Sunday, March 1, 2009

Mangsa opresi politik

HUBUNGAN antara akhbar dan ahli-ahli politik, sejak dahulu lagi, dianggap suatu hubungan simbiosis. Sungguhpun mereka rapat, tetapi dalam mana-mana hubungan yang bersifat simbiotik, ia bukanlah interaksi yang sempurna.

Banyak masanya wartawan dan akhbar tercedera dalam pertembungan itu yang kerap hanya menguntungkan ahli-ahli politik. Lebih malang lagi, ada sesetengah ahli politik dengan kejamnya menganggap akhbar sebagai parasit yang menyakitkan apabila akhbar berada di tengah-tengah jalan antara mereka dengan tembok kuasa. Ada ketikanya akhbar dengan sengaja dibuli dan menjadi mangsa opresi politik.

Sepanjang sejarah, terdapat banyak contoh yang memperlihatkan betapa buruknya ahli-ahli politik berperangai apabila akhbar secara terbuka melaporkan sisi gelap diri, parti atau kerajaan mereka. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia.

Di Amerika Syarikat (AS) pada bulan Jun 1971, ahli-ahli politik yang menguasai pentadbiran Amerika pada waktu itu bertembung secara terbuka dengan akhbar apabila The New York Times membuat satu laporan awal mengenai dokumen kajian Perang Vietnam yang meletakkan kerajaan Presiden Nixon dalam sudut yang negatif.

Peguam Negara AS waktu itu, John Mitchell menelefon pengarang The New York Times, dan mengirim telegram mengarahkan akhbar itu tidak menyiarkan lebih lanjut laporan tersebut. Mitchell pergi lebih jauh dengan membawa kes itu ke mahkamah dan berjaya mendapatkan injunksi daripada seorang hakim untuk menghalang The New York Times daripada melaporkan isi kandungan dokumen tersebut.

The Washington Post, akhbar pesaing The New York Times, membuat keputusan untuk menyokong The New York Times dengan turut menerbitkan laporan tersebut, satu pendirian keras kepala akhbar itu yang kemudian menjadi sejarah hebat dalam kewartawanan di AS.

Keputusan pengarang The Washington Post pada 14 Jun 1971 menyelamatkan kredibiliti akhbar itu: Ia tidak tunduk kepada tekanan ahli-ahli politik.

Dua minggu selepas itu, Mahkamah Agung AS membuat keputusan bersejarah untuk membatalkan perintah awal yang diperoleh oleh pentadbiran Nixon. Keputusan Mahkamah Agung tersebut dikenang sebagai titik peralihan penting kepada kebebasan akhbar era moden Amerika.

Di Malaysia, cubaan untuk menggunakan mahkamah bagi mengikat tangan pengarang-pengarang akhbar juga berlaku dengan cara yang agak unik tetapi mempunyai sedikit sebanyak persamaan dari segi motifnya.

Apabila Utusan Malaysia pada 24 Februari lalu melaporkan kenyataan Yang Dipertua Majlis Agama Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahya mengenai kewujudan sebuah majlis dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang yang menyamatarafkan Islam dengan agama-agama lain di negeri itu, berita tersebut menimbulkan kemarahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli-ahli politik DAP yang menguasai kerajaan negeri Pulau Mutiara.

Shabudin tersalah sebut nama majlis yang dimaksudkannya. Beliau menyatakannya sebagai Majlis Perundingan Antara Agama, iaitu nama yang disiarkan dalam laporan Utusan Malaysia. Nama yang betul ialah Majlis Silaturahim Antara Agama.

Dua hari selepas itu, Shabudin menjelaskan, beliau merujuk kepada Majlis Silaturahim Antara Agama yang menurutnya meletakkan agama Islam sama taraf kedudukannya dengan agama-agama lain. Kepadanya, perbuatan majlis itu yang dipengerusikan oleh Guan Eng satu perlakuan menghina.

Reaksi Guan Eng terhadap perbezaan pendapat itu tidak berbeza dengan cara ahli-ahli politik lama Amerika melayan akhbar dan musuh-musuhnya hampir empat dekad lalu. Ketua Menteri itu menggunakan cara undang-undang. Melalui peguamnya, Guan Eng menghantar surat tuntutan memohon maaf daripada Shabudin, meminta Shabudin membayar ganti rugi ekoran penyiaran berita mengenai Majlis Silaturahim Antara Agama itu atau berhadapan dengan tindakan mahkamah.

Cara yang dipilih oleh Guan Eng bagi menutup mulut Shabudin, seorang pemimpin Islam yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengetuai sebuah organisasi untuk meningkatkan syiar dan martabat Islam, adalah dengan menggertak menyamannya. Shabudin mengulangi pendiriannya yang tidak berubah dan tetap dengan kenyataan yang telah disiarkan Utusan Malaysia. Guan Eng juga membuat acahan yang sama terhadap Utusan Malaysia, sebuah akhbar yang dibaca oleh 1.5 juta orang setiap hari dengan majoriti pembacanya beragama Islam.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengakui wujud persatuan muhibah di negeri itu untuk menggalakkan hubungan baik antara agama tetapi ia bukan berfungsi sebagai sebuah majlis perundingan agama. Shabudin pula yang mewakili organisasi Islam berhujah konsep majlis muhibah itu sama dengan majlis perundingan "kerana Islam didudukkan sama-sama dengan agama lain."

Episod Guan Eng menggertak Shabudin itu mengingatkan kita kepada kelakuan politik di Singapura tidak lama dulu yang masih berterusan sehingga kini.

Adakah tindakan melalui saman sivil itu dapat menutup mulut Shabudin dan mengikat Utusan Malaysia? Hanya masa dan prosiding undang-undang, jika ia berlaku, dapat menentukannya.

Apabila Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Shabudin mengenai isu penting di Pulau Pinang itu, akhbar tersebut sebenarnya telah terlibat secara tidak langsung dalam proses politic of recognition, iaitu mahu kedudukan agama Islam tidak disamatarafkan dengan agama-agama lain. Guan Eng juga terperangkap sama dalam politic of recognition, dengan mewakili agama-agama lain, dalam satu pergelutan idea yang melampaui politik biasa.

Ia adalah satu pertarungan berkaitan identiti dan usaha menegakkan apa yang masing-masing anggap sebagai hak yang signifikan.

Di mana-mana negara sekalipun, termasuk dalam kes The Washington Post di AS, pengarang akhbar lazimnya membuktikan mereka mempunyai kesedaran sendiri dan kesanggupan untuk bertembung secara langsung dengan ahli-ahli politik.

Di negara lain pun terdapat ahli politik cuba membuli akhbar melalui proses undang-undang dan mahkamah, tetapi langkah itu belum tentu berjaya.

Ketika menghakimi satu kes di United Kingdom pada 1965, Sir Frederick Lawton yang beberapa tahun kemudian menjadi Ketua Hakim berkata: "Adalah menjadi salah satu tugas akhbar untuk membongkar kecurangan dan skandal. Ia dilakukan untuk kepentingan awam. Ia merupakan salah satu tugas yang akhbar-akhbar lakukan berkali-kali dari semasa ke semasa dalam sejarah panjang mereka."

Proses melaksanakan tugas itu meletakkan akhbar dalam risiko dan fungsi itu menuntut keberanian yang bukan sedikit. Akhbar yang tidak berhati-hati dan lantang tidak bertempat dalam memperjuangkan kepentingan awam itu mungkin tersilap fakta, menjerumuskannya kepada saman fitnah.

Pengalaman akhbar di United Kingdom menunjukkan dalam usaha pihak akhbar di sana membanteras kecurangan dan perilaku negatif, ada ketikanya akhbar terpaksa menyentuh nama baik seseorang yang mendedahkannya kepada rasa benci, hina atau ejekan. Apabila peranan itu dilakukan, kemungkinan akan tiba surat-surat saman, tetapi bukan semua saman yang datang itu bermakna akhbar bersalah dan telah membuat kesilapan.

Dalam satu kes melibatkan akhbar Daily Mail dengan sebuah gerakan agama Unification Church pada 1981, akhbar itu dalam laporannya menggambarkan gereja itu sebagai pertubuhan yang mempengaruhi belia, membasuh otak mereka untuk bekerja tanpa bayaran bagaikan hamba, memecahbelahkan keluarga dan meletakkan ibu bapa dalam kekecewaan.

Apabila ketua Unification Church, Dennis Orme menyaman Daily Mail mendakwa akhbar itu memfitnahnya, perbicaraan kes itu berlangsung selama 100 hari dengan 117 saksi dipanggil.

Daily Mail menang kes itu, dan ia didapati tidak memfitnah Unification Church kerana wujud kebenaran dalam laporannya mengenai Orme. Bagaimanapun, dari segi untung rugi bisnes, saman itu menjadi satu beban berat kepada syarikat.

Orme diperintahkan membayar £400,000 sebagai kos perbicaraan itu, iaitu satu jumlah yang tidak cukup untuk melunaskan bayaran guaman yang mencecah £1 juta.

Dalam hubungan akhbar dengan sesetengah ahli politik, termasuk di Malaysia, banyak ahli politik telah mula mendapat idea daripada pihak-pihak di luar politik untuk menyerang akhbar di poket mereka bagi "menutup mulut para pengarang akhbar". Saman dan kos yang datang bersamanya akan menakutkan akhbar.

Perbuatan itu, walaupun sungguh bijak dari segi taktik politik, sebenarnya amat buruk kesannya kepada pertumbuhan pemikiran masyarakat.

Wartawan, khususnya mereka yang bekerja dalam media elektronik dan cetak, bertanggungjawab menjadikan media tempat mereka bekerja sebuah forum untuk orang ramai. Semua penulis mempunyai misi masing-masing apabila mengutarakan laporan dan pendapat mereka yang pada umumnya bertujuan memperbaiki keadaan masyarakat, tetapi dalam konteks kewartawanan, misi forum yang didokong oleh wartawan profesional hendaklah berasaskan kepada kebenaran dan fakta yang telah ditentusahkan.

Ketidakpuasan hati yang dilahirkan dalam forum yang diwujudkan dalam media, serta perbincangan yang menyusulinya, membolehkan ahli-ahli politik mendapat respons mengenai sentimen orang ramai mengenai sesuatu isu. Kompromi dan penyelesaian mungkin boleh dicari daripada perbincangan terbuka itu yang bukan setakat membantu ahli-ahli politik, tetapi juga menolong orang ramai membuat keputusan dan pendirian.

Jika kita menyekat perbincangan terbuka tersebut daripada berlaku dengan mengeksploitasi proses undang-undang seperti yang pernah dilalui The New York Times dan The Washington Post, walhal perbincangan itu membolehkan perbezaan pendapat dikemukakan dan didebatkan bagi mencari kompromi, sesetengah ahli politik akan berfikir merekalah manusia yang paling sempurna di dunia.

Tanpa polemik, mereka mungkin merasakan mereka lebih maksum daripada nabi. Mentaliti itu amat berbahaya. Jika tidak timbul kesedaran tentang peranan check and balance akhbar, akan tiba suatu tahap nanti kemunculan bibit-bibit keditaktoran dalam politik. Pada waktu itu sebarang tindakan ahli politik tidak boleh dipersoalkan lagi.

Di Malaysia, usaha menyekat kewartawanan daripada menjadi suatu forum terbuka sedang cuba dijalankan oleh sesetengah ahli politik ke atas media. Sebelum itu mereka secara selektif telah pun menyekat penjualan akhbar-akhbar yang tidak mereka sukai di premis-premis milik kerajaan negeri tertentu.

Sekatan itu begitu menular sehinggakan apabila seseorang ahli politik terlibat dalam tingkah laku seks yang salah, ada banyak ahli politik di negara ini, termasuk daripada parti pembangkang, mempertahankan rakan mereka dengan menyerang media.

Mereka menuduh perbincangan dalam akhbar telah menceroboh privasi ahli politik itu.

Kes perlakuan seks bekas Presiden AS, Bill Clinton dengan Monica Lewinsky menunjukkan apabila seseorang memilih untuk menjadi ahli politik dan memegang jawatan awam, kecurangan dalam perlakuan seksnya akan turut menjadi keprihatinan umum.

Kisah seks Clinton terbongkar pada 17 Januari 1998 apabila sebuah laman web Internet yang dikendalikan oleh Matt Drudge menyiarkan cerita bagaimana majalah berita Newsweek, setelah ditekan oleh kepentingan politik, enggan menyiarkan satu laporan mengenai skandal seks melibatkan Clinton.

Keesokan harinya Drudge menamakan wanita itu sebagai Monica Lewinsky. Clinton dituduh berbohong mengenai penglibatannya dalam kes itu. Ahli-ahli politik di sekeliling Presiden AS itu pada mulanya cuba menekan akhbar-akhbar di AS daripada membesar-besarkan skandal berkenaan, seperti yang terjadi ke atas Newsweek.

Sama dengan pengalaman di negara lain, di Malaysia kesilapan yang dibuat oleh mana-mana ahli politik dalam kehidupan peribadi - baik dalam cerita seks mahupun kisah apabila mereka hilang pertimbangan ketika mengendalikan hal-hal lain - juga menjadi sesuatu yang perlu diketahui masyarakat.

Kesedaran baru harus muncul. Jangan salahkan akhbar semata-mata dan menggunakan bermacam-macam ikhtiar untuk menghalang debat terbuka. Ada ketikanya ahli-ahli politik, termasuk mereka yang baru merasai nikmat kuasa, kena belajar menyalahkan diri sendiri.

Kita semua bukan manusia maksum, demikian juga para pengarang akhbar.

No comments: