Wednesday, April 1, 2009

Siapa melindungi pemandu teksi samseng?

Oleh RAMLI ABDUL KARIM

BETULKAH angka ini? Hanya 2.39 peratus pemandu teksi di Lembah Klang yang patuh undang-undang. Angka ini berdasarkan fakta bahawa hanya 15 daripada 627 teksi yang diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Kalau itulah gambaran keseluruhan, ini bermakna daripada 100 orang, hanya dua orang yang menjadi pemandu teksi berhemah, jujur kepada penumpang dan mencari rezeki secara yang betul.

Sebenarnya, cerita mengenai salah laku dan masalah yang dicetuskan oleh pemandu teksi, khususnya di Lembah Klang bukan isu baru walaupun pendedahan JPJ kelmarin mengejutkan.

Malah, baru-baru ini, Utusan Malaysia sendiri menyiarkan laporan khas mengenai pemandu teksi berimej gengster dan mengenakan tambang sesuka hati di Lembah Klang.

Pembongkaran demi pembongkaran dilakukan oleh media. Namun sejak sekian lama, tiada sebarang perubahan dan seolah-olah pemandu teksi lebih berkuasa daripada JPJ dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Masih teringat kata-kata pemandu teksi Cina berusia 60-an yang mengambil penulis di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada awal pagi minggu lalu.

Apabila ditanya sama ada dia menetapkan tambang memandangkan sudah pukul 4 pagi, pemandu itu menjawab:

"Kawan, kita ikut meter punya. Saya bukan jahat punya orang macam ratus-ratus teksi dekat sana Puduraya, KLCC, Kota Raya, Bukit Bintang atau Chow Kit, dia orang letak sampai RM50, RM70 kalau tengah malam.

"Saya cari wang kasi anak bini makan, bukan tipu orang. Ramai pemandu teksi ubah suai meter bagi laju. Ini salah, hari ini tipu orang, esok orang tipu kita."

Sudah berapa orang menteri bertukar di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang menjaga LPKP dan bertanggungjawab terhadap teksi-teksi. Malah, sudah berapa kali pula jawatan Pengerusi LPKP bertukar orang.

Namun, pertukaran menteri dan Pengerusi LPKP nampaknya masih gagal mengatasi masalah teksi di Lembah Klang. Memanglah diakui tugas mereka terutama menteri berkaitan bukan sekadar menjaga teksi.

Tetapi harus diingat, sektor pengangkutan awam membawa bersama imej dan maruah negara. Selain itu, ia berkait rapat dengan keselesaan rakyat.

Adakah kita mahu terus mengabaikan imej negara dan keselesaan rakyat dengan tidak mengambil peduli tentang bagaimana usaha membersihkan Lembah Klang daripada teksi-teksi samseng dan 'pencekik leher' penumpang.

Datuk Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Datuk Markiman Kobiran sebagai Pengerusi LPKP tentu mempunyai perancangan untuk mengatasi isu ini yang mencengkam warga Lembah Klang dan pelancong yang melawat ibu kota.

Sebelum melaksanakannya elok juga Noh dan Markiman sendiri menyamar menaiki teksi-teksi di Lembah Klang seperti dilakukan oleh pegawai-pegawai JPJ dari 16 hingga 22 Mac lalu.

Sudah tiba masanya "keazaman politik" memperkuatkan penguatkuasaan terhadap pemandu-pemandu teksi degil di Lembah Klang dan negeri lain.

No comments: