Thursday, January 1, 2009

Serangan berdarah terbesar satu dekad

Jumlah korban penduduk Palestin dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel yang masuk hari keempat sehingga Selasa lepas, menyebabkan seramai 374 orang terkorban dan 1,690 lagi cedera.

Dalam serangan hari keempat itu, 10 lagi penduduk Palestin menjadi korban keganasan rejim zionis apabila jet-jet pejuang Israel meneruskan serangan di Genting Gaza dengan menjadikan Kompleks Kerajaan Hamas sebagai sasaran.

Dalam serangan pada awal hari itu, Israel menggugurkan 16 bom di sekitar Genting Gaza. Pada hari pertama Israel melancarkan serangan udara pada hari Sabtu (27 Disember), seramai 195 penduduk Palestin terbunuh manakala 650 yang lain cedera, kebanyakan mereka adalah anggota keselamatan Hamas.

Jet-jet pejuang Israel melancarkan lebih 30 peluru berpandu ke kawasan perkarangan ibu pejabat keselamatan Hamas di Genting Gaza.

Jumlah korban yang begitu ramai dalam serangan itu berikutan tindakan Israel melancarkan serangan ketika satu upacara tamat latihan pegawai-pegawai keselamatan sedang diadakan di perkarangan ibu pejabat keselamatan Hamas, yang turut memusnahkan bangunan itu, balai polis, bangunan penjara dan juga ibu pejabat perisikan Hamas.

Dalam serangan pada hari pertama rejim zionis Israel bukan sahaja menggunakan jet-jet pejuang, tetapi juga helikopter penggempur dengan menjadikan dua kawasan penting sebagai sasaran - satu ke atas ibu pejabat keselamatan Hamas dan satu lagi ke atas khemah pelarian Khan Youni.

Pada hari kedua serangan, enam lagi penduduk Palestin terbunuh dan turut memusnahkan bangunan lima tingkat bahagian wanita sebuah universiti Islam dan sebuah rumah berdekatan kediaman Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh.

Dalam serangan pada hari Ahad itu, jet-jet pejuang Israel turut menyerang sebuah bangunan di khemah pelarian Jebaliya berdekatan Bandar Gaza menyebabkan lima kanak-kanak dari satu keluarga terkorban dan sebuah kem latihan Hamas musnah.

Sementara itu, di selatan Bandar Rafah, seorang kanak-kanak dan dua abangnya terbunuh apabila rumah mereka musnah dibedil jet pejuang Israel yang disasarkan untuk membunuh seorang Komander Kanan sayap bersenjata Hamas, Briged Izz el-Deen al-Qassam, Maher Zaqout. Bagaimanapun, Maher terselamat kerana tidak berada di rumah ketika itu.

Serangan Israel di Genting Gaza kali ini, merupakan serangan berdarah terbesar pernah dilancarkan oleh Israel terhadap penduduk Palestin dalam tempoh satu dekad.

Pada hari Ahad, Hamas bertindak balas dengan melancarkan roket-roket yang disasarkan ke bandar Ashdod, kira-kira 40 kilometer dari Tel Aviv.

Pemimpin Hamas turut mengancam akan melancarkan serangan berani mati di dalam kawasan Israel.

Roket Hamas kembali membedil bandar Ashdod dari Gaza pada hari Isnin menyebabkan dua penduduk Israel cedera.

Hamas turut melancarkan roket-roket jarak sederhana ke arah Bandar Ashkelon di selatan Israel pada hari Isnin, menyebabkan seorang lelaki Arab warga Israel terkorban, korban kedua di pihak Israel sejak Hamas melancarkan roket-roket ke arah wilayah Israel selepas tamat gencatan senjata selama enam bulan antara Israel-Hamas pada 19 Disember lalu.

Hamas enggan menyambung gencatan senjata itu setelah menuduh Israel mencabul syarat-syarat gencatan senjata.

Pakar ketenteraan Israel berkata, Hamas telah melancarkan lebih 300 roket ke arah wilayah Israel sejak seminggu lalu bagi mengenakan tekanan ke atas Israel supaya membuka sempadan di Gaza dan menarik balik sekatan.

Israel pula telah melancarkan sebanyak 300 peluru berpandu ke atas Genting Gaza dalam tempoh tiga hari serangan, termasuk melancarkan peluru berpandu dari kapal tentera laut dari arah laut. Selain jumlah korban yang besar, berpuluh-puluh bangunan di Genting Gaza ranap.

Seorang pemimpin kanan Hamas di Damsyik, Khaled Meshaal memberi amaran Hamas tidak akan menandatangani gencatan senjata dengan Israel selagi Israel tidak menghentikan serangan dan membuka semula sempadan di Gaza.

Sembilan buah hospital di Genting Gaza penuh sesak dengan penduduk Palestin yang cedera. Mereka terpaksa dihantar ke klinik-klinik swasta dan malahan rumah-rumah kediaman digunakan untuk memberi rawatan kepada penduduk Palestin yang cedera.

Pegawai keselamatan Israel memberi amaran bandar Beersheba, sebuah bandar utama terletak kira-kira 50 kilometer dari Gaza turut menjadi sasaran serangan Israel.

Pada hari ketiga serangan, tujuh lagi penduduk Palestin terbunuh termasuk enam kanak-kanak selepas Israel menyerang sebuah masjid di pekan Jabaliya, utara Gaza dan juga serangan ke atas bandar Rafah di selatan wilayah ini.

Serangan Israel itu telah mencetuskan bantahan di seluruh dunia dengan penduduk Arab dan Islam mengadakan demonstrasi mengutuk kekejaman Israel.

Israel mendakwa serangan di Genting Gaza bertujuan melumpuhkan pergerakan Hamas dengan menjadikan kawasan strategik Hamas sebagai sasaran.

Jet-jet pejuang Israel turut menyasarkan serangan ke arah terowong-terowong rahsia yang dibina oleh penduduk Palestin dekat sempadan Gaza-Mesir yang didakwa oleh Isarel digunakan bagi menyeludup senjata masuk ke Gaza.

Israel mendakwa berjaya memusnahkan 40 terowong rahsia dalam serangan pada hari Ahad.

Sementara itu, Hamas mendakwa terowong itu digunakan untuk membawa masuk makanan dan ubat-ubatan setelah Israel mengenakan sekatan bantuan dan menutup sempadan di Gaza.

Pakar ketenteraan Israel meramalkan Israel memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 tentera untuk melancarkan serangan besar-besaran di Gaza. – Agensi

No comments: