Sunday, August 2, 2009

Menang jika strategi betul

Oleh Zin Mahmud

PERMATANG PASIR adalah kawasan pilihan raya kecil ketujuh bagi tahun ini. Sekali imbas sukar bagi Barisan Nasional (BN) untuk menang dalam pilihan raya kecil ini. Ini kerana ia adalah kawasan yang dimenangi Pas sejak lama dahulu, jauh lebih lama sebelum tsunami politik.

Bagaimanapun, kemungkinan Barisan Nasional mampu menang, tidak pula mustahil. Tetapi apa yang perlu dipertimbangkan bukan soal sama ada Pas atau Barisan Nasional yang menang. Apa yang penting bagi para pengundi untuk mempertimbangkan ialah soal kepentingan rakyat dan negara.

Sebagai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tentunya pertimbangan terhadap Permatang Pasir adalah bersifat kepentingan rakyat berhubung dengan penduduk di kawasan itu dengan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang diketuai oleh DAP.

Maknanya dalam pilihan raya kecil, perkiraan pengundi dalam mendapatkan ahli DUN bukanlah untuk pembentukan kerajaan negeri. Kedudukan kerajaan negeri pakatan pembangkang sudah mantap. Perkara itu tidak menjadi soal. Apa yang menjadi persoalan ialah bagaimanakah penduduk di situ boleh mendapat perkhidmatan terbaik daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, jika dilihat sejarah kawasan di situ, penduduknya bukan mengambil kira siapakah kerajaan negeri untuk mereka sokong. Mereka mengundi menyokong Pas kerana membantah Barisan Nasional sejak dari dahulu lagi. Dalam hal ini perlu diingat juga, Pulau Pinang, walaupun dipimpin oleh Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, ia diketuai oleh MCA dan kemudiannya Gerakan. Maknanya siapa yang ditentang oleh pengundi Permatang Pasir bukannya UMNO di peringkat negeri. Walaupun sememangnya lawan calon Pas di situ pastinya datang dari UMNO.

Bila dilihat keadaan begini, ingin juga diketahui apakah pandangan pengundi Permatang Pasir terhadap sebuah kerajaan negeri pimpinan DAP. Kalau selama ini, mereka menentang kepimpinan MCA dan Gerakan, maka wajarkah mereka menyokong DAP?

Sememangnya semasa pilihan raya umum tahun 2008 dahulu, mereka tidaklah dapat mengagak bahawa yang akan menang untuk memerintah ialah DAP. Ini kerana semasa itu, sentimennya adalah menentang Barisan Nasional, kalau di peringkat negeri bermakna diketuai Gerakan. Maka atas sumbangan pengundi Permatang Pasir, barisan pakatan pembangkang menang semasa tsunami politik itu. Tetapi perlu diingat bahawa ketika itu, pakatan Pas dan DAP secara rasmi belum ada, yang ada ialah apa yang disebut sebagai Barisan Alternatif iaitu gabungan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sementara PKR pula ada pakatan dengan DAP.

Maka tidak menghairankan ialah apabila kerajaan negeri ditubuhkan, ia merupakan pakatan antara DAP dan PKR, sementara Pas berada di luar menyokong mereka.

Sememangnya kemudian diisytiharkan apa yang disebut sebagai Pakatan Rakyat dengan menggabungkan DAP, PKR dan Pas tetapi kedudukan pembahagian kuasa tidak berubah. Pas hanya pemain kecil di Pulau Pinang walaupun aktivis mereka bukan saja ramai tetapi cergas dan berpengalaman.

Sementara penduduk Permatang Pasir yang menjadi pengundi juga bukannya statik. Generasi baru menggantikan yang lama. Kalau generasi lama kuat memberi sokongan kepada Pas di situ, perkara yang sama mungkin tidak berlaku kepada generasi kemudian. Antara mereka ada yang menyertai PKR. Tetapi tidak kurang pula yang walaupun tidak menyertai UMNO tetapi membuat pertimbangan dalam bentuk yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan bangsa dan agama.

Maka di sinilah sebenarnya tersimpan peluang UMNO dan Barisan Nasional untuk menang. Sememangnya menambah satu lagi kerusi untuk Barisan Nasional dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri.

Tetapi apa yang penting di sini ialah tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu dan sekali gus kepada negara. Oleh kerana pilihan raya kecil ini tidak mengubah kedudukan kerajaan negeri, maka ia menjadi peluang bagi para pengundi untuk memberi amaran kepada pakatan pembangkang, terutamanya DAP di samping memberi galakan kepada Barisan Nasional khususnya UMNO untuk segera melakukan transformasi dalaman parti.

Sejak tsunami politik tahun lalu, rakyat negara ini sudah melihat masalah-masalah yang dihadapi oleh pakatan pembangkang serta perkara-perkara yang tidak menyenangkan bagi orang Melayu. Bukanlah bermakna pertimbangan harus dibuat terhadap orang Melayu saja. Semua rakyat negara ini adalah setaraf dan kepentingan masing-masing perlu diberikan perhatian. Cumanya jika kepentingan Melayu terpinggir, maka kedudukan negara ini terjejas. Di sini bukanlah bermakna kepentingan Cina dan India tidak diambil kira. Tetapi realitinya orang Melayu adalah majoriti dan rasa tidak puas hati mereka akan mendatangkan kesan berbahaya.

Dalam pakatan pembangkang juga telah dilihat bagaimana hubungan antara DAP, PKR dan Pas tidaklah begitu selesa. Hinggakan Pas mula menampilkan niat untuk berbincang dengan UMNO mengenai isu-isu Melayu.

Perkara ini pula berlaku dalam konteks di mana DAP, MCA dan Gerakan mempunyai satu suara dalam mempertahankan kepentingan melayu. Mengapa pula tidak UMNO, Pas dan PKR Melayu?

UMNO pun sedang melakukan proses pemulihan walaupun belum sempurna. Tetapi di sini peranan pengundi Permatang Pasir untuk mengingatkan pakatan pembangkang bahawa mereka tidak cukup memberi layanan terhadap kepentingan orang Melayu. Sementara untuk UMNO, pengundi Permatang Pasir mampu memberi isyarat supaya mereka terus memperbaiki diri untuk kepentingan bangsa, agama dan negara. Isyarat ini boleh diberikan melalui undi kepada Barisan Nasional.

No comments: