Wednesday, April 1, 2009

Orang politik di Indonesia sakit jiwa gara-gara pemilihan Presiden

Oleh BORHAN ABU SAMAH

BEBERAPA buah hospital sakit jiwa telah menyediakan katil khas untuk orang kenamaan. Bunyinya bagaikan satu jenaka sahaja. Bagaimanapun itulah hakikat yang bakal berlaku selepas selesai Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia kelak.

Persediaan awal itu adalah bagi menghadapi kemungkinan calon-calon pilihan parlimen Indonesia mengalami tekanan perasaan sehingga memerlukan rawatan.

Mahu tidaknya persaingan untuk mendapatkan kerusi di peringkat parlimen memang ketat. Jumlah calon yang bertanding terlampau banyak, sehingga mencapai jutaan orang, manakala kerusi yang disediakan amat terhad.

Bayangkan sebanyak 11,215 orang merebut 560 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 1,109 orang bersaing mendapatkan 132 kerusi Dewan Perwakilan Daerah.

Selain itu sekitar 112,000 orang bertarung untuk mendapat 1,998 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) provinsi dan 1.5 juta orang bersaing merebut 15,750 kerusi DPRD kabupaten/kota.

Calon bukan sahaja menghadapi tentangan daripada parti lain sahaja, malah berdepan dengan rakan dalam satu parti yang turut bertanding untuk meraih suara terbanyak pada Pemilu 9 April ini.

Pertarungan berlaku dari dalam dan luar parti. Tempoh berkempen terbuka pula mencecah sebulan, manakala kempen tertutup sebelum ini telah dijalankan sejak lapan bulan lalu.

Hanya ahli politik yang benar-benar kuat mental dan fizikal sahaja dapat bertahan dalam situasi yang begitu ekstrem itu.

Sebelum ini para calon telah berhabisan wang untuk mendapatkan nombor terkecil kerana nombor urut menentukan menjejaki sebagai ahli parlimen.

Bagaimanapun pindaan Undang-Undang Nombor 10 Tahun 2008 Tentang Pemilu Legislatif menetapkan parti perlu mendapat 2.5 peratus undian keseluruhan pemilihan parlimen, jika parti tidak melepasi had ditetapkan sekalipun calon mendapat suara yang banyak, partinya tidak akan layak masuk ke parlimen.

Bayangkanlah jika setelah mengeluarkan begitu banyak wang, semua hancur begitu sahaja kerana seseorang perlu kalah, pastinya ramai yang akan menjadi tidak tentu arah, ketawa, menangis sendirian.

No comments: