Monday, August 3, 2009

Kesan rombakan pasaran modal

Oleh DR. NOR HAYATI AHMAD dan ZURAIDAH ATAN

KERAJAAN melalui Bank Negara Malaysia pada 1999 mengambil pendekatan menggabungkan bank-bank komersial untuk memantapkan sektor perbankan bagi memulihkan ekonomi daripada kesan krisis kewangan Asia 1997.

Pada tahun ini pula, kita nampak ada perubahan apabila kerajaan melalui Suruhanjaya Sekuriti memilih untuk merombak struktur pasaran modal bagi mencergaskan kembali pasaran saham yang merosot teruk kesan krisis ekonomi global.

Dan hari ini menyaksikan sejarah baru apabila penstrukturan tersebut menjadi efektif. Struktur Bursa Malaysia yang sebelum ini terdiri daripada Papan Utama, Papan Kedua dan juga Mesdaq akan bertukar wajah.

Papan Utama dan Papan Kedua digabung menjadi satu papan tunggal "Pasaran Utama"; sementara Mesdaq menjadi pasaran alternatif yang terbuka kepada syarikat pelbagai saiz dan daripada semua sektor ekonomi pula dikenali sebagai "Pasaran ACE" (access, certainty, efficiency); dan peraturan untuk penambahan modal syarikat daripada Pasaran Modal berubah.

Apa signifikannya penggabungan ini? Apa kesannya apabila Mesdaq digantikan dengan Pasaran ACE? Dan apakah perubahan baru berikutan perubahan peraturan itu?

Kepada pengamal industri, pelabur atau firma, penstrukturan ini memberi erti yang besar. Bagi menjawap persoalan tersebut, kita perlu mengetahui peranan asas Pasaran Modal dalam kitaran dana sistem kewangan dan perbankan sama ada secara konvensional atau syariah.

Pasaran Modal menyediakan prasarana untuk firma-firma (atau syarikat-syarikat) mendapatkan sumber modal melalui pembelian saham firma tersebut yang akan ditawarkan kepada pelabur. Terdapat beberapa cara untuk firma mendapat sumber modal. Antara melalui terbitan saham baru (IPO), terbitan hak, terbitan khas atau terbitan waran.

Saham-saham ini kemudiannya akan disenaraikan di Bursa Saham Malaysia dan pemegang saham ini akan memiliki ekuiti dalam modal berbayar firma tersebut.

Bagi firma tersebut, mendapat dana daripada Pasaran Modal adalah sumber pembiayaan dalam bentuk ekuiti. Satu cara lagi untuk sesebuah firma mendapat pembiayaan ialah melalui bank. Berbanding dengan pinjaman bank, pembiayaan ekuiti dapat mengurangkan risiko firma tersebut sekiranya terdapat perubahan dalam kadar faedah atau pertukaran mata wang asing (sekiranya pinjaman tersebut dalam dolar Amerika, pound sterling dan sebagainya).

Proses untuk mendapat sumber pembiayaan daripada Pasaran Modal secara ringkas adalah seperti berikut:

Firma yang berhasrat untuk mendapat modal melalui Pasaran Modal akan melantik bank pelaburan (dahulunya bank saudagar) sebagai penasihat.

Bank pelaburan akan menyediakan dokumen bergelar "prospektus". Ia mengandungi maklumat latar belakang korporat, status kewangan dan butiran terbitan tersebut, tujuan serta implikasi kewangan yang memberi gambaran akan kebolehupayaan perniagaan (business viability) firma tersebut.

Proses ini melibatkan juga khidmat guaman dan juga akauntan dalam penyediaan dokumen-dokumen mengikut peraturan Bursa Malaysia dan juga Suruhanjaya Sekuriti.

Bank pelaburan berkenaan akan memajukan prospektus kepada Bursa Malaysia dan juga Suruhanjaya Sekuriti untuk kelulusan.

Bank pelaburan bagi pihak firma, membuat tawaran saham kepada pelabur. Tawaran hanya dilaksanakan selepas kelulusan daripada pihak-pihak penguatkuasa tertentu.

Pelabur apabila menerima tawaran itu, bermakna telah menyalurkan dana mereka sebagai pelaburan ke dalam firma tersebut. Pulangannya adalah dalam bentuk dividen atau pun keuntungan sekiranya pelabur menjual dengan harga yang lebih tinggi daripada harga semasa ditawarkan (capital gains).

Proses jual beli ini dapat diteruskan melalui Bursa Malaysia. Pasaran saham akan bertambah aktif sekiranya dagangan bertambah rancak didokong oleh sentimen dan keyakinan tinggi pelabur. Keadaan pasaran sebegini akan mencipta kekayaan kepada pelabur, firma berkenaan dan ekonomi negara keseluruhannya.

Bagaimanapun, krisis pasaran global telah membantutkan kerancakan dagangan sekuriti di Bursa Malaysia. Bilangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia turut berkurangan, berikutan keputusan sesetengah syarikat untuk tidak lagi menyenaraikan saham-saham syarikat mereka sejak 2007.

Implikasi pergabungan Papan Utama dan Papan Kedua menjadi Pasaran Utama memberi ruang untuk menambah bilangan syarikat untuk menjadi pilihan pelabur.

Syarat-syarat untuk syarikat disenaraikan telah dilonggarkan. Pergabungan ini serta kelonggaran daripada segi peraturan penyenaraian (Listing Requirements) membolehkan syarikatsyarikat kecil tetapi mempunyai potensi keuntungan yang tinggi berpeluang untuk mendapat modal tambahan daripada pasaran ekuiti untuk mengembang aktiviti syarikat.

Tambahan pula, penyertaan pelabur dijangka meningkat dengan bertambahnya bilangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Syarikat yang tersenarai di Papan Mesdaq sebelum ini adalah syarikat-syarikat hi-tech dan syarikat yang berkembang pesat. Transformasi daripada Mesdaq kepada Pasaran ACE, bukan sahaja membolehkan syarikat IT dan hi-tech tetapi semua syarikat yang memenuhi ciri-ciri "access, certainty dan efficiency" memohon untuk disenaraikan saham mereka di Pasaran ACE.

Perubahan ini akan menambah bilangan syarikat yang berdaya maju untuk disenaraikan dan didagangkan di Bursa Malaysia. Di sini syarikat bumiputera patut mengambil peluang untuk menyertai dan menyenaraikan saham mereka di Papan ACE.

Rombakan struktur pasaran modal ini, yang jelas penambahbaikannya ialah pembahagian tanggungjawab jelas antara Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.

Ini boleh mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan dan penjanaan dana. Syarikat-syarikat berpeluang memaksimumkan peluang-peluang perniagaan dengan lebih cepat. Malah, memandang keadaan ekonomi global yang belum pulih, menggunakan dana daripada pasaran ekuiti dapat menjamin pengurusan risiko kewangan yang lebih efektif.

Bagaimanapun, bank-bank pelaburan dilihat terpanggil untuk memainkan peranan lebih besar dalam menilai kemampuan syarikat untuk menjana kekayaan dan mencipta nilai daripada pelaburan mereka.

Bank Pelaburan boleh menolong lebih banyak lagi syarikat bumiputera menyertai pasaran modal dan ekuiti. Rombakan pasaran modal ini kepada wajah dan infrastruktur kewangan yang lebih fleksibel dikira mampu menarik lebih ramai pelabur untuk menyertai pasaran modal dan ekuiti.

Ilmu mengenai pelaburan perlu diperluaskan supaya pelabur-pelabur terutamanya bumiputera, bertindak dengan bijak berasaskan kepada maklumat-maklumat yang tepat.

Di institusi pengajian tinggi seperti di Universiti Utara Malaysia (UUM), program-program khusus seperti UUM-Pribumi Investment Training (UPIC) dilaksanakan melatih graduan dengan kemahiran teknikal dalam bidang pasaran kewangan selain ilmu yang berasaskan pasaran pelaburan semasa. Penstrukturan Pasaran Modal ini mampu mencipta banyak peluang pekerjaan dalam kewangan korporat, pasaran modal dan perbankan korporat di bank-bank pelaburan.

Dengan cara ini, institusi-institusi berkenaan dapat memainkan peranan secara proaktif untuk memperkasakan modal insan dan membekalkan lebih ramai profesional bumiputera dalam sektor kewangan dan pasaran modal.

PROFESOR DR. NOR HAYATI AHMAD ialah Profesor Kolej Perniagaan, UUM sementara DATUK ZURAIDAH ATAN ialah Ahli Lembaga Pengarah, UUM dan pernah menjadi Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah bank pelaburan

No comments: