Sunday, February 1, 2009

Berakhirkah kekejaman Guantanamo?

Oleh Hafizahril Hamid

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, memulakan penggal pemerintahannya dengan melaksanakan satu tindakan yang dilihat agak drastik iaitu mengarahkan kem tahanan Teluk Guantanamo ditutup dalam tempoh setahun.

Beliau turut mengarahkan pendakwa raya tentera dalam tribunal jenayah perang Guantanamo memohon supaya semua kes ditangguhkan selama 120 hari.

Arahan Obama ini bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau telah menyatakan hasrat ini ketika kempen pilihan raya presiden lalu.

Tindakan ini juga dilihat sebagai usaha Obama memulihkan imej AS yang tercalar teruk di bawah pemerintahan Presiden George. W. Bush.

Bush membuka kem tahanan Teluk Guantanamo sebagai salah satu agenda beliau untuk memerangi keganasan terhadap golongan militan Islam selepas peristiwa rempuhan dua pesawat yang memusnahkan mercu tanda ekonomi AS, Pusat Dagangan Dunia pada pada 11 September 2001.

Kem tahanan Teluk Guantanamo sememangnya menyimpan seribu satu prasangka terhadap umat Islam memandangkan kem itu digunakan sebagai tempat tahanan mereka yang disyaki bersekongkol dengan kegiatan pengganas.

Namun akibat daripada kewujudan kem inilah rekod kemanusiaan dan hak asasi manusia AS tercalar teruk sekali gus merosakkan pengaruh dan kekuasaan mereka di mata dunia.

Pelbagai teknik dan kaedah soal siasat yang kejam digunakan tentera AS untuk mendapatkan rahsia mengenai kegiatan pengganas.

Antara teknik soal siasat yang sering digunakan ialah "Water Boarding" dengan memasukkan air ke dalam mulut dan hidung tahanan - teknik sama digunakan oleh tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu satu ketika dulu.

Pelbagai penderaan lain yang di luar batasan kemanusiaan turut digunakan dan pernah didedahkan di dada akhbar seperti mengarahkan tahanan berbogel, melakukan aksi hubungan seks serta pelbagai lagi.

AS turut bertindak melakukan pelbagai cara yang dilihat sangat menghina kesucian agama Islam seperti mengoyakkan al-Quran, menghina Rasulullah dan menggunakan anjing dalam sesi soal siasat.

Pangkalan

Kem tahanan itu terletak di dalam Pangkalan Tentera Laut AS Teluk Guantanamo serta berhampiran Cuba.

Pangkalan berkenaan mula diduduki AS sejak 1898 berikutan Perang Sepanyol-Amerika ketika itu.

Sebaik tamatnya perang tersebut, Teluk Guantanamo kemudiannya dipajak secara berterusan setelah Presiden Tomás Estrada Palma menawarkannya kepada AS bermula 23 Februari 1903.

Beberapa masalah timbul selepas 1959 memandangkan AS tidak mempunyai hubungan baik dengan Presiden Cuba ketika itu Fidel Castro.

Namun AS masih terus menyewa kawasan tersebut dengan menggunakan pengaruh mereka di peringkat antarabangsa serta kekuatan tentera yang dimiliki.

Selain dijadikan pangkalan tentera, Teluk Guantanamo juga pernah dijadikan penempatan pelarian dari Cuba dan Haiti sekitar tahun 1990-an.

Kem itu mula bertukar sebagai "kem neraka" setelah ia menempatkan tahanan yang didakwa bersekongkol dengan kegiatan pengganas selepas AS melancarkan serangan terhadap Afghanistan pada Oktober 2001 yang didakwa menjadi kawasan penempatan dan latihan pengganas Islam.

Kem tahanan Guantanamo dibuka pada Januari 2002 untuk menempatkan tahanan dan suspek pengganas bagi memenuhi tuntutan Bush yang mengisytiharkan perang terhadap keganasan namun ia hanya membabitkan umat Islam.

Sememangnya terdapat pelbagai kumpulan pengganas dan militan terlibat dalam pelbagai perlakuan jenayah dan keganasan di seluruh dunia namun hanya pengganas Islam yang mendapat perhatian utama dalam kempen AS memerangi keganasan.

Walaupun AS mendakwa perang di Afghanistan dilakukan bagi melumpuhkan kegiatan pengganas namun hakikatnya ia dilancarkan sebagai tindakan balas dendam berikutan peristiwa 11 September.

Kumpulan militan Islam seperti Al-Qaeda dan Taliban dituduh sebagai dalang serangan tersebut dan sejak itu umat Islam di seluruh dunia turut menerima tempias dan dilihat sebagai pengganas.

Kem tahanan Guantanamo yang sebelum ini sunyi secara tiba-tiba digunakan untuk menempatkan tahanan perang yang didakwa bersekongkol dengan pengganas tanpa sebarang bukti yang jelas.

Tahanan dilayan seperti binatang dan mereka tidak dibenarkan mendapat perbicaraan dan pembelaan sewajarnya.

Dianggarkan pada peringkat awalnya lebih 800 tahanan ditempatkan di kem itu termasuklah kanak-kanak dan remaja.

Terdapat tiga kem di di dalam Guantanamo iaitu Kem Delta, Kem Echo dan Kem Iguana serta lebih separuh daripada tahanan ditangkap ketika perang di Afghanistan. Namun tahanan yang ditempatkan di sini terdiri daripada pelbagai keturunan dan warga negara.

Apa yang menjadi persoalan sejak awal penubuhan kem itu sehingga sekarang ialah teknik soal siasat oleh anggota tentera AS yang disifatkan di luar batas kemanusiaan.

Pelbagai teknik kejam digunakan AS atas alasan mendapatkan maklumat berhubung kegiatan pengganas.

Namun hakikatnya teknik sedemikian sengaja digunakan sebagai membalas dendam berikutan kemusnahan dan kematian lebih 3,000 penduduk negara berkenaan yang terkorban dalam peristiwa 11 September.

Dibebaskan

Sehingga kini masih terdapat 245 tahanan yang ditempatkan di situ dan sekurang-kurangnya 525 telah dibebaskan.

Lima daripada tahanan tersebut dilaporkan mati ketika dalam tahanan dengan empat daripada mereka membunuh diri dan seorang lagi akibat mengidap kanser.

Bagaimanapun penutupan kem tahanan Teluk Guantanamo itu bukanlah penyelesaian terbaik bagi menangani kemelut yang dihadapi oleh kebanyakan negara-negara Islam.

Dengan penutupan kem tersebut masalah utama yang timbul ialah di mana tahanan akan ditempatkan terutama mereka yang diklasifikasikan sebagai terlalu bahaya untuk dibebaskan.

Terdapat tiga kategori tahanan yang terdapat di sini selepas proses penutupan iaitu pertama tahanan yang tiada bukti kukuh terlibat dalam kegiatan pengganas dan mereka ini kemungkinan besar akan dibebaskan atau dihantar pulang ke negara asal.

Tahanan kategori kedua pula akan dibicarakan berdasarkan bukti yang diperolehi oleh kerajaan AS.

Manakala kumpulan ketiga ialah mereka yang terlalu bahaya untuk dibebaskan tetapi kebanyakannya tidak mempunyai bukti kukuh untuk didakwa.

Bush sebelum tamat pemerintahannya telah berbincang dengan beberapa negara terutama di Eropah agar tahanan ini dapat ditempatkan di negara mereka. Banyak negara yang tidak bersetuju dengan langkah itu kerana bimbang ia akan menjejaskan rekod kemanusiaan dan hak asasi mereka.

Antara negara yang bersetuju untuk menerima tahanan ini ialah Portugal dan Switzerland.

Persoalan baru yang timbul adakah nasib tahanan ini akan lebih baik jika ditempatkan di negara lain? Tindakan AS itu dilihat hanya sebagai melepaskan beban yang terpaksa ditanggung dan membiarkan negara lain membersihkan segala kesilapan mereka lakukan.

Berkemungkinan besar tahanan yang bakal dipindahkan akan mendapat layanan lebih buruk berbanding sebelumnya.

Terdapat kebimbangan bahawa tahanan yang akan dihantar pulang itu akan menerima hukuman lebih teruk di negara asal mereka.

Tahanan berbangsa Uighur yang beragama Islam, yang sememangnya tidak mendapat layanan yang adil dari China serta tahanan dari Uzbekistan dan Algeria merupakan antara tahanan yang bakal menerima hukuman berat jika kembali ke negara asal.

Dari segi politik, tindakan Obama dilihat mampu mengendurkan ketegangan hubungan antara agama terutama membabitkan dunia Islam.

Langkah ini juga jika ditangani dengan baik mampu mengawal kebangkitan pejuang militan Islam terutama di negara Pakistan dan Afghanistan.

Jika polisi baru yang akan digubal pentadbiran Obama dilihat cenderung ke arah mengembalikan kepercayaan umat Islam terutama dalam menangani perang terhadap pengganas adalah tidak mustahil maruah AS yang tercalar sebelum ini akan kembali pulih.

Namun sebelum itu beliau harus menyelesaikan terlebih dahulu nasib tahanan di Teluk Guantanamo dengan menjamin nasib dan hak asasi mereka lebih terpelihara setelah sekian lama teraniaya.

Jika tidak beliau akan dilihat sebagai pemimpin yang hanya bersikap lepas tangan dan tidak serius menangani masalah walaupun pada awalnya berniat baik memulihkan hubungan dengan negara Islam dan imej sosial mereka yang terjejas akibat kebongkakan Bush.

No comments: