Wednesday, April 1, 2009

Beri laluan Najib bentuk Kabinet baru

Oleh ESA ADAM

SELEPAS 2 April ini satu peralihan kuasa akan berlaku daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jawatan Perdana Menteri.

Satu perubahan besar dijangka akan dilakukan oleh Najib. Ini adalah bagi mengotakan apa yang telah dinyatakan oleh beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-59 baru-baru ini bahawa perubahan mesti dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pada pendapat penulis semua anggota Kabinet yang ada sekarang mestilah meletakkan jawatan masing-masing bagi memudahkan Perdana Menteri baru melantik anggota Kabinetnya.

Kita tidak nampak mengapa menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang kalah dalam pemilihan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi UMNO harus berpaut pada jawatan masing-masing.

Bagi calon yang kalah jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, pelantikan semula boleh dipertimbangkan kerana jawatan yang mereka bertanding dalam parti adalah terhad.

Pelantikan semula harus mengambil kira prestasi mereka sebelum ini.

Tetapi bagi mereka yang bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi pula, mereka harus menerima hakikat bahawa perwakilan telah menolak mereka.

Tentu ada sebabnya. Mungkin perwakilan telah membuat penilaian yang prestasi mereka didapati tidak memuaskan dan mereka harus diganti.

Najib yang akan menjadi Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri mestilah diberi kebebasan memilih pasukan yang baru bagi merealisasikan perubahan yang dinyatakan.

Perdana Menteri tidak semestinya melantik mereka yang ada dalam Majlis Tertinggi sekarang dalam Kabinet barunya. Beliau boleh melantik mereka yang di luar tetapi mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

Pada masa ini ada menteri yang telah menyatakan ingin melepaskan jawatan, ada yang enggan dan ada yang mengambil sikap mendiamkan diri.

Kita tabik kepada Datuk Shahrir Samad yang awal-awal lagi mahu melepaskan jawatan. Kita sering mendengar menteri-menteri mengatakan yang ahli UMNO mesti berubah. Tapi yang menghairankan, mereka sendiri enggan menerima perubahan.

Kita minta Najib mengambil sikap berani mengubah mereka ini.

No comments: