Oleh Borhan Abu Samah
SELEPAS kejadian pengeboman Hotel J.W Marriot dan Hotel Ritz-Carlton di Mega Kuningan Jakarta Selatan pada 17 Julai lalu, nama Noordin Mat Top muncul kembali sebagai pengganas yang paling dikehendaki.
Noordin, 41, berasal dari Johor dikatakan menjadi dalang kepada dua serangan berani mati di kedua-dua hotel berkenaan yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 55 yang lain.
Serangan itu dikaitkan dengan Noordin kerana bom yang digunakan adalah sama seperti mana bom-bom di dalam beberapa serangan sebelum ini, termasuklah ke atas Hotel J.W Marriot pada 2003.
Berikutan itu polis telah menangkap isteri Noordin, Arina di Jawa Tengah yang mendakwa dia tidak mengetahui lelaki yang dinikahinya itu adalah pengganas yang diburu polis.
Menurut Arina dia mengenali suaminya sebagai Abdul Halim dari Makassar. Arina juga berkata dia dijodohkan oleh bapanya Baharudin yang kini turut termasuk dalam senarai buruan polis kerana melindungi Noordin.
Bagaimanapun setelah ditunjukkan beberapa keping lakaran wajah Noordin, Arina mengakui suaminya itu memang mirip dengan Nordin.
Menurut Arina, Noordin seorang yang baik dan sering membantu dia memasak di rumah, tetapi mempunyai loghat bahasa Melayu walaupun telah lama tinggal di Pulau Jawa.
Bekas ahli Jemaah Islamiah (JI), Nasir Abas sebagaimana yang disiarkan beberapa media tempatan pula berkata, Noordin merupakan seorang yang berkarisma serta mempunyai diplomasi yang tinggi.
Selain mempunyai pengetahuan agama yang luas, kelebihan itulah menyebabkan orang mudah terpengaruh dengannya.
Nasir bagaimanapun memberitahu JI kini telah bubar berikutan kematian pemimpin serta beberapa orang lagi ditangkap polis termasuk Abu Bakar Basyir.
Berikutan itu Noordin dikatakan telah memimpin kumpulan sendiri yang lebih ekstrem.
Menurut Nasir ketika dia masih di dalam JI, Noordin tidak mempunyai sebarang pangkat dan merupakan ahli biasa sahaja.
Setelah dia ditangkap polis, Nasir berkata, Noordin telah menjauhkan diri daripadanya dan itulah kaedah yang digunakan oleh Noordin yang menyebabkan dia sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
Noordin dikatakan akan memutuskan terus hubungan dengan mereka yang pernah ditangkap polis.
Mengenai hubungkait JI dengan Al-Qaeda, Nasir berkata, pertubuhan itu tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pergerakan pengganas antarabangsa tersebut termasuk Noordin sendiri.
Bagaimanapun oleh kerana mempunyai fahaman yang sama, tindakan yang diambil oleh kumpulan pimpinan Noordin adalah sebagai menyahut seruan Osama Ben Laden yang menyeru supaya kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya diserang.
Serangan yang dilakukan oleh kelompok berkenaan tidak terbatas kepada sempadan negara, sebaliknya mereka memilih lokasi yang paling sesuai iaitu di Indonesia yang merupakan negara berpenduduk lebih 230 juta orang.
Negara yang luas juga menyukarkan pihak berkuasa mengawal pintu keluar dan masuk di perbatasan.
Selain itu kad pengenalan diri yang digunakan oleh Indonesia juga terlalu mudah dipalsukan dan ia memudahkan orang asing seperti Noordin mendapat identiti baru.
Imam Samudera yang didapati bersalah terbabit dalam kejadian serangan bom di Bali dan telah dihukum tembak juga di dalam buku tulisannya juga menyatakan serangan dilakukan di Indonesia kerana adalah mustahil untuk melakukannya di Amerika Syarikat.
Selain Noordin dan Baharudin, polis Indonesia kini turut memburu Ibrahim yang bekerja sebagai penggubah bunga di Hotel J.W Marriot dan dipercayai menjadi orang dalam yang membantu membawa masuk bom ke dalam hotel berkenaan.
Selain itu dua lagi suspek iaitu Ahmad Yani dan Maruto turut diburu kerana dikatakan terlibat dalam membekalkan bahan untuk membuat bom.
Dalam pada itu Nasir yang ditangkap polis pada tahun 2003 dan telah menjalani hukuman penjara selama dua tahun dan kini menjadi pemberi maklumat kepada polis, yakin Noordin masih berada di Indonesia dan dia sukar diberkas oleh pihak berkuasa kerana dia dilindungi oleh penduduk tempatan.
Seperkara lagi yang diyakini oleh Nasir adalah serangan itu bukan berkait isu tempatan, tetapi lebih kepada isu antarabangsa iaitu antaranya serangan Israel ke atas Gaza dan dasar Barack Obama yang mengeluarkan tentera dari Iraq, bagi memberi tumpuan kepada operasi ketenteraan bagi membasmi Taliban di Afghanistan.
Krisis sedemikian walaupun kecil atau besar digunakan oleh Noordin untuk mencari pengikut baru yang mempunyai fahaman sama sepertinya.
Sunday, August 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment