Wednesday, April 1, 2009

Bebaskan perdagangan untuk keamanan

Wan Saiful Wan Jan

TUN Dr. Mahathir Mohamad memberikan dua ucapan penting di kota London minggu ini. Pada 1 April beliau berucap di Royal Commonwealth Society mengenai agenda alternatif kumpulan G20. Tetapi tujuan utama beliau datang ke kota London adalah untuk menyampaikan ucap utama dalam satu persidangan mengenai Gaza yang dianjurkan oleh Yayasan Kuala Lumpur pada 31 Mac (semalam). Tun Mahathir merupakan pengasas dan pengerusi Yayasan Kuala Lumpur.

Sepanjang dua minggu lepas, saya cuba membantu Yayasan Kuala Lumpur sekadar yang termampu, terutamanya dalam mengatur beberapa pertemuan dengan orang kenamaan di sini serta menganjurkan majlis di Royal Commonwealth Society.

Komitmen Tun Mahathir terhadap rakyat Palestin, sehingga beliau sanggup mengusahakan satu persidangan di kota London, amat menarik perhatian saya. Telah berpuluh tahun usaha diplomatik mendamaikan Israel dan Palestin gagal. Genjatan senjata hanya terlaksana sekerat jalan. Dan konflik ini berterusan walaupun ratusan juta ringgit telah disalurkan kepada saudara-saudara kita di sana.

Jangan kita sangka semua warga Israel sama sahaja. Contohnya rakan saya Daniel Durn yang mengepalai sebuah kumpulan pemikir di Jerusalem banyak menulis mengenai cara-cara untuk mencapai keamanan. Menurut beliau, komitmen terhadap keamanan hanya akan wujud jika ada insentif yang jelas, terutamanya insentif dalam bentuk pembangunan ekonomi.

Kepayahan hidup rakyat Palestin sebahagiannya merupakan akibat daripada pelbagai bentuk sekatan yang diwujudkan oleh Israel. Tembok yang dibina di sekeliling Gaza menyekat pergerakan keluar masuk.

Rakyat Gaza juga tidak mempunyai prospek pekerjaan yang bagus. Malahan, untuk berniaga pun sukar. Sekalipun rakyat Gaza boleh menghasilkan barangan atau perkhidmatan yang sesuai untuk diniagakan, mereka hanya boleh menjualnya sesama mereka sahaja.

Tetapi penduduk Gaza ramai yang tidak mampu untuk membeli barangan yang dijual kerana sumber pendapatan mereka tidak stabil. Kesukaran untuk berdagang menyebabkan Gaza terus dibelenggu kemiskinan.

Suasana ini berbeza dengan apa yang berlaku pada peringkat permulaan Israel menakluk Tebing Barat dan Gaza pada tahun 1967. Pada waktu itu Jeneral Moshe Dayan tidak menghalang warga Israel dan Palestin berurus niaga. Dasar-dasar pentadbiran Dayan membolehkan berlakunya aliran keluar masuk barangan dan juga tenaga pekerja.

Tetapi sekatan yang diwujudkan oleh ahli politik Israel dan juga tindakan sesetengah pihak di Palestin kini menghalang semua ini daripada berterusan.

Daniel Durn pernah menulis bahawa sebarang dasar yang memisahkan antara Israel dan Palestin hanya akan lebih memburukkan keadaan. Kedua-dua negara ini terlalu kecil untuk berfungsi sebagai dua ekonomi yang berbeza. Hakikatnya nasib warga Palestin dan Israel adalah saling bergantungan.

Mereka saling berinteraksi dalam urusan ekonomi, terutama dalam sektor pelancongan yang agak pesat di sana. Mereka berjual beli dan saling memerlukan antara satu sama lain. Peluang untuk berdagang dengan bebas membawa kepada suasana hidup yang lebih aman.

Pembaikan kualiti hidup dan taraf ekonomi perlu dijadikan langkah pertama dalam mencari keamanan di Palestin. Untuk itu, usaha global perlu digerakkan ke arah penghapusan sebarang bentuk halangan dan sekatan perdagangan antara Palestin dan Israel. Rakyat Palestin perlu dibolehkan berkerja di Israel, dan rakyat Israel pula mesti boleh membeli barangan di Palestin. Saling kebergantungan dalam urusan jual beli boleh menjadi pemangkin keamanan.

Sempena Sidang Kemuncak G20 di London pada 2 April ini, Malaysia Think Tank bersama-sama serangkaian kumpulan pemikir seluruh dunia melancarkan satu kenyataan bersama dalam satu majlis tidak jauh dari lokasi sidang G20.

Kami menegaskan bahawa kebebasan untuk berdagang dan berurus niaga merupakan asas utama dalam pembentukan dunia yang aman sejahtera. Kami menggesa agar para pemimpin G20 tidak mewujudkan sekatan-sekatan perdagangan yang baru.

Telah sekian lama usaha diplomatik untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel tidak berjaya. Kini telah tiba masanya untuk kita mencuba satu strategi baru yang berteraskan kebebasan berdagang antara warga Palestin dan Israel.

Tun Mahathir telah mengorak langkah untuk mengantarabangsakan usaha Malaysia demi membawa keamanan ke Palestin. Pertubuhan-pertubuhan daripada Malaysia yang mahu membantu mewujudkan keamanan di sana boleh mendahului dunia jika kita meneroka, mengkaji dan memperjuangkan strategi alternatif ini.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank dan kini menetap di London.

No comments: