Sunday, March 1, 2009

Dekati derita Gaza

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

MISI kemanusiaan pertama Yayasan SALAM Malaysia (SALAM) ke Gaza pada 26 Januari h ingga 3 Mac lalu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada sukarelawannya.

Delegasi SALAM itu diketuai oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Ahmad A. Talib berserta enam sukarelawan lain termasuk pakar perubatan dan wartawan.

Selain melihat keadaan sebenar nasib penduduk Gaza yang dibedil selama kira-kira 22 hari sebelumnya, misi itu juga bertujuan menyampaikan bantuan ubat-ubatan dan selimut kepada penduduk.

Berkongsi pengalaman itu, Ahmad berkata, untuk memasuki Gaza sendiri bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Pasukan SALAM terpaksa berdepan dengan kerenah pengawal sempadan yang seolah-olah sengaja mahu mematahkan semangat sukarelawan untuk ke Gaza.

Akibatnya, empat hari pasukan SALAM terkandas di sempadan dan terpaksa bermalam di al-Arish.

Dipercayai kesukaran misi kemanusiaan menyeberangi sempadan Rafah adalah kerana terdapat perisik tentera Israel di pintu sempadan.

Pastinya, mereka akan menggunakan segala ruang untuk mengekang sebarang kemasukan bantuan terhadap penduduk Gaza.

Sehinggalah hari kelima selepas beberapa kali tertunda, pasukan SALAM berjaya menjejakkan kaki ke bumi Gaza.

''Itu pun tidak dibenarkan masuk dengan bekalan ubat-ubatan dan selimut. Malah, seorang sukarelawan yang merupakan doktor juga terkandas menunjukkan betapa penduduk Gaza sememangnya mahu dibiarkan sengsara dan menderita," katanya.

Sepanjang sembilan hari berada di Gaza, SALAM berpeluang singgah di hampir keseluruhan kawasan yang menjadi sasaran bedilan bom tentera Zionis.

Pemandangan bangunan runtuh dan kawah besar akibat ledakan bom boleh dilihat di mana-mana. Begitu juga dengan bangunan yang berlubang-lubang kesan tembakan peluru.

Pernah satu ketika sewaktu sedang solat maghrib berjemaah, letupan bom yang kuat kedengaran sangat dekat dengan masjid. Melihat riak terkejut dan bimbang sukarelawan SALAM, penduduk Gaza memberikan kata-kata semangat.

Menurut mereka, bunyi bom dan tembakan peluru adalah perkara biasa. Itulah irama dan lagu yang menemani penduduk Gaza sejak sekian lama.

Nasihat mereka, tidak perlu berasa takut atau bergegas mencari tempat perlindungan. Ini kerana tidak siapa yang dapat memberi jaminan, tempat berlindung itu nanti tidak akan menjadi mangsa bom tentera Israel.

Peristiwa itu menyedarkan SALAM bahawa penduduk Gaza meladeni kehidupan sepenuhnya dengan berserah diri.

Kerana merasakan tiada walau seinci ruang sekali pun di Gaza yang terlindung daripada radar senjata Yahudi, penduduk Gaza mengamalkan membaca dua kalimah syahadah setiap kali melangkah keluar dari rumah.

Perkara itu menjadi kelaziman dan diperkatakan oleh setiap penduduk yang ditemui oleh SALAM termasuk kanak- kanak, guru, doktor, usahawan, peniaga. Apatah lagi pemimpin-pemimpin kanan Hamas yang sememangnya menjadi sasaran.

Delegasi SALAM sendiri turut menjadikan kalimah syahadah sebagai benteng terutama ketika dibawa berjumpa dengan lima orang menteri dan dua timbalan menteri kabinet Hamas.

Ketika di sana juga SALAM turut dibawa ke sebuah rumah di Kampung Zaitun.

Perkampungan di perbatasan Israel itu subur dengan hasil tanaman buah zaitun dan limau serta kaya dengan hasil penternakan.

Bagaimanapun perkampungan itu bertukar menjadi gelanggang pembunuhan paling kejam dalam sejarah peradaban manusia bertamadun hari ini.

Sewaktu tentera Zionis melancarkan serangan, mereka menawan kira-kira 100 orang penduduk kampung itu di dalam sebuah rumah.

Tawanan itu tidak diberikan makanan dan minuman selama tiga hari sebelum Israel melepaskan tembakan bertalu-talu pada malam keempat membunuh seramai 30 orang.

Meskipun hanya melihat kesan-kesan kemusnahan, namun kejahatan dan kezaliman tentera Zionis itu seolah-olah terbayang di depan mata.

Kesedihan juga tidak tertahan setiap kali mengenangkan wajah-wajah penduduk Gaza terutamanya kanak-kanak dan wanita yang terpaksa menahan kesakitan di hospital.

Berpeluang melawat sebuah hospital terbesar iaitu di Gaza iaitu as-Syifa, SALAM melihat sendiri bagaimana sukarnya doktor merawat mangsa perang yang kebanyakannya parah.

''Hospital penuh sesak dengan pesakit, sedangkan ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan tidak mencukupi. Malah, ada hospital yang musnah kerana dibom oleh Israel. Antaranya hospital milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hospital kanak-kanak," tambah beliau.

Ahmad turut berkongsi semangat kecekalan seorang paderi Kristian berusia 70 tahun iaitu Manuel Musallman.

Paderi yang sangat dihormati oleh seluruh penduduk Gaza termasuk umat Islam ini acap kali melaungkan kesanggupan untuk bersama-sama mengangkat senjata mempertahankan bumi Palestin.

Bagi Manuel, kejahatan Israel bukan kerana dendam terhadap Islam, tetapi penghapusan bangsa ke atas penduduk Palestin.

Ini kerana penganut Kristian di Palestin seramai 4,000 orang juga menjadi mangsa.

Dalam kesempatan mengunjungi sebuah sekolah Kristian yang turut menjadi perlindungan kanak-kanak Islam, dapat disaksikan ketinggian semangat persaudaraan penduduk Gaza.

Dalam ketidaktentuan mengenai keselamatan diri mereka, anak-anak Gaza ini masih ceria dan seronok untuk ke sekolah.

Menurut penduduk Gaza, sekolah merupakan satu-satunya tempat di mana anak-anak Gaza dapat melarikan diri daripada hakikat perang di bumi mereka.

Sekolah juga merupakan tempat untuk mereka saling menghulurkan rasa kasih-sayang sementelah kebanyakan anak-anak Gaza itu adalah yatim piatu.

Dalam kunjungan itu juga, SALAM berkesempatan diberikan sambutan istimewa iaitu persembahan daripada puisi dan sajak.

''Meskipun tidak memahami bait-bait puisi dan sajak yang disampaikan oleh kanak-kanak Gaza itu, namun hati kecil dapat menangkap maksud kebencian dan kemarahan yang dilemparkan kepada tentera Zionis.," ujar Ahmad.

Bersama-sama tangisan anak-anak Gaza di sekolah itu, tangisan delegasi SALAM turut membasahi bumi Palestin.

Masih terkesan dengan pengalaman pertama melihat sendiri derita penduduk Gaza, SALAM mengatur misi kemanusiaan kedua sebaik kebenaran memasuki Gaza menerusi sempadan Rafah diberikan.

Dari situ ujar Ahmad, SALAM akan bergerak sebagai sebuah badan sukarelawan yang memberi tumpuan terhadap kebajikan kanak-kanak.

Ia termasuk soal pendidikan, pembangunan kemahiran dan kesihatan.

Bagi SALAM sendiri, tumpuan kerja-kerja kebajikan terhadap kanak-kanak bukanlah sesuatu yang baru.

Di Malaysia sendiri, SALAM menyelenggara dua buah rumah kebajikan khusus untuk kanak-kanak terbiar dan wanita iaitu Rumah Nur Salam dan Rumah Sinar Salam di Kuala Lumpur.

Kedua-dua buah rumah itu ketika ini menjadi perlindungan kepada kira-kira 370 orang kanak-kanan jalanan dan wanita termasuk ibu tunggal.

''Justeru, pengalaman yang sama juga bakal digunakan dalam misi bantuan berpanjangan di Palestin nanti," kata beliau.

Bagaimanapun, tanpa sokongan dana dan kepakaran yang mencukupi, usaha murni SALAM itu sukar untuk menjadi kenyataan. Untuk itu, Ahmad menyeru kepada mana-mana pihak agar menghulurkan sumbangan seterusnya bersama-sama SALAM dalam membela nasib anak-anak Palestin.

Begitu juga dengan orang ramai yang dijemput untuk menjadi sukarelawan bersama SALAM.

Sehingga kini, SALAM mempunyai seramai 4,000 orang sukarelawan berdaftar yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Bagaimanapun dalam misi untuk menempatkan sukarelawan di wilayah yang dilanda bencana terutamanya di negara-negara ketiga, SALAM memerlukan lebih ramai tenaga yang sanggup berkorban atas semangat kemanusiaan.

Sekiranya tiada aral melintang, SALAM dalam masa terdekat juga akan menghantar misi kemanusiaan ke wilayah bergolak di utara Sri Lanka.

SALAM sebelum ini pernah mengadakan misi sewaktu wilayah itu dilanda tsunami selain turut menghulurkan bantuan di Aceh. Orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan SALAM boleh berbuat demikian dengan mendaftar secara atas talian di laman web www.salam.org.my.

No comments: