Sunday, August 2, 2009

Kemuncak pertelagahan agama

Oleh Hafizahril Hamid

MASALAH berlarutan antara penduduk beragama Islam dan Kristian sering sahaja menghantui Nigeria yang turut dikenali sebagai antara negara pesat membangun di Afrika. Sememangnya masalah yang timbul ini bukan satu perkara baru dan ia telah berlanjutan semenjak sekian lama antara dua kelompok yang mahukan pemerintahan dan undang-undang Islam ditegakkan dan kelompok yang menentang perkara ini.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk seramai 180 juta pastinya masalah ini jika tidak dikawal mampu memberi kesan yang mampu menumbangkan negara tersebut ke kancah paling buruk dalam sejarah.

Semenjak dari penyatuan Nigeria sebagai negara di bawah naungan British pada 1914, ia telah berpecah kepada dua bahagian iaitu yang menerima pendidikan Inggeris dan mereka yang mahu meneruskan pendidikan Islam.

Sebaik mendapat kemerdekaan pada 1 Oktober 1960, bibit perpecahan antara agama ini telah semakin memuncak yang akhirnya membawa kepada pemerintahan tentera pada 1966.

Pertelagahan antara agama ini yang mana penduduk Islam menguasai bahagian utara dan penduduk Kristian di bahagian selatan sememangnya dilihat oleh masyarakat antarabangsa umpama bom jangka yang mampu meletup pada bila-bila masa.

Secara umumnya negara yang mempunyai lebih dari 200 etnik ini mampu hidup aman damai bersama walaupun mereka pernah terlibat dalam perang saudara sebanyak dua kali iaitu pada 1967 dan 1970.

Namun bibit-bibit pertembungan antara agama ini tidak pernah malap dan senantiasa menjadi punca kenapa keamanan tidak mampu di gapai sehingga sekarang.

Pelaksanaan

Semenjak dari pelaksanaan undang-undang Syariah di 12 dari 36 negeri pada tahun 2000 kemelut ini dilihat semakin buruk. Malah pertempuran demi pertempuran sering sahaja berlaku sejak dari itu berikutan dakwaan pihak minoriti Kristian bahawa mereka sering dianiaya dan dianaktirikan. Bagaimanapun menurut penduduk tempatan yang beragama Islam dakwaan tersebut kebanyakannya adalah palsu dan isu ini digunakan untuk mengapi-apikan hubungan antara dua kelompok penduduk yang berlainan agama.

Terbaru pertempuran membabitkan dua pihak ini kembali meletus pada Ahad lepas dan masih berlarutan sehingga kini. Pertempuran antara kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Taliban Nigeria dengan tentera kerajaan ini dilaporkan telah mengakibatkan lebih 300 orang terbunuh sehingga kini. Tentera kerajaan juga diarahkan untuk menjejaki saki-baki anggota kumpulan ini bagi mengelakkan peristiwa ini berpanjangan.

Pertempuran ini tercetus apabila polis melancarkan serangan balas ke atas anggota kumpulan ini yang cuba menyerang sebuah balai polis dan kemudian merebak ke negeri-negeri berdekatan.

Kejadian ini dilaporkan bermula di kawasan utara bandar Bauci sebelum merebak ke tiga lagi kawasan yang dikuasai penduduk Islam keesokan harinya. Menurut polis, kesemua kawasan terbabit dilaporkan terkawal setelah pihak berkuasa memperhebatkan usaha mencari mereka yang terlibat.

Bunyi tembakan dilaporkan kedengaran sehingga lewat malam di bandar Maiduguri yang menjadi pangkalan Taliban Nigeria itu, selepas Presiden Umaru Yar’Adua mengeluarkan arahan supaya tentera melancarkan operasi habis-habisan untuk menghancurkan kumpulan tersebut.

Tentera membedil kediaman ketua kumpulan Boko Haram yang menolak pelaksanaan pendidikan Barat, Mohammed Yusuf dan sebuah masjid yang menjadi tempat ramai pengikutnya berkumpul. Bagaimanapun nasib Yusuf masih belum diketahui sehingga kini.

Maiduri, ibu kota negeri Borno, dilaporkan menjadi medan kekacauan paling teruk di utara Nigeria sejak pertempuran mula meletus di negeri Bauchi pada Ahad lalu.

Menurut seorang penduduk, Abdul Mimini Hassan, askar kini dipercayai menghampiri saki-baki anggota Taliban Nigeria namun pada masa yang sama timbul dakwaan pasukan keselamatan membunuh sewenang-wenangnya anggota militan yang ditawan.

Pihak berkuasa berkata, 55 orang terbunuh di Bauchi dan Yobe, namun kebanyakan kematian berlaku di Maiduguri di mana sekurang-kurangnya 206 orang terkorban.

Kumpulan Boko Haram yang turut digelar Taliban Nigeria menggesa agar pelaksanaan undang-undang Syariah dikuatkuasakan di seluruh negara. Kumpulan ini turut mengancam serangan yang lebih dahsyat akan menyusul terhadap anggota keselamatan jika permintaan mereka ini tidak dipenuhi.

“Demokrasi dan sistem pendidikan sekarang perlu diubah jika tidak serangan sebegini akan berterusan untuk tempoh yang panjang.

Berkuasa

“Pihak kami tidak bermusuh dengan penduduk awam, tetapi hanya terhadap pihak berkuasa,” kata Yusuf dalam satu wawancara yang dikeluarkan dalam akhbar tempatan, Daily Trust.

Berikutan dari kejadian ini pihak berkuasa telah mengisytiharkan perintah darurat di negeri Bauchi, Yobe dan Borno antara 12 dari 36 negeri yang telah melaksanakan undang-undang Syariah di Nigeria sejak tahun 2000.

Menurut Ketua Polis Nigeria, Ogbonna Onovo kumpulan Taliban Nigeria ini didakwa telah membakar ibu pejabat polis, sebuah pejabat kastam dan gereja

“Kumpulan ini bertindak seperti kumpulan Taliban yang sangat berpengaruh di Afghanistan dan kini mereka bertindak menyerang pihak berkuasa,” kata Onovo.

Kumpulan Taliban Nigeria ini telah ditubuhkan pada 2004 di kampung Kanamma di wilayah Yobe. Mereka memulakan serangan di sekitar wilayah berkenaan dengan menyerang pusat kawalan polis dan membunuh anggota keselamatan. Kebanyakan ahlinya dikatakan terdiri dari para pelajar universiti yang gagal meneruskan pengajian mereka.

Sesungguhnya peristiwa sebegini sekali lagi menunjukkan kepada dunia seolah-olah agama Islam menghalalkan kegiatan keganasan yang mana kebanyakannya membabitkan kematian penduduk awam.

Ada pihak yang mendakwa peristiwa ini didalangi oleh pihak-pihak yang mahukan kedudukan dan nama baik Islam tercemar di kalangan masyarakat antarabangsa memandangkan kestabilan politik dan sosial di Nigeria adalah terlalu longgar dan tidak stabil.

Sejak kembali mengamalkan demokrasi pada 1999 setelah 33 tahun (1966-1999) hidup di bawah pemerintahan tentera, Nigeria telah berhadapan dengan ketidakstabilan politik akibat dari permusuhan antara agama.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan minyak permusuhan sebegini telah banyak membantutkan usaha-usaha pembangunan walaupun negara itu dikatakan antara negara yang yang paling pesat membangun di dunia dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 8.3 peratus pada tahun ini.

Namun semua kemakmuran ini pastinya tidak dapat dikongsi secara sama rata jika peristiwa hitam ini terus berlaku. Adalah pelik hanya kerana undang-undang syariah dilaksanakan, Nigeria digambarkan seperti melayan penduduk minoriti Kristian mereka dengan kejam.

Memang benar segelintir mereka terlibat dalam kegiatan ini namun media antarabangsa melaporkan seolah-olah pihak ini sebagai terlalu kejam dan tidak berhati perut. Yang nyata Islam sekali lagi dilabel sebagai agama yang jumud dan ganas bagi memenuhi berita mengikut telunjuk dan selera Barat.

No comments: