Thursday, July 16, 2009

Proses beri status kewarganegaraan perlu berhati-hati

DARIPADA 11 hadiah untuk rakyat yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sempena 100 hari menjadi Perdana Menteri, soal kewarganegaraan perlu ditangani dengan berhati-hati.

Dalam kemurahan Perdana Menteri untuk mempercepatkan permohonan 34,000 orang, jangan ada yang menyalahgunakan dan mengambil kesempatan.

Umum sedar bahawa status kewarganegaraan Malaysia amat mahal harganya. Sebab itu begitu ramai rakyat asing datang ke negara ini dan cuba untuk kekal terus di sini.

Dalam hal ini kerajaan harus mengambil kira kebimbangan Gagasan Melayu Perak (GMP). Dalam menyelesaikan masalah kewarganegaraan, kerajaan perlu berhati-hati agar tidak dimanipulasi pihak tertentu sekali gus membahayakan kedudukan orang Melayu.

Dalam ucapan Perdana Menteri Sabtu lalu dinyatakan bahawa jumlah permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia yang tertangguh pada 1 November 2008 adalah sebanyak 34,000.

Sehingga Jun 2009, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan. Usaha untuk menyelesaikan baki permohonan yang belum diputuskan akan dipergiatkan lagi dengan sasaran penyelesaian sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, pihak kerajaan juga akan menyegera dan mempertimbangkan permohonan permit masuk untuk membolehkan pemohon mendapat taraf penduduk tetap. Sehingga 2008, sebanyak 34,000 permohonan permit masuk diterima oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan sebanyak 41 peratus telah diluluskan.

Bayangkan puluhan ribu warga asing yang 'berminat' hendak menjadi warganegara Malaysia.

Sebab itu kerajaan perlu sensitif sebelum memberi taraf kewarganegaraan. Kita minta kerajaan mengkaji latar belakang individu yang memohon kerakyatan Malaysia.

Jangan kita mudah melayan setiap permohonan atas dasar simpati, sokongan ahli politik atau apa sahaja.

Seperti mana dasar negara lain misalnya Australia dan Singapura, bukan mudah 'orang luar' hendak menjadi warganegaranya jika tiada kekuatan dari segi modal insan.

Oleh itu dalam menilai permohonan rakyat negara lain, pertimbangkan dahulu sumbangan individu kepada negara termasuk adakah mereka bersih daripada sebarang rekod jenayah lampau.

Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia pernah mengambil warga asing kerana faktor sumbangan mereka dalam arena sukan negara.

Jadi selepas ini kita mengharapkan mereka yang ingin menjadi warganegara Malaysia sekurang-kurangnya boleh menyumbang dari segi kepakaran ilmu masing-masing dan bukan berdasarkan untuk mencari peluang mencari kerja dan perniagaan di sini semata-mata.

Kehadiran pekerja warga asing rasanya sudah melebihi daripada mencukupi.

Di samping itu, kita berharap individu yang akan diberi status warganegara Malaysia harus mereka yang benar-benar mahu setia kepada negara terutamanya menghormati Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Adalah amat penting proses meluluskan permohonan kewarganegaraan dibuat secara berhati-hati agar masalah kira-kira 50 tahun lalu tidak berulang seperti sekarang.

Ada rakyat yang buta sejarah dan mula mempersoalkan prinsip kontrak sosial yang dipersetujui semasa merdeka dahulu.

Pemberian taraf warganegara tanpa pemeriksaan dan pertimbangan rapi mungkin mendatangkan kesan musibah kepada negara pada masa akan datang.

No comments: