Tuesday, August 4, 2009

Permatang Pasir 'paling panas' selepas Permatang Pauh

SEINGAT Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, 59, belum pernah berlaku enam pilihan raya kecil dalam tempoh setahun. Juga, belum pernah ada seorang pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalas tanggungjawab menguruskan enam pilihan raya kecil dalam tempoh itu.

''Dan buat diri saya, ikut purata sekali dalam sebulan pasti akan ada satu pilihan raya kecil yang saya kendalikan termasuk yang bakal menyusul kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

''Memang tidak disangka, kita jangkakan ada orang yang sedang uzur akan menghadap panggilan-Nya. Tapi inilah takdir-Nya dan kita (SPR) seperti biasa menjalankan tugas untuk memilih pengganti kekosongannya," ujar pengerusi SPR itu kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagi Abdul Aziz, beliau masih berpegang kepada prinsip dan pendiriannya pada hari pertama mengetuai SPR pada 31 Disember tahun lalu iaitu untuk 'membuka telinga seluas-luasnya' mendengar apa sahaja perkara dan masalah yang dibangkitkan - baik daripada parti pembangkang, atau parti kerajaan - untuk diperbaiki dan diselesaikan.

Mengakui setiap pilihan raya kecil ada bezanya daripada segi pengalaman, beliau yang ditanya pengajaran berguna yang dipelajarinya daripada Bukit Selambau, Bukit Gantang, Batang Ai, Penanti dan Manek Urai, terdiam seketika - mengingati sesuatu.

''Saya fikir Manek Urailah apabila kita terlalu beri muka kepada benda merayu-meraih ini sedangkan dulu mereka (pihak terbabit) sudah berjanji.

''Meskipun sudah diharamkan barong (pondok panas) ini dan seketika kemudian disediakan pula meja menyemak (saluran mengundi), itulah yang terjadi (kekecohan yang dicetuskan kumpulan tertentu)," ujar Abdul Aziz merujuk suasana hingar-bingar yang berlaku semasa pilihan raya kecil 14 Julai lepas.

Tegas Abdul Aziz, Manek Urai akan dijadikan contoh bahawa ketegasan adalah satu-satunya perkara yang akan diutamakan SPR dalam mengendalikan pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti.

''Apa yang akan kita lihat pada hari pengundian di Permatang Pasir nanti ialah tidak akan ada lagi kempen meraih undi dan pondok panas. Dari pukul 12 tengah malam hingga pengumuman keputusan akan dicap sebagai hari bertenang," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Permatang Pasir akan menjadi pilihan raya kecil paling panas jika diambil kira kedudukannya dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

''Cuma, sama ada kemungkinan pilihan raya kecil ini diadakan sebelum bulan puasa atau semasa puasa, kita semua parti-parti politik diharap mengambil iktibar dan keberkatan bulan tersebut," katanya.

Sekadar renungan, pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu disifatkan yang paling ganas dalam sejarah dengan mencatatkan banyak insiden tidak diingini dari hari penamaan calon hingga pengundian ditutup.

Sebanyak 71 laporan diterima membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kekerasan, mengancam keselamatan, menghalang kempen, menjatuhkan poster pihak lawan dan menggunakan bahasa kesat. Sebahagian besar laporan dibuat terhadap pihak penyokong pembangkang.

Walaupun 6,000 anggota polis dikerahkan dianggap banyak, kakitangan dan pegawai SPR masih terpaksa bekerja keras bagi mengawal keadaan berikutan kebanjiran kira-kira 40,000 orang luar di Permatang Pauh.

No comments: