Thursday, January 1, 2009

Israel ketagih darah Palestin

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI

APAKAH sebenarnya yang dicari oleh Israel? Apakah yang diinginkan oleh rejim zionis Israel? Apakah rejim Zionis itu benar-benar mahu berdamai atau apakah negara Yahudi itu sebenarnya hanya dahagakan darah penduduk Palestin?

Pemimpin rejim zionis berasa seronok sekiranya mereka dapat melihat jasad kanak-kanak Palestin, wanita, orang tua dan mereka yang tidak berdaya terkujur akibat peluru dan senjata canggih mereka.

Serangan terbaru tentera rejim zionis itu ke atas Semenanjung Gaza pada Sabtu lalu membuktikan bahawa Israel sebenarnya tidak berminat untuk berdamai dengan rakyat Palestin, tetapi ketagihkan darah mereka.

Itu sebabnya Israel tidak pernah mengendahkan bantahan dan rayuan masyarakat antarabangsa supaya menghentikan tindakan keganasan terhadap penduduk Palestin.

Pelbagai alasan diberikan oleh pemimpin rejim Israel itu untuk menyokong tindakannya melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Kali ini, Israel memberi alasan tindakannya menyerang Genting Gaza ialah bagi membalas serangan roket-roket yang dilancarkan oleh pejuang Hamas ke wilayahnya.

Berdasarkan rekod daripada pihak tentera Israel sendiri, serangan-serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang Hamas itu sejak 19 Disember lalu, selepas tamatnya gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang dimeterai enam bulan lepas hanyalah lima korban di pihak Israel.

Malahan Amerika Syarikat (AS), sekutu kuat Israel turut menyalahkan Hamas melakukan provokasi dengan melancarkan roket-roket ke wilayah Israel sehingga mendorong Israel melancarkan serangan di Genting Gaza.

Tindakan Hamas melancarkan roket-roket ke arah wilayah Israel adalah berikutan tekanan dan sekatan berterusan yang dikenakan oleh Israel terhadap rakyat Palestin sehingga menjejaskan ekonomi penduduk Palestin di Genting Gaza.

Penduduk Palestin dihalang menerima bantuan ubat-ubatan dan bantuan makanan dari luar. Selain itu, Israel mengenakan sekatan ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza untuk bergerak bebas, apabila rejim zionis itu menutup sempadan Gaza.

Penduduk Palestin terus ditindas dengan Israel menempatkan bala tenteranya, termasuk kereta perisai di sempadan Gaza bagi meningkatkan tekanan terhadap penduduk Palestin.

Selain itu, penduduk Israel terus bertindak ganas merampas tanah milik rakyat Palestin dan memusnahkan ladang-ladang mereka, menyebabkan rakyat Palestin hidup dalam ketakutan dan tekanan.

Akibatnya, ramai penduduk Palestin yang bangkit melancarkan bantahan dengan membaling batu, tetapi tindakan mereka dibalas dengan tembakan gas dan peluru hidup, menyebabkan ramai penduduk Palestin yang cedera dan terbunuh akibat keganasan tentera Israel.

Oleh kerana itu, Hamas bertindak menamatkan gencatan senjata dengan Israel yang dimeterai enam bulan lalu dan melancarkan roket-roket ke arah wilayah Israel sebagai membalas provokasi Israel.

Israel tidak akan berasa aman, sehinggalah seluruh rakyat Palestin terbunuh.

Dunia perlu membuka mata, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu melakukan sesuatu, bukan sekadar mengeluarkan kenyataan!

Serangan berdarah terbesar satu dekad

Jumlah korban penduduk Palestin dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel yang masuk hari keempat sehingga Selasa lepas, menyebabkan seramai 374 orang terkorban dan 1,690 lagi cedera.

Dalam serangan hari keempat itu, 10 lagi penduduk Palestin menjadi korban keganasan rejim zionis apabila jet-jet pejuang Israel meneruskan serangan di Genting Gaza dengan menjadikan Kompleks Kerajaan Hamas sebagai sasaran.

Dalam serangan pada awal hari itu, Israel menggugurkan 16 bom di sekitar Genting Gaza. Pada hari pertama Israel melancarkan serangan udara pada hari Sabtu (27 Disember), seramai 195 penduduk Palestin terbunuh manakala 650 yang lain cedera, kebanyakan mereka adalah anggota keselamatan Hamas.

Jet-jet pejuang Israel melancarkan lebih 30 peluru berpandu ke kawasan perkarangan ibu pejabat keselamatan Hamas di Genting Gaza.

Jumlah korban yang begitu ramai dalam serangan itu berikutan tindakan Israel melancarkan serangan ketika satu upacara tamat latihan pegawai-pegawai keselamatan sedang diadakan di perkarangan ibu pejabat keselamatan Hamas, yang turut memusnahkan bangunan itu, balai polis, bangunan penjara dan juga ibu pejabat perisikan Hamas.

Dalam serangan pada hari pertama rejim zionis Israel bukan sahaja menggunakan jet-jet pejuang, tetapi juga helikopter penggempur dengan menjadikan dua kawasan penting sebagai sasaran - satu ke atas ibu pejabat keselamatan Hamas dan satu lagi ke atas khemah pelarian Khan Youni.

Pada hari kedua serangan, enam lagi penduduk Palestin terbunuh dan turut memusnahkan bangunan lima tingkat bahagian wanita sebuah universiti Islam dan sebuah rumah berdekatan kediaman Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh.

Dalam serangan pada hari Ahad itu, jet-jet pejuang Israel turut menyerang sebuah bangunan di khemah pelarian Jebaliya berdekatan Bandar Gaza menyebabkan lima kanak-kanak dari satu keluarga terkorban dan sebuah kem latihan Hamas musnah.

Sementara itu, di selatan Bandar Rafah, seorang kanak-kanak dan dua abangnya terbunuh apabila rumah mereka musnah dibedil jet pejuang Israel yang disasarkan untuk membunuh seorang Komander Kanan sayap bersenjata Hamas, Briged Izz el-Deen al-Qassam, Maher Zaqout. Bagaimanapun, Maher terselamat kerana tidak berada di rumah ketika itu.

Serangan Israel di Genting Gaza kali ini, merupakan serangan berdarah terbesar pernah dilancarkan oleh Israel terhadap penduduk Palestin dalam tempoh satu dekad.

Pada hari Ahad, Hamas bertindak balas dengan melancarkan roket-roket yang disasarkan ke bandar Ashdod, kira-kira 40 kilometer dari Tel Aviv.

Pemimpin Hamas turut mengancam akan melancarkan serangan berani mati di dalam kawasan Israel.

Roket Hamas kembali membedil bandar Ashdod dari Gaza pada hari Isnin menyebabkan dua penduduk Israel cedera.

Hamas turut melancarkan roket-roket jarak sederhana ke arah Bandar Ashkelon di selatan Israel pada hari Isnin, menyebabkan seorang lelaki Arab warga Israel terkorban, korban kedua di pihak Israel sejak Hamas melancarkan roket-roket ke arah wilayah Israel selepas tamat gencatan senjata selama enam bulan antara Israel-Hamas pada 19 Disember lalu.

Hamas enggan menyambung gencatan senjata itu setelah menuduh Israel mencabul syarat-syarat gencatan senjata.

Pakar ketenteraan Israel berkata, Hamas telah melancarkan lebih 300 roket ke arah wilayah Israel sejak seminggu lalu bagi mengenakan tekanan ke atas Israel supaya membuka sempadan di Gaza dan menarik balik sekatan.

Israel pula telah melancarkan sebanyak 300 peluru berpandu ke atas Genting Gaza dalam tempoh tiga hari serangan, termasuk melancarkan peluru berpandu dari kapal tentera laut dari arah laut. Selain jumlah korban yang besar, berpuluh-puluh bangunan di Genting Gaza ranap.

Seorang pemimpin kanan Hamas di Damsyik, Khaled Meshaal memberi amaran Hamas tidak akan menandatangani gencatan senjata dengan Israel selagi Israel tidak menghentikan serangan dan membuka semula sempadan di Gaza.

Sembilan buah hospital di Genting Gaza penuh sesak dengan penduduk Palestin yang cedera. Mereka terpaksa dihantar ke klinik-klinik swasta dan malahan rumah-rumah kediaman digunakan untuk memberi rawatan kepada penduduk Palestin yang cedera.

Pegawai keselamatan Israel memberi amaran bandar Beersheba, sebuah bandar utama terletak kira-kira 50 kilometer dari Gaza turut menjadi sasaran serangan Israel.

Pada hari ketiga serangan, tujuh lagi penduduk Palestin terbunuh termasuk enam kanak-kanak selepas Israel menyerang sebuah masjid di pekan Jabaliya, utara Gaza dan juga serangan ke atas bandar Rafah di selatan wilayah ini.

Serangan Israel itu telah mencetuskan bantahan di seluruh dunia dengan penduduk Arab dan Islam mengadakan demonstrasi mengutuk kekejaman Israel.

Israel mendakwa serangan di Genting Gaza bertujuan melumpuhkan pergerakan Hamas dengan menjadikan kawasan strategik Hamas sebagai sasaran.

Jet-jet pejuang Israel turut menyasarkan serangan ke arah terowong-terowong rahsia yang dibina oleh penduduk Palestin dekat sempadan Gaza-Mesir yang didakwa oleh Isarel digunakan bagi menyeludup senjata masuk ke Gaza.

Israel mendakwa berjaya memusnahkan 40 terowong rahsia dalam serangan pada hari Ahad.

Sementara itu, Hamas mendakwa terowong itu digunakan untuk membawa masuk makanan dan ubat-ubatan setelah Israel mengenakan sekatan bantuan dan menutup sempadan di Gaza.

Pakar ketenteraan Israel meramalkan Israel memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 tentera untuk melancarkan serangan besar-besaran di Gaza. – Agensi

Langkah mengharamkan perang perlu dilaksanakan

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

TAHUN Masehi 2009 dan tahun Hijrah 1430 di sempadan Palestin dan Israel bukan disambut dengan letusan dan kemeriahan mercun dan bunga api tetapi serangan bom dan roket yang mengorbankan mangsa di pihak Palestin hampir lebih 300 orang.

Sengketa antara kedua-dua pihak bukan sehari dua. Ia sudah masuk ulang tahun ke-62 sejak kali pertama rejim zionis menceroboh salah satu tanah suci umat Islam iaitu Baitulmaqdis pada tahun 1947. Sokongan dari Uncle Sam dan kekuatan ketenteraan menyebabkan rejim zionis tersebut sanggup berbuat sesuka hati.

Peperangan yang dilancarkan atas nama menuntut hak mengikut sejarah asal Bani Israel cuma menjustifikasi sebuah tindakan yang di luar batas kemanusiaan yang sepatutnya tidak wajar wujud lagi di era globalisasi.

Saranan supaya perang diharamkan perlu digerakkan segera agar dunia tidak mencambahkan benih-benih dendam di sanubari waris-waris mangsa yang kehilangan nyawa akibat peluru dan roket tidak berakal dipergunakan menurut nafsu amarah tanpa memikirkan akibat jangka panjang.

Alternatif kepada peperangan perlu ada kerana menjadikan perang sebagai langkah untuk menyelesaikan masalah sebenarnya adalah jalan untuk menambahkan masalah. Jika peperangan dapat menyelesaikan segala sengketa mengapa rakyat yang menjadi mangsa dan bukan pihak tentera itu sendiri.

Dikorbankan

Nyawa tidak berdosa yang dikorbankan bukan melibatkan orang dewasa sahaja malahan kanak-kanak dan wanita. Bangunan pejabat dan kediaman dibom sesuka hati untuk melumpuhkan prasarana Hamas mungkin menyelesaikan masalah sehari dua.

Tetapi, realiti pahitnya sejarah kekejaman rejim akan meninggalkan waris yang menyimpan dendam dan menunggu sahaja masa membalas dendam kesumat. Dan sengketa yang tidak diselesaikan di meja rundingan akan meninggalkan kesan domino sebegini.

Peperangan wajib diharamkan daripada tamadun manusia. Manusia sepatutnya menghormati hak manusia lain, justeru langkah militari atau peperangan patut menjadi langkah terakhir jika proses rundingan dan timbang tara gagal dilakukan.

Mengungkit sejarah yang melibatkan revolusi dan evolusi seakan-akan menghina fakta bahawa kehidupan perlu statik dan jumud. Nasib dunia hari ini seolah-olah terletak kepada individu seperti Ehud Barak dan Barack Obama atau Osama Ben Laden untuk menentukan hala tujunya sedangkan kita sebagai manusia majoriti inginkan kehidupan yang bebas daripada masalah ekonomi, sosio-politik mahupun peperangan.

Peperangan hanya mendatangkan kesedihan dan kemunduran. Lihat sahaja di Rwanda dan Palestin, peperangan di wilayah tersebut umpama barah yang membunuh jiwa keamanan dunia sedikit demi sedikit.

Ada rakyat kita memberi pendapat supaya kita memboikot barangan dari Israel. Soalnya apakah produk dari Israel. Sejauh mana usaha boikot kita akan berjaya.

Apa yang pasti, perang itu sendiri mesti diharamkan daripada tamadun manusia dan jika mana-mana negara hendak berperang perlu mendapat kebenaran semua negara kuasa veto. Kita lihat siapa yang akan memberi kebenaran. Selepas itu baru kita putuskan barang negara mana perlu diboikot?

Mesej serangan Israel kepada Obama

Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

JIKA anda memerhatikan keganasan Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza dan mencari punca kepada tindakan Israel sekarang dengan terus menuding jari kepada Hamas, maka jawapannya lupakan saja.

Laporan media Barat sentiasa mendorong pemikiran kita kepada faktor Hamas sebagai punca keganasan sekarang atau menimbul persoalan, dapatkah Hamas menentang Israel atau dapatkah Israel menumpaskan Hamas?

Ini kerana punca sebenar kepada segala keganasan yang berlaku ialah politik di Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Tindakan sekarang ada kaitannya dengan pilihan raya di entiti regim haram tersebut. Serangan ke atas Gaza dilakukan bagi membantu Parti Kadima dan Buruh yang berhadapan dengan cabaran daripada Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu.

Kedua-dua pemimpin Kadima dan Buruh, Tzipi Livni dan Ehud Barak ingin menunjukkan kepada pengundi Israel bahawa mereka juga bertindak keras dan ganas ke atas penduduk Palestin terutamanya di Gaza.

Sama ada keganasan ini dapat membantu Livni mengalah Netanyahu atau membantu Barak mendapat undi terbanyak dalam pilihan raya Februari depan masih sukar untuk dinyatakan tetapi strategi bertindak ganas dengan membunuh penduduk Palestin di Gaza adalah agenda utama ketiga-tiga pemimpin untuk berkuasa di Israel.

Kebangkitan parti haluan kanan di Israel telah menimbulkan kebimbangan kepada pucuk kepimpinan. Dengan dibantu oleh pergerakan peneroka dan pengaruh Parti Likud membuatkan usaha ke arah keamanan akan dibuang ke tepi bahkan agak sukar bagi presiden AS yang akan dilantik Barack Obama untuk merintis jalan perdamaian.

Bayangkanlah nyawa penduduk Palestin yang tidak berdosa menjadi taruhan politik kepada kempen pilihan raya rejim tidak berperi kemanusiaan Israel itu.

Malah lebih mendalam lagi sasaran utama serangan ialah bukannya Gaza atau Hamas tetapi Washington D.C. Isu serangan di Gaza dan menjatuhkan Hamas tidak akan menampakkan sebarang makna pada waktu sekarang tetapi yang ingin ditonjolkan ialah bagaimana Israel akan berurusan dengan Obama dan beliau perlu akur dengan politik Israel.

Sebelum Obama mengorak langkah membentuk pasukannya bagi berurusan dengan masalah Asia Barat dengan melantik penasihat dan wakil khasnya, pihak Israel telah awal-awal lagi bermain politik dengan menghancur dan mensabotajkan usaha damai ini.

Damai

Israel dapat merasakan prospek damai yang akan diusahakan Obama itu tidak akan menguntungkan mereka.

Rejim haram ini cuba mengingatkan AS bahawa sebarang perubahan besar dalam dasar terhadap usaha damai ini akan membawa padah jika tidak mengutamakan Israel.

Pendek kata pembunuhan penduduk Palestin di Gaza adalah serangan awal terhadap sebarang prospek damai dan campur tangan AS di pihak Palestin.

Ini kerana ketepatan waktu serangan itu menunjukkan amaran Israel kepada Washington yang bakal menerima presiden baru nanti. Ia seolah-olah cuba mengingatkan Obama, siapakah kuasa di belakang tabir dan siapakah pembiaya dana kempen pilihan raya yang membawa beliau ke tampuk pemerintahan sekarang.

Seperti semua presiden AS sejak era bapa kepada presiden sekarang, George H. Bush, komitmen mereka kepada dasar Asia Barat yang mengutamakan Israel (Israel centric) harus terus dikekalkan.

Keadaan yang sama juga berlaku ke atas Perang Iraq yang mengutamakan keselamatan Israel daripada ancaman dan serangan Saddam Hussein. Obama mungkin menentang serangan tersebut tetapi beliau tidak akan melakukan apa-apa bagi menukar dasarnya kerana bahananya ialah serangan Israel yang akan mengucar-kacirkan keadaan yang rapuh di rantau Asia Barat itu.

Kita lihat sahaja apa yang dilakukan Israel ke atas Lebanon. Pencerobohannya ke ruang udara Syria dan pengeboman ke atas kemudahan nuklear di Lebanon yang akhirnya didapati hanyalah sebuah tempat pembuangan senjata rosak, maka serangan ke atas Gaza dicetuskan semula.

Apa yang berlaku ke atas Gaza sekarang merupakan serangan yang berterusan dalam usaha mereka menguasai Palestin. Israel bebas melakukannya pada bila-bila perlu jika dirasakan kepentingannya terjejas.

Israel yang tidak berhati perut itu tidak akan mempedulikan kematian dan kecederaan penduduk Palestin. Mereka hanyalah manusia yang bukan insan lagi.

Ia adalah serangan yang dibiayai oleh wang cukai penduduk AS dan menggunakan senjata buatan AS dan sokongan aktif kerajaan mereka juga.

Baiki kelemahan sebelum sesi persekolahan bermula

SESI persekolahan 2009 akan bermula tidak berapa hari lagi. Beberapa buah negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan sesi persekolahan mereka Ahad nanti manakala selebihnya bermula hari Isnin 5 Januari.

Jika kita tinjau permulaan sesi persekolahan sebelum ini, timbul pelbagai perkara yang dianggap sebagai satu kelemahan dan kesan daripada kelemahan tersebut terpaksa ditanggung oleh ibu bapa mahupun pelajar.

Tahun 2006 kita menyaksikan isu beg berat yang ditimbulkan oleh ibu bapa dan juga penjaga kerana ada antara anak-anak mereka yang memasuki tahun 1 terpaksa menggalas beg yang sangat berat.

Tahun 2007 dan 2008, antara isu yang mendapat perhatian ialah berkenaan yuran yang dikatakan sangat tinggi dikenakan ke atas pelajar.

Ketika itu, menurut seorang penjaga, belanja anak masuk ke sekolah rendah kebangsaan dan sekolah agama melebihi RM200 seorang. Pada tahun 2008, ibu bapa masih keliru dengan kadar yuran yang tinggi kerana kebanyakan sekolah masih mengenakan yuran sampingan seperti yuran PIBG, derma pusat sumber, buku peraturan sekolah, buku laporan ADAB, buku laporan pertengahan tahun, buku NILAM dan keceriaan sekolah yang diwajibkan ke atas pelajar.

Sementara itu, sebuah sekolah di Permas Jaya Johor mengenakan yuran tandas sehingga menimbulkan tanda tanya dan menjadi satu kelucuan pula. Di samping itu, 'paksaan' membeli buku kerja oleh sesetengah sekolah tetapi buku kerja itu tidak digunakan seratus peratus dan yuran komputer yang dianggap tidak sepadan dengan penggunaannya oleh pelajar menjadi satu isu yang sebenarnya mesti ditangani supaya tidak timbul lagi masalah yang sama pada sesi persekolahan akan datang.

Walaupun bermula tahun lepas pelajar-pelajar diberi buku teks percuma, tetapi rungutan masih kedengaran di mana-mana dan mungkin tahun ini akan timbul lagi masalah yang sama kerana tekanan ekonomi.

Di samping itu, antara masalah yang perlu diberi perhatian ialah berkaitan keselesaan tempat belajar dan memastikan jumlah kelas di setiap sekolah dapat menampung pertambahan pelajar yang semakin meningkat.

Apa yang dibimbangkan ialah ada antara murid yang terpaksa belajar di kantin, di perpustakaan dan sebagainya kerana tidak cukup kelas. Kepadatan pelajar di sesetengah sekolah terutamanya di kawasan bandar sesungguhnya tidak dapat dielakkan kerana ia berkait rapat dengan faktor penghijrahan dan sebagainya.

Tidak dinafikan sebelum ini berlaku masalah kekurangan kerusi meja malah kelas untuk murid-murid belajar. Laporan dalam Utusan Malaysia 30 Disember lepas sudah menunjukkan bahawa sudah terdapat masalah kekurangan kelas kerana sebuah sekolah di Rawang telah menyediakan sebuah kabin khas untuk menampung jumlah pelajar yang meningkat di sekolah itu memandangkan bangunan barunya belum siap.

Oleh hal demikian, sebagai persediaan sebelum sesi persekolahan bermula tidak berapa hari lagi, pihak sekolah dan juga Jabatan Pelajaran setiap negeri perlu memperlengkap segala jenis prasarana untuk memastikan keselesaan pelajar di setiap sekolah.

Di samping itu, kesedaran tentang kemelut ekonomi yang melanda negara mesti diambil kira untuk memastikan tidak wujud bebanan kewangan ibu bapa atau penjaga.

Walaupun ada yang mengatakan bahawa kita tidak perlu berkira sangat soal kewangan dalam pendidikan anak-anak, tetapi kita mesti menyedari hakikat bahawa tidak semua berkemampuan atau bernasib baik.

Ada antara ibu bapa yang terpaksa menanggung persekolahan anak-anak mereka melebihi tiga orang dan tentulah mereka ini akan terasa bebanannya jika kebetulan mereka berada dalam golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Malah kita juga perlu menginsafi bahawa dalam suasana ekonomi sekarang, ada antara ibu bapa yang bakal diberhentikan kerja, diberi cuti panjang dan sebagainya. Oleh itu, kerjasama dan keprihatinan pihak sekolah dalam sesetengah hal terutamanya dalam memberi kelonggaran sesetengah yuran amat diperlukan.

- M. JASNI MAJED

Bukit Kapar, Selangor

'Biar Palestin mati'

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

"HANYA orang mati yang selamat di bumi Gaza." Sebaris ayat yang saya baca di sebuah blog amat meruntun jiwa lantas melarik air mata yang sememangnya tidak mampu dibendung melihat penderitaan saudara seagama nun jauh di bumi Palestin.

Bait-bait ayat yang tertera di blog itu adalah luahan penduduk di Semenanjung Gaza yang bukan sahaja menyaksikan bumi mereka hancur malah merelakan anak, isteri, suami, ibu, ayah dan sanak saudara menjadi mangsa kedajalan rejim Zionis.

Hakikatnya, air mata saya yang terlerai itu hanyalah sebesar zarah jika dibandingkan dengan kesengsaraan rakyat Palestin yang nyawa mereka kini umpama sampah di jalanan. Jika pun sampah masih ada harganya tetapi tidak bagi nyawa rakyat Palestin.

Nyawa penduduk Gaza dilambung umpama bola dan diperjudikan sejak Sabtu lalu tanpa sedikit pun ada belas ihsan, jauh sekali menggunakan kewajaran otak untuk sekurang-kurangnya berperikemanusiaan.

Sebab itu luahan penduduk Gaza kini tidak lagi merayu-rayu dunia supaya berasa kasihan kepada nasib mereka. Mereka tahu dunia tidak boleh berbuat apa-apa selain berhimpun di jalanan mengutuk serangan seumpama itu.

Penduduk Gaza amat daif dan dinafikan kemudahan elektrik serta bekalan air. Mereka yang bergantung kepada bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk terus menghirup udara yang tercemar amat berserah dan pasrah, tidak mustahil mati kini menjadi cita-cita utama mereka.

Penduduk di situ tahu dan amat arif bahawa nyawa mereka akan berpisah daripada badan pada bila-bila masa. Tiada ruang di Gaza yang terlepas daripada menjadi 'tapak penggambaran' kekejaman Israel lantas jika ada di kalangan penduduk di situ terbunuh, mereka bukan lagi 'hero' dalam drama tanpa episod.

Mereka adalah paparan kesengsaraan yang tiada siapa pun sudi peduli jauh sekali menjadikan episod luka itu sebagai teladan hidup. Mereka adalah lantunan sebenar kekejaman dunia yang tergamak mengizinkan dajal meratah sebuah kehidupan yang tidak sepatutnya berlangsung dalam keadaan sesedih itu.

Mengapa dunia mesti berpura-pura menunjukkan keprihatinan? Mengapa kuasa besar bersuara untuk membuka ruang kepada perdamaian sedangkan merekalah yang bertanggungjawab mencetuskan api sehingga tidak boleh dipadamkan sampai bila-bila?

Di mana OIC, di mana umat Islam dan negara Islam yang kaya dengan hasil minyak? Adakah umat Islam sebegitu lemah sehingga membiarkan nyawa saudara kita di Gaza melayang-layang di ruang udara? Adakah kita semakin menjadi 'barua' kuasa besar dan secara tidak sedar membantu melenyapkan umat Palestin dari muka bumi ini.

Hakikatnya, kelemahan umat Islam dan negara Islam semakin terserlah. Seharusnya kematian penduduk Gaza diiringi dengan senyuman bukan lagi tangisan lantaran hanya orang mati sahaja yang selamat di bumi itu dan kita adalah di antara penyumbang kepada kematian itu.

Pilih penguat kuasa SPRM berintegriti

Oleh AZIANA MD. ARIPIN

SEPANJANG tahun 2008 negara kita mengalami pelbagai peristiwa yang berwarna-warni. Daripada kisah Pilihan Raya Umum ke-12 hingga kisah tanah runtuh yang melanda Bukit Antarabangsa. Peristiwa yang panas di media akhirnya beransur sejuk disiram masa.

Namun sesuatu yang masih berbara dan semakin panas ialah azam Perdana Menteri untuk memerangi rasuah secara lebih efektif dan penuh komitmen yang jitu melalui penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Jawatan kosong bagi anggota yang akan menguatkuasakan pelaksanaan suruhanjaya ini sudah diumumkan.

Soalnya siapa dan apakah kelayakan sesuai untuk penguat kuasa SPRM. Soal pelantikan anggota SPRM dan penguat kuasa wajar juga dibuat secara telus atau penuh integriti kerana itu dasar yang sewajarnya sebagai badan yang ditubuhkan untuk memastikan segala prosedur jabatan kerajaan dan swasta dibuat tanpa ada unsur rasuah dan balasan.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sejak memegang tampuk pemerintahan negara telah memperkasakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan menubuhkan suruhanjaya untuk membaik pulih imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesan daripada itu tokoh-tokoh usahawan, pegawai polis dan ahli politik telah dihadapkan ke mahkamah atas kes rasuah semasa mereka aktif dalam bidang masing-masing. Malahan kes yang bermula empat hingga lima tahun lepas masih ada yang belum selesai hingga saat ini.

Komitmen Perdana Menteri dalam hal ini tidak perlu diragui lagi. Rasuah wajar diberi perhatian yang terperinci kerana ia bukan sahaja akan menghancurkan kerajaan malahan generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan negara. Jika pokok ditanam dibajai dengan racun dan bukan baja tanaman bagaimana ia akan tumbuh mengeluarkan buah yang elok.

Kita tidak mahu generasi akan datang bangun dengan menjunjung nilai-nilai rasuah. Kita boleh saja berbangga menghimpun harta daripada hasil rasuah dan sering mendabik dada kerana fakta tersebut.

Adakah kita sedar setelah kita meninggal nanti harta-harta daripada hasil rasuah akan menghancurkan anak-anak dan cucu kita kerana keberkatan hasil usaha yang tidak diredai agama dan undang-undang negara. Maka langkah memperkasakan SPRM adalah langkah kanan ke arah membendung hasil rasuah meracuni diri anak-anak perasuah.

Langkah mengambil tindakan terhadap sama ada isteri, mertua mahupun yang ada hubungan saudara dengan perasuah jika mereka terlibat secara langsung dengan perasuah amat dialu-alukan.

Kita sedar dalam zaman serba canggih ini BPR menghadapi seribu satu kekangan untuk menyiasat kes rasuah kerana pengamal tumbuk rusuk ini bijak memanipulasi proses perundangan dan perbankan untuk menyembunyikan harta yang berkoyan-koyan.

Perasuah yang bijak ini akan menamakan harta yang diraih hasil rasuah dengan menamakan ia kepada nama orang lain dan sudah semestinya nama orang yang mereka percayai seperti isteri dan anak-anak.

SPRM sesungguhnya membuat pengamal rasuah tegar akan tidak lena tidur walaupun tilamnya daripada duit berjuta-juta. Bagi pihak yang memberi rasuah pupuk diri dengan nilai agama yang syumul. Tidak perlu berbangga dengan kereta mahal berjenama luar negara kerana saat ajal menjelma, kita semua akan dipandu beramai-ramai menerima untung nasib di alam barzakh.

Kesedaran

Andainya SPRM dikuatkuasakan dalam waktu terdekat sesiapa yang disabitkan kesalahan wajar menjalani hukuman separuh khidmat komuniti separuh hukuman penjara. Khidmat komuniti mampu memberi kesedaran kepada mereka bahawa mereka perlu berkhidmat dengan ikhlas kepada pihak yang telah mereka jadikan mangsa pilih kasih suatu waktu dahulu.

Memberi hukuman penjara sudah terlalu nampak mudah sedangkan jenayah rasuah bukan sahaja menghancurkan hidup satu keluarga atau seseorang tetapi menjahanamkan negara dan pewaris-pewaris kepimpinan negara.

Lebih menyedihkan dalam kita memperjuangkan rasuah ada kelompok yang kononnya ingin membasmi rasuah yang berlagak seperti ayam jantan berkokok berderai-derai tetapi ekornya dipenuhi najis. Rasuah perlu dibanteras dari dalam diri kita sendiri bukan menuding jari kepada orang lain.

Ibarat negara ini sebuah komputer yang telah terkena berpuluh-puluh virus, jika undang-undang sedia ada adalah anti-virus yang tidak cukup berkuasa maka setiap program yang akan dijalankan dalam komputer jadi perlahan. Jika ia sebuah negara, bagaimana pentadbiran dapat berkesan jika rasuah telah membaja poket.

Perlu diingat selain rasuah salah laku pegawai kerajaan juga boleh mengundang ketidakberkesanan dalam pentadbiran kerajaan dan ia sendiri akan memberi impak buruk kepada kerajaan sedia ada dan sama buruk dengan gejala rasuah.

Justeru bagi menjayakan misi dan visi SPRM memerangi rasuah hingga ke akar umbi penguat kuasa dan ahlinya perlu dipilih secara telus dan penuh integriti supaya keupayaan suruhanjaya ini tidak dicurigai oleh mana-mana pihak yang sering mencari ruang untuk mencelah dengan memberi komen-komen oportunis yang menjengkelkan.

SPRM boleh saja dianggap sebagai jerat yang baru dipasang bagi bakal-bakal perasuah namun tidak salah rasanya ia bertindak sebagai pukat tunda pula. Terpulang kepada SPRM

Perpaduan agenda 2009

Oleh SIVAMURUGAN PANDIAN

KITA melangkah ke tahun 2009 dengan dipenuhi keyakinan dalam keadaan tidak menentu selepas menyaksikan satu tahun yang penuh dengan kejutan, sandiwara, ramalan, drama, krisis dan tidak kurang keadaan di luar kawalan dan jangkaan.

Krisis ekonomi global pula diramal akan menjadi lebih buruk dan tempiasnya sudah pun dirasai di negara ini. Ada juga yang membuat spekulasi bahawa tahun 2009 bakal diwarnai dengan konflik antara negara-bangsa dan ketegangan hubungan antara kaum dalam sesebuah negara akibat desakan dalaman dan luaran.

Jika tahun 2008 menyaksikan kesungguhan golongan tertentu untuk berubah; kini ia menimbulkan dilema. Adakah perubahan yang mahu dibawa menjanjikan keamanan dan keharmonian?

Sejauh mana perkembangan semasa mempengaruhi keadaan setempat sehingga masyarakat dapat hidup selesa menerusi perubahan yang tidak menjanjikan kestabilan dalam waktu kita berhadapan dengan keadaan duniawi yang tidak menentu.

Adakah masyarakat sudah matang dalam memikirkan perubahan untuk bersepadu, hidup harmoni dan tidak dibelenggu oleh sentimen etnosentrik, prejudis dan stereotaip sesama anggota masyarakat?

Wajarkah menggunakan ruang kebebasan untuk mengkritik agama tanpa menyedari sensitiviti pengikutnya?

Hakikatnya, kelonggaran yang wujud menyebabkan ada segelintir individu yang mengambil kesempatan untuk terus berpolitik dan mempolitikkan apa sahaja isu untuk kepentingan diri dan bukan keseluruhan anggota masyarakat. Ia boleh mempengaruhi dan menjejaskan demografi kependudukan negara ini jika tidak ditangani dengan segera.

Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, siapakah yang bertanggungjawab ke atas soal penghayatan perpaduan dan keharmonian dan apakah pendekatan yang secara rasional boleh diterima pakai membelakangi nilai emosional.

Mengapa sejak kebelakangan ini, ramai mula memberi tumpuan ke atas isu ini walhal Malaysia sering dijadikan sebagai negara contoh oleh dunia global. Apakah darjah toleransi dan penerimaan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik sudah jauh merosot atau ia dianggap sebagai isyarat pemulihan supaya tidak mengganggu perjalanan kehidupan harian kita.

Isyarat ini perlu diambil serius kerana pencapaian negara selama ini bergantung kepada kematangan pemimpin dan rakyat menangani apa sahaja isu di belakang tabir dengan rasional berasaskan kepada pengalaman yang pernah dilalui dan didikan generasi lepas.

Sedar atau tidak, nilai pengorbanan dan kompromi telah mendasari proses kemuafakatan anggota masyarakat negara ini sebagaimana yang telah ditinggalkan oleh para pejuang kemerdekaan yang mahu generasi berikutnya kekal dengan nilai kemasyarakatan yang tinggi disulami dengan unsur toleransi, hormat-menghormati dan saling faham-memahami antara satu sama lain.

Gusar

Ketinggian sifat ini jelas dalam Kontrak Sosial yang membawa kepada kemerdekaan dan jika perlakuan yang wujud dalam kontrak sosial diiktiraf dan dihormati, ahli masyarakat tidak perlu gusar mengenai perpaduan di negara ini.

Ini merupakan nilai yang memerlukan kejujuran dalam kalangan ahli masyarakat dan melalui amalan nilai tersebut, tanah air kita berjaya mengisi kemerdekaan atau kebebasan dengan proses pemodenan, pembangunan dan industrialisasi yang sekali gus membawa manfaat kepada rakyat.

Segalanya berkemungkinan di negara ini kerana warisan kepimpinan mahu memastikan bahawa kesejahteraan rakyat terpelihara dan para pemimpin sedar ia hanya dapat dilakukan dalam persekitaran yang kondusif, bebas daripada konflik dan ancaman terutamanya hubungan antara kaum. Keharmonian, perpaduan dan kesediaan untuk hidup rukun memacu kecemerlangan pencapaian negara selama ini.

Tanggungjawab ke atas perpaduan termeterai dalam Perlembagaan yang memperincikan butiran ketinggian perilaku dan tanggungjawab pemimpin lalu yang wajar dihalusi kerana dokumen ini sebenarnya memberi petunjuk kepada kesemua ahli masyarakat tanpa mengira batasan agama, keturunan, kepercayaan dan gender bagaimana pejuang kemerdekaan sedar polemik yang boleh berlaku dalam jangka panjang di negara ini.

Pemahaman ke atas Perlembagaan boleh membawa keinsafan mengapa kita harus bersama dalam berhadapan dengan krisis lain sebagai warga Malaysia dan bukan bertelagah sesama kita kerana garis ideologi politik.

Perpaduan merupakan tanggungjawab bersama. Rakyat termasuk kesemua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda perlu akur bahawa apa yang mereka nikmati hari ini adalah pengorbanan dan kompromi nenek-moyang mereka.

Nilai budi yang tinggi bermula dari rumah. Ibu bapa mesti menanam sifat nasionalisme dan patriotisme yang tinggi agar kesemua ahli masyarakat boleh berhadapan dengan krisis global bersama.

Polemik politik juga wajar dihentikan sebagaimana yang disarankan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Keharmonian mesti diperkukuhkan. Itu adalah tanggungjawab pemimpin dan parti politik supaya pemimpin tidak disalahkan sebagai punca pertembungan sesama ahli masyarakat. Permusuhan politik boleh menjejaskan nilai ikatan keharmonian masyarakat negara ini.

Pada waktu yang sama, media dan agensi kerajaan juga boleh memainkan peranan mereka agar menjadi penyalur utama kepada proses memartabatkan kedudukan bangsa. Penghayatan ke atas nilai perpaduan dan kewarganegaraan boleh dilakukan bersama kerana itu adalah tanggungjawab kita.

Kerajaan mungkin perlu menubuhkan satu jabatan khas menangani isu sensitif yang bertindak sebagai badan pemantauan, pemulihan dan pengurusan hubungan antara kaum agar isu ini tidak menjadi propaganda politik atau disensasikan sehingga menjejaskan proses pengukuhan hubungan antara kaum di negara ini.

Pejuang kebebasan, kemerdekaan dan barisan kepimpinan awal dari pelbagai lapisan kaum tidak berkorban dan berkompromi untuk kepentingan diri tetapi mereka melakukannya untuk membolehkan kita menikmati kehidupan yang selesa, aman dan sejahtera.

Adalah menjadi tanggungjawab kita membelakangkan perbezaan dan melihat persamaan berpaksikan nilai kemanusiaan kerana sentiasa ada ancaman luaran yang cemburu dengan kejayaan kepimpinan mengurus hubungan antara kaum di negara ini.

Ia akan menjadi lebih buruk jika lahir musuh dalam selimut yang mahu melihat perpaduan di negara ini berkecai. Kekuatan sebenar tanah air ini adalah pada kepelbagaian dan jadikan ia sebagai pedoman 2009 untuk terus hidup rukun, sejahtera dan makmur demi masa depan generasi akan datang.