Sunday, August 2, 2009

Kalah jika ahli UMNO tak ikhlas

Oleh Zulkiflee Bakar

APABILA berita Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang Pasir, Mohd. Hamdan Abdul Rahman daripada Pas meninggal dunia, apa yang terlintas di fikiran majoriti mereka dalam dunia politik ialah pilihan raya kecil.

Malah sama ada hendak diakui atau tidak, perkataan 'kalah' terus terpacul secara spontan apabila memperkatakan peluang Barisan Nasional (BN).

Mungkin perkataan itu tidak disenangi oleh BN tetapi inilah hakikat yang seharusnya menjadi cabaran kepada parti tersebut untuk membuktikan kemampuannya. Kegagalan di beberapa pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini telah memungkinkan tahap keyakinan orang ramai terhadap keupayaan BN semakin rendah.

Enam pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini melibatkan dua kerusi Parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri. Kerusi Parlimen tersebut ialah Kuala Terengganu dan Bukit Gantang, di kedua-dua pertarungan itu, BN tewas. Bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, ia melibatkan kawasan Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Batang Air. Dalam persaingan ini, BN tidak bertanding di Penanti, menang di Batang Air tetapi tewas di Manek Urai dan Bukit Selambau.

Oleh itu daripada keseluruhan rekod enam pilihan raya kecil tersebut, BN hanya menang sekali sahaja, empat lagi tewas dan satu 'berkecuali'. Persoalannya mampukah kali ini BN merampas kerusi berkenaan atau sekurang-kurangnya berusaha mengurangkan majoriti Pas seperti mana mereka lakukan dalam Pilihan raya Kecil Manek Urai sebelum ini?

Di pilihan raya kecil itu, BN dikatakan mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya mengurangkan majoriti Pas daripada 1,352 undi pada tahun 2008 kepada 65 undi sahaja. Walaupun undi majoriti Pas itu dilihat merosot teruk namun faktanya BN tetap kalah.

Justeru, di Permatang Pasir mungkin sudah ada hasrat untuk jentera BN turun ke sana dengan matlamat bagi mengurangkan majoriti, kalaulah itulah misinya adalah lebih baik BN tidak perlu bertanding. Apabila bertanding dalam pilihan raya mana-mana juga parti harus meletakkan sasaran untuk menang bukan sekadar mengurangkan majoriti.

Hasrat seumpama ini hanya dilahirkan oleh pembangkang suatu masa dahulu. Ketika itu bagi pembangkang kalau mereka berjaya mengurangkan majoriti BN, bagi mereka ia sudah satu kemenangan.

Oleh itu, BN tidak boleh meniru perangai lama pembangkang, biarpun Permatang Pasir adalah kubu kuat Pas tetapi BN perlu turun untuk menang. Mereka tidak harus meletakkan sasaran mengurangkan majoriti sahaja kerana ia tidak membawa apa-apa makna kepada senario politik Pulau Pinang.

Apa yang perlu diingat, Permatang Pasir adalah satu-satunya kerusi yang dimiliki oleh Pas di negeri tersebut, jika BN berjaya, ia bermakna Pas tidak mempunyai suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen dari Pulau Pinang.

Tetapi dalam masa yang sama, faktor ini juga boleh memberikan undi simpati kepada Pas kerana penyokong-penyokong parti tersebut dan sesetengah pengundi pasti tidak mahu Pas hanya menjadi pemerhati sahaja dalam perjalanan politik Pulau Pinang.

Bagi berhadapan dengan situasi pemberian undi simpati kepada Pas, maka BN perlu mempunyai strategi terutamanya dari segi penerangan, kenapa perlu BN bertapak di Permatang Pasir. Sama ada hendak diakui atau tidak, berikutan kedudukan kerusi itu yang berada dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, selain pengaruh Pas yang masih menebal di Permatang Pasir, parti itu juga akan mendapat sokongan daripada penyokong-penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah nasib BN akan lebih malang lagi jika ada di kalangan pengundi-pengundi UMNO akan bersimpati kepada Pas atau 'masih setia' dengan Anwar biarpun mereka memakai 'baju' UMNO.

UMNO tidak harus lupa apa yang berlaku ketika Pilihan raya Kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lalu, apabila ada laporan yang mengatakan terdapat sebilangan ahli UMNO mengundi pembangkang. Senario ini tidak mustahil akan berulang lagi dan jika itu berlaku sudah pasti, awal-awal lagi BN sudah menempah kekalahan, cuma menanti berapa majoritinya sahaja.

Satu lagi faktor yang boleh menyumbang kepada kekalahan BN di Permatang Pasir ialah perebutan untuk menjadi calon. Keghairahan seumpama ini kalau masih lagi berterusan dalam pilihan raya kecil ini, percayalah BN akan kalah sebelum bertanding. Perbalahan atau perpecahan tidak harus dibiarkan berlaku, sebaliknya semua pemimpin UMNO di bahagian Permatang Pauh perlu bersatu hati dan akur dengan siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan.

Belajarlah untuk bertindak ikhlas dalam politik, kalau mengaku di hadapan pucuk pemimpin untuk akur maka peganglah kepada janji itu. Janganlah bermain silap mata di belakang kerana kesudahannya yang akan menerima akibat ialah UMNO dan BN.

Hakikatnya, misi UMNO di Permatang Pasir adalah getir. Peluang untuk menang buat masa ini boleh dianggap tipis. Oleh itu BN perlu mengatur strategi dengan sebaik-baiknya. Janganlah lagi turun ke sana dengan membawa slogan-slogan atau menaburkan janji untuk melaksanakan projek itu dan ini.

BN sebelum ini mengaku kekalahan di Manek Urai kerana lambat bergerak, jadi Permatang Pasir akan menjadi medan memperbaiki kesilapan berkenaan.

Permatang Pasir hanyalah satu pilihan raya kecil bagi memenuhi satu kerusi yang kosong, tidak lebih daripada itu. BN perlu berusaha meraih sokongan daripada pengundi berdasarkan kepada keikhlasan mereka untuk kembali menyokong parti itu.

Tumpuan utama BN ialah pengundi atas pagar di samping menyakinkan pengundi-pengundi UMNO supaya janganlah mengkhianati parti sendiri.

No comments: