Wednesday, April 1, 2009

Hanya BN mampu terjemah mimpi menjadi realiti

KINI, rakyat Malaysia menyaksikan satu lagi detik bersejarah peralihan kepimpinan negara. Kemuncak penutup tirai Perhimpunan Agung UMNO Sabtu lalu merupakan detik yang akan menjadi sejarah kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Melihat kepada respons kehadirannya sudah cukup untuk semua bersetuju bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah pemimpin yang masih disayangi dan disanjungi oleh kawan dan lawan. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa beliau masih lagi tokoh yang paling berpengaruh di Malaysia.

Pada penghayatan saya, segala yang mencakupi peradaban Melayu dapat kita saksikan berlaku di atas pentas Dewan Merdeka, PWTC. Hanya dengan meminjam bait-bait puitis sajak Sasterawan Negara, Usman Awang:

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulam daya
Gedung akal laut bicara

Tentu sekali bait puisi tersebut dapat memberikan kesimpulan yang mendalam terhadap apa yang kita saksikan. Tidak boleh tidak untuk saya mengangkat tabik hormat kepada Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di atas ucapan sulung menjawat jawatan.

Sesungguhnya keserasian serta ucapan "peniup semboyan" yang senada dan sekata telah membangkitkan satu aura kebangkitan semula roh UMNO, ibarat "masih ada sinar di hujung terowong."

Itulah kekuatan UMNO. Tun Mahathir telah memilih saat dan ketika yang amat tepat sekali untuk menyuntik roh serta keyakinan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia dalam memastikan UMNO dan BN terus relevan demi kelangsungan bangsa dan kestabilan negara. Inilah kekuatan dalaman UMNO yang tiada pada parti lain di dunia.

Sebagai rakyat Malaysia, saya ingin ucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Pak Lah yang telah menaburkan bakti beliau selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Berbekalkan semangat "Marilah berkerja bersama saya, bukan untuk saya" dan pelaksanaan Islam Hadhari, Pak Lah telah membawa bersamanya kepimpinan yang bercirikan holistik serta membawa kepada penambahbaikan dasar keterbukaan dan ketelusan yang tinggi dari segenap segi.

Dalam tempoh enam tahun beliau berkuasa, beliau banyak memperkenalkan langkah serta polisi yang popular seperti usaha penambahbaikan pentadbiran awam, transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan Suruhanjaya Pencegahan rasuah, penjanaan semula pengindustrian dan pengekonomian sektor pertanian, legasi Islam Hadhari dan penerusan dasar luar yang pragmatik.

Pak lah telah membawa sahsiah "Melayu Unggul" yang bercirikan ulul albab untuk menyerlahkan imej bangsa Melayu dan Islam sebagai pembawa keamanan sejagat.

Kini perjalanan perjuangan UMNO dan BN akan diteruskan dengan menghadapi tiga pilihan raya kecil. Pemimpin pembangkang serta kuncu-kuncunya akan terpegun dengan kesatuan serta semangat pembaharuan yang berlaku dalam UMNO.

Pasti rakyat serta penggundi di ketiga-tiga kawasan pilihan raya akan memberikan mandat yang sama kepada BN atas dasar kesedaran bahawa kini bukanlah masanya untuk "menguji" dan "mencuba" kerajaan alternatif yang memang telah terbukti gagal membawa mandat rakyat Malaysia.

Saya percaya majoriti pemimpin dan rakyat Malaysia mengimpikan sebuah negara yang selamat, aman dan makmur dengan kemunculan satu generasi pelbagai keturunan yang hidup aman damai, bertutur dalam satu bahasa, hidup dengan satu budaya dan berinteraksi dengan perasaan bersaudara.

Kalau itulah impian kita semua, hanya dengan kekuatan UMNO dan BN sahajalah yang dapat menterjemahkan mimpi menjadi realiti.

Dr. Mohd. Azam Rauzan
Bukit Gantang, Taiping, Perak

No comments: