Monday, June 1, 2009

Bertegaslah dalam pelaksanaan larangan merokok

PEROKOK sekali lagi berdepan dengan 'rintangan'. Kali ini apabila kerajaan menambahkan jumlah kawasan yang bakal dijadikan zon larangan merokok.

Penambahan terbaru itu akan menyebabkan mereka tidak lagi boleh merokok di tempat kerja yang mempunyai sistem pendingin hawa berpusat dan juga di lobi-lobi hotel.

Demi kepentingan majoriti rakyat yang tidak merokok, kerajaan terpaksa mengambil pendekatan terbaru itu walaupun ia pastinya tidak menyenangkan golongan perokok.

Langkah terbaru itu diharap mampu membuatkan mereka yang tidak merokok menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ada alasan untuk mereka menegur rakan-rakan sekiranya tidak mematuhi peraturan berkenaan. .

Bagaimanapun, langkah kerajaan untuk mewartakan serta-merta larangan terhadap peniaga dan peruncit agar tidak menyertakan tawaran hadiah apabila menjual hasil tembakau kepada orang ramai dilihat sebagai langkah terbaik dalam "kempen larangan merokok" selama ini.

Setidak-tidaknya langkah tersebut akan menyekat usaha syarikat-syarikat pengeluar rokok daripada mempromosikan keluaran mereka secara halus ataupun menggunakan "taktik kotor" untuk melariskan produk.

Pewartaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2009 itu juga menyaksikan larangan untuk sebarang objek atau benda dijual bersekali dengan hasil tembakau. Pengeluar, peruncit atau peniaga juga diharamkan untuk menawarkan hasil tembakau ke atas pembelian sebarang jenis produk.

Paling menarik, pihak yang didapati bersalah melanggar larangan atau peraturan tersebut boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Peraturan atau larangan berkenaan memang tepat pada masanya. Kempen antirokok yang semakin diperhebatkan - termasuklah mewajibkan pengeluar atau pengedar mempamerkan amaran kesihatan bergambar dengan enam imej ngeri - itu diharap menjadi antara faktor tekanan terbaru kepada perokok selain kenaikan cukai saban tahun.

Walaupun ada yang mengatakan "imej ngeri" itu tidak akan mampu mengekang tabiat ketagihan di kalangan perokok, namun kita berharap keadaan itu hanya berlegar dalam kalangan perokok tegar sahaja.

Sementara itu, dalam keghairahan kerajaan meningkatkan peraturan serta larangan terhadap perokok, penjual, peruncit, pengedar dan pengeluar produk-produk hasil tembakau, kita juga berharap ia juga akan meliputi aspek penguatkuasaan.

Ramai yang melihat matlamat kerajaan memperkenalkan pelbagai larangan itu sebagai satu usaha murni. Dan ia sepatutnya diiringi dengan penguatkuasaan sebenar. Bukan setakat hanya indah pada kertas tetapi pelaksanaan pula pada tahap "suam-suam kuku" sahaja.

Selepas ini, pihak berkenaan terutama yang mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun atau denda ke atas mereka yang melanggar peraturan mengenai larangan merokok ini perlu lebih bersikap proaktif.

Jangan pula selepas ini, asap rokok terus dibiarkan berkepul-kepul di ruang atau premis yang telah pun diwartakan sebagai "zon larangan merokok". Jangan lagi pihak berkuasa dikatakan "sekadar melepas batuk di tangga" sahaja.

No comments: