Tuesday, August 4, 2009

Kepincangan strategi rundingan Washington, Taliban Afghan

Oleh AZMI HASSAN

OPERASI Panther Claw yang diterajui oleh tentera British di wilayah Helmand, Afghanistan bertujuan membuktikan operasi tentera mampu mengekang pejuang Taliban. Ia juga dijadikan titik perubahan terhadap peristiwa pencerobohan Afghanistan lebih lapan tahun lalu.

Memang benar operasi yang bermula pada 19 Jun lalu berjaya menghalau pejuang Taliban dari Helmand tetapi tentera Bristish dan Amerika Syarikat akur ia tidak akan dapat bertahan lama. Perkara yang sama berlaku pada 2006 tetapi pejuang Taliban kembali ke Helmand.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown serta Presiden AS, Barack Obama amat akur tentang keadaan di Afghanistan itu. Taliban begitu sukar ditewaskan kerana sokongan puak berpengaruh terutamanya Pashtun. Kerajaan pimpinan Hamid Karzai pula tidak mampu memberi perlindungan membuatkan rakyat mengharapkan bantuan Taliban.

Apabila Obama membuat kerahan tentera tambahan ke Afghanistan, langkah itu bukan untuk meningkatkan aktiviti operasi tetapi sebagai asas memulakan strategi baru - rundingan dengan Taliban.

Ketika ini, rakyat Britain mula mempersoalkan kehadiran tentera mereka di Afghanistan selepas 10 askar British terkorban dalam operasi Panther Claw.

Dilema Washington dan London ialah bagaimana untuk memulakan rundingan dengan Taliban tanpa memberi persepsi bahawa tentera bersekutu sanggup berunding dengan "pengganas".

Perkara yang sama dihadapi oleh Kabul. Rundingan itu pasti akan melemahkan pengaruh Kabul dan tidak disenangi oleh Karzai yang akan menghadapi Pilihan Raya Presiden pada 20 Ogos ini.

Kesilapan strategi Washington pada 2001 ialah apabila membentuk kerajaan Afghan di bawah Karzai dengan menyisihkan puak Pashtun. Sebenarnya Washington bukannya tidak biasa berurusan dengan Taliban kerana sejak era sebelum 11 September 2001 lagi, AS sering memberi bantuan kepada Taliban sebagai balasan memerangi tentera Soviet.

Strategi rundingan dengan Taliban dan Pashtun nampaknya mempunyai kepincangan kerana tidak merangkumi keseluruhan kedua-dua kumpulan itu. Washington dan London memilih pemimpin tertentu dan menyisihkan mereka yang dianggap sukar untuk dikawal.

London amat yakin dengan strategi pemisahan ini kerana berpendapat ia dapat mempercepatkan proses rundingan dan seterusnya berundur dari Afghanistan. Perlu diberi perhatian, strategi yang sama diamalkan oleh Washington di Iraq dengan mengetepikan puak Sunah.

Agak mengaibkan apabila pengamal strategi pemisahan tersebut mempertahankan konsep itu dengan mengemukakan hujah yang agak janggal. Komander British yang pertama di Helmand, Jeneral Sir David Richards telah memberi contoh kejayaan strategi pemisahan semasa British memerintah Malaya. Agak melucukan kerana Richards cuba membuat persamaan antara puak Pashtun di Afghanistan dan kaum Melayu di Malaya.

Begitu juga London menggunakan contoh kejayaan mereka di Ireland Utara dengan membuka pintu rundingan dengan kumpulan Sinn Fein.

Sekali lagi analogi yang digunakan agak rapuh kerana pintu perbincangan dibuat kerana kejayaan perjuangan bersenjata Sinn Fein yang memaksa London berlembut dengan kumpulan tersebut.

Washington dan London perlu memahami bahawa senario di Afghanistan tidak serupa dengan Ireland dan Malaya.

Apa yang penting adalah masa depan Afghanistan perlu ditentukan oleh rakyat negara tersebut tanpa menyisihkan kumpulan yang tidak disukai oleh sama ada London, Washington atau Kabul.

Jika strategi itu terus diamalkan tanpa mengambil kira pengajaran lepas, maka sudah pasti begitu sukar bagi London dan Washington untuk mengukir strategi keluar dari Afghanistan tanpa dilabel sebagai kumpulan yang telah tewas.

PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

No comments: