dari Perak.

Menghalusi tema tilawah tahun ini membuktikan betapa ia menekankan pentingnya wahdah atau perpaduan. Perpaduan itu merangkumi penyatuan tenaga, fikiran, aspirasi dan pengorbanan di kalangan umat Islam untuk terus komited merancang dan bergerak demi kemaslahatan di setiap peringkat.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai...” (Ali-‘Imran: 103)

Antara objektif dianjurkan majlis ini adalah bagi menggalak dan membudayakan minat membaca al-Quran di kalangan masyarakat Islam selain dapat mempertemukan qari dan qariah terbaik dari seluruh negara.

Bagi kita di Malaysia, kesempatan ini harus dipergunakan sebaik mungkin. Ia supaya semangat membaca al-Quran itu sentiasa membara dan terus dipertingkatkan.

Seharusnya, setiap Muslim memasang niat untuk menguasai bacaan al-Quran sebagai mana mutu bacaan yang ditunjukkan oleh para qari dan qariah.

Sekurang-kurangnya tahap bacaan kita menepati hukum tajwid. Lebih baik lagi menguasai ilmu tarannum (lagu) al-Quran.

Seharusnya, dalam kesibukan sebahagian kita mengenali nama-nama artis atau penyanyi masa kini, kita juga perlu mengenali nama-nama besar qari dan qariah negara.

Nama seperti Allahyarham Ahmad Mat Som, Allahyarham Datuk Ismail Hashim, Radzi Kamarul Hailan dan Aziz Mustakim dan juga para qariah seperti Faridah Mat Saman, Datuk Rugayah Sulong dan Rahmas Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama) perlu kita kenal.

Fitrah kita sebagai manusia sukakan yang indah. Bacaan yang sedap, tepat sebutan makhraj dan tajwidnya memang mengasyikkan kita yang mendengar. Tambahan pula, mendengar bacaan al-Quran pun diberi pahala oleh Allah SWT, apatah lagi jika kita membacanya.

Dalam membentuk khaira ummah (umat terbaik) pula sudah semestinya al-Quran adalah rujukan utama umat Islam. Seharusnya, dalam soal melibatkan penyakit hati, kitab suci inilah yang perlu kita baca, faham dan hayati.

Bukannya mencari penyelesaian di pusatpusat hiburan, kelab-kelab malam atau berfoya-foya sehingga kepada pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram.

Bukankah Allah telah menjelaskan kepada kita dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang keraguan padanya (tentangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.” (al-Baqarah: 2)

Malah, Nabi Muhammad SAW dalam Haji Wada’ telah bersabda yang bermaksud: “Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara di mana kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepadanya, iaitu ayat Allah (al-Quran) dan sunnah-Ku (hadis)”.

Malangnya, hari ini ramai umat Islam ‘menjauhkan’ diri daripada al-Quran. Kitab suci ini hanya dijadikan perhiasan atau dibiarkan buruk begitu sahaja disimpan dalam almari di rumah.

Berapa ramai umat Islam, hanya membaca al-Quran apabila ada kematian atau apabila diadakan majlis membaca Yasin?

Padahal sudah dijelaskan bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang. (rujuk ayat 28 surah al-Ra’d)

Sesuai pula dengan penganjuran tilawah pada bulan Syaaban, bulan yang dipenuhi dengan keberkatan. Justeru, amat malang jika kita membiarkan program ini berlalu begitu sahaja tanpa diambil manfaat daripadanya.

Alangkah malunya jika tilawah ‘ditewaskan’ oleh lebih 80,000 penonton yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan perlawanan Manchester United (MU) menentang Malaysia pada 18 Julai lalu. (Walaupun ia disaksikan oleh masyarakat pelbagai kaum).

Sekurang-kurangnya, hendaklah kita menjadi penonton setia tilawah. Jika tidak mampu hadir ke PWTC, boleh sahaja diikuti program itu menerusi kaca televisyen kerana ia disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Jika tahun-tahun sebelum ini, kita tidak berkesempatan menonton tilawah, apa kata mulai tahun ini, kita berazam untuk mengikutinya dari awal hingga akhir. Kepada ibu bapa, ini juga boleh menjadi contoh kepada anak-anak terutama dalam mendorong mereka mempelajari al-Quran. Seterusnya, boleh menguasai kitab suci itu dengan baik.

Sebabnya, banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa membasahi lidah mereka dengan ayat-ayat Allah. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pemiliknya.” (riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang terbaik dari kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya.” (riwayat Bukhari)

Sementelahan pula, tidak berapa hari lagi, kita akan menyambut bulan yang mulia dalam Islam iaitulah Ramadan. Jadi, eloklah jika kita mula melatih diri daripada sekarang untuk membaca al-Quran setiap hari.

Ramadan seperti yang kita tahu adalah bulan al-Quran diturunkan. Ia sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: “Bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza.” (al-Baqarah: 185)

Akhir kalam, marilah kita berdoa agar dipermudahkan untuk kita membaca dan menghayati al-Quran.

Pengajaran DEB untuk Ekuinas

TEKA-TEKI mengenai peneraju Ekuiti Nasional (Ekuinas) terjawab sudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Ekuinas bulan lalu menjanjikan satu kumpulan pakar ekonomi untuk menjayakan projek ini.

Jelas sekali, kumpulan yang diketuai oleh Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda itu merupakan kalangan yang terbukti kecemerlangan dalam bidang pengurusan ekonomi.

Pelan ini akan dimulakan dengan peruntukan RM500 juta dan bertambah sehingga RM10 bilion berasaskan keperluan dan pencapaian masa depan.

Sejak dilancarkan pelbagai pihak memberikan respons dan rata-rata memberikan sokongan terhadap Ekuinas, masyarakat Melayu dan lebih-lebih lagi bukan Melayu.

Kerajaan memberikan penjelasan berkaitan pemansuhan 30 peratus ekuiti bumiputera dengan penubuhan Ekuinas Nasional Berhad (Ekuinas). Begitu juga dengan peningkatan had kepentingan asing dalam syarikat pembrokeran daripada 49 peratus kepada 70 peratus.

Nampaknya seluruh rakyat berbilang etnik telah memberikan isyarat bahawa model ini adalah sesuatu yang baik dan perlu dilaksanakan. Nampaknya kini perbincangan lebih cenderung untuk meneliti dua perkara lain.

Pertama, berkaitan "niche" atau tujahan Ekuinas. Ramai pakar ekonomi bimbang pelan ini akan menjadi "pelanduk dua serupa" kepada PNB yang berjaya melaksanakan pengurusan saham amanah. PNB bukan sahaja berjaya menguruskan dana untuk kelangsungan ekuiti bumiputera tetapi turut mendapat kepercayaan bukan Melayu.

Kalau tidak masakan saham amanah bernilai berbilion ringgit kepada bukan bumiputera habis dalam tempoh yang singkat.

Perkara kedua yang diperbincangkan tentang Ekuinas ialah apakah pelan ini juga akan menerima nasib yang sama dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Memanglah DEB dan Ekuinas tidak sama. Berbeza model dan strategi. Berbeza zaman serta cabarannya. Tetapi kedua-duanya masih sama dalam dua perkara.

Pertama, diwujudkan untuk membantu perekonomian bumiputera. Kedua, diuruskan sepenuhnya oleh orang Melayu - sebagai pentadbir, penentu dasar serta pemantau pelaksanaannya.

Maka itu sejarah serta pengajaran daripada DEB sangat penting dihayati agar kejayaan DEB dahulu diperkasakan dan kesilapan DEB pula dijadikan sempadan oleh Ekuinas. Sejak dilancarkan pada 1970, DEB berjaya membina perekonomian bumiputera untuk bersaing bersama kaum lain.

Semua rakyat tahu ekonomi Malaysia kini dikuasai lebih 75 peratus masyarakat Cina. Sementara kurang 10 peratus dimiliki oleh nominee antarabangsa. Orang Melayu sejak 1990 telah 'beku' pemilikan kekayaan negara pada tahap 19 peratus sahaja. Seolah-olah bumiputera-Melayu tidak mampu lagi meningkatkan kekayaan lebih daripada itu dalam program DEB.

Penelitian terhadap penulisan ilmiah oleh pakar ekonomi dan juga pakar sains sosial menjelaskan kepada kita beberapa perkara yang menggagalkan DEB.

Walaupun pemimpin politik utama negara ketika itu adalah orang Melayu, pegawai kerajaan di peringkat tertinggi (majoriti juga orang Melayu), pelbagai pelan, subsidi dan bantuan disediakan untuk bumiputera, malangnya ekonomi Melayu hanya berjaya mencapai setakat 19 peratus jauh daripada sasaran 30 peratus.

Lebih menarik ialah begitu sukarnya orang Melayu mencapai angka 30 peratus walaupun Perlembagaan negara memberikan peruntukan khas kepada keistimewaan orang Melayu.

Perkara 153 Perlembagaan, memberikan ruang kepada orang Melayu daripada segi perundangan untuk menjadi bangsa yang maju, setanding bukan Melayu.

Malangnya semua bantuan serta sokongan ini tetap gagal menjadikan perekonomian orang Melayu sebagai tunjang kepada perekonomian negara. Mengapa hal ini berlaku? Apakah yang sama boleh berlaku kepada Pelan Ekuinas?

Berikut disenaraikan secara ringkas kesilapan strategi perekonomian orang Melayu dalam DEB.

n Amalan pertanian secara tradisional jelas bukan asas menjadikan Melayu sebagai bangsa yang kuat ekonominya. Sejak ratusan tahun majoriti orang Melayu menguasai sektor pertanian.

Malangnya, sifat kegiatan ekonomi pertanian sara diri secara separa-moden terbukti gagal untuk membina harapan perekonomian orang Melayu.

Sekalipun petani Melayu ingin mengusahakan pertanian secara teknologi moden, mereka masih perlu bergantung sepenuhnya dengan kos racun rumpai, jentera pertanian dan baja yang dibeli melalui orang tengah bukan Melayu.

Maka sukar untuk majoriti petani Melayu menjadi kaya dengan sektor pertanian. Walaupun ada usaha menjadikan perindustrian sebagai kegiatan ekonomi Melayu, kejayaannya tidak seperti diharapkan.

n Era Tun Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan usaha beliau mengembangkan teknokrat Melayu melalui industri berat negara. Malangnya industri hiliran yang sepatutnya direbut peluang oleh Melayu, dikuasai sepenuhnya oleh peniaga bukan Melayu.

Industri besi keluli, industri jentera dan automotif, teknologi bendalir dan hiliran industri minyak semuanya dikuasai sepenuhnya oleh bukan Melayu.

Orang Melayu kekal sebagai petani, pekerja kilang serta pekerja di dalam sektor yang dimiliki oleh bukan Melayu.

n Orang Melayu tidak menguasai ilmu ekonomi sepenuhnya. Mereka bukan sahaja tidak dibudayakan dengan dunia perniagaan sejak kecil, malah sangat takut menghadapi kerugian dan kesukaran hidup.

Di universiti, bidang perakaunan, perbankan, pengurusan perniagaan didominasi oleh pelajar bukan Melayu. Orang Melayu berduyun-duyun ke fakulti sastera dan ilmu sosial.

Usaha mengembangkan budaya keusahawanan di universiti sangat sukar kerana ciri-ciri negatif ini menebal. Selain itu, ilmu ekonomi juga berkaitan dengan penguasaan bahasa Inggeris. Halangan ini menambahkan lagi jurang antara Melayu dan bukan Melayu.

Cara segelintir pemimpin Melayu menafsirkan tuntutan agama secara semberono juga menyumbang kepada sifat negatif orang Melayu tentang perniagaan. Perniagaan yang maju bermaksud menjadi semakin kaya. Menjayakan perniagaan juga bermaksud peruntukan masa bekerja yang lebih banyak, jauh lebih banyak daripada semua jenis pekerjaan lain di dunia.

Sebahagian besar orang Melayu lebih sanggup hidup susah dan berdikit-dikit tetapi tidak berani menghadapi kesukaran, kerugian, persaingan dan sebagainya.

Malah seringkali sirah dan ajaran Islam dijadikan sebagai alasan sesetengah orang Melayu untuk tidak bekerja keras. "Dunia hanya sementara, kita mencari akhirat". "Kekayaan akan menyebabkan orang lupa Tuhan" atau "Nabi sengaja mencari kehidupan yang tidak mewah untuk mendapat keredaan Allah".

n Sikap tidak sabar orang Melayu juga membantutkan perkembangan ekonomi bangsa sendiri. Dr. Mahathir mungkin tokoh yang sangat kecewa dengan sikap ini.

Orang Melayu sering dikatakan suka mengambil jalan mudah. Isu seperti "Ali Baba" dan ungkapan "Biar papa asal bergaya" antara contoh sikap tidak sabar bangsa Melayu untuk kaya.

Selain itu, isu ketirisan peruntukan kerajaan serta rasuah menjadikan Melayu semakin tidak berdaya saing.

n Jaringan perniagaan orang Melayu juga sangat lemah. Perkara ini pernah disebut berkali-kali oleh Profesor Diraja Ungku Aziz sejak 1980-an lagi. Malangnya sehingga kini, rantaian perniagaan masih kuat dimonopoli oleh bukan Melayu. Dua perniagaan sahaja dikatakan menjadi kekuatan Melayu iaitu kedai makanan halal dan sektor berkaitan pendidikan agama Islam.

Ringkasnya, kejayaan Ekuinas sangat bergantung kepada sikap orang Melayu agar tidak mengulangi kesilapan semasa DEB. Jika pengajaran daripada DEB difahami dan menjadi panduan, tidak syak lagi Ekuinas akan berjaya memajukan bukan sahaja bangsa Melayu dan bumiputera malah akan meningkatkan kekayaan bukan Melayu.

PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tuesday, August 4, 2009

Kepincangan strategi rundingan Washington, Taliban Afghan

Oleh AZMI HASSAN

OPERASI Panther Claw yang diterajui oleh tentera British di wilayah Helmand, Afghanistan bertujuan membuktikan operasi tentera mampu mengekang pejuang Taliban. Ia juga dijadikan titik perubahan terhadap peristiwa pencerobohan Afghanistan lebih lapan tahun lalu.

Memang benar operasi yang bermula pada 19 Jun lalu berjaya menghalau pejuang Taliban dari Helmand tetapi tentera Bristish dan Amerika Syarikat akur ia tidak akan dapat bertahan lama. Perkara yang sama berlaku pada 2006 tetapi pejuang Taliban kembali ke Helmand.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown serta Presiden AS, Barack Obama amat akur tentang keadaan di Afghanistan itu. Taliban begitu sukar ditewaskan kerana sokongan puak berpengaruh terutamanya Pashtun. Kerajaan pimpinan Hamid Karzai pula tidak mampu memberi perlindungan membuatkan rakyat mengharapkan bantuan Taliban.

Apabila Obama membuat kerahan tentera tambahan ke Afghanistan, langkah itu bukan untuk meningkatkan aktiviti operasi tetapi sebagai asas memulakan strategi baru - rundingan dengan Taliban.

Ketika ini, rakyat Britain mula mempersoalkan kehadiran tentera mereka di Afghanistan selepas 10 askar British terkorban dalam operasi Panther Claw.

Dilema Washington dan London ialah bagaimana untuk memulakan rundingan dengan Taliban tanpa memberi persepsi bahawa tentera bersekutu sanggup berunding dengan "pengganas".

Perkara yang sama dihadapi oleh Kabul. Rundingan itu pasti akan melemahkan pengaruh Kabul dan tidak disenangi oleh Karzai yang akan menghadapi Pilihan Raya Presiden pada 20 Ogos ini.

Kesilapan strategi Washington pada 2001 ialah apabila membentuk kerajaan Afghan di bawah Karzai dengan menyisihkan puak Pashtun. Sebenarnya Washington bukannya tidak biasa berurusan dengan Taliban kerana sejak era sebelum 11 September 2001 lagi, AS sering memberi bantuan kepada Taliban sebagai balasan memerangi tentera Soviet.

Strategi rundingan dengan Taliban dan Pashtun nampaknya mempunyai kepincangan kerana tidak merangkumi keseluruhan kedua-dua kumpulan itu. Washington dan London memilih pemimpin tertentu dan menyisihkan mereka yang dianggap sukar untuk dikawal.

London amat yakin dengan strategi pemisahan ini kerana berpendapat ia dapat mempercepatkan proses rundingan dan seterusnya berundur dari Afghanistan. Perlu diberi perhatian, strategi yang sama diamalkan oleh Washington di Iraq dengan mengetepikan puak Sunah.

Agak mengaibkan apabila pengamal strategi pemisahan tersebut mempertahankan konsep itu dengan mengemukakan hujah yang agak janggal. Komander British yang pertama di Helmand, Jeneral Sir David Richards telah memberi contoh kejayaan strategi pemisahan semasa British memerintah Malaya. Agak melucukan kerana Richards cuba membuat persamaan antara puak Pashtun di Afghanistan dan kaum Melayu di Malaya.

Begitu juga London menggunakan contoh kejayaan mereka di Ireland Utara dengan membuka pintu rundingan dengan kumpulan Sinn Fein.

Sekali lagi analogi yang digunakan agak rapuh kerana pintu perbincangan dibuat kerana kejayaan perjuangan bersenjata Sinn Fein yang memaksa London berlembut dengan kumpulan tersebut.

Washington dan London perlu memahami bahawa senario di Afghanistan tidak serupa dengan Ireland dan Malaya.

Apa yang penting adalah masa depan Afghanistan perlu ditentukan oleh rakyat negara tersebut tanpa menyisihkan kumpulan yang tidak disukai oleh sama ada London, Washington atau Kabul.

Jika strategi itu terus diamalkan tanpa mengambil kira pengajaran lepas, maka sudah pasti begitu sukar bagi London dan Washington untuk mengukir strategi keluar dari Afghanistan tanpa dilabel sebagai kumpulan yang telah tewas.

PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Vaksin percuma untuk kanak-kanak, pelajar

NAMPAKNYA penularan virus maut Influenza A (H1N1) atau selesema babi semakin serius di negara ini sejak ia mula dikesan April lalu. Persoalannya, adakah masyarakat kita ambil berat atau terus tidak peduli dengan penularan virus ini?

Berdasarkan pengamatan, sebenarnya masih tidak ramai yang ambil peduli untuk melakukan pelbagai langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak awal-awal lagi telah memberi amaran H1N1 merupakan pandemik, namun masih ramai yang tidak kisah.

Contoh yang paling mudah, berapa ramai yang menggunakan penutup mulut dan hidung ketika keluar bekerja?

Hakikatnya, amat jarang melihat ahli masyarakat kita yang berbuat demikian kecuali petugas di bahagian depan seperti di lapangan terbang atau hospital.

Malah, institusi dan sekolah yang sebelum ini telah ditutup kerana ada pelajar yang disahkan dijangkiti H1N1 pun ramai yang tidak menggunakan penutup mulut dan hidung.

Memang penggunaan penutup mulut dan hidung tidak menjamin seseorang itu terhindar daripada jangkitan berkenaan. Tetapi sekurang-kurangnya ia mengurangkan kadar jangkitan dan membuktikan kesedaran masyarakat.

Jika diamati, setiap hari media massa menyiarkan mengenai tahap penularan H1N1 di negara ini. Malah, pelbagai tips mengenai pencegahan juga disebarkan agar menjadi panduan kepada masyarakat untuk mengelakkan jangkitan berkenaan.

Adakah kita terus ingin dikaitkan dengan perumpamaan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia, "sudah terhantuk baru terngadah"? Lebih menyedihkan, ada juga golongan yang dikuarantin masih 'merayaurayau' ke tempat awam sedangkan mereka sepatutnya hanya tinggal di rumah seperti yang diarahkan.

Mungkin perlu ada peraturan ketat, andai ada golongan yang dikuarantin didapati berada di tempat awam semasa tempoh itu, mereka boleh dikenakan tindakan tegas.

Mungkin hukuman melakukan kerja sosial boleh dipertimbangkan selepas tempoh 'berkabung' mereka tamat supaya memberi pengajaran kepada golongan lain.

Ia bukan untuk menghukum tetapi sebagai ingatan dan didikan untuk memberi kesedaran!

Ini kerana tindakan golongan berkenaan berada sewenang-wenangnya di tempat awam pasti mampu menyebabkan penularan yang lebih serius kepada lebih ramai orang seandainya mereka merupakan pembawa virus maut itu.

Perkara itu tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia melibatkan faktor kesihatan yang boleh dianggap sebagai aspek keselamatan masyarakat dan negara.

Tanggapan atau persepsi silap yang mengatakan "tempat kita tiada lagi jangkitan atau masih jauh daripada wabak itu" tidak harus ada dalam diri masyarakat.

Kesedaran perlu ada bahawa apabila tercetus sesuatu penyakit maut, semua pihak harus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan dengan cara terbaik sebelum ia menular ke tempat atau negara kita.

Walaupun lokasi virus itu mula dikesan iaitu Mexico beribu kilometer jauh dari Malaysia, namun penyakit itu tidak mengambil masa yang lama untuk sampai ke sini kerana faktor 'pengimport' hanya mengambil masa beberapa jam sahaja menerusi hubungan pengangkutan serba moden.

Memandang virus tersebut semakin menular di negara ini, mungkin sudah sampai masanya golongan pelajar, bayi dan warga emas dipertimbangkan untuk diberi suntikan vaksin secara percuma bagi mencegah mereka daripada jangkitan virus itu.

Pada permulaannya, suntikan vaksin itu mungkin boleh didahulukan bagi bayi dan pelajar kerana golongan ini amat memerlukan sistem pertahanan badan yang kuat untuk menentang serangan virus itu.

Rasanya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran boleh membincang dan mempertimbangkan perkara ini kerana ia dilihat semakin 'mendesak'.

Selain itu, Kementerian Pelajaran turut boleh membekalkan penutup mulut dan hidung kepada semua pelajar dan guru serta kakitangan sekolah. Berdasarkan trend penularan virus tersebut, sekolah dan institusi pengajian tinggi serta institut latihan menjadi lokasi 'kegemaran' virus H1N1 merebak.

Dalam keadaan sekarang, komitmen pihak swasta juga dituntut untuk 'menaja' pengedaran penutup mulut dan hidung kepada orang ramai.

Sudah menjadi kebiasaan apabila ramai yang memakainya, yang lain secara tidak langsung turut terdorong untuk menggunakannya.

Anggap juga ia sebagai salah satu komitmen atau tanggungjawab sosial syarikat dalam situasi rakyat dan negara amat memerlukannya.

Selain peranan pihak berkuasa, komitmen ibu bapa juga amat dituntut. Andai ada ahli keluarga yang mengalami demam, batuk atau selesema, jangan tangguh bawa terus mereka menjalani pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital.

Tindakan pantas ini mampu mengawal serangan dan menyelamatkan nyawa orang yang tersayang. Perlu ditanam dalam fikiran, demam bukan lagi demam biasa, tetapi harus dirawat segera!

Kesedaran mengenai pentingnya kebersihan diri juga harus diberi penekanan kerana ia dikatakan mampu menghindari jangkitan virus berkenaan.

Justeru, komitmen dan kerjasama semua pihak amat dituntut kini untuk bersama-sama mengekang penularan jangkitan virus maut, H1N1 yang telah membunuh lebih 1,000 orang di 163 negara setakat ini.

Di Malaysia H1N1 telah menyebabkan tujuh kematian dan jumlah itu dikhuatiri bertambah jika langkah pencegahan tidak ditingkatkan dan golongan yang menghidapi demam, batuk atau selesema memandang mudah perkara itu.

Agropolitan Pekan ubah nasib miskin tegar

"SAYA berharap projek ini akan mengubah nasib kami sekeluarga," tegas Yuni Muhammad, 51, ketika meluahkan kesyukuran kerana menjadi seorang daripada peserta Projek Agropolitan Pekan.

Ibu tunggal dari Kuala Pahang, Pekan itu berharap projek mega tersebut bakal memberi sinar baru kepada diri dan keluarganya.

Projek Agropolitan Pekan di Runchang, yang termasuk dalam pelan induk pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Bagi menjayakan projek tersebut, Yuni yang kematian suami sejak lima tahun lalu, sanggup berpindah ke penempatan baru. Pengorbanannya itu berlandaskan kepada harapan untuk menggapai impian ke arah sebuah kehidupan lebih baik.

Yuni yang ditemui baru-baru ini, merupakan seorang daripada 1,450 keluarga termasuk kalangan Orang Asli, yang bakal terlibat dalam projek berskala besar tersebut. Ia dilaksanakan oleh kerajaan dengan hasrat untuk mengangkat kehidupan penduduk miskin tegar di kawasan terbabit ke tahap lebih baik.

Wanita itu dan beberapa lagi peserta perintis projek itu telah diberikan latihan oleh beberapa agensi berkaitan, bagi mendedahkan mereka dengan pelbagai kemahiran mengenai selok-belok pelaksanaan projek tersebut.

Projek Agropolitan Pekan melibatkan kawasan seluas 1,825 hektar dengan kos keseluruhan dianggarkan RM90 juta.

Projek tersebut dilaksanakan melalui pembangunan serantau bersepadu, di mana 700 keluarga miskin tegar akan ditempatkan semula di kawasan baru di Tanjung Batu, Bebar dan Kubang Panjang di Lepar. Sementara 750 keluarga Orang Asli pula terlibat melalui pendekatan 'in-situ'.

Melalui projek tersebut, kerajaan berhasrat dapat mengubah kehidupan golongan miskin tegar dengan meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 kepada kira-kira RM1,500 sebulan.

Projek tersebut juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kawasan setempat dan Pahang amnya, apabila dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 pekerjaan baru.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan aktiviti-aktiviti perniagaan mikro dan industri kecil sederhana (IKS) serta membina masyarakat berdikari dan berdaya saing atau kompetitif.

Sebenarnya, Projek Agropolitan Pekan merupakan satu daripada empat projek agropolitan dalam ECER, termasuk pembangunan Kelantan Utara dan Selatan dan Besut-Setiu di Terengganu.

Justeru, projek tersebut menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan di kawasan luar bandar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pertanian dan perladangan.

Pada masa sama, projek tersebut akan membantu mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, serta menyediakan pendapatan berterusan kepada keluarga miskin di wilayah ekonomi itu, seiring dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

"Projek agropolitan ini merupakan model ekonomi baru yang akan mengukuhkan rangkaian nilai ekonomi melalui pelaksanaan kaedah bersepadu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John ketika taklimat kepada media baru-baru ini.

Beliau berkata, satu keunikan Projek Agropolitan Pekan ialah pelaksanaan aktiviti utama, sekunder dan sokongan untuk para pesertanya.

Di bawah projek ini katanya, perladangan kelapa sawit dan ternakan kambing biri-biri telah dikenal pasti sebagai aktiviti utama.

Ternakan kambing biri-biri di bawah projek itu dijangka menjadikan daerah Pekan sebagai pengeluar kambing biri-biri utama negara pada masa depan.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat tersebut, sebanyak 1,000 ekor kambing biri-biri baka Dorper dari Australia telah dibawa masuk di bawah fasa pertama pada 23 Julai lalu dengan kos hampir RM2 juta.

Aktiviti sekunder projek ini pula antara lain membabitkan aktiviti hiliran berkaitan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri serta industri sarang burung, jahitan, akuakultur, akuaponik dan penanaman cendawan.

Bagi memastikan peserta memperoleh lebih banyak pendapatan daripada aktiviti sokongan atau hiliran, maka beberapa pusat seperti pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan, penyembelihan turut diwujudkan.

Untuk memastikan kejayaan projek tersebut, maka Felda telah diberi peranan sebagai agensi pelaksana utama dalam menguruskan para peserta dan aktiviti-aktiviti berkaitan.

Pemilihan Felda itu dirasakan tepat berdasarkan kepada rekod kejayaan agensi tersebut dalam membangun dan mengangkat kehidupan puluhan ribu warga peneroka Felda di seluruh negara sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sementara Majlis Pembangunan ECER (CERDC) pula akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian projek disiapkan mengikut rancangan.

Selain Felda, agensi kerajaan lain yang terlibat termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut berperanan dalam melatih dan membimbing para peserta.

Apa yang pasti, pelaksanaan Projek Agropolitan Pekan membuktikan komitmen tinggi kerajaan di bawah konsep 1Malaysia, bagi mengubah nasib penduduk luar bandar tanpa mengira latar belakang dan kaum.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat secara total dalam projek ini.

Permatang Pasir 'paling panas' selepas Permatang Pauh

SEINGAT Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, 59, belum pernah berlaku enam pilihan raya kecil dalam tempoh setahun. Juga, belum pernah ada seorang pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalas tanggungjawab menguruskan enam pilihan raya kecil dalam tempoh itu.

''Dan buat diri saya, ikut purata sekali dalam sebulan pasti akan ada satu pilihan raya kecil yang saya kendalikan termasuk yang bakal menyusul kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

''Memang tidak disangka, kita jangkakan ada orang yang sedang uzur akan menghadap panggilan-Nya. Tapi inilah takdir-Nya dan kita (SPR) seperti biasa menjalankan tugas untuk memilih pengganti kekosongannya," ujar pengerusi SPR itu kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagi Abdul Aziz, beliau masih berpegang kepada prinsip dan pendiriannya pada hari pertama mengetuai SPR pada 31 Disember tahun lalu iaitu untuk 'membuka telinga seluas-luasnya' mendengar apa sahaja perkara dan masalah yang dibangkitkan - baik daripada parti pembangkang, atau parti kerajaan - untuk diperbaiki dan diselesaikan.

Mengakui setiap pilihan raya kecil ada bezanya daripada segi pengalaman, beliau yang ditanya pengajaran berguna yang dipelajarinya daripada Bukit Selambau, Bukit Gantang, Batang Ai, Penanti dan Manek Urai, terdiam seketika - mengingati sesuatu.

''Saya fikir Manek Urailah apabila kita terlalu beri muka kepada benda merayu-meraih ini sedangkan dulu mereka (pihak terbabit) sudah berjanji.

''Meskipun sudah diharamkan barong (pondok panas) ini dan seketika kemudian disediakan pula meja menyemak (saluran mengundi), itulah yang terjadi (kekecohan yang dicetuskan kumpulan tertentu)," ujar Abdul Aziz merujuk suasana hingar-bingar yang berlaku semasa pilihan raya kecil 14 Julai lepas.

Tegas Abdul Aziz, Manek Urai akan dijadikan contoh bahawa ketegasan adalah satu-satunya perkara yang akan diutamakan SPR dalam mengendalikan pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti.

''Apa yang akan kita lihat pada hari pengundian di Permatang Pasir nanti ialah tidak akan ada lagi kempen meraih undi dan pondok panas. Dari pukul 12 tengah malam hingga pengumuman keputusan akan dicap sebagai hari bertenang," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Permatang Pasir akan menjadi pilihan raya kecil paling panas jika diambil kira kedudukannya dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

''Cuma, sama ada kemungkinan pilihan raya kecil ini diadakan sebelum bulan puasa atau semasa puasa, kita semua parti-parti politik diharap mengambil iktibar dan keberkatan bulan tersebut," katanya.

Sekadar renungan, pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu disifatkan yang paling ganas dalam sejarah dengan mencatatkan banyak insiden tidak diingini dari hari penamaan calon hingga pengundian ditutup.

Sebanyak 71 laporan diterima membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kekerasan, mengancam keselamatan, menghalang kempen, menjatuhkan poster pihak lawan dan menggunakan bahasa kesat. Sebahagian besar laporan dibuat terhadap pihak penyokong pembangkang.

Walaupun 6,000 anggota polis dikerahkan dianggap banyak, kakitangan dan pegawai SPR masih terpaksa bekerja keras bagi mengawal keadaan berikutan kebanjiran kira-kira 40,000 orang luar di Permatang Pauh.

Jangan biarkan 'pagar' terus rakus memakan padi

MASA berlalu begitu pantas. Sedar atau tidak, kita telah melangkah ke bulan Ogos 2009. Namun masa yang berlalu dan meninggalkan kita itu tidak mungkin dapat dikembalikan lagi.

Kebiasaannya, kedatangan Ogos menjadi pemangkin kepada sambutan hari kemerdekaan negara. Namun tahun ini, bulan Ogos dicemari dengan keganasan serta tunjuk perasaan di ibu kota oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Peristiwa 1 Ogos akan terpalit dalam sejarah hitam negara sebagai satu daripada kejayaan demonstrasi oleh petualang negara.

Apa sudah jadi dengan negara kita? Mungkin persoalan ini agaknya yang sering berlegar di fikiran rakyat sewaktu negara menghampiri tarikh keramat 31 Ogos.

Memang tepat kata pepatah Melayu: "Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah". Realiti dalam kehidupan gajah, sentiasa mahu menguji kekuatan.

Namun kisah gajah berlainan dengan kita manusia. Ia tinggal di hutan yang tiada undang-undang dan penguatkuasaan.

Ini kisah rakyat Malaysia yang sekian lama tinggal di dalam negara merdeka dan berperlembagaan. Kita hidup aman dan tenteram. Namun kini diganggu oleh beberapa kerat petualang dan pengkhianat negara. Mereka bijak memainkan isu dengan bertopengkan hak asasi dan keadilan sehingga sanggup menganjurkan rusuhan.

Ini bukan kali pertama. Namun rusuhan serta demonstrasi jalanan ini merupakan budaya songsang manusia tidak bertamadun.

Apa yang menghairankan ialah kenapa hanya bangsa Melayu sahaja yang terlibat setiap kali ada rusuhan atau tunjuk perasaan? Jahilkah bangsa Melayu sehingga boleh diperalatkan oleh ejen-ejen pengkhianat negara? Tidak rasa terhinakah atau tiadakah perasaan malu?

Saya ingin menyarankan agar kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat dalam usaha menggugat keselamatan negara ini. Tidak kira mereka itu berpangkat, orang politik atau ketua pembangkang.

Pada hemat saya, sudah sampai masanya kerajaan menggunakan undang-undang yang sedia ada untuk mendakwa mereka. Jangan sekadar memberi amaran tetapi tiada tindakan serta kesudahan ceritanya.

Suara hati jutaan rakyat yang memerlukan pembelaan serta keamanan perlu diberi perhatian. Mereka ini golongan majoriti yang perlu dibela daripada kerenah petualang .

Bukankah keganasan serta demonstrasi yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit dan menggugat ketenteraman awam itu menandakan bahawa ISA masih relevan?

Saya pasti rakyat daripada segenap lapisan kaum dan masyarakat bersetuju jika petualang-petualang negara itu disumbatkan ke Pusat Tahanan Kemunting.

Terima kasih kepada pihak polis serta pihak keselamatan lain yang bersungguh-sungguh mengawal keadaan. Namun agak terkilan kerana setiap kali rusuhan seperti itu dan berlaku tangkapan, akhirnya mereka yang membuat onar dibebaskan begitu sahaja.

Jika diimbas, ramai di kalangan mereka yang ditahan kerana merusuh - termasuk anggota kumpulan Hindraf - dibebaskan "atas campur tangan politik". Ini membuatkan petualang itu berani mengulanginya lagi.

Petualang-petualang ini boleh diibaratkan seperti "harapkan pagar, pagar makan padi". Sejak zaman Hang Tuah hingga ke zaman 52 tahun selepas negara ini merdeka, sudah banyak padi kita 'dimakan oleh pagar'.

Malah ada 'pagar' yang telah memusnahkan seluruh bendang. Tetapi disebabkan manusia memang insan yang mudah lupa, kita jarang mengingati sejarah. Kita tidak pernah belajar daripada sejarah.

Maka dari semasa ke semasa, kita sering membuat kesilapan demi kesilapan dalam memilih dan mendirikan 'pagar' (pihak pembangkang) yang tidak boleh diharap. Pagar-pagar inilah yang akan memusnahkan negara dan orang Melayu. Bertindaklah dari sekarang. Selamat menyambut bulan kemerdekaan.

DR. MOHD. AZAM RAUZAN

Bandar Baru Uda, Johor Bahru

Tidak sedarkah Melayu sedang dihina?

SEKALI lagi segelintir orang Melayu menjadi 'kuda tunggangan' pihak tertentu. Sekali lagi Melayu ditipu kerana mahu memenuhi perjuangan kaum lain.

Pada Februari lalu, kita dapat saksikan bagaimana orang Melayu yang menjadi penyokong fanatik pakatan pembangkang di Perak sanggup tunjuk perasaan dan baring di tengah jalan depan Istana Kuala Kangsar.

Dulu mereka tunjuk perasaan sebab mahu mengganggu majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru. Mereka lupa kerajaan pimpinan bekas menteri besar daripada Pas dan 'dikawal' oleh DAP itu sudah hilang kuasa.

Sabtu lalu, orang Melayu yang beria-ia mahu ISA dimansuhkan melakukan huru-hara di ibu kota Kuala Lumpur. Mereka lupa pihak yang mahu ISA dimansuhkan itu adalah perjuangan pertubuhan haram Hindraf.

Orang Melayu perlu buka mata dan pasang telinga. Kalau benar pakatan menolak ISA itu adalah suara semua kaum, ke mana kaum-kaum lain dalam demonstrasi Sabtu lalu?

Hakikatnya, majoriti yang terkena gas dan cecair pemedih mata adalah orang Melayu. Lebih 90 peratus daripada 589 orang yang ditahan juga adalah Melayu.

Ke mana perginya penyokong DAP dan PKR daripada kaum Cina dan India? Adakah mereka mempunyai strategi lain dan demonstrasi jalanan bukan cara mereka?

Sebelum ini mereka yang berapi-api melaungkan slogan hapuskan ISA. Nampaknya penyokong Pas sahaja yang dijadikan 'kambing hitam.' Imej Melayu yang berkupiah putih, berjubah dan berserban diperlihat sebagai orang yang ganas dan kurang bertamadun.

Tiada siapa yang suka imej yang memburukkan orang Melayu dan Islam. Jelas ada yang tidak kena. Adakah orang Melayu sedar akan hal ini?

Kejadian dua kali orang Melayu 'bertempur' dengan pasukan polis pada tahun ini wajar membuka akal fikiran kita.

Bodohkah Melayu atau bijaknya mainan politik bukan Melayu? Cuba fikir, akhirnya siapa yang untung dan siapa yang rugi?

Kita belum temui cadangan pihak pakatan rakyat untuk mengadakan demonstrasi mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan yang cuba diganggu-gugat oleh bukan Melayu.

Sebaliknya perkara yang boleh memberi keuntungan kepada bukan Melayu dalam jangka masa panjang yang beria-ia disokong.

Kempen pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak adalah usaha kuat DAP. Gerakan hapuskan ISA adalah kempen Hindraf.

Tetapi majoriti peserta tunjuk perasaan yang menyusahkan rakyat itu ialah Melayu.

Jika dikatakan maruah dan martabat orang Melayu sekarang semakin diganggu gugat dan dicabar, mungkin penyokong pembangkang enggan menerimanya.

Mereka tidak akan percaya maruah Melayu dihina dan diperkudakan. Mereka tak mudah menerima penerangan bahawa banyak cara halus sedang dilakukan untuk menjatuhkan maruah pemimpin dan orang Melayu.

Terpulang kepada orang Melayu sendiri sama ada mahu bangkit atau relakan diri dipijak oleh orang lain.

Melayu jangan jadi bacul

APA yang dikehendaki oleh orang Cina, India dan Pas ketika ini ialah kuasa politik dan pentadbiran yang lebih besar. Bukannya keadilan dan demokrasi. Maka kerana itu, kuasa politik Melayu yang dipegang oleh UMNO sejak merdeka mestilah dihapuskan. Ini boleh dicapai apabila Pas dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong DAP.

Saya mulai dengan imbas kembali beberapa tajuk besar muka depan Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia:

1. "Ketuanan Melayu Tercabar" - 13 April 2008.

2. "Henti Guris Melayu - Peringatan Sultan Azlan Shah kepada semua pihak" - 6 November 2008.

3. "Jangan Persoal - Ketuanan Melayu bukan jenaka yang boleh dipermainkan" - reaksi beberapa menteri kanan UMNO terhadap kenyataan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek - 30 November 2008.

4. "Bangkitlah Melayu - Bersatu hadapi tuntutan kaum lain yang makin keterlaluan" - 15 April 2009.

5. "Peringatan Sultan Azlan - Tindakan cemar institusi raja seperti menyalakan api dalam sekam" - 20 April 2009.

6. "Jangan Melampau - Pakatan pembangkang didesak hentikan tuduhan terhadap SPRM" - 20 Julai 2009.

Banyak lagi seruan dan desakan - dalam bentuk berita, komentar Awang Selamat dan pelbagai bentuk tulisan yang sangat keras dan tajam.

Semuanya merangsang bangsa Melayu bertindak mempertahankan maruah dan keutuhan bangsa.

Orang Melayu, Raja-Raja Melayu dan Kumpulan Utusan Melayu yang selama ini sangat bersabar dan sentiasa sangat berhati-hati menjaga hati orang Cina dan India, sudah tidak boleh tahan lagi.

Kata Awang Selamat, "Hati Awang semakin hari semakin ditoreh-toreh oleh tuntutan pelbagai pihak bukan Melayu yang bersikap terlalu rasis selepas PRU Ke-12."

Akan tetapi semua seruan dan amaran hanya tinggal dalam lipatan akhbar Utusan Malaysia sahaja. Orang Melayu tidak bangunbangun juga.

Pertubuhan Melayu - yang lama dan baru - hanya sekadar mengeluarkan kenyataan marah-marah dan membuat laporan polis sahaja.

GAPENA yang menganjurkan Kongres Perpaduan Melayu yang sangat besar dan penuh bersemanga pun, sampai sekarang tidak nampak sebarang tindakan.

Pemimpin UMNO, termasuk Pemuda pun sekadar mengeluarkan kenyataan dan amaran sahaja.

Serangan dan penghinaan pembangkang dan aktivis politik Cina dan India terhadap Melayu semakin menjadi-jadi. Mereka sengaja menunjukkan keberanian dan tindakan kurang ajar. Cuma mereka belum berarak dan membuka butang seluar seperti sewaktu Tragedi 13 Mei.

Melayu kini sudah jadi bangsa yang takut bertindak. Sultan dan Raja Muda Perak telah melangkah tradisi diraja, tampil ke muka menyampaikan beberapa titah yang sangat berani, tegas dan terus terang.

Memberi amaran kepada Melayu-Islam akan situasi politik kita yang sangat kritikal dan masa depan yang gelap.

Sultan Selangor dan Tengku Mahkota Kelantan menyertai tindakan Sultan dan Raja Muda Perak itu.

Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan "Kenyataan Akhbar Khas". Suatu amaran keras, yang belum pernah dibuat sebelum ini (Utusan Melayu, 17 Oktober 2008). Tetapi tiada apa-apa tindakan susulan. Maka kita pun jadi lupa.

Benarlah seperti peringatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Perhimpunan Agung UMNO beberapa tahun lalu: "Orang Melayu mudah lupa". Penglibatan istana ini menunjukkan kemelut politik di negara kita sudah sangat serius. Memerlukan tindakan segera. Bukan hanya retorik kata-kata.

Situasi politik yang tergambar dalam imbasan akhbar inilah, saya rasa, membuat Dr. Mahathir pun tidak boleh tahan lagi.

Lalu dalam blognya pada 20 Julai lalu, beliau menyiarkan tulisan "Kaki Dalam Kasut". Artikel itu diserang oleh aktivis dan pejuang politik pembangkang Cina dan India sebagai suatu pemikiran yang rasis.

Tidak pelik beliau dituduh rasis. Meski pun Dr. Mahathir hanya menyatakan fakta-fakta sejarah yang benar.

Tuduhan rasis kepada pemimpin Melayu adalah salah satu senjata politik parti pembangkang yang amat berkesan untuk membunuh kuasa politik Melayu, yang sejak merdeka di tangan UMNO.

Apakah sebenarnya cita-cita orang Cina dan India - khususnya DAP yang disokong kuat oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Malah mereka turut mendapat sokongan Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Anwar sendiri.

Kumpulan ini berdemonstrasi dan memekik-mekik menuntut 'hak, keadilan dan demokrasi'.

Berpuluh-puluh tahun Anwar memegang kuasa besar dan menjalani kehidupan amat mewah dan berpengaruh dalam BN. Ketika itu tidak pernah pun beliau mempersoalkan hak, keadilan dan demokrasi.

Malah beliau menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan. Ini baru beberapa tahun lalu. Tentu Anwar belum lupa.

Akhbar rasmi Pas, Harakah pada 5 Julai lalu menyiarkan tajuk besar "Pakatan ganti BN" dengan berita megah: "Himpunan perdana perpaduan 100,000 anjuran pakatan rakyat (pembangkang) di Petaling Jaya, 30 Jun lalu menjadi saksi betapa gabungan Pas, Keadilan (PKR) dan DAP terus mantap dalam usaha meneraju perubahan dan seterusnya menggantikan BN."

Turut dipaparkan ialah foto pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang bersalaman amat erat dengan Abdul Hadi sambil diperhatikan dengan penuh teruja dan megah oleh rakan lama saya, Anwar Ibrahim.

Memang patut benar dimegahkan kerana Anwar yakin tidak lama lagi beliau akan menjadi Perdana Menteri. Musuh lamanya dalam politik lama, sudah dipeluk erat dan mesra.

Bagi Nik Abdul Aziz, musuh yang berkekalan sehingga kiamat adalah "UMNO yang kafir". DAP dan Kit Siang tidak kafir! Pas sanggup memeluk Kit Siang. Juga kerana hendak mendapat kuasa memerintah. Demokrasi dan Islam hanya alat kempen sahaja. Siapakah yang munafik?

Menjadi parti pemerintah adalah hak semua parti yang menang pilihan raya. Berdasarkan jumlah calon Cina dan India dari pakatan pembangkang yang menang pada PRU 12 kita sudah dapat melihat betapa besar kuasa politik yang boleh mereka capai.

Buktinya jelas di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur. Dan apabila mereka berkuasa dan meminda Perlembagaan supaya Wilayah Persekutuan juga mengadakan pilihan raya, pastilah mereka akan memerintah ibu negara kita.

Datuk Bandar dan pegawai-pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti yang ada sekarang akan bertukar tangan.

Berdasarkan jumlah calon bukan Melayu yang akan menang pada PRU 13 nanti, sudah dapat dibayangkan berapa kementerian penting yang akan mereka pegang.

Siapa akan jadi Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah Jabatan, pegawai-pegawai kanan dan Pegawai Daerah. Siapakah akan jadi pegawai kanan dalam pasukan polis dan angkatan tentera.

Saksikan apa yang telah berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Hak Istimewa Melayu dan Dasar Ekonomi Baru pun tidak akan ada lagi.

Strategi yang mereka pergunakan sekarang sudah nyata berjaya. Terus menyemarakkan isu rasis untuk menimbulkan "kemarahan dan kebencian" rakyat kepada apa juga kuasa yang ada kepada orang Melayu, termasuk kuasa mahkamah, polis dan tentera. Dan kuasa Raja-Raja Melayu.

Oleh itu, apa pun yang telah dan akan dilakukan oleh kerajaan BN sukar sekali mengatasi "kemarahan dan kebencian" yang terus mereka bakar setiap hari. Mereka menggunakan kesempatan daripada apa juga isu, termasuk isu orang mati.

Anehnya ramai juga orang Melayu-Islam yang ikut benci kepada kuasa bangsa sendiri. Bangsa Melayu sudah menjadi bangsa yang tolol dan bacul. Dan "orang yang bacul, akan mati sebelum mati".

Walaupun bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberikan hak milik tanah selama 999 tahun kepada kaum Cina, ramai juga orang Melayu mengundi beliau pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang.

Abdul Hadi pula berikrar "akan terus mengukuhkan pakatan pembangkang".

Benarlah bangsa Melayu yang memerintah sudah nak mati! Dan saya ingin bertanya Anwar Ibrahim: "Di manakah nanti duduknya kuasa politik Melayu dalam kerajaan pakatan pembangkang?"

Dalam artikel "Kaki Dalam Kasut", Dr. Mahathir mengingatkan: "Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan Tanah Melayu digugur dan cantuman negeri-negeri ini dinamakan Malaysia.

Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri dan orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar."

Apakah tindakan politik yang perlu kita buat sekarang? Demonstrasi atau laporan polis lagi?

Rosak bangsa, cemar agama

BUKAN sedikit kerugian yang disebabkan oleh aksi tunjuk perasaan Gerakan Mansuh ISA (GMI) Sabtu lalu. Dianggarkan sekitar RM100 juta hingga RM200 juta hangus begitu sahaja gara-gara sikap biadap penunjuk perasaan yang mengganggu periuk nasi peniaga di sekitar ibu kota.

Itu kerugian yang dapat lihat secara fizikal. Bagaimana pula impak buruk di sebaliknya?

Pernahkah kita terbayang bagaimana pandangan kaum lain terhadap bangsa Melayu daripada aksi sebegitu?

Jangan salahkan bangsa lain apabila orang Melayu hari ini dilihat sebagai bangsa yang ganas dan bersikap kurang ajar.

Orang Melayu lebih banyak memberontak dan berlebihan-lebihan dalam melempiaskan emosi tanpa mempedulikan akibatnya kepada orang lain. Banggakah kita dengan tanggapan sebegitu?

Usahlah ditambahkan lagi kehinaan kepada bangsa Melayu yang sudah ketinggalan dalam serba-serbi berbanding bangsa-bangsa lain.

Cukuplah kita selama ini dilihat sebagai kaum yang lemah dalam menguasai ekonomi. Tidak mampu bersaing dalam banyak hal dan sering dinilai sebagai orang yang kalah.

Apakah kita mahu pula dilihat sebagai bangsa yang kurang ajar, pencetus kekacauan dan berbuat sesuka hati tanpa mengambil kira kesusahan orang lain?

Paling memalukan apabila bangsa Melayu dilihat mudah dijadikan kuda tunggangan oleh pihak tertentu yang jelas mempunyai agenda lain.

Orang Melayu diperalat dalam mencapai matlamat bermotifkan politik bukan oleh bangsa lain, tetapi oleh bangsanya sendiri.

Kita mungkin tidak sedar bahawa bangsa lain ketika ini sedang bersorak menyaksikan perpecahan Melayu di dalam UMNO, PKR dan Pas.

Sepatutnya Melayu perlu bersatu bukan pada batas parti politik perkauman tetapi pada istilah kaum Melayu itu sendiri. Malangnya kita berpecah dan berkonflik sesama sendiri.

Apa yang pasti, tindak-tanduk ini akan memburukkan lagi kadar polarisasi kepartian orang Melayu. Penyokong Pas semakin taksub, penyokong PKR semakin liberal dan penyokong UMNO semakin konservatif.

Penentangan dalam banyak hal terutamanya terhadap kerajaan bukan tidak timbul di kalangan bangsa selain Melayu.

Tetapi mereka tidak perlu turun ke jalanan memperbodohkan diri dengan gelagat yang menyusahkan orang ramai.

Sebaliknya mereka menggunakan saluran yang lebih berhemah, bijaksana dan lebih bertamadun sama ada menerusi akhbar atau parti yang mewakili mereka.

Ternyata mereka mendapat lebih daripada apa yang dimahukan menerusi cara itu. Penentang ISA juga mempunyai wadah yang sama, malah lebih luas lagi.

Justeru mengapa memilih jalan yang sukar dan memalukan semata-mata untuk membolehkan suara mereka didengari. Mereka sebenarnya melakukan kesilapan besar sekiranya beranggapan kerajaan akan memberi muka selepas aksi-aksi konfrontasi sebegitu.

Protes jalanan tidak sesekali dipertimbangkan dalam membuat atau meminda sesuatu dasar, apatah lagi akta yang penting seperti ISA. Sebaliknya, penunjuk perasaan itu juga yang bakal menanggung akibat kerana tidak akan sesekali terlepas daripada tindakan undang-undang.

Sesuatu yang pasti budaya tunjuk perasaan dengan mencetuskan kekacauan dan keganasan itu bukan budaya rakyat Malaysia. Malah bukan budaya mana-mana bangsa di dunia sekali pun.

Ia pada asasnya hanya satu bentuk manifestasi politik moden yang dipelopori oleh Barat dan bertunjangkan kebebasan bersuara mutlak.

Justeru penentang ISA yang sanggup berdemonstrasi sebenarnya telah terikut-ikut dengan budaya Barat dan 'dikafirkan' oleh mereka sendiri.

Demokrasi juga sebenarnya adalah alat untuk manusia mencapai matlamat politik, bukannya demokrasi itu dijadikan matlamat.

"Jika ia dijadikan matlamat, bagi perusuh orang Islam terutamanya, itu adalah sesuatu yang sangat meragukan. Malangnya dewasa ini, yang tampak sanggup mati demi mempertahankan demokrasi adalah orang berketerampilan agama. Ini adalah sesuatu yang menyedihkan," demikian pandangan pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, Terengganu, Asri Salleh.

Golongan yang menentang ISA sepatutnya mengambil peluang daripada sikap bertolak ansur dan toleransi yang ditunjukkan kerajaan dalam isu ini. Kerajaan bukan tidak pernah mendengar. Malah tidak pernah sesekali menolak untuk meminda ISA demi kebaikan bersama.

Meskipun tidak sampai ke peringkat memansuhkan tetapi melihat kepada keperluan ISA dalam konteks hari ini, kesediaan kerajaan itu sebenarnya sudah lebih daripada memadai.

Ia sekurang-kurangnya memperlihatkan keadaan menang-menang kepada semua pihak meskipun kerajaan sebenarnya mempunyai hak untuk tidak mengambil peduli kepada tuntutan sebegini.

Bukan sukar untuk memahami kesesuaian ISA dalam konteks kemajmukan bangsa dan kebebasan bersuara di negara ini.

ISA sekurang-kurangnya mampu mengekang anasir-anasir subversif yang mengancam keselamatan negara.

Dari sudut peranan itu, tiada cacat-celanya ISA diamalkan di negara ini. Cuma barangkali pelaksanaannya sahaja yang boleh dipertingkatkan dan diperbaiki.

Itulah juga yang sedang diusahakan kerajaan dalam menjadikan ISA lebih berwibawa dan telus. Justeru, apa lagi yang dimahukan penentang ISA ini sehingga sanggup merosakkan Sabtu lalu dengan aksi-aksi yang memalukan?

Kerana itu juga penulis melihat demonstrasi itu sebenarnya bukan lagi perjuangan memansuhkan ISA. Kehadiran tokoh pembangkang yang memberi ucapan dan membakar semangat penunjuk perasaan misalnya, sangat jelas membuktikan peranan dan pengaruh mereka.

Perkara yang sama turut dikongsi oleh Asri yang tidak menolak kemungkinan pakatan pembangkang menggunakan GMI sebagai batu loncatan mencapai agenda tertentu.

"Ahli GMI hanyalah salah satu daripada 'alat' dalam percubaan mereka untuk menghasilkan kesan politik lain yang lebih besar nilainya daripada sekadar pemansuhan ISA," ujar Asri.

Sangat menyedihkan apabila melihat kelibat anak-anak kecil yang langsung tidak mengetahui apa-apa tentang ISA diheret untuk terbabit sama.

Anak-anak kecil ini tidak seharusnya dididik dan membesar dengan budaya penentangan yang ganas seperti itu.

Begitu juga dengan kaum wanita yang bertudung litup serta lelaki yang berkopiah dan berserban yang sangat jelas imej keislamannya.

Seharusnya mereka lebih mengetahui bahawa berdemonstrasi dan menimbulkan kekacauan kepada awam itu dilarang oleh Islam. Ia juga meninggalkan kesan yang buruk kepada agama yang mereka anuti itu sendiri.

Tidak cukupkah Islam dipandang sebagai agama keganasan oleh Barat kerana perbuatan melampau penganutnya di negara-negara lain?

Di mana asasnya kutukan kita kepada sentimen kebencian kepada Islam itu sedangkan kita sendiri sebagai orang Islam, berbangsa Melayu mempertontonkan sikap serupa?

Monday, August 3, 2009

Rakyat, kerajaan perlu gembleng komitmen demi kemakmuran negara

APABILA Perdana Menteri menganggap rakyat sebagai klien utama, ia adalah petunjuk bahawa beliau serius dengan setiap dasar yang dirangka.

Pengharapan Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan omongan kosong kerana sejak hari pertama beliau menduduki kerusi utama pentadbiran negara, beliau komited untuk mengatasi masalah negara.

Walaupun kita sebagai klien yang mengharapkan kerajaan memberi sesuatu daripada setiap dasar dan peruntukan, kita juga perlu memberi sokongan untuk menjayakan semua dasar berkenaan.

Kadar jenayah, masalah integriti, isu pendidikan, taraf hidup rakyat, prasarana dan pengangkutan awam adalah masalah yang cuba diselesaikan oleh Perdana Menteri dalam fasa demi fasa.

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditekankan oleh beliau menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyaksikan setiap usaha memajukan negara dan rakyat diberi perhatian sewajarnya.

Penekanan ke atas Indeks Prestasi Utama (KPI) bakal memberikan rakyat peluang memberi respons terus ke atas setiap laporan kemajuan dengan melihat sendiri sama ada dalam tempoh tertentu setiap perkara yang ingin diperkasa dan diperbaiki terbukti berkesan atau memerlukan masa dan mekanisme yang baru pula.

Langkah ke arah masa depan yang lebih baik memerlukan setiap pihak bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakannya.

Kemiskinan tegar di kalangan rakyat bukan masalah baru sebenarnya. Kadangkala istilah miskin itu sendiri perlu diperbetulkan.

Ada yang miskin sepanjang hidupnya dan ada yang miskin bermusim. Kemiskinan disebabkan masalah dibuang kerja adalah perkara yang banyak berlaku saat ini.

Apabila dibuang kerja, hutang tidak mampu dibayar. Apabila hutang tidak mampu dibayar, dijatuhi ‘hukuman bankrap’ pula oleh pihak bank.

Yang meminjam dengan ah long pula diancam nyawa maka hidup pula berpindahrandah hingga rumahtangga kucar-kacir. Ramai akhirnya berpaling memohon bantuan daripada kerajaan. Namun sampai bila kita perlu mengharapkan kerajaan? Bagi yang panjang akal, banyak usaha boleh dilakukan untuk meneruskan hidup. Berniaga adalah antara alternatifnya.

Untuk berniaga dan mencari kontrak pula memerlukan kita memasuki tender. Dalam hal tender, Perdana Menteri berusaha menghapuskan rasuah dengan meningkatkan integriti di kalangan penjawat awam dalam soal agihan kontrak dan projek.

Soal ini memerlukan kerjasama rakyat untuk membendungnya. Kita perlu mengubati penyakit rasuah yang virusnya ada dalam diri setiap orang.

Bagaimanapun, bercakap untuk menghapuskan rasuah amat mudah. Namun usaha membendung gejala rasuah tidak semudah yang diucapkan. Ia bukan tugas kerajaan semata-mata. Rakyat perlu bekerjasama.

Begitu juga dengan kadar jenayah jalanan juga dapat dikurangkan jika institusi keluarga dan masyarakat dapat ditingkatkan dan dimakmurkan. Sesungguhnya jenayah jalanan terutama ragut dan lumba haram dilakukan oleh remaja yang punca ia tercebur kerana tiada aktiviti riadah khusus dan dikawal selia oleh orang dewasa di tempat mereka.

Institusi keluarga dan masyarakat juga tidak menggalakkan untuk mengadakan riadah bersama-sama. Anak-anak dan ibu bapa mencari riadah sendiri.

Dalam hal ini, kariah kampung dan kejiranan perlu kreatif mencari idea untuk aktiviti riadah. Contohnya selepas waktu Isyak setiap malam Ahad kerana inilah masanya pelumba haram memanaskan enjin hingga pendikit di putar tahap maksimum.

Tibalah masanya yang tua memberi kembali kenangan kita semasa muda kepada anak-anak bermain takraw dan badminton selepas Isyak.

Setiap petang minggu bermain bola sepak beramai-ramai hingga remang-remang senja sebelum maghrib. Mungkin ini saja caranya jenayah jalanan oleh kalangan remaja dapat dikurangkan.

NRKA yang digariskan oleh PM melalui KPI bagi perkara lain seperti meningkatkan prasarana, pendidikan dan peningkatan pengangkutan awam adalah suatu proses berterusan. Ia mampu dikendalikan oleh kerajaan tetapi daripada segi jenayah, peningkatan intergriti dan taraf hidup rakyat sebenarnya saling berkait.

Jika projek tidak diagih-agihkan secara penuh intergriti mungkin ada yang jatuh miskin kerana tiada kerja. Masalah sosial akan meningkat dan semakin ramai terjerumus ke kancah yang tidak diingini.

Oleh itu, usaha murni kerajaan yang disuarakan oleh Perdana Menteri minggu lalu memang kena pada masanya.

Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia. Apa yang digariskan menunjukkan rakyat sememangnya menjadi keutamaan kerajaan.

Sekiranya ada kekurangan, kita sebagai rakyat perlu membantu mengatasinya. Paling penting, 1Malaysia tidak mampu dijayakan tanpa komitmen dan kerjasama padu seluruh rakyat. Kita jangan terlalu meminta tetapi tidak pula berbuat apa-apa untuk negara.

Kesan rombakan pasaran modal

Oleh DR. NOR HAYATI AHMAD dan ZURAIDAH ATAN

KERAJAAN melalui Bank Negara Malaysia pada 1999 mengambil pendekatan menggabungkan bank-bank komersial untuk memantapkan sektor perbankan bagi memulihkan ekonomi daripada kesan krisis kewangan Asia 1997.

Pada tahun ini pula, kita nampak ada perubahan apabila kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti memilih untuk merombak struktur pasaran modal bagi mencergaskan kembali pasaran saham yang merosot teruk kesan krisis ekonomi global.

Dan hari ini menyaksikan sejarah baru apabila penstrukturan tersebut menjadi efektif. Struktur Bursa Malaysia yang sebelum ini terdiri daripada Papan Utama, Papan Kedua dan juga Mesdaq akan bertukar wajah.

Papan Utama dan Papan Kedua digabung menjadi satu papan tunggal "Pasaran Utama"; sementara Mesdaq menjadi pasaran alternatif yang terbuka kepada syarikat pelbagai saiz dan daripada semua sektor ekonomi pula dikenali sebagai "Pasaran ACE" (access, certainty, efficiency); dan peraturan untuk penambahan modal syarikat daripada Pasaran Modal berubah.

Apa signifikannya penggabungan ini? Apa kesannya apabila Mesdaq digantikan dengan Pasaran ACE? Dan apakah perubahan baru berikutan perubahan peraturan itu?

Kepada pengamal industri, pelabur atau firma, penstrukturan ini memberi erti yang besar. Bagi menjawap persoalan tersebut, kita perlu mengetahui peranan asas Pasaran Modal dalam kitaran dana sistem kewangan dan perbankan sama ada secara konvensional atau syariah.

Pasaran Modal menyediakan prasarana untuk firma-firma (atau syarikat-syarikat) mendapatkan sumber modal melalui pembelian saham firma tersebut yang akan ditawarkan kepada pelabur. Terdapat beberapa cara untuk firma mendapat sumber modal. Antara melalui terbitan saham baru (IPO), terbitan hak, terbitan khas atau terbitan waran.

Saham-saham ini kemudiannya akan disenaraikan di Bursa Saham Malaysia dan pemegang saham ini akan memiliki ekuiti dalam modal berbayar firma tersebut.

Bagi firma tersebut, mendapat dana daripada Pasaran Modal adalah sumber pembiayaan dalam bentuk ekuiti. Satu cara lagi untuk sesebuah firma mendapat pembiayaan ialah melalui bank. Berbanding dengan pinjaman bank, pembiayaan ekuiti dapat mengurangkan risiko firma tersebut sekiranya terdapat perubahan dalam kadar faedah atau pertukaran mata wang asing (sekiranya pinjaman tersebut dalam dolar Amerika, pound sterling dan sebagainya).

Proses untuk mendapat sumber pembiayaan daripada Pasaran Modal secara ringkas adalah seperti berikut:

Firma yang berhasrat untuk mendapat modal melalui Pasaran Modal akan melantik bank pelaburan (dahulunya bank saudagar) sebagai penasihat.

Bank pelaburan akan menyediakan dokumen bergelar "prospektus". Ia mengandungi maklumat latar belakang korporat, status kewangan dan butiran terbitan tersebut, tujuan serta implikasi kewangan yang memberi gambaran akan kebolehupayaan perniagaan (business viability) firma tersebut.

Proses ini melibatkan juga khidmat guaman dan juga akauntan dalam penyediaan dokumen-dokumen mengikut peraturan Bursa Malaysia dan juga Suruhanjaya Sekuriti.

Bank pelaburan berkenaan akan memajukan prospektus kepada Bursa Malaysia dan juga Suruhanjaya Sekuriti untuk kelulusan.

Bank pelaburan bagi pihak firma, membuat tawaran saham kepada pelabur. Tawaran hanya dilaksanakan selepas kelulusan daripada pihak-pihak penguatkuasa tertentu.

Pelabur apabila menerima tawaran itu, bermakna telah menyalurkan dana mereka sebagai pelaburan ke dalam firma tersebut. Pulangannya adalah dalam bentuk dividen atau pun keuntungan sekiranya pelabur menjual dengan harga yang lebih tinggi daripada harga semasa ditawarkan (capital gains).

Proses jual beli ini dapat diteruskan melalui Bursa Malaysia. Pasaran saham akan bertambah aktif sekiranya dagangan bertambah rancak didokong oleh sentimen dan keyakinan tinggi pelabur. Keadaan pasaran sebegini akan mencipta kekayaan kepada pelabur, firma berkenaan dan ekonomi negara keseluruhannya.

Bagaimanapun, krisis pasaran global telah membantutkan kerancakan dagangan sekuriti di Bursa Malaysia. Bilangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia turut berkurangan, berikutan keputusan sesetengah syarikat untuk tidak lagi menyenaraikan saham-saham syarikat mereka sejak 2007.

Implikasi pergabungan Papan Utama dan Papan Kedua menjadi Pasaran Utama memberi ruang untuk menambah bilangan syarikat untuk menjadi pilihan pelabur.

Syarat-syarat untuk syarikat disenaraikan telah dilonggarkan. Pergabungan ini serta kelonggaran daripada segi peraturan penyenaraian (Listing Requirements) membolehkan syarikatsyarikat kecil tetapi mempunyai potensi keuntungan yang tinggi berpeluang untuk mendapat modal tambahan daripada pasaran ekuiti untuk mengembang aktiviti syarikat.

Tambahan pula, penyertaan pelabur dijangka meningkat dengan bertambahnya bilangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Syarikat yang tersenarai di Papan Mesdaq sebelum ini adalah syarikat-syarikat hi-tech dan syarikat yang berkembang pesat. Transformasi daripada Mesdaq kepada Pasaran ACE, bukan sahaja membolehkan syarikat IT dan hi-tech tetapi semua syarikat yang memenuhi ciri-ciri "access, certainty dan efficiency" memohon untuk disenaraikan saham mereka di Pasaran ACE.

Perubahan ini akan menambah bilangan syarikat yang berdaya maju untuk disenaraikan dan didagangkan di Bursa Malaysia. Di sini syarikat bumiputera patut mengambil peluang untuk menyertai dan menyenaraikan saham mereka di Papan ACE.

Rombakan struktur pasaran modal ini, yang jelas penambahbaikannya ialah pembahagian tanggungjawab jelas antara Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.

Ini boleh mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan dan penjanaan dana. Syarikat-syarikat berpeluang memaksimumkan peluang-peluang perniagaan dengan lebih cepat. Malah, memandang keadaan ekonomi global yang belum pulih, menggunakan dana daripada pasaran ekuiti dapat menjamin pengurusan risiko kewangan yang lebih efektif.

Bagaimanapun, bank-bank pelaburan dilihat terpanggil untuk memainkan peranan lebih besar dalam menilai kemampuan syarikat untuk menjana kekayaan dan mencipta nilai daripada pelaburan mereka.

Bank Pelaburan boleh menolong lebih banyak lagi syarikat bumiputera menyertai pasaran modal dan ekuiti. Rombakan pasaran modal ini kepada wajah dan infrastruktur kewangan yang lebih fleksibel dikira mampu menarik lebih ramai pelabur untuk menyertai pasaran modal dan ekuiti.

Ilmu mengenai pelaburan perlu diperluaskan supaya pelabur-pelabur terutamanya bumiputera, bertindak dengan bijak berasaskan kepada maklumat-maklumat yang tepat.

Di institusi pengajian tinggi seperti di Universiti Utara Malaysia (UUM), program-program khusus seperti UUM-Pribumi Investment Training (UPIC) dilaksanakan melatih graduan dengan kemahiran teknikal dalam bidang pasaran kewangan selain ilmu yang berasaskan pasaran pelaburan semasa. Penstrukturan Pasaran Modal ini mampu mencipta banyak peluang pekerjaan dalam kewangan korporat, pasaran modal dan perbankan korporat di bank-bank pelaburan.

Dengan cara ini, institusi-institusi berkenaan dapat memainkan peranan secara proaktif untuk memperkasakan modal insan dan membekalkan lebih ramai profesional bumiputera dalam sektor kewangan dan pasaran modal.

PROFESOR DR. NOR HAYATI AHMAD ialah Profesor Kolej Perniagaan, UUM sementara DATUK ZURAIDAH ATAN ialah Ahli Lembaga Pengarah, UUM dan pernah menjadi Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah bank pelaburan

ECER bantu rawat miskin tegar

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan "kemiskinan adalah penyakit paling berbahaya di dunia". Malaysia sudah menyedari hal ini sejak selepas merdeka 52 tahun lalu dan terus aktif dengan program-program membasmi kemiskinan.

Perkara ini juga ternyata dalam agenda pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang memberi tumpuan cukup tinggi kepada golongan miskin tegar dan masyarakat Orang Asli.

Inisiatif Projek Agropolitan Pekan yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Ogos (esok) adalah satu lagi contoh bagaimana kerajaan Malaysia merawat kemiskinan yang menjadi penyakit paling berbahaya di dunia.

Projek agropolitan dirancang untuk membantu golongan miskin di kawasan luar bandar mencapai standard hidup berbanding dengan kawasan lain di negara ini dalam jangka masa pendek.

Ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang mana Rakyat Didahulukan dalam mencapai kemajuan dalam semua bidang.

Dengan meningkatkan fokus pada pembangunan, pelbagai strategi dirangka untuk menangani masalah yang rakyat hadapi.

Agropolitan adalah sebahagian program lonjakan mega luar bandar yang komprehensif dengan pendekatan serampang dua mata.

Lonjakan pertama ialah meningkatkan pendapatan keluarga miskin tegar secara berganda dan mengeluarkan mereka terus daripada garis kemiskinan.

Lonjakan kedua, ia membawa perubahan besar sesuatu kawasan yang terpencil, mundur dan terbiar kepada kawasan yang mempunyai ekonomi mapan, lengkap dengan prasarana fizikal dan diperkukuhkan dengan modal insan.

Inisiatif agropolitan ini dilihat kena pada masanya.

Walaupun kadar kemiskinan negara menurun dengan ketara sejak merdeka, namun masih terdapat golongan miskin tegar dan ketidaktentuan ekonomi global memberi kesan kepada mereka.

Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010, memperkukuhkan komitmen untuk mencapai agihan pertumbuhan dengan sasaran mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan kepada 2.8 peratus dan membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.

Sasaran juga ditumpukan untuk merapatkan jurang pendapatan dan memperbaiki pegangan ekuiti.

Untuk membantu sasaran ini dicapai, rangka kerja agropolitan merangkumi beberapa komponen utama:

1. Mengintegrasikan pelbagai pendekatan untuk membantu komuniti yang serba kekurangan;

2. Menyasarkan kumpulan rakyat yang mudah terjejas seperti wanita, kanak-kanak, penganggur, orang kurang upaya, belia, Orang Asli dan keluarga berpendapatan rendah.

3. Memperuntukan jaringan keselamatan sosial untuk mencapai keperluan golongan miskin tegar dan yang baru jatuh miskin, pada masa yang sama mengurangkan beban tanggungan mereka.

4. Berterusan membangunkan modal insan terutama pelaburan dan memperbaharui dasar dalam bidang pendidikan dan latihan.

Sebagai pulangan, langkah-langkah ini akan mewujudkan syarikat berskala kecil, syarikat mikro dan koperasi yang berpotensi menyediakan peluang pekerjaan, menggunakan bahan mentah tempatan, kepakaran sains dan teknologi serta melibatkan sejumlah besar rakyat dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

Projek agropolitan seluas 35,044 hektar yang dirancang dilaksanakan di seluruh negara menyasarkan untuk membasmi kemiskinan menjelang 2010. Hakikatnya, tempoh itu bukan lama lagi.

Salah satu usaha yang dijalankan dalam memastikan matlamat kemiskinan sifar menjelang 2010 dapat direalisasikan ialah menerusi projek agropolitan.

Ia adalah satu projek menambah nilai dan usaha berskala komersial untuk menghasilkan sesuatu yang positif.

Menerusi konsep ini kerajaan akan membuka lebih banyak kawasan pertanian komersial dengan pesertanya terdiri daripada golongan miskin. Hanya penduduk tempatan akan dilibatkan dalam projek tersebut.

Para peserta Projek Agropolitan Pekan akan dipilih oleh kerajaan negeri menerusi program e-Kasih iaitu sebuah program membasmi kemiskinan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Projek itu melibatkan kawasan seluas hampir 2,000 hektar yang bakal diusahakan dengan tanaman kelapa sawit, ternakan biri-biri dan pelbagai projek hiliran lain.

Projek itu akan melibatkan pembangunan kawasan seluas 1,825 hektar di Tanjung Baru, Bebar dan Kubang Panjang, Lepar dengan kos keseluruhan kira-kira RM90 juta.

Seramai 1,450 keluarga miskin tegar termasuk 750 keluarga Orang Asli akan menyertai projek tersebut yang bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM350 kepada RM1,500 sebulan.

Projek Agropolitan Pekan di Runcang dijangka membawa banyak kemajuan kepada Pahang. Ia mampu bertindak sebagai platform terbaik untuk mengeluarkan penduduk kawasan itu daripada kelompok miskin tegar.

Sejak mencapai kemerdekaan 51 tahun lalu, negara bergerak pada landasan yang betul bagi meningkatkan taraf hidup rakyat terutama penduduk luar bandar dan pedalaman.

Masyarakat minoriti termasuk kaum Orang Asli tidak sesekali dipinggirkan sebaliknya diberi perhatian khusus untuk bersama-sama berkongsi kemajuan tersebut.

Pembangkang tidak pernah puas selagi gagal burukkan imej negara

KELMARIN Kuala Lumpur sekali lagi kecoh. Dahulu rakyat dihidangkan dengan perhimpunan haram yang berakhir dengan kekacauan membabitkan penyokong Hindraf.

Golongan yang menyertai perhimpunan itu terdiri daripada segelintir kecil kaum India yang kononnya merasakan diri mereka 'dianiaya'.

Bagaimanapun perhimpunan haram yang berlangsung kelmarin menyajikan pelbagai 'wajah' rakyat Malaysia.

Tetapi lumrah bagi setiap demonstrasi yang disertai oleh pelbagai kaum di negara ini, ia lebih diwarnai oleh wajah-wajah acuan Melayu.

Lebih tepat untuk dikatakan perhimpunan haram bagi mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin disertai oleh majoriti kaum Melayu - lelaki dan wanita.

Seperti yang sudah-sudah, orang Melayu kelihatan begitu teruja menjadi 'barisan hadapan'. Mereka sanggup berpanas dan bermandikan keringat demi menjayakan program yang dianjurkan oleh pihak lain.

Kumpulan yang menyertai demonstrasi haram itu begitu berbangga menjadi 'pejuang rakyat' walaupun apa yang diperjuangkan itu tidak mempunyai asas.

Apa yang kita nampak ketika ini ialah orang Melayu tidak sudah-sudah menjadi pak turut dan diperbodohkan.

Walaupun ia hanya membabitkan segelintir kecil orang Melayu, kesannya dirasai oleh semua. Ibarat seekor kerbau membawa lumpur, semua yang lain turut terkena palitan lumpur itu. Ia insiden memalukan.

Namun perasaan malu atau kesal pastinya tidak bertapak di hati kumpulan berkenaan. Malah mereka megah dengan tindakan yang memudaratkan banyak pihak itu.

Sekali lagi, kaum Melayu menjadi bahan bicara. Entah bagaimana percaturan yang dibuat, masih ramai yang turun menyertai perhimpunan haram tersebut.

Hari Sabtu yang sepatutnya diisi dengan program bersama keluarga dipersia-siakan begitu sahaja.

Lebih malang, tindakan kumpulan yang keluar ke jalanan itu telah menjejaskan kehidupan pihak lain. Kita boleh membayangkan kekesalan dan rasa sakit hati orang awam yang terjejas akibat onar perhimpunan haram tersebut.

Begitu ramai yang terkandas di jalan raya. Ramai juga yang terpaksa membatalkan rancangan untuk membeli-belah hanya disebabkan kerenah penyokong anti-ISA itu.

Jalan Tunku Abdul Rahman yang biasanya meriah pada setiap Sabtu bertukar menjadi kecoh. Rakyat yang mahu berbelanja awal untuk pakaian raya keluarga terpaksa membatalkan hasrat tersebut.

Malah paling menyedihkan, para peniaga di kawasan itu berputih mata kerana premis terpaksa ditutup.

Persoalannya adakah perkara itu mendapat perhatian penganjur perhimpunan. Jawapannya tentu: Tidak!

Penganjur pastinya dari awal-awal lagi sudah menghitung dan mengetahui kesan buruk daripada demonstrasi tersebut. Ia bukan tidak pernah berlaku.

Setiap kali ada perhimpunan haram, kesan buruk yang sama pasti muncul.

Apa yang berlaku kelmarin adalah ulangan yang sama kepada apa yang pernah berlaku sebelum ini. Yang pasti, mereka tidak pernah mempedulikan masalah orang lain.

Ungkapan paling tepat untuk menggambarkan golongan itu ialah mereka tidak pernah berpuas hati.

Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan pasti buruk pada pandangan mereka. Tiada apa yang dibuat oleh kerajaan menyenangkan hati. Seolah-olah kerajaan tidak pernah berjasa walaupun sekelumit.

Kutukan terhadap kerajaan sentiasa mewarnai agenda pembangkang. Ia boleh dilihat dengan jelas pada setiap ceramah, dalam akhbar-akhbar suara rasmi mereka malah di laman web serta blog propembangkang.

Itulah mentaliti yang cuba dipersembahkan kepada rakyat. Namun walaupun ada yang terpengaruh, kita percaya pasti lebih ramai yang menentang agenda buruk pembangkang tersebut.

Rakyat yang terjejas akibat tunjuk perasaan semalam pastinya sedar siapa sebenarnya pembangkang. Mereka tidak pernah puas.

Motif sebenar demonstrasi

Oleh : ZULKIFLEE BAKAR

KELMARIN, sekali lagi warga Lembah Klang harus melalui keperitan. Ramai di kalangan mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, para peniaga terpaksa menutup perniagaan dan aktiviti riadah di hujung minggu terjejas.

Segalanya hanya kerana kejahilan sekelompok manusia yang tetap mahu turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi kononnya bagi menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kita tidak peduli siapapun mereka sama ada mereka ini ahli politik, aktivis atau ahli mana-mana parti. Tetapi apa yang pasti, perbuatan mereka turun ke jalanan adalah perbuatan tidak bertamadun dan tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat negara ini.

Kelompok yang berbuat demikian sengaja ingin mencabar kewibawaan pihak berkuasa yang sudah berminggu-minggu memberikan amaran supaya jangan berdemonstrasi.

Bagaimanapun, puak yang jumud ini, tidak mempedulikan amaran itu. Mereka tidak kisah keperitan yang akan ditanggung oleh warga kota dan sudah pasti mereka juga tidak menghiraukan kesan perbuatan mereka.

Biarpun mereka mendakwa pejuang demokrasi dan hak asasi manusia tetapi mereka sendiri yang menjadi pencabul hak-hak itu, apabila menyusahkan orang lain dengan berdemonstrasi. Tetapi mereka tidak pedulikan itu semua, mereka ingin mencari keuntungan politik dengan mencetuskan isu yang mereka sendiri tahu ia sedang dikaji oleh kerajaan.

Adalah jelas biarpun kerajaan sudah memberi jaminan bahawa akta itu akan dipinda mengikut kesesuaian semasa tetapi puak itu berdegil.

Mereka tetap ingin berkonfrantasi kerana itulah perangai mereka sejak 1998. Malah kelompok ini semakin "naik tocang" apabila keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu banyak menyebelahi pembangkang.

Melalui keputusan berkenaan mereka merasakan boleh melakukan apa sahaja termasuklah terpekik terlolong di jalanan untuk membuat tuntutan. Sesuatu yang malang bagi negara, jika terpaksa berdepan dengan kerenah kelompok manusia seumpama ini.

Mereka bukannya tidak ada saluran, malah mereka ada suara yang kuat di Parlimen dan mempunyai sokongan yang bertambah di peringkat negeri. Tetapi mereka tidak mahu menggunakan saluran itu.

Bagi mereka, tidak seronok kalau bercakap atau berdebat secara sopan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Mereka lebih suka bersikap biadap di jalanan dengan berdemonstrasi dan kemudiannya bertempur dengan pihak polis.

Persoalannya, apakah demonstrasi memansuhkan ISA ini benar-benar tulen untuk akta itu atau ia sengaja dilakukan bagi memburukkan imej negara yang kini dikatakan semakin baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebenarnya, parti pembangkang kini berada dalam keadaan "cacing kepanasan". Pelbagai dasar dan langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan mula mendapat respons yang baik daripada rakyat.

Kita percaya, sebenarnya bukan memansuhkan ISA yang mahu diperjuangkan. Ia bukan isu baru malah sudah diperkatakan sejak sekian lama tetapi pembangkang sengaja memanaskan kembali dengan matlamat melalui tindakan tegas pihak polis, imej kerajaan akan tergugat.

Mereka berharap apabila demonstrasi disuraikan dengan tembakan gas pemedih mata, kejadian itu akan dirakam oleh wartawanwartawan asing dan disiarkan seluruh dunia.

Ini akan membolehkan matlamat mereka memburukkan imej negara tercapai. Itulah sebenarnya niat mereka.

Kalau mereka tidak berniat demikian sudah pasti mereka akan menangguhkan demonstrasi itu dan menanti sahaja apa pindaan yang hendak dilakukan.

Selain itu, jika mereka ikhlas ingin membuat desakan secara aman sudah pasti perhimpunan berkenaan diadakan di kawasan tertutup seperti di stadium-stadium di negeri yang dikuasai oleh pembangkang. Sebelum ini mereka sudah berbuat demikian dengan menganjurkan pelbagai perhimpunan.

Semuanya berjalan dengan lancar dan teratur, malah mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa.

Tetapi kali ini, mereka tidak mahu berbuat demikian, matlamat mereka ialah turun ke jalan raya bagi melakukan huru-hara. Kalau di stadium sudah pasti suasana aman, ini akan menggagalkan matlamat utama mereka hendak memburukkan imej kerajaan.

Kalaulah mereka berhujah bahawa ia sudah dirancang setahun yang lalu, kita juga berhak bertanya apakah dalam tempoh berkenaan kerajaan tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk mendengar keluhan pelbagai pihak mengenai akta itu?

Bagaimana dengan pembebasan tahanan ISA yang dilakukan oleh Najib sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri? Begitu juga janji beliau untuk mengkaji semula ISA? Tidakkah semua itu berlaku dalam tempoh setahun selepas demonstrasi ini dirancangkan?

Oleh itu tidak perlulah pembangkang mengamalkan sikap lidah bercabang atau melaksanakan misi "matlamat menghalalkan cara". Kalau benar mereka ingin memperjuangkan demokrasi maka buktikan semangat itu melalui tindakan yang demokratik.

Jangan menyusahkan orang lain kerana kita percaya berjuta lagi rakyat Malaysia termasuk di kalangan penyokong pembangkang sendiri yang tidak menyetujui apa yang mereka lakukan kelmarin.

Mereka boleh mendakwa perhimpunan itu berjaya atau apa sahaja tetapi dalam masa yang sama mereka juga harus menerima hakikat bahawa mereka adalah perosak keamanan dan ketenteraman awam. Malang sekali, ramai anak muda turut terikut-ikut. Mungkin mereka tidak tahu pun apa itu ISA tetapi akibat dipengaruhi sentimen politik membabi buta, maka mereka turut sama berdemonstrasi.

Apa yang lebih malang majoriti yang berbuat demikian adalah orang Melayu. Kasihan kepada kelompok orang Melayu seumpama ini yang terus bersedia menjadi alat politik kepada pemimpin-pemimpin parti tertentu.

Seperti mana apa yang berlaku di Perak tidak lama dahulu, demonstrasi kali ini juga menyaksikan sekali lagi kejahilan penyokong Pas dan PKR.

Biarpun demonstrasi itu anjuran pakatan pembangkang, tetapi kita tidak lihat pun penyokong DAP turun 'bertempur' dengan pihak polis. Kesudahannya, sekali lagi orang Melayu dalam pembangkang dilihat hanya menjadi alat, akibat kebodohan sendiri.

Namun kita tidak perlu bersimpati dengan puak yang turun berdemonstrasi dan menjadi mangsa tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis. Mereka yang cari penyakit. Itulah balasannya apabila amaran secara lembut tidak dipedulikan dan gagal berfikir dengan waras kewajaran untuk berbuat demikian.

Mereka bernasib baik kerana polis Malaysia hanya menggunakan gas pemedih mata. Kalau di negara lain percayalah, akan ada 'peluru' lain yang akan digunakan bagi mengajar manusia-manusia degil tersebut.

Sunday, August 2, 2009

Menang jika strategi betul

Oleh Zin Mahmud

PERMATANG PASIR adalah kawasan pilihan raya kecil ketujuh bagi tahun ini. Sekali imbas sukar bagi Barisan Nasional (BN) untuk menang dalam pilihan raya kecil ini. Ini kerana ia adalah kawasan yang dimenangi Pas sejak lama dahulu, jauh lebih lama sebelum tsunami politik.

Bagaimanapun, kemungkinan Barisan Nasional mampu menang, tidak pula mustahil. Tetapi apa yang perlu dipertimbangkan bukan soal sama ada Pas atau Barisan Nasional yang menang. Apa yang penting bagi para pengundi untuk mempertimbangkan ialah soal kepentingan rakyat dan negara.

Sebagai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tentunya pertimbangan terhadap Permatang Pasir adalah bersifat kepentingan rakyat berhubung dengan penduduk di kawasan itu dengan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang diketuai oleh DAP.

Maknanya dalam pilihan raya kecil, perkiraan pengundi dalam mendapatkan ahli DUN bukanlah untuk pembentukan kerajaan negeri. Kedudukan kerajaan negeri pakatan pembangkang sudah mantap. Perkara itu tidak menjadi soal. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimanakah penduduk di situ boleh mendapat perkhidmatan terbaik daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, jika dilihat sejarah kawasan di situ, penduduknya bukan mengambil kira siapakah kerajaan negeri untuk mereka sokong. Mereka mengundi menyokong Pas kerana membantah Barisan Nasional sejak dari dahulu lagi. Dalam hal ini perlu diingat juga, Pulau Pinang, walaupun dipimpin oleh Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, ia diketuai oleh MCA dan kemudiannya Gerakan. Maknanya siapa yang ditentang oleh pengundi Permatang Pasir bukannya UMNO di peringkat negeri. Walaupun sememangnya lawan calon Pas di situ pastinya datang dari UMNO.

Bila dilihat keadaan begini, ingin juga diketahui apakah pandangan pengundi Permatang Pasir terhadap sebuah kerajaan negeri pimpinan DAP. Kalau selama ini, mereka menentang kepimpinan MCA dan Gerakan, maka wajarkah mereka menyokong DAP?

Sememangnya semasa pilihan raya umum tahun 2008 dahulu, mereka tidaklah dapat mengagak bahawa yang akan menang untuk memerintah ialah DAP. Ini kerana semasa itu, sentimennya adalah menentang Barisan Nasional, kalau di peringkat negeri bermakna diketuai Gerakan. Maka atas sumbangan pengundi Permatang Pasir, barisan pakatan pembangkang menang semasa tsunami politik itu. Tetapi perlu diingat bahawa ketika itu, pakatan Pas dan DAP secara rasmi belum ada, yang ada ialah apa yang disebut sebagai Barisan Alternatif iaitu gabungan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sementara PKR pula ada pakatan dengan DAP.

Maka tidak menghairankan ialah apabila kerajaan negeri ditubuhkan, ia merupakan pakatan antara DAP dan PKR, sementara Pas berada di luar menyokong mereka.

Sememangnya kemudian diisytiharkan apa yang disebut sebagai Pakatan Rakyat dengan menggabungkan DAP, PKR dan Pas tetapi kedudukan pembahagian kuasa tidak berubah. Pas hanya pemain kecil di Pulau Pinang walaupun aktivis mereka bukan saja ramai tetapi cergas dan berpengalaman.

Sementara penduduk Permatang Pasir yang menjadi pengundi juga bukannya statik. Generasi baru menggantikan yang lama. Kalau generasi lama kuat memberi sokongan kepada Pas di situ, perkara yang sama mungkin tidak berlaku kepada generasi kemudian. Antara mereka ada yang menyertai PKR. Tetapi tidak kurang pula yang walaupun tidak menyertai UMNO tetapi membuat pertimbangan dalam bentuk yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan bangsa dan agama.

Maka di sinilah sebenarnya tersimpan peluang UMNO dan Barisan Nasional untuk menang. Sememangnya menambah satu lagi kerusi untuk Barisan Nasional dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri.

Tetapi apa yang penting di sini ialah tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu dan sekali gus kepada negara. Oleh kerana pilihan raya kecil ini tidak mengubah kedudukan kerajaan negeri, maka ia menjadi peluang bagi para pengundi untuk memberi amaran kepada pakatan pembangkang, terutamanya DAP di samping memberi galakan kepada Barisan Nasional khususnya UMNO untuk segera melakukan transformasi dalaman parti.

Sejak tsunami politik tahun lalu, rakyat negara ini sudah melihat masalah-masalah yang dihadapi oleh pakatan pembangkang serta perkara-perkara yang tidak menyenangkan bagi orang Melayu. Bukanlah bermakna pertimbangan harus dibuat terhadap orang Melayu saja. Semua rakyat negara ini adalah setaraf dan kepentingan masing-masing perlu diberikan perhatian. Cumanya jika kepentingan Melayu terpinggir, maka kedudukan negara ini terjejas. Di sini bukanlah bermakna kepentingan Cina dan India tidak diambil kira. Tetapi realitinya orang Melayu adalah majoriti dan rasa tidak puas hati mereka akan mendatangkan kesan berbahaya.

Dalam pakatan pembangkang juga telah dilihat bagaimana hubungan antara DAP, PKR dan Pas tidaklah begitu selesa. Hinggakan Pas mula menampilkan niat untuk berbincang dengan UMNO mengenai isu-isu Melayu.

Perkara ini pula berlaku dalam konteks di mana DAP, MCA dan Gerakan mempunyai satu suara dalam mempertahankan kepentingan melayu. Mengapa pula tidak UMNO, Pas dan PKR Melayu?

UMNO pun sedang melakukan proses pemulihan walaupun belum sempurna. Tetapi di sini peranan pengundi Permatang Pasir untuk mengingatkan pakatan pembangkang bahawa mereka tidak cukup memberi layanan terhadap kepentingan orang Melayu. Sementara untuk UMNO, pengundi Permatang Pasir mampu memberi isyarat supaya mereka terus memperbaiki diri untuk kepentingan bangsa, agama dan negara. Isyarat ini boleh diberikan melalui undi kepada Barisan Nasional.

Kalah jika ahli UMNO tak ikhlas

Oleh Zulkiflee Bakar

APABILA berita Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang Pasir, Mohd. Hamdan Abdul Rahman daripada Pas meninggal dunia, apa yang terlintas di fikiran majoriti mereka dalam dunia politik ialah pilihan raya kecil.

Malah sama ada hendak diakui atau tidak, perkataan 'kalah' terus terpacul secara spontan apabila memperkatakan peluang Barisan Nasional (BN).

Mungkin perkataan itu tidak disenangi oleh BN tetapi inilah hakikat yang seharusnya menjadi cabaran kepada parti tersebut untuk membuktikan kemampuannya. Kegagalan di beberapa pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini telah memungkinkan tahap keyakinan orang ramai terhadap keupayaan BN semakin rendah.

Enam pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini melibatkan dua kerusi Parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri. Kerusi Parlimen tersebut ialah Kuala Terengganu dan Bukit Gantang, di kedua-dua pertarungan itu, BN tewas. Bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, ia melibatkan kawasan Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Batang Air. Dalam persaingan ini, BN tidak bertanding di Penanti, menang di Batang Air tetapi tewas di Manek Urai dan Bukit Selambau.

Oleh itu daripada keseluruhan rekod enam pilihan raya kecil tersebut, BN hanya menang sekali sahaja, empat lagi tewas dan satu 'berkecuali'. Persoalannya mampukah kali ini BN merampas kerusi berkenaan atau sekurang-kurangnya berusaha mengurangkan majoriti Pas seperti mana mereka lakukan dalam Pilihan raya Kecil Manek Urai sebelum ini?

Di pilihan raya kecil itu, BN dikatakan mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya mengurangkan majoriti Pas daripada 1,352 undi pada tahun 2008 kepada 65 undi sahaja. Walaupun undi majoriti Pas itu dilihat merosot teruk namun faktanya BN tetap kalah.

Justeru, di Permatang Pasir mungkin sudah ada hasrat untuk jentera BN turun ke sana dengan matlamat bagi mengurangkan majoriti, kalaulah itulah misinya adalah lebih baik BN tidak perlu bertanding. Apabila bertanding dalam pilihan raya mana-mana juga parti harus meletakkan sasaran untuk menang bukan sekadar mengurangkan majoriti.

Hasrat seumpama ini hanya dilahirkan oleh pembangkang suatu masa dahulu. Ketika itu bagi pembangkang kalau mereka berjaya mengurangkan majoriti BN, bagi mereka ia sudah satu kemenangan.

Oleh itu, BN tidak boleh meniru perangai lama pembangkang, biarpun Permatang Pasir adalah kubu kuat Pas tetapi BN perlu turun untuk menang. Mereka tidak harus meletakkan sasaran mengurangkan majoriti sahaja kerana ia tidak membawa apa-apa makna kepada senario politik Pulau Pinang.

Apa yang perlu diingat, Permatang Pasir adalah satu-satunya kerusi yang dimiliki oleh Pas di negeri tersebut, jika BN berjaya, ia bermakna Pas tidak mempunyai suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen dari Pulau Pinang.

Tetapi dalam masa yang sama, faktor ini juga boleh memberikan undi simpati kepada Pas kerana penyokong-penyokong parti tersebut dan sesetengah pengundi pasti tidak mahu Pas hanya menjadi pemerhati sahaja dalam perjalanan politik Pulau Pinang.

Bagi berhadapan dengan situasi pemberian undi simpati kepada Pas, maka BN perlu mempunyai strategi terutamanya dari segi penerangan, kenapa perlu BN bertapak di Permatang Pasir. Sama ada hendak diakui atau tidak, berikutan kedudukan kerusi itu yang berada dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, selain pengaruh Pas yang masih menebal di Permatang Pasir, parti itu juga akan mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah nasib BN akan lebih malang lagi jika ada di kalangan pengundi-pengundi UMNO akan bersimpati kepada Pas atau 'masih setia' dengan Anwar biarpun mereka memakai 'baju' UMNO.

UMNO tidak harus lupa apa yang berlaku ketika Pilihan raya Kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lalu, apabila ada laporan yang mengatakan terdapat sebilangan ahli UMNO mengundi pembangkang. Senario ini tidak mustahil akan berulang lagi dan jika itu berlaku sudah pasti, awal-awal lagi BN sudah menempah kekalahan, cuma menanti berapa majoritinya sahaja.

Satu lagi faktor yang boleh menyumbang kepada kekalahan BN di Permatang Pasir ialah perebutan untuk menjadi calon. Keghairahan seumpama ini kalau masih lagi berterusan dalam pilihan raya kecil ini, percayalah BN akan kalah sebelum bertanding. Perbalahan atau perpecahan tidak harus dibiarkan berlaku, sebaliknya semua pemimpin UMNO di bahagian Permatang Pauh perlu bersatu hati dan akur dengan siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan.

Belajarlah untuk bertindak ikhlas dalam politik, kalau mengaku di hadapan pucuk pemimpin untuk akur maka peganglah kepada janji itu. Janganlah bermain silap mata di belakang kerana kesudahannya yang akan menerima akibat ialah UMNO dan BN.

Hakikatnya, misi UMNO di Permatang Pasir adalah getir. Peluang untuk menang buat masa ini boleh dianggap tipis. Oleh itu BN perlu mengatur strategi dengan sebaik-baiknya. Janganlah lagi turun ke sana dengan membawa slogan-slogan atau menaburkan janji untuk melaksanakan projek itu dan ini.

BN sebelum ini mengaku kekalahan di Manek Urai kerana lambat bergerak, jadi Permatang Pasir akan menjadi medan memperbaiki kesilapan berkenaan.

Permatang Pasir hanyalah satu pilihan raya kecil bagi memenuhi satu kerusi yang kosong, tidak lebih daripada itu. BN perlu berusaha meraih sokongan daripada pengundi berdasarkan kepada keikhlasan mereka untuk kembali menyokong parti itu.

Tumpuan utama BN ialah pengundi atas pagar di samping menyakinkan pengundi-pengundi UMNO supaya janganlah mengkhianati parti sendiri.

Kemuncak pertelagahan agama

Oleh Hafizahril Hamid

MASALAH berlarutan antara penduduk beragama Islam dan Kristian sering sahaja menghantui Nigeria yang turut dikenali sebagai antara negara pesat membangun di Afrika. Sememangnya masalah yang timbul ini bukan satu perkara baru dan ia telah berlanjutan semenjak sekian lama antara dua kelompok yang mahukan pemerintahan dan undang-undang Islam ditegakkan dan kelompok yang menentang perkara ini.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk seramai 180 juta pastinya masalah ini jika tidak dikawal mampu memberi kesan yang mampu menumbangkan negara tersebut ke kancah paling buruk dalam sejarah.

Semenjak dari penyatuan Nigeria sebagai negara di bawah naungan British pada 1914, ia telah berpecah kepada dua bahagian iaitu yang menerima pendidikan Inggeris dan mereka yang mahu meneruskan pendidikan Islam.

Sebaik mendapat kemerdekaan pada 1 Oktober 1960, bibit perpecahan antara agama ini telah semakin memuncak yang akhirnya membawa kepada pemerintahan tentera pada 1966.

Pertelagahan antara agama ini yang mana penduduk Islam menguasai bahagian utara dan penduduk Kristian di bahagian selatan sememangnya dilihat oleh masyarakat antarabangsa umpama bom jangka yang mampu meletup pada bila-bila masa.

Secara umumnya negara yang mempunyai lebih dari 200 etnik ini mampu hidup aman damai bersama walaupun mereka pernah terlibat dalam perang saudara sebanyak dua kali iaitu pada 1967 dan 1970.

Namun bibit-bibit pertembungan antara agama ini tidak pernah malap dan senantiasa menjadi punca kenapa keamanan tidak mampu di gapai sehingga sekarang.

Pelaksanaan

Semenjak dari pelaksanaan undang-undang Syariah di 12 dari 36 negeri pada tahun 2000 kemelut ini dilihat semakin buruk. Malah pertempuran demi pertempuran sering sahaja berlaku sejak dari itu berikutan dakwaan pihak minoriti Kristian bahawa mereka sering dianiaya dan dianaktirikan. Bagaimanapun menurut penduduk tempatan yang beragama Islam dakwaan tersebut kebanyakannya adalah palsu dan isu ini digunakan untuk mengapi-apikan hubungan antara dua kelompok penduduk yang berlainan agama.

Terbaru pertempuran membabitkan dua pihak ini kembali meletus pada Ahad lepas dan masih berlarutan sehingga kini. Pertempuran antara kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Taliban Nigeria dengan tentera kerajaan ini dilaporkan telah mengakibatkan lebih 300 orang terbunuh sehingga kini. Tentera kerajaan juga diarahkan untuk menjejaki saki-baki anggota kumpulan ini bagi mengelakkan peristiwa ini berpanjangan.

Pertempuran ini tercetus apabila polis melancarkan serangan balas ke atas anggota kumpulan ini yang cuba menyerang sebuah balai polis dan kemudian merebak ke negeri-negeri berdekatan.

Kejadian ini dilaporkan bermula di kawasan utara bandar Bauci sebelum merebak ke tiga lagi kawasan yang dikuasai penduduk Islam keesokan harinya. Menurut polis, kesemua kawasan terbabit dilaporkan terkawal setelah pihak berkuasa memperhebatkan usaha mencari mereka yang terlibat.

Bunyi tembakan dilaporkan kedengaran sehingga lewat malam di bandar Maiduguri yang menjadi pangkalan Taliban Nigeria itu, selepas Presiden Umaru Yar’Adua mengeluarkan arahan supaya tentera melancarkan operasi habis-habisan untuk menghancurkan kumpulan tersebut.

Tentera membedil kediaman ketua kumpulan Boko Haram yang menolak pelaksanaan pendidikan Barat, Mohammed Yusuf dan sebuah masjid yang menjadi tempat ramai pengikutnya berkumpul. Bagaimanapun nasib Yusuf masih belum diketahui sehingga kini.

Maiduri, ibu kota negeri Borno, dilaporkan menjadi medan kekacauan paling teruk di utara Nigeria sejak pertempuran mula meletus di negeri Bauchi pada Ahad lalu.

Menurut seorang penduduk, Abdul Mimini Hassan, askar kini dipercayai menghampiri saki-baki anggota Taliban Nigeria namun pada masa yang sama timbul dakwaan pasukan keselamatan membunuh sewenang-wenangnya anggota militan yang ditawan.

Pihak berkuasa berkata, 55 orang terbunuh di Bauchi dan Yobe, namun kebanyakan kematian berlaku di Maiduguri di mana sekurang-kurangnya 206 orang terkorban.

Kumpulan Boko Haram yang turut digelar Taliban Nigeria menggesa agar pelaksanaan undang-undang Syariah dikuatkuasakan di seluruh negara. Kumpulan ini turut mengancam serangan yang lebih dahsyat akan menyusul terhadap anggota keselamatan jika permintaan mereka ini tidak dipenuhi.

“Demokrasi dan sistem pendidikan sekarang perlu diubah jika tidak serangan sebegini akan berterusan untuk tempoh yang panjang.

Berkuasa

“Pihak kami tidak bermusuh dengan penduduk awam, tetapi hanya terhadap pihak berkuasa,” kata Yusuf dalam satu wawancara yang dikeluarkan dalam akhbar tempatan, Daily Trust.

Berikutan dari kejadian ini pihak berkuasa telah mengisytiharkan perintah darurat di negeri Bauchi, Yobe dan Borno antara 12 dari 36 negeri yang telah melaksanakan undang-undang Syariah di Nigeria sejak tahun 2000.

Menurut Ketua Polis Nigeria, Ogbonna Onovo kumpulan Taliban Nigeria ini didakwa telah membakar ibu pejabat polis, sebuah pejabat kastam dan gereja

“Kumpulan ini bertindak seperti kumpulan Taliban yang sangat berpengaruh di Afghanistan dan kini mereka bertindak menyerang pihak berkuasa,” kata Onovo.

Kumpulan Taliban Nigeria ini telah ditubuhkan pada 2004 di kampung Kanamma di wilayah Yobe. Mereka memulakan serangan di sekitar wilayah berkenaan dengan menyerang pusat kawalan polis dan membunuh anggota keselamatan. Kebanyakan ahlinya dikatakan terdiri dari para pelajar universiti yang gagal meneruskan pengajian mereka.

Sesungguhnya peristiwa sebegini sekali lagi menunjukkan kepada dunia seolah-olah agama Islam menghalalkan kegiatan keganasan yang mana kebanyakannya membabitkan kematian penduduk awam.

Ada pihak yang mendakwa peristiwa ini didalangi oleh pihak-pihak yang mahukan kedudukan dan nama baik Islam tercemar di kalangan masyarakat antarabangsa memandangkan kestabilan politik dan sosial di Nigeria adalah terlalu longgar dan tidak stabil.

Sejak kembali mengamalkan demokrasi pada 1999 setelah 33 tahun (1966-1999) hidup di bawah pemerintahan tentera, Nigeria telah berhadapan dengan ketidakstabilan politik akibat dari permusuhan antara agama.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan minyak permusuhan sebegini telah banyak membantutkan usaha-usaha pembangunan walaupun negara itu dikatakan antara negara yang yang paling pesat membangun di dunia dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 8.3 peratus pada tahun ini.

Namun semua kemakmuran ini pastinya tidak dapat dikongsi secara sama rata jika peristiwa hitam ini terus berlaku. Adalah pelik hanya kerana undang-undang syariah dilaksanakan, Nigeria digambarkan seperti melayan penduduk minoriti Kristian mereka dengan kejam.

Memang benar segelintir mereka terlibat dalam kegiatan ini namun media antarabangsa melaporkan seolah-olah pihak ini sebagai terlalu kejam dan tidak berhati perut. Yang nyata Islam sekali lagi dilabel sebagai agama yang jumud dan ganas bagi memenuhi berita mengikut telunjuk dan selera Barat.