Monday, August 3, 2009

Motif sebenar demonstrasi

Oleh : ZULKIFLEE BAKAR

KELMARIN, sekali lagi warga Lembah Klang harus melalui keperitan. Ramai di kalangan mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, para peniaga terpaksa menutup perniagaan dan aktiviti riadah di hujung minggu terjejas.

Segalanya hanya kerana kejahilan sekelompok manusia yang tetap mahu turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi kononnya bagi menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kita tidak peduli siapapun mereka sama ada mereka ini ahli politik, aktivis atau ahli mana-mana parti. Tetapi apa yang pasti, perbuatan mereka turun ke jalanan adalah perbuatan tidak bertamadun dan tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat negara ini.

Kelompok yang berbuat demikian sengaja ingin mencabar kewibawaan pihak berkuasa yang sudah berminggu-minggu memberikan amaran supaya jangan berdemonstrasi.

Bagaimanapun, puak yang jumud ini, tidak mempedulikan amaran itu. Mereka tidak kisah keperitan yang akan ditanggung oleh warga kota dan sudah pasti mereka juga tidak menghiraukan kesan perbuatan mereka.

Biarpun mereka mendakwa pejuang demokrasi dan hak asasi manusia tetapi mereka sendiri yang menjadi pencabul hak-hak itu, apabila menyusahkan orang lain dengan berdemonstrasi. Tetapi mereka tidak pedulikan itu semua, mereka ingin mencari keuntungan politik dengan mencetuskan isu yang mereka sendiri tahu ia sedang dikaji oleh kerajaan.

Adalah jelas biarpun kerajaan sudah memberi jaminan bahawa akta itu akan dipinda mengikut kesesuaian semasa tetapi puak itu berdegil.

Mereka tetap ingin berkonfrantasi kerana itulah perangai mereka sejak 1998. Malah kelompok ini semakin "naik tocang" apabila keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu banyak menyebelahi pembangkang.

Melalui keputusan berkenaan mereka merasakan boleh melakukan apa sahaja termasuklah terpekik terlolong di jalanan untuk membuat tuntutan. Sesuatu yang malang bagi negara, jika terpaksa berdepan dengan kerenah kelompok manusia seumpama ini.

Mereka bukannya tidak ada saluran, malah mereka ada suara yang kuat di Parlimen dan mempunyai sokongan yang bertambah di peringkat negeri. Tetapi mereka tidak mahu menggunakan saluran itu.

Bagi mereka, tidak seronok kalau bercakap atau berdebat secara sopan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Mereka lebih suka bersikap biadap di jalanan dengan berdemonstrasi dan kemudiannya bertempur dengan pihak polis.

Persoalannya, apakah demonstrasi memansuhkan ISA ini benar-benar tulen untuk akta itu atau ia sengaja dilakukan bagi memburukkan imej negara yang kini dikatakan semakin baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebenarnya, parti pembangkang kini berada dalam keadaan "cacing kepanasan". Pelbagai dasar dan langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan mula mendapat respons yang baik daripada rakyat.

Kita percaya, sebenarnya bukan memansuhkan ISA yang mahu diperjuangkan. Ia bukan isu baru malah sudah diperkatakan sejak sekian lama tetapi pembangkang sengaja memanaskan kembali dengan matlamat melalui tindakan tegas pihak polis, imej kerajaan akan tergugat.

Mereka berharap apabila demonstrasi disuraikan dengan tembakan gas pemedih mata, kejadian itu akan dirakam oleh wartawanwartawan asing dan disiarkan seluruh dunia.

Ini akan membolehkan matlamat mereka memburukkan imej negara tercapai. Itulah sebenarnya niat mereka.

Kalau mereka tidak berniat demikian sudah pasti mereka akan menangguhkan demonstrasi itu dan menanti sahaja apa pindaan yang hendak dilakukan.

Selain itu, jika mereka ikhlas ingin membuat desakan secara aman sudah pasti perhimpunan berkenaan diadakan di kawasan tertutup seperti di stadium-stadium di negeri yang dikuasai oleh pembangkang. Sebelum ini mereka sudah berbuat demikian dengan menganjurkan pelbagai perhimpunan.

Semuanya berjalan dengan lancar dan teratur, malah mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa.

Tetapi kali ini, mereka tidak mahu berbuat demikian, matlamat mereka ialah turun ke jalan raya bagi melakukan huru-hara. Kalau di stadium sudah pasti suasana aman, ini akan menggagalkan matlamat utama mereka hendak memburukkan imej kerajaan.

Kalaulah mereka berhujah bahawa ia sudah dirancang setahun yang lalu, kita juga berhak bertanya apakah dalam tempoh berkenaan kerajaan tidak menunjukkan sebarang komitmen untuk mendengar keluhan pelbagai pihak mengenai akta itu?

Bagaimana dengan pembebasan tahanan ISA yang dilakukan oleh Najib sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri? Begitu juga janji beliau untuk mengkaji semula ISA? Tidakkah semua itu berlaku dalam tempoh setahun selepas demonstrasi ini dirancangkan?

Oleh itu tidak perlulah pembangkang mengamalkan sikap lidah bercabang atau melaksanakan misi "matlamat menghalalkan cara". Kalau benar mereka ingin memperjuangkan demokrasi maka buktikan semangat itu melalui tindakan yang demokratik.

Jangan menyusahkan orang lain kerana kita percaya berjuta lagi rakyat Malaysia termasuk di kalangan penyokong pembangkang sendiri yang tidak menyetujui apa yang mereka lakukan kelmarin.

Mereka boleh mendakwa perhimpunan itu berjaya atau apa sahaja tetapi dalam masa yang sama mereka juga harus menerima hakikat bahawa mereka adalah perosak keamanan dan ketenteraman awam. Malang sekali, ramai anak muda turut terikut-ikut. Mungkin mereka tidak tahu pun apa itu ISA tetapi akibat dipengaruhi sentimen politik membabi buta, maka mereka turut sama berdemonstrasi.

Apa yang lebih malang majoriti yang berbuat demikian adalah orang Melayu. Kasihan kepada kelompok orang Melayu seumpama ini yang terus bersedia menjadi alat politik kepada pemimpin-pemimpin parti tertentu.

Seperti mana apa yang berlaku di Perak tidak lama dahulu, demonstrasi kali ini juga menyaksikan sekali lagi kejahilan penyokong Pas dan PKR.

Biarpun demonstrasi itu anjuran pakatan pembangkang, tetapi kita tidak lihat pun penyokong DAP turun 'bertempur' dengan pihak polis. Kesudahannya, sekali lagi orang Melayu dalam pembangkang dilihat hanya menjadi alat, akibat kebodohan sendiri.

Namun kita tidak perlu bersimpati dengan puak yang turun berdemonstrasi dan menjadi mangsa tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis. Mereka yang cari penyakit. Itulah balasannya apabila amaran secara lembut tidak dipedulikan dan gagal berfikir dengan waras kewajaran untuk berbuat demikian.

Mereka bernasib baik kerana polis Malaysia hanya menggunakan gas pemedih mata. Kalau di negara lain percayalah, akan ada 'peluru' lain yang akan digunakan bagi mengajar manusia-manusia degil tersebut.

No comments: